Banyak pihak melihat semakin jatuhnya kredibiliti Pak Lah bila beliau yang pada asalnya bertegas menafikan bahawa Parlimen tidak akan dibubarkan pada 13 Februari, akhirnya membuat kenyataan pada tarikh itu yang parlimen dibubarkan.
Sungguh menakjubkan! Dua kenyataan berbeza dalam masa 24 jam yang begitu sekali besar kesannya kepada wibawa seorang Perdana Menteri, hanya cuba ditutupi dengan satu alasan yang cukup tidak meyakinkan. Kenyataan bahawa keberangkatan Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di Pertuan Agong ke luar negeri menjadi faktor kepada ralat yang berlaku, amat sukar diterima.
Masakan begitu parah sekali komunikasi antara pihak Istana Negara dan Pejabat Perdana Menteri sehinggakan keberangkatan itu tidak diketahui lebih awal. Tentu ada maklumat yang tidak sampai, atau nasihat yang tersilap diberikan?
Mengambilkira proses pilihanraya umum itu menelan belanja yang cukup besar ( sehingga 200juta), tenaga yang begitu ramai, tidak sepatutnya begitu sekali kesilapan yang berlaku. Seolah olah tiada perancangan rapi untuk mengendalikan satu proses yang begitu besar kesannya pada negara. Di pandangan masyarakat dunia, kenyataan sebegini tentu menjejaskan keyakinan mereka kepada keupayaan pentadbiran negara.
Mungkinkah ralat itu disengajakan? Penasihat yang mungkin sekadar ingin melihat kemenangan, tetapi tidak begitu mengambil kisah soal kredibiliti kerana beliau sendiri mempunyai agenda. Beliau yang bercita cita tinggi sudah pasti tidak memperdulikan soal sebegini, soal kekeluargaan, asalkan apa yang diinginkan dapat dicapai.
Apa pun, Pak Lah tidak perlu memikirkan untuk duduk lebih dari 2 penggal di kerusinya sekarang sekiranya BN sekali lagi diberi mandat dalam PRU 12 ini, kerana penggal ke 2 sekalipun sudah merupakan bonus! Syabas rakyat Malaysia!