Nampaknya hadiah pertama program ECER yang dapat disajikan oleh Kerajaan BN kepada rakyat Terengganu adalah dengan kembalinya royalti kepada kerajaan negeri Terengganu. Setelah ia dirampas dengan rakus sekali untuk mengisi perut segelintir penyangak, Pak Lah mendahului keputusan mahkamah yang masih belum berkesudahan sebelum ini, bilamana kerajaan Terengganu di bawah pentadbiran PAS sebelum ini membawanya untuk mendapatkan keadilan buat rakyat Terengganu.
Walaupun berpuluh tahun menikmati royalti, rakyat Terengganu dirundung malang; tahap kemiskinannya tidak berpadan dengan hasil buminya. Kerajaan PAS sebelum ini degan segala kekangan yang ada berusaha membantu mereka yang memerlukan tanpa mengira kaum dan fahaman politik. Inilah sebenarnya yang menjadi igauan kepada kerajaan Pusat lantas menghentikan serta merta royalti, serta pelbagai lagi tindakan yang tidak berperi kemanusiaan.
Kini dengan kembalinya royalti, diharapkan ianya dapat dinikmati dengan saksama oleh rakyat Terengganu, sekaligus membantu menangani kebuntuan akibat harga minyak yang naik mendadak. Barangkali harga minyak dapat diturunkan di Terengganu walaupun cabaran itu diberikan kepada negeri negeri di bawah Pakatan Rayat oleh Perdana Menteri Malaysia.
Mungkinkah ianya dapat menghapuskan dosa pihak kerajaan Pusat yang telah menghukum rakyat Terengganu akibat pengagihan wang Ehsan yang tidak saksama semasa pentadbiran PAS, mahupun selepas terampasnya Terengganu ke tangan BN pada tahun 2004? Sekiranya para hakim hakim yang dizalimi pun boleh mendapat saguhati, mengapa tidak rakyat Terengganu yang sememangnya dizalimi akibat bertukarnya royalti kepada wang Ehsan sebelum ini. Sesuatu yang boleh difikirkan oleh Dato Zaid Ibrahim sekiranya Imam Hadhari merasakan sudah terhapus dosanya dengan penyerahan balik wang royalti.
Diharapkan juga penyerahan ini benar benar jujur dan untuk kepentingan rakyat.