Feeds:
Kiriman
Komentar

Salam ramadhan,

Belum terlambat untuk mengucapkan selamat menyambut Ramadhan Almubaraq, bulan penuh baraqah, ganjaran dan keampunan. Moga ianya tidak berlalu tanpa membawa kita ke gerbang ketaqwaan.

Berikut merupakan tulisan sahabat saya yang disiarkan dalam blognya mengenai fitnah di awal bulan Ramadhan Al Mubaraq. Kepada saudara yang menjawab bagi pihak saya, diucapkan terima kasih. Kepada mereka yang telah meletakkan diri mereka di luar dari landasan perjuangan dengan penyebaran fitnah ini, moga hidayahNya jua yang menyaksikan anda kembali kepadaNya dengan penuh ketenangan.

DR Rosli menjawab Tulisan Saudara MSO
http://pinkturtle2.wordpress.com/

Pada 21 Ogos 2009,saudara MSO ada menulis mengenai Dr Rosli Allani Abdul Kadir Pembantu Khas (PA) kepada Pengerusi Jawatankuasa Kewangan, Pembangunan dan Kebajikan Masyarakat, Datuk Husam Musa di bawah posting yang bertajuk Qiaserey Goodbye . Apa yang diulas oleh saudara MSO ialah penyebab mengapa DR Rosli mengambil keputusan untuk berhenti berkerja dengan Datuk Husam dan beberapa pekara yang tidak menyenangkan berlaku diantara Datuk Husam dan Dr Rosli…

Kebetulan pada dua malam lepas saya sendiri sempat bertemu dengan DR Rosli di Restoran wakaf Siku hadapan CIMB Bank Wakaf Siku … Selesai saya sembang dengan seorang kawan, saya mengajak Dr Rosli yang kebetulan keseorangan di meja sebelah datang ke meja saya untuk bersembang panjang…Setelah berbual panjang dengannya,saya pun bertanyalah kepadanya beberapa persoalan yang dibangkitkan oleh saudara MSO itu… Terang lagi bersuluh,maka dapatlah beberapa jawapan yang sudah beberapa hari bermain di fikiran saya mengenai Posting yang di tulis oleh saudara MSO itu…

Banyak benda dan persoalan yang dimainkan dan dibangkitkan Oleh MSO dalam tulisannya itu hampir semuanya tidak betul sama sekali mengikut kata DR Rosli.. Mengikut Dr Rosli beliau sudah lama menyatakan hasratnya untuk berhenti kepada datuk Husam kerana ingin menumpukan sepenuh masa pada Perniagaan Hemodialisisnya yang berpusat di Wakaf Che Yeh yang sedikit tergendala akibat tidak mendapat perhatian penuh daripadanya.Selain itu beliau juga ingin menumpukan pada kerja-kerja parti di peringkat kawasannya dan di peringkat negeri yang disandangnya.

Mengikut DR Rosli, Datuk Husam tidak pernahpun melemparkan Fail di hadapannya seperti mana yang di tulis oleh saudara MSO.. Beliau pun hairan dari sumber mana MSO dapat sehingga di bawa masuk ke dalam postingnya.Tambahnya lagi,sepanjang beliau bekerja dengan Datuk Husam, beliau tidak pernahpun dimarahi oleh Datuk Husam… Menurut beliau lagi,Datuk Husam tidak pernahpun menunjukkan kemarahannya kepada beliau samada di hadapannya atau di hapanan staf yang lain… Walaupun kadang-kadang ada juga Datuk Husam tidak berpuas hati atau tidak sependapat dengannya dalam sesuatu pekara, tetapi beliau tidak pernah pun memperlihatkan kemarahannya itu.. ini luahan Dr Rosli kepada saya sendiri… saya tidak pandai nak menongkot tambah dalam tulisan saya,melainkan apa yang telah diceritakan oleh Dr Rosli kepada saya sendiri.

Selain itu juga, menurut DR Rosli beliau sendiri amat berpuashati dengan Ekspedisi ke Pelantar minyak tempoh hari dan beliau sendiri terlibat secara langsung dan diamanahkan sebagai AJK penting dalam Ekspedisi tersebut. Mana mungkin ini boleh dijadikan alasan atau sebab kepada saudara MSO untuk mengaitkan pemberhentiannya ini..

Dari apa yang saya kenal dan memerhati dari jauh, Dr Rosli ni bukan dari jenis ampu mengampu… kalau dia tak puas hati dia cakap terus terang walaupun Bosnya sendiri.Dia tak pandai nak bodek-bodek..kalau betul,dia cakap betul kalau tak betul,dia cakap tak betul walaupun berkaitan dengan Datuk Husam sendiri…

Pertemuan dan perbincangan kami selesai lebih kurang pukul 1:30 pagi…

Wassalam

Himpunan mansuhkan ISA yang berlaku semalam tidaklah yang teramai dari segi penyertaannya berbanding Bersih. Namun mesejnya tetap sama. Rakyat ingin menyatakan ketidakpuashatian mereka kepads kerajan BN yang terus bermaharajalela. Mereka lebih suka pihak polis, badan kehakiman, SPRM dan lain lain yang berhadapan dengan rakyat yang tidak sukankan mereka. Betapa baculnya spesis BN terutamanya UMNO. Tidakkah mereka mahu sedar, hampir separuh rakyat Malaysia menolak mereka pada PRU12?

UMNO/BN di bawah Dato Seri Najib cuba mengumpan rakyat dengan pelbagai janji dan gula gula politik. Yang peliknya, yang dituduh adalah pihak Pakatan Rakyat khusunya PAS. PAS dianggap memperalatkan rakyat dalam demonstrasi untuk kepentingan politik. Sememangnya itulah UMNO. Membela rakyat yang dizalimi dikatakan berpoltik sedangkan membela kroni dianggap perjuangan suci.

Macamana mahu melahirkan 1UMNO sekiranya kroni yang diutamakan? Mugnkin mereka akan mengatakan parti seperti PAS juga sudah berpecah dan berpuak puak. Ini bukan medan untuk menolak atau menerima kerajaan perpaduan yang ditaja oleh pihak tertentu. Namun, mengamati senario dalam UMNO sendiri menunjukkan penyatuan tidak akan berjaya atas nama apa sekalipun seliranya pihak yang ingin berkerjasama itu kosong jiwa mereka.

Isu ISA menampakkan sekali lagi bahawa toleransi merupakan istilah yang tidak wujud dalam kerajaan UMNO/BN. Mereka melaungkan perpaduan sedangkan suara rakyat tidak mereka pedulikan. Mereka menyalahkan Tuan Guru Nik Aziz kerana menolak kerajjaan perpaduan sedangkan mereka di belakang tabir menghantar pegawai pegawai untuk melunakkan Tuan Guru, lalu dimainkan oleh Media bahawa Tuan Guru Menteri Besar menyambut Perdana Menteri.

Seolah olah Tuan Guru sanggup menggadaikan prinsip yang menjadi pegangan sekiranya tuntutan Kerajaan Kelantan dilunaskan oleh Pusat. Siapa di belakang pertemuan ini? Haruslah diselediki tujuan mereka mengatur pertemuan ini. Kita yakin Mursyidul AM PAS dipandu olehNYA dalam membuat keputusan yang dasar. Beliau bukan begitu mudah terpengaruh dengan pujukan dan rayuan.

Himpunan mansuhkan ISA merupakan satu lagi mercu tanda yang mengajak rakyat tanpa mengenal latar belakang untuk bersama menuntut hak mereka. Inilah konsep 1Malaysia yang sebenar benarnya. Inilah erti perpaduan yang bukan setakat kerajan, bahlan rakyat dan kerajaan akan bersatu padu demi keadilan sejagat. Demi kemenangan umat.

Keputusan PRK N42 Manek Urai berpihak kepada PAS dengan majoriti undi sebanyak 65. Kemenagan untuk PAS dan seluruh pendokong dan penyokongnya, bukan ekslusif milik PAS Kelantan. Cuma jentera utama adalah PAS Kelantan. Kemenangan ini adalah kemenangan semua.

Untuk mendapat anugerah kemenangan, tidak sedikit PAS diuji. Mungkin tanpa ujian ini PAS sudah berkubur di Manek Urai. Bila PAS diuji, yang menerima ujian adalah semua yang mengikuti citarasa dan jalan perjuangan PAS. Begitu juga mereka yang melawan PAS, maka mereka juga diuji dengan keinginan untuk menang yang membuak buak. Mereka yakin menang. Masakan mereka sekadar masuk untuk mengurangkan majoriti? Kalau sekadar itu target mereka, Penanti adalah medan untuk mengambus majoriti Pakatan Rakyat yang diwakili oleh PKR.

Namun apa jua jalan ceritanya, kemenangan tetap kemenangan. Mengekalkan kemenangan itu PASTI lebih sukar daripada mencipta kemenangan. Adahikmah disebalik kemenangan dan kekalahan. Kepada yang menang dan kalah, ada janji dan komitmen yang perlu ditunaikan.

Yang PASTI, ruang untuk mengenal kawan dan lawan telah dibuka seluasnya. Manusia berubah bila diasak kesenangan dan kesempitan, janji dan tohmahan, keperihatinan dan kecaknaan. Jiwa yang kosong PASTI tidak tahan diuji sedangkan jiwa yang mengharapkan ketenangan yang hakiki bakal menemui janji sebenar janji. PASTI.

Isu Kerajaan Perpaduan
Oleh Ustaz Ahmad Awang

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Konsep Kerajaan Perpaduan
Kerajaan perpaduan atau National Unity Government atau National UnionGovernment adalah kerajaan gabungan yang luas meliputi semua parti-parti politik utama dalam parlimen bagi membentuk sebuah kerajaan. Kerajaan Perpaduan biasanya dibentuk bagi mengatasi keadaan semasa dan selepas berlaku peperangan atau selepas keadaan darurat sesebuah negara.
Kerajaan perpaduan pernah dibentuk di beberapa buah negara barat pada masa yang lalu, sebagai contohnya di Amerika, Presiden Abraham Lincoln membentuk Unity Government selepas Perang Saudara pada tahun 1865. Di Canada pula Kerajaan Perpaduan atau Unity Government pernah dibentuk dalam masa Perang Dunia Pertama (1917) dan semasa Perang Dunia Kedua. Demikian juga Luxembourg pernah membentuk Kerajaan Perpaduan semasa Perang Dunia Pertama dan Perang Dunia Kedua. Di England pula pernah ditubuhkan Kerajaan Perpaduan pada tahun 1931dan juga pada tahun 1935.

Indonesia adalah contoh terdekat dan terbaru Kerajaan Perpaduan. Kerajaan tersebut terbentuk selepas berlaku reformasi apabila tumbangnya pemerintahan Suharto yang kemudiannya digantikan oleh Presiden Habibie dalam masa peralihan kepimpinan apabila terbentuknya Kerajaan Perpaduan pada tahun 2004 sehingga hari ini. Semua parti-parti yang memenangi pilihanraya tahun 2004 bergabung mendukung pemerintah. Ini bermakna tidak ada golongan atau parti pembangkang dalam kerajaan. Bagaimanapun Presiden adalah dipilih terus melalui pilihanraya yang mana parti-parti utama bertanding merebut jawatan Presiden dan Timbalannya. Satu perkara yang perlu disebutkan sistem pilihanraya di Indonesia bagi memilih wakil-wakil rakyat di semua peringkat adalah mengikut kaedah proportional representative system yang berdasarkan pada peratusan undi yang didapati oleh kumpulan calon-calon dan peratusan kerusi yang mereka perolehi, bukannya berdasarkan kepada majoriti undi yang diperolehi oleh calon-calon yang bertanding di satu-satu kawasan parlimen atau negeri, seperti majority system yang diamalkan di negara kita.

Bila Idea Kerajaan Perpaduan Dibangkitkan?
Secara rasminya idea Kerajaan Perpaduan ini tidak pernah dibangkitkan dalam parti PAS apatah lagi untuk membincangkannya. Ianya tidak lebih dari lontaran idea Presiden Tuan Guru Haji Hadi Awang (TGHHA) seperti yang beliau sendiri pernah membuat kenyataan mengenainya. Lontaran idea itu dibuat beliau semasa pimpinan Kerajaan di bawah pentadbiran Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi (sekarang Tun) yang menjanjikan untuk membasmi amalan rasuah. Beliau menyuarakan idea dengan penubuhan Kerajaan Perpaduan itu dapat dilakukan reformasi terhadap Suruhanjaya Pilihanraya dan Suruhanjaya Kehakiman yang selama ini dilihat semakin terhakis kepercayaan rakyat kepada kedua-dua suruhanjaya itu. Di samping itu juga kebebasan media akan dapat dijamin bersikap adil kepada semua pihak. Saya difahamkan dalam sembang-sembang sambilan beliau pernah bercakap mengenai idea Kerajaan Perpaduan ini dengan Dato’ Seri Anwar dan Lim Kit Siang.

Bagaimanapun tidak ada perbincangan rasmi dengan pimpinan UMNO mengenai perkara ini dan tidak ada sebarang keputusan dibuat. Apa yang saya difahamkan lontaran idea ini pernah disampaikan kepada Pak Lah (sahaja) ketika hampir-hampir berlaku peralihan kuasa kepimpinan negara kepada Dato’ Seri Najib. Khabarnya Pak Lah berminat dengan idea tersebut (bukan cadangan), mungkin kerana takut orang-orang beliau akan tersingkir apabila Najib menjadi Perdana Menteri, bukannya kerana idea Unity Government itu. Namun tidak ada apa-apa perkembangan lanjut sehingga peralihan kepimpinan negara berlaku dengan perletakan jawatan Pak Lah pada 29 Mac lalu. Ini bererti Unity Government itu kini hanya menjadi idea akademik sahaja. Ia sepatutnya tidak bangkit lagi sebagai perancangan parti atau perbincangan strategi politik PAS PADA MASA INI dan tidak sepatutnya pun menjadi isu yang menggawatkan baik di peringkat parti atau di peringkat Pakatan Rakyat.

Bagaimana Isu Kerajaan Perpaduan Ditimbulkan
Dalam kegawatan perbincangan mengenai isu ini, pimpinan parti rakan Pakatan Rakyat membuat kenyataan-kenyataan yang boleh menimbulkan kekeliruan di kalangan penyokong-penyokong dan pendokong Pakatan Rakyat. Malah dengan permainan dan pengolahan media arus perdana yang merupakan alat UMNO/BN, ulasan-ulasan kenyataan sedemikian boleh merenggangkan PAS dengan rakan Pakatan Rakyat. Malah paling ditakuti ianya boleh membawa perpecahan. Saya sendiri banyak menerima panggilan telefon dan SMS dari rakan-rakan Pakatan Rakyat menyatakan kebimbangan mereka sekiranya benar-benar Kerajaan Perpaduan ini menjadi pemangkin ke arah kerjasama PAS dan UMNO untuk membentuk Kerajaan. Mengapa setengah pimpinan Pakatan Rakyat begitu mudah boleh terperangkap dengan permainan musuh?

Saya percaya ramai boleh memahami mengapa idea Kerajaan Perpaduan ini boleh menjadi isu yang sedemikian panas. Ia berpunca dari sidang media Dato’ Seri Presiden selepas menyampaikan ucapan dasar Presiden dalam Muktamar PAS ke-55 di Stadium Malawati, Shah Alam pada 5 Jun lepas. Dalam sidang media itu Presiden menyebut semula idea KP itu. Saya pun tidak pasti samada ianya timbul kerana soalan provokasi media kerana dalam ucapan dasar beliau lebih satu jam langsung tidak menyebut Kerajaan Perpaduan. Apa yang ditegaskan beliau ialah PAS akan terus memperkukuh Pakatan Rakyat dan bersedia menyumbang khidmat kepimpinan berlandaskan Islam Memimpin Perubahan yang menjadi tema Muktamar kali ini.

Saya sendiri terperanjat apabila mandapati semua media arus perdana hari ke dua Muktamar menyiarkan berita berkenaan Kerajaan Perpaduan. Hampir seluruh ucapan dasar Presiden tenggelam dengan isu KP ini. Pada awal pagi hari ke dua Muktamar itu, saya bertanya kepada Presiden mengenai perkara ini. Kebetulan ketika itu beliau sedang berjalan seiring dengan Timbalan Presiden yang sedang menuju kenderaan masing-masing untuk pergi ke tempat Muktamar. Saya mencadangkan beliau menjelaskan perkara ini kepada media supaya tidak menimbulkan kekeliruan. Akan tetapi saya mendapati berita yang keluar esok harinya seolah-olah menegaskan lagi keterbukaan pimpinan beliau untuk meneruskan idea Kerajaan Perpaduan. Barangkali yang terus menimbulkan pertanyaan-pertanyaan apabila dalam Ucapan Penggulungan Muktamar mengulangi penekanan kepimpinan atas keterbukaan PAS untuk bertemu dan berbincang dengan siapa-siapa sahaja. Ucapan penggulungan Timbalan Mursyidul Am, Dr. Haron Din dan ucapan-ucapan penggulungan Presiden dan Timbalan Presiden dilihat seperti tidak begitu selari dengan pandangan majoriti besar perwakilan dan wakil Kelab Penyokong PAS yang dengan keras menolak sebarang pertemuan dan perbincangan dengan UMNO.

Mengapa Tok Guru Nik Aziz Sensitif
Apabila ucapan-ucapan kepimpinan PAS itu di spin oleh media, maka akhirnya yang timbul bukan idea konsep Kerajaan Perpaduan yang mencakupi semua parti-parti diwakili di parlimen pada masa ini. Ianya diputar-belitkan seolah-olah Kerajaan Perpaduan PAS/UMNO atau Kerajaan Perpaduan PAS/UMNO/BN. Di sinilah timbulnya berbagai-bagai pandangan negatif atau tuduhan-tuduhan berat terhadap pimpinan tertinggi PAS pada masa ini. Saya percaya Mursyidul Am Tok Guru Nik Aziz (TGNA) tersentuh perasaan beliau apabila teringat apa yang berlaku dalam pertemuan sulit antara Pimpinan Tertinggi PAS dengan Pak Lah yang didedahkan sendiri oleh Presiden UMNO itu beberapa bulan sebelum Muktamar ke-54 di Perak tahun lalu. Pertemuan itu kemudian diistilahkan sebagai muqabalah bukan muzakarah. Saya boleh mengerti TGNA begitu sensitif kerana jika dahulu boleh berlaku muqabalah secara sulit, apakah nanti tidak akan ada muqabalah seperti itu di antara pimpinan parti yang diberi mandat oleh perwakilan dalam Muktamar kali ini. Apatah lagi apabila TGNA melihat “orang” tertentu yang terlibat dengan rundingan sulit dengan Pak Lah, dilantik memegang jawatan penting dalam pentadbiran PAS sekarang. Saya sendiri pun tertanya-tanya samada Dato’ Seri Presiden berasa dalam keadaan serba salah bersabit perlantikan jawatan berkenaan terutama saya memahami watak TGHHA sebagai seorang yang sangat menghormati orang lain sehingga boleh menyebabkan beliau berada dalam dilema untuk membuat satu keputusan yang tegas.

Mungkin saya salah seorang anggota pimpinan PAS (mantan) yang cukup memahami sensitifnya TGNA bila mengenangkan pertemuan sulit pimpinan PAS dengan Pak Lah pada 10 Mac 2008 di sebuah rumah di Kuala Lumpur yang bertujuan membincangkan penubuhan Kerajaan PAS/UMNO/BN. Namun ianya gagal atas sebab-sebab tertentu. Bayangkanlah apabila kerajaan PAS di Kelantan diserang begitu hebat terutama dalam kempen PRU ke-12 itu oleh pimpinan BN yang diketuai oleh Pak Lah sendiri, timbalannya Najib dan menantunya Khairy, tiba-tiba 2 hari selepas itu PAS diajak bersama untuk membentuk kerajaan walaupun bukan di Kelantan. Takkanlah pimpinan PAS tidak terfikir macam mana UMNO boleh serta merta hendak berbaik dengan PAS setelah mereka berusaha hendak menghancur lumatkan PAS sebagai musuh utama politik mereka. Tidak perlulah berfikir panjang, semua orang boleh tahu Pak Lah berbuat demikian kerana menyaksikan UMNO/BN menerima pukulan hebat dengan kehilangan majoriti 2/3 dan kehilangan kira-kira 50% kerusi parlimennya di Semenanjung. Itulah tabiat UMNO apabila hampir kehilangan kuasa, dibuatlah alasan PAS mesti bersama dengan UMNO demi kepentingan bangsa dan agama.

Pengalaman Saya Di Perak
Di Perak, UMNO mengajak PAS membentuk kerajaan bersama UMNO/BN. Alasannya ialah alasan yang sama dijadikan hujah apatah lagi UMNO/BN yang memenangi 28 kerusi hanya seorang sahaja ADUN bukan Melayu. Ini bermakna jika PAS menyertai UMNO/BN, kononnya terbentuklah kerajaan yang didukung oleh 97% Melayu Islam. Dengan ini berlakulah satu sejarah dalam masa 50 tahun merdeka tertubuh Kerajaan Melayu Islam di negeri Perak. Kononnya kukuhlah kedaulatan Melayu Islam di Perak. Namun kepada saya dan rakan pimpinan PAS Perak, alasan tersebut dapat kami ketepikan dengan hanya satu hujahan iaitu UMNO/BN selama ini tidak pernah mengangkat Islam bahkan sebaliknya menghakis Islam di Negara ini. Kami ambil kenyataan Mufti Perak sendiri, Dato’ Seri Haji Harussani yang menyatakan bahawa orang Melayu ratusan ribu menjadi murtad dan kerajaan UMNO/BN tidak berbuat apa-apa untuk menanganinya.

UMNO Perak yang didukung oleh pimpinan UMNO Pusat berusaha bersungguh-sungguh dengan segala tipu dayanya memujuk kami untuk membentuk kerajaan bersama UMNO/BN dengan menawarkan jawatan Menteri Besar dan 5 EXCO kepada 5 orang lagi ADUN PAS. Jawatan speaker juga ditawarkan kepada pimpinan PAS. Sehingga hari upacara angkat sumpah Menteri Besar Perak (Dato’ Seri Haji Nizar Jamaluddin) agen UMNO masih lagi datang menemui saya di perkarangan Istana Iskandariah. Sehari sebelumnya Dato’ Zahid Hamidi mengejar saya untuk pertemuan 4 mata dengannya tetapi beliau gagal berbuat demikian apabila saya meminta pihak polis mengawal rumah saya (rujuk posting berkenaan tahun lepas).

Bayangkanlah bagaimana perasaan saya atau sesiapa juga seperti yang saya alami tiba-tiba mendapat tahu kemudian Pimpinan Tertinggi PAS berunding dengan UMNO untuk membentuk kerajaan PAS bersama UMNO/BN. Walaupun saya hanya mengetahuinya selepas kira-kira 2 bulan kemudian, saya tetap terasa amat pelik dan tersentuh dengan tindakan pimpinan itu. Apahal pun saya menerimanya kerana ia sudah menjadi perkara akademik dan sejarah sahaja. Namun begitu ia tidak boleh padam dari ingatan dan tetap tersimpan dalam hati kecil saya. Saya percaya perasaan seperti inilah yang tersimpan mendalam dalam hati TGNA dan boleh timbul pada bila-bila masa apabila wujud situasi seperti isu Kerajaan Perpaduan. Apatah lagi UMNO itulah yang telah melakukan rampasan kuasa ke atas Kerajaan Pakatan Rakyat di Perak yang diketuai oleh Dato’ Seri Najib dengan mendapat restu dari Pak Lah sendiri.

Kini kelihatan perbezaan pendapat di antara TGNA dengan pimpinan tertinggi PAS. Akibat perkara-perkara yang berlaku selepas isu Kerajaan Perpaduan ini menjadi topik politik nasional. Kenyataan-kenyataan pimpinan bahawa PAS tidak akan berpakat membentuk kerajaan dengan UMNO/BN seperti tidak diendahkan oleh sebahagian penyokong dan pendukung parti. Keadaan seperti ini boleh meletakkan parti di peringkat amaran bahaya maka perlulah pimpinan tertinggi dari peringkat syura dan kepimpinan organisasi peringkat pusat dan negeri mengadakan perhimpunan khas bagi membincangkan cara-cara yang terbaik untuk menangani isu ini berlandaskan kaedah dan cara terbaik mengikut lunas-lunas Islam. /Detikdaily

salam perjuangan buat semua

Setiap benda/ kejadian yang dijadikan Allah SWT boleh dinilai value atau nilaiannya. Dari satu segi, nilainya kelihatan bergantung kepada keperluan manusia dan jumlah barangan/ kejadian itu. Ini disebut dalam perniagaan supply dan demand. Dan nyata bila manusia berebut akan sesuatu, ditambah pula bila mengikut kehendak hati, maka nilaian sesuatu itu kadang kalanya sehingga tidak masuk akal. Tapi hakikatnya itulah manusia, menilai antara keperluan dan kehendak dari kacamata yang akdang kalanya sukar untuk melalui titipan iman.

Manakala ada pula kejadian/ makhluk Allah itu bila hilang baru terasa nilaiannya yang tinggi. Malah dirasakan tidak ternilai dan tidak dapat dinilai dengan wang ringgit. Kehilangannya pasti betul betul dirasai. Pernahkah anda merasa begitu?

Di dalam Muktamar DPPNK yang lepas, dihidangkan kepada muktamirin, jemputan dan pemerhati tayangan pendek mantan Ketua DPPNK, Allahyarham Hj Wan Jamil yang telah pergi meninggalkan sejuta saham dan kenangan untuk menjadi pengeras semangat kepada perjuangan mereka yang baru menyertai PAS. Beliau merupakan salah satu dari 2 individu yang kehilangannya amat2 dirasai oleh YAB Tuan Guru Mursyidul Am PAS; yang beliau menangis bersungguh sungguh di atas pemergian itu.

Di dalam PAS dan perjuangannya, individu dan ahli datang dan pergi. Sebagaimana mekar dan layunya tumbuh tumbuhan, hidup dan mati binatang dan segenap kejadian Tuhan, individu datang dan juga pergi dengan pelbagai alasan. Sebagaimana tua dan sakit bukan syarat untuk berhadapan dengan kematian, begitu juga individu yang menghadirkan diri dalam keluarga PAS. Tiada syarat khusus untuk mereka bersama. Ada yang tergerak hati, ada yang atas rasa benci kepada sesetengah puak dan pelbagai lagi. Yang pasti ianya bukan hanya sekadar tempat berkumpulnya ulama dan profesional yang menjadi agenda utama media perdana untuk menjuzukkan PAS sehari dua ini.

Tetapi ianya adalah tempat umat dan rakyat secara amnya mencuri tumpuan pemimpin untuk menegakkan kebenaran dan keadilan. Sebagaiman kecil kita dahulu dipandu dan diajar oleh ibu bapa dan penjaga yang membesarkan kita, rakyat ingin dijaga dan bermanja dengan pemimpin yang dilantik, selain daripada menyatakan sokongan mereka di atas apa yang dibawa dan diperjuangkan oleh pemimpin itu.

Rakyat dan pengikut perlu dididik, dibelai dan dimanja sesuai dengan tingkatan mereka. Mereka memilih dan mengangkat pemimpin dengan alasan yang pelbagai, namun untuk berada dalam perjuangan PAS mereka tahu dan perlu tahu pemimpin yang macamana perlu dipilih dan diangkat. Bukan untuk mereka menumpang kesenangan dunia, tapi buat mengubati keresahan yang terbuku dan sengaja pimpinan kita bukukan untuk mereka mengingati dan menghadapi alam akhirat yang bakal mereka tempuhi.

Bersama dengan pemimpin yang dilantik untuk membantu mereka dalam menegakkan agama Allah merupakan sesuatu yang dituntut. Dan semua proses yang melibatkannya adalah dituntut. Mencari pelapis, pembantu,
menyediakan kemudahan (yang tidak melampaui batas), berkorban dan mempertahankan kepimpinan merupakan antara intipati kepada proses membantu ini.

Harga untuk kekal bersama dalam perjuangan ini sangat mahal. Untuk kekal kita dalam perjuangan ini ke akhir ayat, tiada siapa yang dapat memastikannya kita melainkan Dia. Perjuangan ini pasti tidak akan tergadai dek jualan murah dan tawar menawar yang menjadi kegilaan ramai, kerana kita yakin ianya suci dan terpelihara. Lantas, perjuangan ini perlu sentiasa dibajai dan diselidik untuk hasilnya menggapai setinggi tinggi tuaian.dan ingatlah, bukan di atas jasa kita yang membolehkan hasil itu dicapai, tetapi belas ehsanNya yang memungkinkan kita untuk terus berada di sini.

Persediaan Najib untuk menjadi Perdana Menteri Malaysia ke-5 pastinya satu proses yang sudah lama bermula. Penantian untuk menanti detik itu berlaku tentunya satu penyiksaan yang tidak tertanggung. Lantas, segala jentera dan kaedah digunakan untuk memastikan ianya berjalan lancar. Sesiapa sahaja yang menghalang dan dianggap musuh pasti akan berhadapan dengan hukuman yang menanti.

Bukan setakat agensi kerajaan yang dipergunakan, malahan segala badan dan pihak yang difikirkan mendatangkan manfaat termasuklah pihak media menjadi sasaran. Malah diperalatkan dan dipermainkan. Institusi raja raja juga mungkin menjadi sasaran sekiranya matlamat menghalalkan cara.

Terkini, surat jemputan untuk menghadiri masjlis mengangkat sumpah Perdana Menteri Malaysia ke 5 telah dikeluarkan dari pejabat kerajaan di Putrajaya. Sepatutnya surat sebegini dikeluarkan oleh pihak istana. Dalam keadaan Pak Lah sendiri masih belum mengesahkan bila beliau akan mengadap DYMM Yang DiPertuan Agong, kad jemputan untuk majlis angkat sumpah Perdana Menteri baru sudah dikeluarkan. Ini menunjukkan proses biasa tidak berlaku. Penggunaan apa jua cara yang dianggap strategi untuk memintas dan membuat helah akan digunakan asalkan matlamat tercapai.

Cabaran yang bakal dihadapi oleh parti parti lain khususnya komponen Pakatan Rakyat tentunya dianggap amat menyulitkan. Namun apa jua kemungkinan yang bakal berlaku, cabaran yang perlu ditangani oleh Najib di dalam UMNO sendiri khususnya dan BN secara amnya juga agak menguji kemampuan Najib.
Kemasukan Tun Dr Mahathir ke dalam UMNO selepas ini pastinya akan sedikit sebanyak mencorak pentadbiran dan langkah langkah yang bakal diambil oleh Najib. Politik balas membalas mungkin akan menjadi satu agenda dan amalan. Namun di antara amalan ini dan tekanan daripada rakyat, pastinya suara rakyat akan didengari juga sekiranya ia memberi mesej yang signifikan kepada kerajaan. Ini perlu diolah untuk manfaat sekalian rakyat.

Ucapan Najib dan kebanyakan pemimpin tertinggi UMNO semasa perhimpunan agung yang lepas dengan jelas menunjukkan mereka ingin mendapatkan semula sokongan rakyat khususnya akar umbi. Rakyat juga cuba diyakinkan bahawa UMNOlah parti yang memperjuangkan melayu dan Islam. Namun adakah ini yang bakal ditonjolkan oleh Najib dengan Tun yang menjadi mentornya?
Pastinya tidak. Jadi paksi perjuangan UMNO yang sebenar adalah bukannya pada kesucian agama, tetapi lebih kepada menjaga kepentingan UMNO di atas nama agama dan bangsa.

Sekiranya amalan ini diteruskan di peringkat individu, maka persaingan yang berlaku hanya menyaksikan UNO sekadar berhadapan dengan cabaran dalaman yang lebih membinasakan berbanding dengan keupayaan untuk bertarung di luar. Dengan penerimaan yang ada pada Najib sekarang pastinya ini peluang terbaik juga untuk Pakatan Rakyat memperkuatkan pengaruh mereka di dalam masyarakat. Inilah cara terbaik untuk berhadapan dengan Najib dan BN yang pastinya jauh berbeza dengan pendekatan yang ada pada Pak Lah sebelum ini. Pimpinan Pakatan Rakyat khususnya PAS perlu menjadikan ini sebagai kelebihan untuk membangkitkan rasa tidak selesa rakyat bila perjalanan pentadbiran negara hanya dihiasi dengan slogan sebagaimana masa masa dahulu. Inilah masa untuk membuktikan PAS dan Pakatan Rakyat mampu memberi alternatif.

Fokus 3 Pilihanraya kecil yang bakal berlangsung pastinya lebih banyak tertumpu kepada Parlimen Bukit Gantang. Ini kerana ianya dianggap referendum rakyat selepas permintaan untuk membubarkan DUN Perak ditolak oleh Al Sultan Perak.

Pastinya suara rakyat di Bukit Gantang dianggap sebagai satu signal dan respon rakyat kepada krisis yang berlaku di Perak. Walaupun masih terlalu awal untuk menentukan kemenangan, namun kelebihan sudah pastinya berpihak kepada Nizar. Dengan kelebihan kerusi yang disandang oleh PAS sebelum ini serta simpati rakyat kepada Nizar khususnya, dijangkakan majoriti yang bakal diperolehi oleh PAS akan bertambah. Melihat kepada kehadiran semasa hari penamaan calon sahaja sudah cukup untuk memberikan gambaran mood rakyat pada hari ini.

Kepetahan Nizar dan kepimpinannya sudah dibuktikan. Rakyat Perak tentunya berbangga untuk mempunyai Menteri Besar seperti beliau. walaupun banyak tohmahan yang dilemparkan dari dalam dan luar, namun ianya adalah sebahagian daripada asam garam politik. Nizar dikira agak baru di dalam politik, khususnya PAS, berbanding dengan ramai lagi tokoh tokoh PAS. Tiada siapa menyangka beliau akan menjadi Menteri Besar. Dengan cabaran sebesar itu, sudah pasti akan ada kesilapan dan tidak puas hati sesetengah pihak. Namun kecekalan dan kesungguhannya memberi banyak kesan positif bukan setakat kepada beliau, malahan PAS sendiri.

Kemenangan yang bakal terhasil pastinya membuka satu lagi lembaran baru buat Nizar khususnya dan negara amnya. Pastinya ia akan menjadi aset kepada PAS dan Pakatan Rakyat. Dan semestinya aset kepada rakyat dan negara. Diharapkan pengundi Bukit Gantang akan dapat memilih calon yang benar benar ingin berkhidmat untuk mereka. jangan terkeliru dan terpengaruh dengan janji manis dan fitnah yang melata. Kuasa rakyat adalah memperbetulkan dan menolak pemimpin yang rasuah dan khianat, maka rakyat perlulah menggunakan kuasa ini untuk kebaikan mereka.

Kemenangan Khairy Jamaludin sebagai Ketua Pergerakan Pemuda UMNO mungkin mengejutkan sesetengah pihak. Namun kesalahan beliau yang terlibat dengan politik wang dan hanya diberi amaran sedikit mengejutkan. Tapi sebenarnya disabitkan dengan kesalahan itulah yang lebih mengejutkan.

Sebagai menantu yang dikatakan paling mempengaruhi Perdana Menteri, tentunya untuk beliau disabitkan dengan kesalahan itu adalah sesuatu di luar jangkaan. Tapi mungkin kerana Perdana Menteri bakal berundur, ianya dlihat perkara biasa. Ataupun mungkin sebenarnya KJ tidaklah berpengaruh mana. Dan kemungkinan bahawa Lembaga Disiplin UMNO ingin menunjukkan ketelusannya juga adalah antara sebab sebab lain.

Pun begitu sebagai seorang individu, KJ sememangnya mempunyai kekuatan dan karismanya tersendiri. Beliau dilihat seorang penghujah dan orator yang jauh lebih baik daripada 2 calon Ketua Pemuda yang kecundang itu. Ini semestinya aset kepada UMNO walaupun KJ juga ada membawa ‘baggage’ atau bebanan yang lahir daripada sifat anak muda dan kedudukan menantu Perdana Menteri yang dimilikinya. Kebolehan KJ untuk menyatukan kumpulan pemuda tentunya sesuatu yang ingin diperhatikan. Bukan setakat oleh pemuda UMNO bahkan pemuda dari parti parti politik yang lain.

Bagi Pemuda PAS, ini tentunya sesuatu yang mencabar. Kepimpinan pemuda PAS perlu melihat dari sudut yang positif. Kekuatan KJ berbanding 2 calon yang lain jika dilihat dari sudut persaingan, akan ‘memaksa’ pemuda PAS untuk sekurang kurangnya setanding jika tidak lebih baik daripada kewibawaan Pemuda UMNO.

Serangan peribadi tidak akan membawa banyak keuntungan jika persiapan rapi dan program program berterusan untuk menarik golongan muda tidak digandakan. Akademi Kepimpinan Muda menggalas tanggungjawab besar untuk memastikan kepimpinan pemuda terus relevan dalam memimipin generasi muda untuk menjadi aset negara serta menjadi pelapis untuk kepimpinan PAS akan datang. Semoga Mutamar Pemuda PAS nanti akan mampu mencorakkan hala tuju dan daya saing yang melayakkan PAS untuk berada pada kedudukan yang lebih baik daripada masa ini.

Teka teki samada Pak Lah akan melepaskan jawatan Perdana Menteri Malaysia masih menjadi tanda tanya. Walaupun dikatakan Pak Lah akan mengadap Yang Dipertuan Agong pada 2 April, segalanya masih belum pasti. Dan meneliti cara Pak Lah berucap dan memberi pandangan, segala macam kemungkinan boleh berlaku.

Kehadiran Tun Dr Mahathir, waluapun bukanlah ahli UMNO pada masa ini, dan layanan yang diberikan kepada beliau tentunya amat tidak disenangi Pak Lah. Apatah lagi serangan terus menerus kepada menantunya KJ yang baru ditabalkan sebagai Ketua Pemuda. Ini sudah pasti mencabar Pak Lah. Walaupun beliau secara sinis menyebut ’siapa tak kenal Dr Mahathir’ bila diajukan oleh wartawan tentang kenyataan negatif Tun kepada beliau.

Pak Lah memberi nasihat dan gambaran yang jelas tentang perlunya ahli UMNO berpegang kepada agama untuk mendapat semula tempat di hati rakyat. Nasihat dan tunjuk ajar sebegini mungkin tidak begitu kedengaran dari mulut Tun. Pak Lah dilihat lebih Islamik berbanding dengan Tun, walaupun dari segi idea dan kepimpinan, Tun jauh di hadapn.

Najib begitu bersemangat dalam memperbetulkan UMNO yang sarat dengan masalah rasuah. Untuk mendapatkan kembali keyakinan ahli dan khususnya rakyat beliau menjanjikan banyak perubahan. Semoga ianya dilaksanakan demi kebaikan negara. Namun, sebagaimana Tun yang menganggap Najib sebagai calon Perdana Menteri yang dilitupi masalah yang pelbagai, begitulah juga tanggapan rakyat dan sebahagian pemimpin parti parti politi bila di timbulkan isu tentang wibawa Najib. Pak LAh dengan jelas meminta ahli UMNO dan rakyat memilih pemimpin yang bersih dan tidak bermasalah. Tentunya ini peluang yang baik kepada mereka yang tidak ingin berketuakan Najib dalam mencari kelebihan politik.

Dan diharapkan apa jua yang berlaku dapat memberikan kebaikan kepada negara kita khususnya. UMNO akan mampu bangkit sekiranya ahli dan rakyat terus berjaya diyakinkan dengan daayah dan propaganda melalui media dan perancangan yang semestinya ingin mengekalkan pemerintahan UMNO/ BN di Malaysia. Semoga ini tidak menjadi satu halangan untuk Pakatan Rakyat terus mendapat sokongan padu rakyat pelbagai kaum.

Persaingn sengit untuk jawatan Ketua Pemuda UMNO nampaknya memihak kepada Khairy Jamaludin. Tuah ayam nampak di kaki, tuah Khairy mungkin lebih daripada menjadi menantu Perdana Menteri. Pun begitu, Khairy, yang merupakan calon terjunior dan termuda antara ketiganya merupakan Naib Ketua Pemuda sebelum ini.

Secara turutannya beliaulah yang dikira akan mengggantikan, Datuk Seri Hishamuddin yang telah agak lama memimpin Pergerakan Pemuda. Keupayaan Khairy adalah jelas walaupun ada yang menganggap beliau menumpang tuah menjadi menantu Perdana Menteri. Sebagai individu Khairy bolehlah dianggap hebat dan berupaya menyaingi rakan rakan dalam pemuda UMNO yang lebih senior dan berumur. Namun dengan kedudukan, pendedahan beliau dan faktor umur yang dikira agak muda itu, Khairy juga dilihat mempunyai beberapa tindakan yang dilihat agak bongkak dan kurang disenangi oleh lawan dan kawan.

Kemenangan yang dicapai ini pastinya merupakan cabaran yang agak besar kepada Pemuda Pakatan Rakyat. Oleh itu persiapan yang terperinci dan kemas perlu diatur di dalam memastikan keupayaan yang ada dapat digembleng untu berhadapan dengan sesiapa sahaja dan apa jua keadaan.

Lantaran itu, persefahaman dan komitmen yang perlu diberikan oleh Pemuda Pakatan Rakyat perlulah lebih erat dan meluas. Program program bersama perlu dianjur. Mengkaji budaya dan cara berkerja bangsa lain mampu membantu mendekatkan antara satu sama lain. Sekiranya cara pemikiran yang di bawa oleh Khairy lebih terbuka dan receptif, maka usaha untuk menjalinkan perpaduan di antara semua parti juga dapat dilaksanakan. Ini cabaran kepada semua yang perlu diterjemahkan dengan sebaik baik hasil.

Apa pun tahniah kepada saudara Khairy dan semua yang menjawat jawatan dalam pemilihan UMNO kali ini.

Salam perjuagan

Kiriman-Kiriman Sebelumnya »