Kemenangan Khairy Jamaludin sebagai Ketua Pergerakan Pemuda UMNO mungkin mengejutkan sesetengah pihak. Namun kesalahan beliau yang terlibat dengan politik wang dan hanya diberi amaran sedikit mengejutkan. Tapi sebenarnya disabitkan dengan kesalahan itulah yang lebih mengejutkan.
Sebagai menantu yang dikatakan paling mempengaruhi Perdana Menteri, tentunya untuk beliau disabitkan dengan kesalahan itu adalah sesuatu di luar jangkaan. Tapi mungkin kerana Perdana Menteri bakal berundur, ianya dlihat perkara biasa. Ataupun mungkin sebenarnya KJ tidaklah berpengaruh mana. Dan kemungkinan bahawa Lembaga Disiplin UMNO ingin menunjukkan ketelusannya juga adalah antara sebab sebab lain.
Pun begitu sebagai seorang individu, KJ sememangnya mempunyai kekuatan dan karismanya tersendiri. Beliau dilihat seorang penghujah dan orator yang jauh lebih baik daripada 2 calon Ketua Pemuda yang kecundang itu. Ini semestinya aset kepada UMNO walaupun KJ juga ada membawa ‘baggage’ atau bebanan yang lahir daripada sifat anak muda dan kedudukan menantu Perdana Menteri yang dimilikinya. Kebolehan KJ untuk menyatukan kumpulan pemuda tentunya sesuatu yang ingin diperhatikan. Bukan setakat oleh pemuda UMNO bahkan pemuda dari parti parti politik yang lain.
Bagi Pemuda PAS, ini tentunya sesuatu yang mencabar. Kepimpinan pemuda PAS perlu melihat dari sudut yang positif. Kekuatan KJ berbanding 2 calon yang lain jika dilihat dari sudut persaingan, akan ‘memaksa’ pemuda PAS untuk sekurang kurangnya setanding jika tidak lebih baik daripada kewibawaan Pemuda UMNO.
Serangan peribadi tidak akan membawa banyak keuntungan jika persiapan rapi dan program program berterusan untuk menarik golongan muda tidak digandakan. Akademi Kepimpinan Muda menggalas tanggungjawab besar untuk memastikan kepimpinan pemuda terus relevan dalam memimipin generasi muda untuk menjadi aset negara serta menjadi pelapis untuk kepimpinan PAS akan datang. Semoga Mutamar Pemuda PAS nanti akan mampu mencorakkan hala tuju dan daya saing yang melayakkan PAS untuk berada pada kedudukan yang lebih baik daripada masa ini.