Feeds:
Kiriman
Komen-komen

Archive for Julai 2007

(siri 1) 

Assalamualaikum dan salam hormat

Malaysia sememangnya merupakan sebuah negara Islam yang sedang membangun dan sering mendapat perhatian dunia. Ini tidak lain kerana pembangunan ekonomi dan kestabilan politiknya sekalipun penduduknya terdiri dari pelbagai kaum, bangsa dan agama. Kestabilan geopolitik di Malaysia memberi pengharapan yang besar kepada umat Islam sedunia amnya untuk melihat kesatuan di atas ikatan aqidah yang satu ini dapat membawa negara negara umat Islam lain sekurang kurangnya ke aras yang sama.

Umum mengetahui perkembangan teknologi hari ini menjadikan dunia tanpa batas dan sempadan. Kemajuan rata ratanya diukur dengan kepesatan infrastruktur, budaya kerja  dan cara pemikiran masyarakat di negara negara maju. Sedikit sebanyak kemajuan ini boleh membawa unsur unsur negatif ke dalam masyarakat kita yang terkenal dengan nilai nilai ketimurannya. Maka unsur unsur keagamaan, moral dan etika dimasukkan demi mengawal satu kejutan budaya yang mungkin tercetus. Ini berasaskan kepada kesedaran betapa pembangunan fizikal atau material tanpa disertai dengan pembangunan rohani lambat laun akan menjerumuskan negara ke jurang kehancuran lantaran sikap negatif dan salah laku masyarakatnya.

Dalam ertikata lain, rakyat di negara ini perlu diacu mengikut acuan Islam dan nilai-nilai murni sejagat serta pembangunan yang akan ditempa nanti tidak akan terpisah dari nila-nilai yang digariskan oleh al-Quran dan Sunnah. Namun, adakah itu sebenarnya yang berlaku? Hakikatnya tidak begitu. Keruntuhan moral dan kebejatan sosial mengundang seribu satu masalah yang kosnya terlalu besar untuk ditanggung oleh rakyat secara keseluruhannya.

Kelantan, dengan keunikan penduduknya dan sejarah yang tersendiri  menyimpan sejuta macam khazanah dan warisan silam terutamanya tradisi keilmuan, budaya merantau dan pelbagai lagi. Gelaran Serambi Mekah seakan sinonim dengan betapa ramainya ulama dan cendikiawan Kelantan yang berduyun duyun menuntut ilmu di Tanah Suci Mekah dan Madinah. Semenjak kemerdekaan dicapai secara rasminya dari penjajah penjajah British, Kelantan terus membangun dengan acuan agama yang lebih sebati dibandingkan dengan persekitaran negeri negeri lain di Semenanjung Malaysia.

Hakikatnya tindak tanduk kerajaan yang memegang tompok pemerintahan di negeri Kelantan dari seawal tarikh kemerdekaan tidak dapat tidak terpaksa mengikut acuan yang sedia ada dan memahami budaya hidup dan adat resam penduduk yang agak unik itu. Secara umumnya pendekatan ini bukan sekadar terhenti di Kelantan malahan sensitiviti umat Islam secara keseluruhannya di Malaysia semakin diwarnai dengan penghayatan Islam. Tidak dinafikan pegangan agama dan adat resam saling berkait, malahan ada kalanya bercampur aduk. Namun pembangunan fizikal dan sosial membawa bersamanya palitan lumpur yang banyak menodai agama dan adat resam setempat.

Kelantan sekali lagi menjadi rujukan dan perhatian kepada kebertahanan agama khususnya dan adat resam secara amnya. Dengan dunia mutaakhir ini melihat pelbagai permasalahan dan malang yang menimpa umat Islam, Kelantan menjadi fokus kepada sesetengah negara Umat Islam untuk melihat pentadbiran berasaskan hukum hakam Islam memakmurkan kembali bumi ALLAH ini. Sememangnya formula ciptaan manusia tidak mampu menempis kejahatan dan kebatilan yang disusun dan disogokkan sebegitu rupa.

Untuk itu dari hari ke sehari cabaran yang dihadapi oleh kepimpinan yang ada di Kelantan menjadi semakin mencabar. Begitu juga mereka yang cuba mengambil peranan ini, di mana sahaja mereka berada. Sesungguhnya dunia hari ini menyediakan pentas yang amat luas untuk semua yang perihatin kepada usaha usaha mempertahankan kesucian Islam dari terus menjadi tohmahan dan kepalsuan yang kadang kalanya lahir dari kejahilan umatnya sendiri.

Ruang ini diharapkan menjadi sebahagian daripada ruang yang ada untuk membantu Kelantan untuk mencipta nama di arena antarabangsa.

 

Read Full Post »

Tidak lama lagi rakyat negara kita akan menyambut tahun ke-50 kemerdekaan negara dari belengggu penjajah. Sesungguhnya penjajahan merupakan satu cengkaman yang bukan setakat merubah pemikiran dan adat resam rakyat tempatan, bahkan segalanya. Dari bahasa hinggalah kefahaman tentang kehidupan yang banyak disandarkan dengan sistem nilai atau ‘value’ tertentu. Maka bagi mereka yang mengkaji sejarah dan memahami perubahan yang dibawa masuk secara terang terangan mahupun yang menyelinap masuk secara ‘ghaib’, sudah tentulah akan cuba melakukan sesuatu untuk menyedarkan masyarakat yang sudah sedikit demi sedikit terpesong.

Hambatan dunia dan sistem kapitalisme mewujudkan jurang yang teramat besar di antara orang kaya dan miskin. Bila penghambaan baru seakan menjadikan material sebagai Lata dan Uzza dunia sekarang, maka manusia mencari formula membasmi kemiskinan dan pelbagai strategi dan model. Padahal Islam datang dengan pakej yang lengkap untuk menjaga struktur kehidupan manusia. Setiap kita ada hak dan tuntutan di atas sesama kita yang perlu dilunaskan.

Bila manusia dibelenggu dengan teori teori ciptaan manusia, dunia menjadi sempit, dada berombak dan nafas terhenti sekerat jalan. Inflasi boleh dibuat buat, saham dinaik dan diturunkan untuk keuntungan dan pelbagai lagi kaedah yang mana tukang manipulasi menjadi pendekar di gelanggang silat yang dicipta sendiri. Bila ketidakseimbangan social / ‘social disequilibrium’ wujud, manusia kapitalis yang dipandang tinggi menyamatarafkan kedudukan mereka dengan Tuhan. Bukan lagi hamba Tuhan /’the servant of God’

Indonesia membawa sejarah kemeluatan masyarakat yang diperhambakan oleh material, lantas meruntuhkan sebuah kerajaan dengan kuasa rakyat yang dibangkitkan. Bila manusia yang tidak mampu, berlagak mampu dari sudut materialnya, mereka menghambakan diri kepada duit dan gaji, pada overtime, MLM serta pelbagai lagi. Sebenarnya manusia hanya dengki pada kepesatan material, tidak pada kepesatan akhlak dan amal baik sesama mereka. Walhal dalam banyak perkara mereka mengorbankan apa yang tidak patut dikorbankan demi menjaga kedudukan dan prestij. Sehinggakan ‘cross subsidisation’ membebankan pengguna secara keseluruhannya.

Untuk itu manusia perlu bertanya kembali. Sesudah mereka dijajah di atas bumi tempat tumpah darah, adakah mereka sanggup membiarkan diri dan jiwa terjajah oleh akal yang sempit dan difokuskan pada kenikmatan dunia yang sementara? Manusia yang hanya sekadar dapat dibeli dengan duit gaji untuk sebuah keselesaan / ‘feel good’ hanya menjadikan angka sebagai simbol kejayaan di dunia. Sedangkan segala yang tidak dapat dinisbahkan dengan angka tidak semudah itu kita berupaya berlepas diri dari diaudit tahap penghayatannya oleh Pencipta yang semestinya ada formula untuk mengaudit semua manusia.

Read Full Post »

Parti Labour Baru?

Dewan Pemuda PAS Pusat ingin merakamkan ucapan tahniah kepada Perdana Menteri baru Britain di atas perlantikannya.

Pada masa yang sama Dewan Pemuda PAS mengharapkan Perdana Menteri baru Britain ini dapat mengakui kesilapan strategi dan langkah yang terlalu mengikut telunjuk dasar luar Amerika Syarikat yang diamalkan oleh Perdana Menteri sebelumnya, Tony Blair. Ianya dengan jelas menurunkan populariti Parti Labour sebagaimana yang digambarkan oleh banyak pungutan suara serta keputusan pemilihan peringkat majlis daerah ( Local Election) yang berlangsung semenjak tahun lalu.

Peperangan di atas  nama Terrorisme yang dicanang oleh Kerajaan Amerika Syarikat telah nyata meragut banyak nyawa yang tidak berdosa. Kehancuran Iraq dan Afghanistan yang disaksikan oleh seluruh dunia memerlukan kos dan tenaga yang bukan sedikit untuk membangunkan semula masyarakat dan Negara. Kerosakan prasarana, hospital-hospital, rumah-rumah peribadatan dan pejabat-pejabat kerajaan serta tempat tempat bersejarah tidak dapat digambarkan kedasyatannya. Ini tidak termasuk ketidakstabilan politik serantau akibat daripada tindakan ini serta polisi- polisi yang diamalkan.

Dewan Pemuda yakin Perdana Menteri baru ini akan mengambil pendekatan berbeza, malah mengharapkan usaha yang lebih gigih untuk mendekati masyarakat Islam serta lebih memahami hak hak mereka. Ini termasuk menangani permasalahan yang berlaku di Palestin yang secara jelas mencabuli hak dan kebebasan umat Islam. Perlu diingat sejarah telah memahatkan pelbagai sumbangan dan hasil kerja tangan umat Islam di dalam membina tamadun dan pembangunan masyarakat yang wujud pada hari ini.

Kerajaan Britain sepatutnya  menjaga kedudukan dan nama baik mereka yang menjadi contoh dan panduan kepada banyak Negara membangun di atas sumbangan dan peranan yang mereka mainkan. Mengikut telunjuk dan pendekatan yang diambil oleh bekas Perdana Menteri, Tony Blair sebelum ini ke atas polisi Amerika Syarikat bukan setakat mengundang kemarahan umat Islam, malah boleh menjejaskan kredibiliti beliau sendiri dan seterusnya kedudukan Parti Labour di dalam politik Britian.

Akhirnya Dewan Pemuda berharap usaha dan pendekatan yang diambil dalam menangani Islamophobia di Britain dapat membantu rakyat Malaysia di sana khususnya para pelajar untuk mewujudkan suasana yang lebih kondusif dan terjamin untuk pembelajaran mereka.

 

Dr Rosli Allani Abdul Kadir

Pengerusi Lajnah Antarabangsa

Dewan Pemuda PAS Pusat

Read Full Post »

Assalamualaikum dan salam sejahtera,

Di dalam ruang dan kesempatan di alam bloggers ini, kita boleh menghargai sebuah kebebasan untuk menguji aliran dan mainan minda untuk dikongsi bersama dengan bloggers dan pembaca yang lain. Namun di sana tetap ada batasan dan had yang menjadi sempadan idea dan pemikiran manusia kerana manusia adalah bahan ciptaan. Maka ruang keilmuan manusia yang pelbagai pelbagai itu juga ada hadnya.

Bersyukur kerana kelahiran blog ini memberi satu lagi ruang kepada muda mudi dan intelek dari seluruh dunia untuk perihatin dan seterusnya sama sama berfikir dan bertindak untuk menjadi seorang pemikir dan berjiwa Negarawan walau sekecil mana dirasakan sumbangan mereka.

Diharapkan ruang dan peluang ini dapat dimanfaatkan oleh semua dengan suasana perbincangan yang berhemah dan bijak untuk manfaat semua samada dalam bahasa ibunda mahupun bahasa Inggeris.

Admin~

Read Full Post »