Adalah sesuatu yang agak pelik bertanyakan seorang dewasa di kalangan rakyat Malaysia bilangan dan intipati Rukun Negara. Sesuatu perkara yang sinonim dengan zaman kanak kanak, serasanya lebih sesuai ditanyakan pada golongan ini. Namun kehidupan yang kita alami mengajar kita bahawa semuanya boleh berlaku. Melayu mudah lupa. Soalan untuk peperiksaan PTK untuk kenaikan pangkat penjawat jawatan kerajaan contohnya, boleh meliputi spektrum soalan yang teramat luas. Maka demi kenaikan pangkat, seorang doktor umpamanya terpaksa belajar kembali teknik menghafal pelbagai nama dan peristiwa di celah celah kesibukan hidup mereka.
Pun begitu, mereka yang menjawat jawatan tertinggi dalam kerajaan kadang kalanya tidaklah setinggi mana tahap pemikiran mereka dan kelihatan lebih bersifat keanakan dalam approach mereka kepada sesuatu perkara. Umpama kanak kanak yang mengenal sesuatu yang baru, keseronokan lebih menjadi keutamaan berbanding faktor keselamatan. Seakan begitulah juga sikap trial and error atau mencuba oleh sesetengah pihak yang menduduki tampok pentadbiran kerajaan Malaysia. Padahal kosnya terlalu tinggi untuk ditanggung oleh rakyat.
Bahasa Inggeris meniti hari hari terakhirnya dalam penjajahan sains dan matematik yang diajar di semua jenis sekolah. Tanpa desakan dan tekanan dari banyak pihak tentunya anak anak kecil masih tenggelam timbul mencari formula terbaik untuk belajar. Keputusan UPSR terkini masih membuktikan betapa jauhnya tahap kelulusan dan kecemerlangan yang dicapai berbanding subjek subjek subjek lain.
Mungkin ada yang terlepas pandang bahawa Raja raja Melayu juga amat perihatin dengan persoalan bahasa ini. Umpamanya Ke Bawah Duli YangMaha Mulia Al Sultan Kelantan pernah menyuarakan pandangan supaya prosiding di mahkamah menggunapakai bahasa Melayu dengan sepenuhnya. Titah al Sultan Kelantan ini dapat didengar sendiri oleh Ketua Hakim Negar pada masa itu, Tun Fairuz semasa Baginda merasmikan bangunan baru mahkamah di Jeli, Kelantan tidak lama dahulu.
Begitulah perihatinnya golongan istana dengan kedaulatan bahasa ibunda dan kesungguhan untuk memartabatkan bangsa. Bangsa Melayu amat sinonim dengan Islam di Malaysia, seolah olah Melayu itu Islam dan Islam itu Melayu. Maka memartabatkan bangsa tidak lain dan tidak bukan seakan memartabatkan Islam. Dan Al Sultan Kelantan pula adalah Sultan yang memerintah negeri yang mendapat jolokan serambi Mekah, maka lebih lebih lagilah relevannya ucapan Baginda itu.
Di dalam Rukun Negara, Kesetiaan kepada Raja dan Negara datang sebelum Keluhuran perlembangaan dan Kedaulatan undang undang. Maka dengan sendirinya menghormati institusi raja merupakan satu keutamaan kerana Raja adalah simbol perpaduan. Menolak saranan dan titah diraja seumpama cubaan meruntuhkan perpaduan. Menabalkan seorang raja lain yang pernah dibuat di Kelantan tidak lama dahulu juga cubaan merosakkan perpaduan. Malahan ianya sendiri diakui oleh seorang Menteri dari Kelantan, Datuk Mustapha Muhammad dalam sidang Dewan Undangan Negeri Kelantan pada hari ini 20/11/2007, sebagai tindakan yang salah dan tidak menghormati undang undang.Merujuk kepada himpunan pada 10 November 2007, bila pihak penganjur himpunan 100k, yakni BERSIH yang turut dianggotai oleh parti parti politik yang merasakan mereka didiskriminasikan dan disisihkan hak mereka dari keadilan prinsip demokrasi, maka mereka merujuk kepada Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong yang mempunyai kuasa sebagaimana diperuntukkan oleh undang undang. Itulah yang sebaiknya bila Keluhuran perlembangan dan Kedaultan undang undang diselaputi seribu pertikaian dan karenah, sejuta dosa dan noda. Maka mengapa timbul mengheret Raja raja ke kancah politik?
Kiranya Rukun Negara dihayati maka tidak timbul persoalan ini. Dan pihak yang menghantar memorandum yakin bahawa Raja raja melayu yang perihatin dengan nasib bangsa mereka akan melakukan sesuatu untuk merubah keadaan dan senario politik tanahair yang semakin membarah. Tidaklah mereka perlu pergi setakuk lagi untuk mengguna formula seterusnya sesuai degan prinsip pertama Rukun Negara yakni Kepercayaan Kepada Tuhan, kerana semua anutan agama yang bersandarkan kepada prinsip dan moral kehidupan tidak membenarkan kezaliman bermaharajalela.
Hanya mereka yang menolak agama yang menzalimi sesama manusia. Lantas, marilah bersama memperbetulkan pihak ini. Marilah bersama berusaha mengangkasakan roh roh mereka agar diterima langit bila jasad mereka bersemadi.
Tinggalkan komen