Signal PRU ke 12 yang ditunjukkan oleh majoriti rakyat Malaysia adalah menolak kerajaan BN yang dipimpin oleh Pak Lah. Samada atas sebab sebab berbentuk peribadi mahupun penolakan yang menyeluruh, ianya jelas diterjemahkan oleh undi yang diberikan, sebagaimana yang diminta oleh Pak Lah sendiri. Rakyat inginkan perubahan kepimpinan.
Kejutan demi kejutan dicipta sempena PRU kali ini. Bukan setakat rakyat, malahan institusi raja yang diperuntukkan oleh undang undang untuk menjaga agama dan hal ehwal orang melayu, nampaknya ada juga memberi signal yang sama. Dengan perubahan iklim politik yang ada, sudah pasti tanggungjawab untuk mengekalkan keamanan dan keharmonian perlu menjadi pertimbangan semua pihak di dalam melaksanakan perubahan.
Sensitiviti dan hak hak individu dan kaum yang termaktub di dalam perlembagaan perlulah diambil kira. Manakala proses penukaran kerajaan seharusnya mendapat kerjasama dan sokongan daripada semua pihak. Menjamin hasrat rakyat ditunaikan dan tidak dikhianati menjadi intipati kepada semangat berkerja yang bakal ditunjukkan oleh pemimpin yang dipilih oleh rakyat.
BA tidak perlu terburu buru dalam cita citanya melepaskan rakyat daripada cengkaman BN. Peluang membuktikan keikhlasan dan kemampuan untuk menunaikan janji janji yang dibuat terbentang luas dengan adanya 5 negeri yang bakal ditadbir. Keutamaan adalah untuk berkhidmat kepada rakyat yang telah lama diasak dengan janji janji serta pembangunan yang tidak dinikmati secara rata oleh semua pihak akibat pembaziran, rasuah dan kronisme.
Dengan memanfaatkan ruang dan peluang ini sebaiknya, saya yakin BA tidak perlu menunggu lama untuk membuat kejutan seterusnya, yakni memerintah Malaysia. Keberanian rakyat terserlah. Pemimpin pemimpin yang dicucuk hidung mereka bila pula?