(siri 1)
Assalamualaikum dan salam hormat
Malaysia sememangnya merupakan sebuah negara Islam yang sedang membangun dan sering mendapat perhatian dunia. Ini tidak lain kerana pembangunan ekonomi dan kestabilan politiknya sekalipun penduduknya terdiri dari pelbagai kaum, bangsa dan agama. Kestabilan geopolitik di Malaysia memberi pengharapan yang besar kepada umat Islam sedunia amnya untuk melihat kesatuan di atas ikatan aqidah yang satu ini dapat membawa negara negara umat Islam lain sekurang kurangnya ke aras yang sama.
Umum mengetahui perkembangan teknologi hari ini menjadikan dunia tanpa batas dan sempadan. Kemajuan rata ratanya diukur dengan kepesatan infrastruktur, budaya kerja dan cara pemikiran masyarakat di negara negara maju. Sedikit sebanyak kemajuan ini boleh membawa unsur unsur negatif ke dalam masyarakat kita yang terkenal dengan nilai nilai ketimurannya. Maka unsur unsur keagamaan, moral dan etika dimasukkan demi mengawal satu kejutan budaya yang mungkin tercetus. Ini berasaskan kepada kesedaran betapa pembangunan fizikal atau material tanpa disertai dengan pembangunan rohani lambat laun akan menjerumuskan negara ke jurang kehancuran lantaran sikap negatif dan salah laku masyarakatnya.
Dalam ertikata lain, rakyat di negara ini perlu diacu mengikut acuan Islam dan nilai-nilai murni sejagat serta pembangunan yang akan ditempa nanti tidak akan terpisah dari nila-nilai yang digariskan oleh al-Quran dan Sunnah. Namun, adakah itu sebenarnya yang berlaku? Hakikatnya tidak begitu. Keruntuhan moral dan kebejatan sosial mengundang seribu satu masalah yang kosnya terlalu besar untuk ditanggung oleh rakyat secara keseluruhannya.
Kelantan, dengan keunikan penduduknya dan sejarah yang tersendiri menyimpan sejuta macam khazanah dan warisan silam terutamanya tradisi keilmuan, budaya merantau dan pelbagai lagi. Gelaran Serambi Mekah seakan sinonim dengan betapa ramainya ulama dan cendikiawan Kelantan yang berduyun duyun menuntut ilmu di Tanah Suci Mekah dan Madinah. Semenjak kemerdekaan dicapai secara rasminya dari penjajah penjajah British, Kelantan terus membangun dengan acuan agama yang lebih sebati dibandingkan dengan persekitaran negeri negeri lain di Semenanjung Malaysia.
Hakikatnya tindak tanduk kerajaan yang memegang tompok pemerintahan di negeri Kelantan dari seawal tarikh kemerdekaan tidak dapat tidak terpaksa mengikut acuan yang sedia ada dan memahami budaya hidup dan adat resam penduduk yang agak unik itu. Secara umumnya pendekatan ini bukan sekadar terhenti di Kelantan malahan sensitiviti umat Islam secara keseluruhannya di Malaysia semakin diwarnai dengan penghayatan Islam. Tidak dinafikan pegangan agama dan adat resam saling berkait, malahan ada kalanya bercampur aduk. Namun pembangunan fizikal dan sosial membawa bersamanya palitan lumpur yang banyak menodai agama dan adat resam setempat.
Kelantan sekali lagi menjadi rujukan dan perhatian kepada kebertahanan agama khususnya dan adat resam secara amnya. Dengan dunia mutaakhir ini melihat pelbagai permasalahan dan malang yang menimpa umat Islam, Kelantan menjadi fokus kepada sesetengah negara Umat Islam untuk melihat pentadbiran berasaskan hukum hakam Islam memakmurkan kembali bumi ALLAH ini. Sememangnya formula ciptaan manusia tidak mampu menempis kejahatan dan kebatilan yang disusun dan disogokkan sebegitu rupa.
Untuk itu dari hari ke sehari cabaran yang dihadapi oleh kepimpinan yang ada di Kelantan menjadi semakin mencabar. Begitu juga mereka yang cuba mengambil peranan ini, di mana sahaja mereka berada. Sesungguhnya dunia hari ini menyediakan pentas yang amat luas untuk semua yang perihatin kepada usaha usaha mempertahankan kesucian Islam dari terus menjadi tohmahan dan kepalsuan yang kadang kalanya lahir dari kejahilan umatnya sendiri.
Ruang ini diharapkan menjadi sebahagian daripada ruang yang ada untuk membantu Kelantan untuk mencipta nama di arena antarabangsa.
Sebagai anak Kelantan,saya menyokong penuh apa yang diimpikan penulis terhadap perkembangan negeri Cik Siti Wan Kembang,Serambi Mekah…Biarlah dunia kenali Kelantan melalui kepimpinan secara Islamic-nya walau bukan dengan pembangunan material.
Saya bangga dengan kecekapan dan ketelusan pimpinan PAS kelantan. Projek Ladang rakyat adalah satu contoh yang berjaya. Tapi saya pohon pihak berwajib teliti senarai peserta ladang rakyat. Jangan ada kroni keluarga, politik, dan pilih kasih yang berlebihan. Berikanlah kepada yang lebih berhak. Pihak berwajib buatlah keputusan yang baik. Kita tak mahu projek yang berjaya sebegini gagal kerana perkara-perkara negatif dalam pemilihan peserta.