Dengan PRU ke 12 dilihat terlalu hampir, ramai yang mula berkerja keras untuk memposisikan diri, selain berusaha memastikan kemenangan parti masing masing. Bersama dengan jentera yang bergerak, individu yang merasakan layak untuk menjadi calon, bergerak memastikan mereka dikenali sekurang kurangnya di kawasan yang dihajati, manakala yang lebih berstrategi pula mengekori pimpinan parti atau orang berpengaruh di sekeliling mereka.
Segala keringat dan wang dicurahkan. Segala harta yang boleh digadai menjadi seumpama bahan simpanan di bank. Agensi yang berurusan untuk membantu, termasuklah ceti dan along tiba tiba menjadi tumpuan. Pihak media pula, selain memburu, turut menjadi buruan.
PAS adalah milik semua. PAS adalah antara parti utama yang hadir di celah celah liku hidup masyarakat yang mengharapkan suara mereka dapat didengari. PAS bukan sekadar bergerak dengan mendasari konsep kebajikan, tetapi di atas kesedaran bahawa proses demokrasi yang diterimapakai dalam konteks memperjuangkan prinsip dan mesej yang dibawa oleh PAS sekarang ini adalah tidak lain untuk mewakili suara rakyat. Untuk berbakti kepada rakyat. Kerana demokrasi itu sendiri bermaksud dari rakyat untuk rakyat.
Namun bila politik yang menjadi matlamat dan bukan lagi proses memimpin dan membawa rakyat ke jalan kebenaran, maka kekuatan mesej menjadi lemah, ketajaman hujah menjadi tumpul dan prinsip yang dijunjung semakin tergadai. Bila manusia berhajat kepada pangkat dan nama, merasakan diri paling layak, mereka lupa pada satu hakikat. Bahawa mesej itu bukan hanya sesuatu yang fizikal, yang zahir semata. Mesej juga ada unsur spiritual. Maka memperbetulkan persepsi dan matlamat perjuangan menjadi benteng dan asas untuk mencapai kemakmuran dan keadilan sejagat.
Jangan biarkan PAS menjadi milik individu, kawasan atau segelintir puak. PAS berdiri di atas proses tajdid dan kebenaran, bukan kekuatan individu dan organisasi semata mata. PAS adalah alat untuk merealisasikan perubahan yang dituntut oleh rakyat, bukan sekadar tuntuan beberapa individu. Semoga kepimpinan PAS yang ada menjadikan PAS untuk semua.