Feeds:
Kiriman
Komen-komen

Archive for 1 November 2007

Belum pun seminggu pelancaran ECER, UMNO Kelantan terutama Pengerusi Perhubungannya, Dato Seri Annuar Musa sudah seakan orang mabuk bercinta, mengimpikan Puteri jelita yang tinggi pekerti dan penuh sopan tingkah lakunya.

Terbaru, beliau yang sejak dari dahulu mensasarkan kemenangan lebih dua pertiga daripada kerusi DUN Kelantan, sekali lagi membuat kenyataan yang sedikit pun tidak disokong dengan fakta. Walhal beliau sendiri mengakui bahawa rakyat Kelantan sangat tinggi daya intelektualnya. Tentu terdapat sedikit percanggahan sekiranya diperincikan kenyataan tersebut.

Selain mewar warkan untuk membawa majoriti muka muka baru dari kalangan profesional sebagai calon BN, beliau ternyata terlalu kagum dengan kebolehannya membawa Pak Lah ke Kelantan dengan bilangan yang dikira amat tinggi dalam jangkamasa yang singkat. Seolah tiada kekuatan sendiri yang dapat dibanggakannya. Umum dapat menelah bahawa kesanggupan Pak Lah datang ke Kelantan banyak bersandar kepada strategi Kerajaan Barisan Nasional yang pada kali ini melimpahkan segala macam projek dan program dalam usaha menawan Kelantan. Berbanding dengan RMK9, hampir semua Rancangan Lima tahun Malaysia yang lepas ternyata mengambil sikap menghukum rakyat Kelantan kerana memberi undi kepada parti selain daripada Barisan Nasional.

Seumpama orang yang mabuk cinta dan gila talak, pelbagai janji dan barangan yang diberi untuk menambat hati empunya diri. Kerapnya Pak Lah datang sebagaimana seorang suami yang bercita cita untuk melebihkan isteri muda, walaupun belum lagi memilikinya. Atau mungkin juga udara nyaman di Kelantan lebih selesa dihirup oleh Pak Lah dan isteri barunya berbanding dengan kerencaman hidup di ibukota serta hiruk pikuk konsert dan muzik yang telah dua kali berjaya dianjurkan di kediaman rasminya. Entah penangan siapa yang membawa budaya sedemikian yang bukan saja tidak pernah dibuat oleh semua Perdana Menteri Malaysia sebelum beliau, malahan sedikit pun tidak masuk akal dengan imej Ketua Kerajaan Islam Hadhari yang dibawanya.

Pun begitu belum tentu komitmen yang ditunjukkannya sekarang mampu dipertahankan andainya si dia sudah dalam genggaman. Itu lumrah. Janji yang ditabur semasa bercinta belum pasti lagi ditunaikan. Seharusnya penilaian yang lebih meluas diambil daripada menelan bulat bulat sebuah perkhabaran yang seakan mimpi yang serba indah.

Kenyataan beliau semasa pelancaran ECER di Batu Burok Terengganu bahawa 6 billion akan diluluskan dalam kadar yang segera untuk membuktikan komitemen Kerajaan Barisan Nasional harus dipandang serius oleh semua pihak kerana ianya mungkin merupakan peruntukan khas untuk mengadakan pilihanraya umum dalam masa terdekat ini. Semoga semua pihak dapat berkerja untuk memastikan rakyat benar benar faham dan jelas dengan komitmen yang dijanjikan.

Advertisements

Read Full Post »