Salam Aidilfitri kepada semua.
Keselamatan merupakan satu suasana yang diingini oleh semua makhluk ciptaan Allah. Bukan setakat manusia yang akan bertindak bila merasakan kurang selamat, bahkan pelbagai binatang dan tumbuhan memberikan reaksi yang serupa bila terancam. Mungkin pokok semalu dianggap agak pelik untuk dijadikan sedemikian tetapi tiada apa yang pelik bila manusia dapat merasai keagungan dan kuasa Pencipta mereka.
Proses adaptasi dan respon yang diberikan banyak bergantung kepada sejauh mana seseorang itu dapat menguasai suasana. Manakala ilmu dan persediaan memberikan keupayaan untuk seseorang itu menghadapinya. Namun dalam banyak perkara manusia terlalu bergantung kepada sistem, terutamanya di zaman yang mana pengkhususan dan perkhidmatan memberikan satu harapan dan suasana berbeza kepada cara manusia berfikir.
Faktor keselamatan dalam sesebuah negara biasanya diserahkan kepada polis. Ini termasuklah keselamatan dari aspek jenayah dan kesalahan yang berkaitan dengan keselamatan awam seperti undang undang jalanraya atau kesalahan lalu lintas. Maka amat besar ertinya dan tanggungjawab ini dalam memastikan keharmonian dan ketenteraman awam, yang dengannya membawa kestabilan bukan setakat untuk kemakmuran ekonomi, bahkan emosi dan rasionalnya pemikiran seseorang. Ini semua menyumbang kepada produktiviti, kreativiti dan daya saing ahli masyarakat.
Namun acapkali kebelakangan ini keselamatan dan kepercayaan kepada pasukan keselamatan khususnya polis menjadi bahan bualan dan kritikan. Terkini kenyataan Peguam Negara sendiri yang mengharapkan penjelasan kepada beberapa insiden yang dikira mencabar integriti polis. Walaupun dijawab oleh Ketua Polis Negara, umumnya kita tetap merasakan ada kerisauan dan kegusaran di sana.
Tidak mustahil bila manusia yang dalam keadaaan sedemikian, dan tercari cari formula yang boleh memberi satu sinar kepada kegelapan hidup itu, akhirnya mengharap kepada suatu ‘kuasa’ yang agak asing kepada mereka. Lalu timbul kembali kesedaran akan perlunya kepada Hukum Allah yang telah dipinggirkan. Hukum Hudud yang seakan hanya kedengaran kepada umum seawal tahun 90an bila Kerajaan PAS berjaya ditubuhkan kembali di Kelantan kembali diperkatakan.
Kita perlulah bertanya adakah undang undang dan polis sahaja yang diharapkan berjaya membawa keselamatan dan keamanan pada sesebuah negara? Pendidikan moral amnya dan agama secara khususnya membawa satu keadaan yang cukup kondusif untuk manusia berkelakuan baik dan berasa tidak selamat dan gerun untuk berbuat jahat dan mengambil hak hak manusia lain, lantaran ianya bukan budaya dan tidak diterima sebagai cara hidup masyarakat.
Malah kerisauan dalam menjaga hak manusia dan melunaskan tanggungjawab itu juga menyebabkan pihak yang mengawal keselamatan patut mengekang emosi dan sikap prejudis mereka tatkala mengambil tindakan undang undang kepada sesuatu kesalahan. Seorang hakim juga tidak boleh menjatuhkan hukuman tatkala dikuasai oleh emosi dan prejudisnya pada hal hal tertentu.
Maka sebab itulah semua pihak berhajat kepada agama untuk mendidik masyarakat mematuhi undang undang. Dan biarlah hukuman itu bukan sekadar menginsafkan pesalahnya bahkan diterima oleh Pencipta manusia sebagai hukuman yang dapat membayar kesalahan mereka sekaligus mengelak dari dihukum sekali lagi di Hari Penghakiman mutlak yang tiada kezaliman walau sebesar zarrah pun akan tertimpa kepada sekalian manusia. Semoga kita semua beroleh keselamatan dan berusaha ke arah keamanan yang diimpikan.
moga keamanan menjadi milik kita!