‘SELAMAT HARI GURU KHAS UNTUK SEMUA PENDIDIK’
Guru merupakan antara profesyen yang dipandang mulia dalam masyarakat. Diumpamakan guru itu seperti lilin yang membakar dirinya sendiri menerangi kegelapan alam. Sudah semestinya pengiktirafan yang diberikan itu sejajar dengan sumbangan mereka dalam perbentukan masyarakat.
Namun di dalam menyusun kata menghargai pergorbana seorang guru, terdengar kita pelbagai cerita mengenai guru dan kerjayanya yang agak membingungkan, dari pergaduhan di perhimpunan sekolah yang pernah berlaku sebelum ini hinggalah perlakuan yang agak negatif di kalangan mereka termasuk dengan anak muridnya. Terasa tidak masuk akal. Tidak munasabah jiwa dan perwatakan guru yang bersifat mendidik itu dinodai dengan titik-titik kegelapan, walhal mereka harapan ibu bapa.
Tekanan mendapatkan perkerjaan telah menyebabkan siswasah dilabel tidak berterima kasih kerana tidak membayar balik pinjaman dari tabung pendidikan tinggi negara. Puluhan ribu yang tidak dapat berkerja walaupun telah mempunyai segulung ijazah kebanggaan ibu bapa. Pada masa sama, ia mungkin melahirkan guru guru yang bukanlah begitu berminat dalam bidang pendidikan, tapi kerana tiada pilihan, mereka menjadi guru.
Pendidikan hari ini tentu lebih mencabar dan mahal dibandingkan dengan 20-30 tahun lepas. Guru guru terpaksa mengadakan kelas tambahan dan pelbagai aktiviti lain untuk mendapat pendapatan tambahan. Majoriti pelajar pelajar sekolah hari ini mengikuti kelas tambahan. Masa pembelajaran yang ada di kelas seakan tidak mencukupi untuk digunakan sebaiknya bagi memberi kefahaman kepada pelajar-pelajar.
Zaman keemasan kanak-kanak
Teringat juga laporan berita sebelum ini mengenai ramai murid-murid sekolah yang ponteng kelas akibat kurang merasakan kepentingan dan keseronokan berada dalam kelas. Salah siapa? Anak-anak kecil yang kurang mengerti erti sebuah masa depan mungkin telah disogokkan dengan keseronokan lain atau erti kehidupan yang berbeza. Tidak kurang juga anak kecil yang terpaksa mencari duit tambahan untuk keluarga serta tidak mampu untuk pergi ke sekolah akibat faktor kewangan. Lantas mereka tercicr dari persekolahan. Di negara negara membangun, ibu bapa boleh didakwa dan disumbat ke dalam jel sekiranya membiarkan anak-anak ponteng sekolah.
Guru, ibubapa dan anak-anak
Penglibatan ibu bapa dengan sekolah melalui PIBG dan lain-lain aktiviti sekolah merupakan satu faktor utama dalam pemantauan aktiviti sekolah dan pencapaian anak masing-masing. Ia sangat ditekankan kerana input dari kedua belah pihak boleh memberi kelainan dan rasa tanggungjawab yang lebih dalam usaha memurnikan suasana dan sistem pembelajaran itu sendiri.
Faktor-faktor penting seperti pemakanan anak-anak di sekolah merupakan satu unsur yang perlu dititikberatkan kerana ia membantu penumpuan dalam kelas. Di United Kingdom, tukang masak terkenal seperti Jamie Oliver dibawa ke sekolah-sekolah untuk menggalakan murid-murid mengamalkam pemakanan yang sihat dan seimbang.
Masa untuk bertindak
Sekarang merupakan masa untuk bertindak bagi mencari pengertian sebenar dalam melahirkan masyarakat yang berwibawa, berpendidikan dan bertanggungjawab. Dengan perubahan demi perubahan yang berlaku akibat pertukaran polisi dan pendekatan yang berbeza dari seorang menteri kepada yang lain, guru dan ibu bapalah yang seharusnya memainkan peranan yang lebih proaktif dalam membantu pendidikan anak anak.
Kemelut kehidupan yang menanti anak-anak di masa hadapan, kos yang terbeban kepada ibu bapa sudah cukup untuk menyedarkan kita bahawa anak-anak kita mempunyai risiko yang tinggi untuk ketinggalan dalam arus pendidikan perdana serta dunia pekerjaan yang sudah tentunya lebih kompetitif dan mencabar.
Tanpa jati diri yang kuat, anak-anak yang sejak kelahirannya lagi terasing di tangan orang lain tidak akan mampu menjiwai sebuah perjuangan dan mengungguli sebuah kehidupan. Buat guru dan ibubapa yang dihormati, serikan hidup anak kecil itu dengan ilmu dan sopan santun, dengan agama penyuluh kehidupan. Sekiranya tidak ingin anak murid kencing sambil berlari janganlah kita pula yang kencing berdiri. Kita masih boleh berketawa pada hari ini, tetapi di depan hari, siapa tahu nasib anak anak kita.