Dewan Pemuda PAS Pusat ingin merakamkan ucapan tahniah kepada Perdana Menteri baru Britain di atas perlantikannya.
Pada masa yang sama Dewan Pemuda PAS mengharapkan Perdana Menteri baru Britain ini dapat mengakui kesilapan strategi dan langkah yang terlalu mengikut telunjuk dasar luar Amerika Syarikat yang diamalkan oleh Perdana Menteri sebelumnya, Tony Blair. Ianya dengan jelas menurunkan populariti Parti Labour sebagaimana yang digambarkan oleh banyak pungutan suara serta keputusan pemilihan peringkat majlis daerah ( Local Election) yang berlangsung semenjak tahun lalu.
Peperangan di atas nama Terrorisme yang dicanang oleh Kerajaan Amerika Syarikat telah nyata meragut banyak nyawa yang tidak berdosa. Kehancuran Iraq dan Afghanistan yang disaksikan oleh seluruh dunia memerlukan kos dan tenaga yang bukan sedikit untuk membangunkan semula masyarakat dan Negara. Kerosakan prasarana, hospital-hospital, rumah-rumah peribadatan dan pejabat-pejabat kerajaan serta tempat tempat bersejarah tidak dapat digambarkan kedasyatannya. Ini tidak termasuk ketidakstabilan politik serantau akibat daripada tindakan ini serta polisi- polisi yang diamalkan.
Dewan Pemuda yakin Perdana Menteri baru ini akan mengambil pendekatan berbeza, malah mengharapkan usaha yang lebih gigih untuk mendekati masyarakat Islam serta lebih memahami hak hak mereka. Ini termasuk menangani permasalahan yang berlaku di Palestin yang secara jelas mencabuli hak dan kebebasan umat Islam. Perlu diingat sejarah telah memahatkan pelbagai sumbangan dan hasil kerja tangan umat Islam di dalam membina tamadun dan pembangunan masyarakat yang wujud pada hari ini.
Kerajaan Britain sepatutnya menjaga kedudukan dan nama baik mereka yang menjadi contoh dan panduan kepada banyak Negara membangun di atas sumbangan dan peranan yang mereka mainkan. Mengikut telunjuk dan pendekatan yang diambil oleh bekas Perdana Menteri, Tony Blair sebelum ini ke atas polisi Amerika Syarikat bukan setakat mengundang kemarahan umat Islam, malah boleh menjejaskan kredibiliti beliau sendiri dan seterusnya kedudukan Parti Labour di dalam politik Britian.
Akhirnya Dewan Pemuda berharap usaha dan pendekatan yang diambil dalam menangani Islamophobia di Britain dapat membantu rakyat Malaysia di sana khususnya para pelajar untuk mewujudkan suasana yang lebih kondusif dan terjamin untuk pembelajaran mereka.
Dr Rosli Allani Abdul Kadir
Pengerusi Lajnah Antarabangsa
Dewan Pemuda PAS Pusat