Musim Tengkujuh berkunjung lagi ke pantai timur. Hujan lebat untuk beberapa hari yang kadang kalanya tiada petunjuk untuk berhenti disambut dengan pelbagai reaksi. Ada yang kehilangan punca rezeki, ada juga yang kesusahan, manakala sesetengah pula bersuka tawa sambil menanti banjir/bah.
Ini satu fenomena berbeza yang tidak dialami di tempat lain. Banjir kilat, umpamanya, akan membawa pelbagai kesusahan dan kerosakan kepada harta benda. Namun banjir/bah di pantai timur kelihatan satu pesta untuk diraikan. Walhal ada yang menganggap banjir itu sebagi musibah. Nada memerli kedengaran. Kelantan juga banyak maksiat. Banjir datang sebagai peringatan.
Biarlah apa jua yang dikata. Yang perlu disedari, kejadian alam ini ada petandanya. Di antara kemarau dan banjir, fenomena alam ini mewujudkan satu penyesuaian dan persediaan. Di atas kebijaksanaan manusia dan izinNya, dapat kita mengatasinya. Peristiwa yang dirakamkan di dalam Al Quran berkenaan kebolehan Nabi Yusuf menta’bir mimpi dan persediaan yang telah diambil sepatutnya menjadi satu panduan buat mereka yang ingin mengambil peringatan.
Jadikanlah kebijaksanaan kita sebagai alat mendapatkan redhaNya, bukan menambahkan lagi kemurkaan. Musibah itu bukan pilihan kita, namun seandainya ia menimpa, redhalah akannya. Moga redha itu membawa keampunan dan rahmat dariNya.
Hujan lebat di Pantai Timur hingga Sabtu, kawasan rendah dan tebing sungai mungkin dinaiki air
KUALA LUMPUR 20 Nov. — Hujan sederhana dan kadangkala lebat dijangka berlaku di Kelantan, Terengganu dan Pahang sehingga petang Sabtu dan ini boleh menyebabkan banjir di kawasan rendah dan tebing sungai.
Jabatan Meteorologi telah menaik taraf amaran hujan lebat daripada peringkat kuning kepada jingga bagi ketiga-tiga negeri itu.
Dalam satu kenyataan hari ini, jabatan itu berkata kawasan yang terlibat di Kelantan termasuk daerah Kota Baharu, Tumpat, Bachok, Pasir Puteh, Pasir Mas, Tanah Merah, Machang, Jeli dan Kuala Krai.
Di Terengganu, kawasan terlibat termasuk daerah Kuala Terengganu, Besut, Setiu, Dungun, Kemaman, Marang dan Hulu Terengganu dan di Pahang, ia meliputi daerah Jerantut, Kuantan, Pekan, Rompin, Maran, Bera dan Temerloh.
Dalam satu kenyataan lain, jabatan itu melaporkan satu gempa bumi berukuran sederhana berlaku di Kepulauan Nicobar, 689 km ke barat daya Langkawi pada 1.14 pagi tadi.
OK TU