Feeds:
Kiriman
Komen-komen

Archive for September 2007

Potensi yang terbiar?

Baru baru ini berpeluang untuk bekongsi kedukaan dan kesusahan mangsa gempa di Bengkulu dan Padang. Satu komitmen yang dikira amat kecil berbanding dengan dugaan yang tertimpa. Namun sokongan moral sekurang kurangnya mampu mengubat sedikit luka dengan musibah yang didatangkan kepad mereka sehari sebelum ketibaan tetamu agung, Ramadhan al Mubaraq.

Tanpa dirancang oleh sesiapa kecualiNya, satu peluang untuk umat Islam melakukan amal kebajikan terbuka luas dan tanpa dirancang juga penulis menjejakkan kaki untuk kali kedua ke Indonesia. Beberapa bulan sebelum itu hanya mendengar komentar beberapa orang kenalan yang berkunjung ke Bukit Tinggi, Padang atas beberapa urusan.

Kehadiran ke bumi Indonesia ini menyaksikan satu sapaan minda yang berbeza khususnya di bulan yang penuh berkat ini. Dengan geografinya yang berbukit bukau serta bergunung ganang teringat pada satu kisah yang diriwayatkan, sekitrar dialog antara Pencipta alam ini dan malaikat tatkala bumi mula diciptakan. Bumi bergoncang goncang seakan tidak stabil, lalu Allah SWT menjadikan gunung ganang, maka berhentilah goncangan itu. Takjub dengan fenomena itu, malaikat lantas bertanya, adakah lagi ciptaan Allah SWT yang lebih hebat daripada itu, maka dijawab ada,iaitu besi. Besi yang menjadi jentera dan perbagai alatan berjaya menembusi gunung ganang. Manusia mencipta terowong dan pelbagai lagi.

Justeru ditanya lagi adakah yang lebih kuat daripada besi makan dijawab Allah SWT ada, iaitu api. Api merupakan makhluk Allah yang boleh membakar dan mencairkan besi. Namun sifat api itu juga merupakan satu sifat yang diciptakan lantas api menjadi sejuk dengan perintah Allah SWT tatkala hambaNya yang mulia, Nabi Ibrahim dicampakkan ke dalam api oleh Namrud.

Ditanya kembali oleh malaikat samada ada lagi kekuatan yang lebih hebat daripada api, lalu dijawab ada iaitu air. Air berjaya memadamkan api. Air juga boleh menjanakan elektrik melalui stesen janakuasa hidro. Air yang menjadi stim mampu menggerakkan keretapi dan pelbagai lagi kemampuan dan kegunaan. Malaikat lantas bertanya lagi, adakah yang lebih kuat daripada air, maka dijawab ada, iaitu angin. Ditanya lagi ciptaan lain yang lebih kuat daripada itu. Dijawab oleh Alllah SWT ada, iaitu seorang hamba yang bersedekah, yang tangan kanannya tidak mengetahui pemberian tangan kirinya itu. Itulah kekuatan dan kehebatan yang jauh lebih hebat daripada segalanya.

Manusia diciptakan oleh Allah dengan suatu kekuatan dan kehebatan yang sangat menakjubkan mengalahkan segala kekuatan dan kehebatan yang ada. Sebab itu manusia mampu untuk menerima amanah Al Quran yang begitu berat sekali, yang jika diturunkan kepada bukit bukau dan gunung ganang pasti hancur lebur kerana tidak mampu menanggung amanah itu. Manusia yang hebat mampu mengekang keinginan kepada publisiti, keuntungan dunia yang sedikit di atas keyakinan bahawa sedekah dan amal jariah yang dilaksanakan merupakan harta sebenar mereka apabila berdepan dengan Allah SWT kelak.

Berbalik kepada kedukaan yang menyelubungi masyarakat di Padang dan Bengkulu, kesempitan hidup yang sudah serasi degan mereka menjadikan dugaan itu lebih menghimpit dan menekan. Namun, amat menakjubkan sekali kerana rata rata yang ditemui menerima dengan baik dan penuh keinsafan, kesusahan yang menimpa. Semoga Allah SWT memberikan mereka yang terbaik di atas kesabaran dan kecekalan yang ditunjukkan.

 (bersambung)

Read Full Post »

Semasa umat Islam yang lain sibuk beribadah di bulan Ramadhan yang mulia, kelihatan seakan satu trend umum yang kian merebak untuk berbelanja dan makan di luar sebagaimana warga kota bagi berbuka puasa. Manakala sesetengah yang lain kusyuk dalam peribadatan mengejar rahmat dan pengampunan daripada ALLAH SWT sebagaimana yang dijanjikan.

Namun tahun ini beberapa peristiwa yang berlaku di sekeliling kita, walaupun tidak mengenai kita secara langsung, tapi dikira peluang besar untuk melakukan amal kebaikan. Di Bengkulu, Indonesia. berpuluh ribu umat Islam menyambut Ramadhan bukan lagi di rumah mereka seperti kebiasaannya. Tapi di khemah khemah sementara akibat kemusnahan harta benda yang dianggarkan menelan 3.2 trillion rupiah.

Sebagaimana yang dilaporkan, gempabumi berskala 7.9 ritcher itu mengakibatkan 7,094 rumah musnah sama sekali, 6,745 mengalami kerosakan teruk dan 13,173 mengalami kerosakan kecil. Selain itu 139 rumah keagamaan dan 260 sekolah musnah, 34 rumah dan 440 sekolah rosak teruk manakala 104 rumah agama dan 185 sekolah rosak sedikit. Turut musnah ialah 48 bangunan kerajaan musnah, 131 rosak teruk dan 70 rosak sedikit.

Di negara kita, negeri Kedah yang baru berpesta memenangi Piala Malaysia pada tahun ini, didatangkan banjir. Daerah Pendang dan Yan dilaporkan mendapat kesan yang paling buruk daripada banjir ini. Dan kelihatan suasananya semakin buruk. Sungai Petani pula diletakkan dalam keadaan berjaga jaga. Mungkin kita masih belum lupa banjir yang tiba tiba melanda Johor tidak lama dahulu. Seakan satu lagi bencana alam yang cuba mengingatkan manusia akan kuasa Pencipta alam. Supaya manusia tidak lalai dengan keduniaan dan apa jua yang menghayalkan mereka.

Samada kita mengambil pengiktibaran ataupun tidak, Ramadhan ini membuka peluang yang amat luas untuk kita bertanya khabar, mengambil berat dan seterusnya cuba meringankan kesusahan yang dialami oleh saudara seIslam kita. Apakah ia satu lagi ruang untuk menukar suasana dan rentak politik yang semakin meloyakan banyak pihak? Atau rakyat terpesona lagi dengan satu janji yang melena dan melekakan? Yang membawa bersamanya satu lagi mandat untuk rakyat terus tertipu dan tertindas. Bersama kita fikirkan.

Read Full Post »

Selamat menyambut bulan Ramadhan Al Mubaraq! Atau Selamat berpuasa! Begitulah selalunya ucapan yang didengari kita sebelum kedatangan Ramadhan yang mulia.. Selalunya sehari sebelum kedatangannya. Dibandingkan dengan persediaan menyambut Hari Raya, kemeriahan menyambut Ramadhan boleh dikatakan lebih “diversify’ atau pelbagai suasananya di kalangan umat Islam di mana mana saja.

Kedatangan Ramadhan adalah anugerah yang tidak terhingga kepada umat. Puasa dan segala aktiviti yang disarankan adalah sebagai perencah untuk mendekatkan manusia kepada al Quran yang sepatutnya menjadi panduan hidup manusia. Namun ianya kadang kadang lebih popular di cermin kereta, di dinding dinding dan bungkusan yang menjadi pendinding kepada gangguan makhluk halus dibandingkan berada di dada manusia. Di atas kejahilan umat yang amat inilah serta ketidakcaknaan kepada al Quran yang kadang kalanya membawa kepada keangkuhan sesetengah pihak menolak al Quran.

Jika orang Islam sendiri menolak al Quran, tidak pelik jika golongan bukan Islam lebih lebih lagi menolaknya. Pada bulan lepas seorang ahli parlimen Denmark dari parti Kebebasan / Freedom Party, Geert Wilders menyarankan supaya al Quran diharamkan di Denmark dengan melabelkannya sebagai  teks ‘fascist’ yang menggalakan penumpahan darah dan sebagainya. Beliau membandingkan Al Quran dengan penulisan Adolf Hitler, Mein Kampf dan mengatakan ianya tiada tempat di dalam perlembagaan Denmark. Beliau menolak wujudnya umat Islam yang moderat/ pertengahan, serta membayangkan seolah kesemua orang Islam adalah penjenayah dan wujudnya negara Islam adalah dengan cara paksaan. Beliau meminta supaya tiada lagi penghijrahan orang Islam dibenarkan ke Denmark.

Malangnya penyataan beliau sebegini tidak mendapat tentangan yang hebat daripada umat Islam sebagaimana tentangan kepada karikatur yang menghina Nabi Muhammad SAW tidak lama dahulu. Di bulan yang umat Islam dianugerahkan al Quran sebagai panduan dan mukjizat teragung yang diturunkan oleh ALLAH SWT, perlulah kita semua lebih membuka mata dan pemikiran kita untuk menentang sebarang penolakan dan penghinaan  kepada sistem hidup yang begitu indah sepertimana yang ditunjukkan oleh Nabi Muhammad SAW melalui panduan al Quran.

Semoga ALLAH SWT menambah kefahaman dan kecintaan kita kepada al Quran dan keilmuannya.

Read Full Post »

Sempena  6 tahun masyarakat dunia mengingati kemusnahan World Trade Center dan peristiwa di sekelilingnya, Lajnah Antarabangsa DPPP mengajak semua khususnya umat Islam di Malaysia untuk terus berusaha menambahkan kefahaman dan penghayatan agama sebagai salah satu mekanisma untuk mencuit hati manusia kepada keindahan Islam, satu satunya agama dan anutan yang diterima disisi ALLAH SWT, Pencipta segala makhluk.

 

Islam yang berkembang sejak dari dahulu lagi adalah di atas kemurniaan akhlak dan perilaku pengikutnya sebagaimana yang dianjurkan dan dapat diteladani dari sirah Nabi Muhammad SAW dan para sahabat baginda. Sesungguhnya Islam tidak tertegak dengan mata pedang dan kekerasan sebagaimana dicanangkan oleh ramai orientalis dan pihak yang tidak senang dengan kebangkitan Islam.

 

Lajnah Antarabangsa DPPP mengajak semua untuk peka dengan berita dan tohmahan yang diterima melalui media media antarabangsa khususnya dan dalam negeri amnya kerana peluang untuk memutarbelitkan sesuatu isu amat mudah dilakukan untuk keuntungan sesetengah pihak mahupun untuk mensensasikan sesuatu berita.

 

Pertembungan dan konflik yang sengaja ditimbulkan telah mengorbankan ramai yang tidak berdosa, meruntuhkan sebuah tamadun dan peradaban manusia serta menjadikan kesengsaraan yang terpaksa ditanggung seolah masalah sesebuah negara dan masyarakat, bukan lagi tanggungjawab bersama.

 

Setidak tidaknya atas nama kemanusiaan negara umat Islam perlu mengingati dan membantu kesusahan yang ditanggung oleh mereka yang kurang bernasib baik, bukan setakat bangga dan menyambut kemerdekaan negara masing masing dengan pembaziran dan aktiviti aktiviti yang kurang bermanfaat.(dikhabarkan sambutan 50 tahun kemerdekaan negara menelan belanja lebih RM100juta!)

 

Lajnah Antarabangsa DPPP mengucapkan Selamat Menyambut Ramadhan Al Mubaraq kepada semua masyarakat Islam dan mengajak semua memperbanyakkan ibadah khususnya derma, memberi makan orang miskin dan sedeqah jariah kepada masyarakat dunia yang kurang bernasib baik.

 

Salam Ramadhan

 

 

Dr Rosli Allani Abdul Kadir

Pengerusi Lajnah Antarabangsa

Dewan Pemuda PAS Pusat

Read Full Post »