Memangkin Wawasan 2020 Melalui 1Malaysia, Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan
KUALA LUMPUR, 28 Jan (Bernama) — Berikut ialah intipati pelan hala tuju Program Transformasi Kerajaan (GTP) ke arah memangkin Wawasan 2020 melalui 1Malaysia, Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan.
*Keadilan kepada semua sebagai intipati 1Malaysia, nasib semua kaum dibela dan tiada mana-mana pihak akan dipinggirkan
*Rakyat Didahulukan dengan memberi fokus kepada kemahuan dan keperluan mereka
*Memastikan Pencapaian Diutamakan melalui ketelusan dan akauntabiliti
*Panduan program kerajaan yang baru dan lama, termasuk Model Ekonomi Baru
*Tiga fasa transformasi – 2010-2012, 2012-2015 dan 2015-2020.
*Meningkatkan akses kaum Bumiputera kepada peluang perniagaan dan bantuan pendidikan berdasarkan merit dan keperluan.
Kerajaan memperkenalkan prinsip 1Malaysia, Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan sebagai cara mempertingkatkan prestasi bagi mencapai Wawasan 2020 yang pertama kali digariskan pada 1990 dalam usaha negara untuk mencapai status negara maju menjelang tahun 2020.
Antara lain, ia mahu memastikan keadilan untuk semua kaum, rakyat didahulukan dengan memberi fokus kepada kemahuan dan keperluan mereka melalui ketelusan dan akauntabiliti.
Juga, 1Malaysia, Rakyat Didahulukan, Prestasi Diutamakan menjadi panduan program kerajaan yang baru dan lama, termasuk Model Ekonomi Baru, tetapi kerajaan menekankan tumpuan kepada sektor-sektor penting tidak dapat dielakkan kerana negara perlu memberi fokus kepada dasar dalam mana-mana insentif, geran dan bantuan kepada sektor teras pilihan.
Program GTP akan dilaksanakan secara berperingkat sepanjang tiga fasa, sehingga 2020, dan komited untuk memberikan hasil kejayaan bagi setiap dimensi yang terkandung dalam prinsip 1Malaysia, Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan.
Di bawah fasa pertama dari 2010 hingga 2012, objektif kerajaan adalah menentukan enjin baru bagi melaksanakan perubahan dan membina momentum dan keyakinan dengan objektif menyampaikan hasil besar kepada rakyat dengan segera.
Antara lain, ia menekankan untuk meningkatkan perpaduan di mana GTP berharap dapat meningkatkan akses kepada peluang-peluang berdasarkan keperluan dan merit dan bukannya berdasarkan latar belakang serta menyediakan kualiti hidup yang lebih baik.
Menurut GTP, tidak sepertimana negara lain yang menggunakan konsep asimilasi penuh bagi membangunkan satu identiti kebangsaan, 1Malaysia adalah berbeza kerana ia menghormati kepelbagai kumpulan etnik dan diambil kira sebagai aset kompetitif negara.
Sambil menekankan tiada kaum akan dipinggirkan, GTP mahu meningkatkan akses kaum Bumiputera kepada peluang peniagaan dan bantuan pendidikan berdasarkan keperluan dan merit dan bukan berdasarkan hubungan peribadi.
Menurut pelan hala tuju itu, ini amat penting kerana masyarakat Bumiputera merupakan paling ramai yang miskin berbanding kumpulan etnik utama yang lain – 8.3 peratus isirumah Bumiputera diklasifikasi sebagai miskin dan meningkat kepada 13.4 peratus bagi isirumah Bumiputera di luar bandar.
Dalam fasa kedua yang meliputi 2012 hingga 2015, transformasi kerajaan akan lebih melebar dan mendalam dengan pembentukan sebuah negara berpendapatan tinggi.
Perubahan asas seperti dibayangkan oleh Wawasan 2020 akan berlaku pada fasa antara 2015 hingga 2020 di mana rakyat akan mengalami suatu perasaan baru sebagai rakyat Malaysia, dengan tahap kemakmuran yang lebih tinggi dan kualiti perkhidmatan awam yang lebih baik.
“Dijangkakan kerajaan akan menjadi lebih kecil dan lebih tangkas dan bekerja rapat dengan sektor swasta bagi menyampaikan perkhidmatan awam yang cekap – berteraskan kepada pelanggan dan persaingan”.
– BERNAMA