Seakan sesuatu yang tidak dapat dielakkan. Begitulah bila kebanyakan orang politik bercakap berkenaan perubahan Kerajaan Persekutuan pada 16 September ini. Dan kegusaran di kalangan pimpinan parti komponen BN terutamanya UMNO begitu terserlah.
Malahan ianya dikuatkan lagi dengan desas desus mengatakan ahli ahli parlimen BN akan dibawa ke luar negara bermula isnin depan sehingga 19 September.
Seolah olah betul apa yang diperkatakan oleh bekas pemimpin nombor wahid UMNO/ BN yang kini tidak berparti, Tun Dr Mahathir, bahawa bidaan tertinggi akan menentukan siapakah yang dapat mempertahankan dan menubuhkan kerajaan. Malangnya ia tidak dinilai sebagai satu proses rasuah oleh pihak BPR. Tun pasti bercakap berdasarkan maklumat.
Di peringkat PAS pula kemenangan Dato Seri Anwar Ibrahim tempohari dan kejayaan yang bakal diperolehi oleh Pakatan Rakyat dalam menguasai Putrajaya disambut dengan pelbagai reaksi di kalangan pimpinan. Seolah ketetapan muktamar bahawa usaha memperkuatkan Pakatan Rakyat dan peranan bukan Islam dalam PAS sekadar melepaskan batuk di tangga.
Umum mengetahu kecenderungan sesetengah pihak di dalam PAS untuk berkerjasama dengan UMNO; bahkan merasakan PAS akan mendapat kedudukan lebih baik bila bekerjasama dengan UMNO berbanding dengan bila Pakatan Rakyat menguasai Putrajaya? Siapa yang dapat menafikan tidak wujud tanggapan sebegini?
Maka wujudnya keinginan untuk meninggalkan Pakatan Rakyat sebelum penubuhan kerajaan lagi mungkin merupakan satu perancangan yang akan cuba direalisasikan. Mungkin dengan sedikit perbezaan pendapat mahupun permintaan yang tidak dapat dipersetujukan, usaha untuk keluar akan digerakkan. Bayangkan apa yang tinggal pada PAS pada masa itu?
Bila PAS bukan parti kedua yang paling banyak ahli parlimennya, dan kerusi Timbalan Perdana Menteri contohnya tidak diberi pada PAS, masihkah PAS ingin bersama Pakatan? DAP contohnya baru melantik seorang melayu sebagai Naib Pegerusinya. Tentunya dalam usaha menarik sokongan melayu, maka peranan yang lebih besar akan diberikan kepada beliau.
Dengan parti komponen Pakatan cuba memperkuatkan kedudukan dan sokongan masing masing, sudah pasti proses perundingan akan dilihat begitu kompleks dan proses tawar menawar itu memerlukan satu kekuatan pada pimpinan setiap parti komponen untuk mempertahankan apa yang dilihat hak masing masing.
Oleh itu satu usaha yang bersepadu dan terperinci perlu dilakukan oleh PAS di dalam mengekalkan sokongan yang diperolehi sebelum ini. Pelbagai pihak yang memberi undi pada PAS tempohari mempunyai alasan masing masing untuk berbuat demikian.
Maka dengan memahamkan mereka akan dasar PAS dan mengapa mereka perlu menyokong PAS, memperjelaskan komitmen PAS kepada Pakatan Rakyat dengan sokongan tidak berbelah bagi daripada seluruh pimpinan dan pendokong PAS, di samping menghormati prinsip perjuangan parti parti komponen (untuk mereka menghormati prinsip perjuangn PA)S , usaha untuk mencapai kesepakatan di dalam Pakatan Rakyat akan dilihat lebih berhasil.
Sekiranya ini tidak dapat dicapai, maka kedudukan Pakatan Rakyat dan parti komponennya yang tidak dapat bertolak ansur mungkin akan goyah. Sikap membuat andaian dan terburu buru dalam mengambil tindakan akan menyaksikan sokongan yang diberi oleh rakyat sebelumnya semakin terhakis. Semoga ianya tidak berlaku pada PAS.