Pelbagai langkah dan pendekatan diambil untuk menangani kenaikan harga minyak. Antaranya mengurangkan 10 peratus elaun keraian untuk Menteri Menteri Kabinet. Ini disusuli dengan langkah yang sama di peringkat negeri, kecuali Pahang yang telah mengurangkan sehingga 30peratus daripada elaun ini.
Cukupkah? Pastinya tidak. Sepatutnya langkah lebih drastik diambil. Rakyat semakin terhimpit. Semakin ramai bilangan yang menjadi miskin dengan kenaikan ini. Siapakah yang perlu lebih proaktif dalam menangani masalah ini? Pastinya pihak kerajaan dan wakil wakil rakyat.
Sekadar menyalahkan antara satu sama lain tidak mendatangkan banyak faedah. Tentunya pihak kerajaan, para wakil rakyat terutamanya perlu memainkan peranan menggerakkan semua pihak khususnya golongan berada untuk sama sama mengambil tanggungjawab ini.
Kita semua tidak lupa bagaimana sejumlah duit digunakan oleh seorang Exco negeri Pahang untuk membeli nombor kereta. Entah apa kegilaan yang ada pada mereka yang meletakkan nombor kereta sebagai simbol kemewahan dan kebanggaan.
Peniaga pula seharusnya tidak mengambil kesempatan untuk keuntungan mudah. Pemimpin rakyat yang sejati, pasti berusaha untuk terus menabur budi. Pihak kerajaan perlu mengurangkan kos untuk mesyuarat, perjalanan yang tidak perlu dan pelbagai lagi langkah berjimat cermat.
Sekiranya langkah langkah sebegini diambil, pastinya kesan yang dirasai dapat dikurangkan. Sekurang kurangnya, mempersiapkan rakyat dengan agenda untuk menambahkan pendapatan sekiranya semua pendekatan ini hanya sekadar menjadi impian.