Feeds:
Kiriman
Komen-komen

Archive for Januari 2008

Di dalam kesibukan semua pihak terutamanya pihak pembangkang bersiap siaga dalam menanti tarikh pembubaran parlimen, tarikh keramat yang menjadi milik Pak Lah dan seorang dua di sekelilingnya, perlulah ada juga persiapan dari sudut jentera, terutamanya untuk memastikan bahawa proses mendaftarkan pengundi baru terus dibuat.

Walaupun dikatakan PRU ke 12 terlalu hampir, namun hakikatnya politik dan pilihanraya ini telah menyaksikan pelbagai helah dan tipu muslihat. Maka dengan satu kelebihan undi sahaja boleh memenangkan satu pihak. Pihak UMNO dengan segala tipu muslihatnya, lebih lebih lagilah tidak malu untuk memerintah sesebuah negeri hatta dengan kelebihan satu kerusi, satu undi.

PAS dan BA tidak perlu malu untuk memerintah Malaysia dengan kelebihan satu kerusi parlimen, satu undi, kerana sokongan sebenar kepada mereka adalah jauh lebih tinggi daripada itu. Semua mengakui, pengaruh BN semakin merosot, sehinggakan Tun Dr Mahathir yang saki baki kasih dan cintanya pada UMNO hanya sedikit melebihi benci dan sakit hatinya kepada Pak Lah dan kepimpinannya, menantunya, terpaksa membuat kenyataan mengatakan UMNO /BN masih akan mendapat sokongan padu dalam PRU ke 12.

Tun terpaksa menyelamatkan Pak Lah, kerana Tun sendiri berdepan dengan pelbagai risiko selepas diheret ke mahkamah dalam kes pita Lingam. Walaupun Tun bukanlah selembik itu, namun, kuasa yang ada pada Tun tidak sehebat dahulu.

Kehebatan menantu dengan segala percatuannya bukanlah sesuatu yang mudah untuk Tun berhadapan. Tun bukan berhadapan dengan menantu seorang, tetapi machinery dari seluruh dunia yang berkampung untuk menegakkan kerajaan Islam Hadhari! Beliau seorang lulusan Universiti Oxford, yang ternyata ramai kenalan, ramai rujukan.

Namun, beliau juga ada musuh. Beliau bukan musuh Tun seorang, beliau, dimusuhi oleh semua makhluk yang mengabdikan diri padaNYA. Beliau dimusuhi beruk beruk di hutan. Beliau dimusuhi pejuang keadilan.

Maka bangkitlah para pejuang. Jadikanlah kehebatan dan kekentalan jiwa dalam memperjuangkan kebenaran dan keadilan ini sebagai benteng dan perisai, nescaya ampuh dan keballah kita. Jangan terpedaya dengan muslihat musuh, kerana selagi masa ada, selagi itulah pengundi baru dan segala penipuan pilihanraya menjadi senjata. Selagi itulah nasib rakyat Malaysia tidak terbela. Sekali terkena, 5 tahun lagilah sengsara.

Advertisements

Read Full Post »

Pelbagai isu dan perkara yang berlingkar sekitar kegagalan SPR untuk memberi gambaran kepada umum bahawa pengendaliannya adalah telus dan bersih dari tipu muslihat, tidak mendapat jawapan yang memuaskan ramai pihak. Di bawah Pengerusinya sekarang Tan Sri Abdul Rashid Abd Rahman, pelbagai perkara yang dilapor dan diketengahkan oleh parti yang tidak mewakili kerajaan tidak mendapat layanan yang sebaiknya.

Dengan PRU ke 11 yang lepas menyaksikan pelbagai perkara yang dikatakan manipulasi yang digunakan oleh pelbagai pihak dengan sokongan daripada pihak SPR sendiri, rakyat berdepan dengan dilema yang cukup besar untuk melangkah menuju ke peti undi di dalam PRU ke 12 yang dilihat terlalu hampir sekarang ini

Dengan beberapa contoh terkini yang menunjukkan kesilapan data seperti nama Normazita Mohd Noor yang menjadi Kg Mengabang Tengah di dalam senarai nama daftar pemilih, kecekapan pengurusan SPR terus menjadi tanda tanya. Ironinya ianya diperbetulkan selepas kesilapan ini tersebar luas di internet. Contoh terbaru pula menyaksikan 35 orang berumur 100 tahun ke atas masih mendaftar di Petaling Jaya Utara. Ini seakan memberi gambaran bahawa sistem pendaftaran di pejabat SPR tidak mempunyai ciri ciri keselamatan dan nilai kerja pada tahap tertinggi.

Pengerusi SPR perlu bertanggungjawab di atas segala kesilapan dan kerosakan yang hanya memberikan tanggapan negatif umum kepada satu badan yang sepatutnya bergerak bebas dan perlu  dilihat profesional kerana ia juga begitu besar peranannya di dalam menentukan masa depan negara.

Gesaan daripada pelbagai pihak terutamanya BERSIH supaya beliau dipecat perlu dipandang serius oleh semua pihak demi melihat kemajuan negara tidak terbantut akibat tiadanya kredibiliti satu institusi yang begitu penting kepada negara. Bukannya pihak yang dilabel pembangkang yang tidak sepatutnya bertanding, Pengerusi SPR juga seharusnya tidak dibenarkan menang percuma dalam percatuan sesetengah pihak yang mempergunakan beliau untuk kepentingan politik mereka. Lakukan sesuatu untuk kebaikan bersama!

Read Full Post »

PAS Menerajui Perubahan merupakan antara slogan kerajaan negeri Kelantan yang semakin popular di kalangan rakyat. Bukan sedikit perubahan yang boleh dibuat bila pihak yang memegang tampuk kuasa, bila meletakkan kepentingan rakyat di hadapan. Kepimpinan yang peka dengan masalah rakyat akan sentiasa dekat di hati sesiapa sahaja.

Program kebajikan yang meredah dan menembusi segala macam dinding dan tembok pemisah, yang didokong oleh keadilan dan semangat pengagihan tulen berjaya meletakkan PAS semakin popular degan masyarakat bukan Islam/ melayu berbanding dengan dahulu. Maka perlukah lagi PAS kepada pakatan pakatan yang akhirnya merugikan bukan sahaja mileage politik PAS, malahan rakyat secara keseluruhannya?

Tanpa menafikan persepakatan politik perlu di dalam membina kerajaan alternatif, terutamanya di dalam negara kita yang tidak mengamalkan perwakilan berkadar (proportionate representation), persoalan ini elok rasanya dikupas di dalam menghadapi segala macam dilema dan sikap tidak profesional sesetengah pihak yang hanya melihat aspek fizikal kepada proses perubahan iklim politik yang cuba dibawa di negara kita. Sedangkan PAS melihat aspek fizikal dan spiritual sebagai gugusan kunci penyelamat dan pembuka pintu kejayaan sebenar rakyat. Kuncinya sudah ada, namun usaha untuk menyedarkan rakyatlah,  yang ini satu satunya jalan dan pintu menuju kebahagiaan, yang perlu digarap oleh kepimpinan PAS sekarang dan akan datang. Dengan itu, pihak lain yang sepatutnya akan datang dan berhajat kepada PAS. Formula ini perlu dicari.

Proses kebangkitan rakyat tidak mengenal jaringan politik, kefahaman dan ideologi. Yang melekat di kepala adalah keadilan, keselesaan dan kestabilan. Kerajaan Islam Madinah contohnya, berjaya bertapak sedangkan orang Islam merupakan minoriti pada peringkat awalnya. Rakyat inginkan mereka yang dapat menghargai mandat yang diberikan. Anak manakah yang tidak mengaku bapa selagi tidak dilayan secara kasar oleh bapanya. Tidak diherdik dan dimaki, apatah lagi bila si ayah sentiasa mengaku dialah satu satunya ayah. Tiada yang lain melainkan dia.

Benarkah si ayah itu tidak bermain kasar degan anaknya? Betulkah si ayah itu tidak menyusahkan anaknya? Si anak tidak dapat menilai karenah ayah kerana ayah kelihatan baik. Tapi jika diketahui ayah itu sebenarnya jahat, dan ada ayah yang lebih baik yang boleh mereka menumpang kasih, tidakkah mereka ingin memiliki ayah sedemikan?

Namun, adakah ayah lain buat anak menumpang kasih? Bukan setakat dilihat lebih baik tetapi terbukti menjalankan tugas sebagai seorang ayah, seorang jiran dan ahli masyarakat yang bertanggungjawab, seorang suami,anak dan menantu  yang boleh dijadikan contoh.

Malaysia adalah negara majoriti umat Islam yang kerap kali menjadi rujukan negara Islam yang lain. Kejayaan mentadbir  masyarakat majmuk dengan baik dikatakan satu contoh yang cukup baik dan mendapat pujian dari pelbagai pihak. Pemimpin Malaysia teutamanya Tun Dr Mahathir dipuji melangit oleh masyarakat Islam sedunia. Pak Lah sebagai Perdana Menteri yang menggantikan beliau mendapat tempias pujian dan rekod baik yang dibawa oleh Tun Dr Mahathir.

Beliau bakal menyerahkan tugas Pengerusi OICnya kepada pemimpin lain tidak lama lagi. Akan bergemerlapankah lagi nama negara? Akan disebut sebutkah lagi kehebatan Malaysia selepas ini? Formula untuk terus mendapat pengiktirafan ini sebenarnya tidak ada pada Islam Hadhari yang dibawa oleh UMNO melalui kerajaan BN yang dibentuk. Sudah silih berganti formula untuk menggandingkan Islam, UMNO dan Malaysia.  Semuanya tidak membawa apa apa melainkan kegagalan. Semuanya tertanggung oleh rakyat.

Kepesatan pembangunan negara tidak menjanjikan kebahagiaan rakyat. Rekod jenayah di bawah Pak Lah dengan pembawaaan  Islam Hadharinya tidak menjanjikan apa apa melainkan kenaikan yang lebih parah. Pelbagai kebobrokan dan salah laku pemimpin yang didedahkan hanya menempuh diinding konkrit. Modal Insan hanya tinggal modal haiwan yang merungsingkan ibu bapa, dan rakyat secara keseluruhannya.

Kerajaan PAS Kelantan degan rekod bersihnya perlu menjadi tilikan dan perhatian rakyat. Negara kebajikan yang menjadi anchor/ kerangka kepada manifesto PAS perlu dihadamkan dengan sebaiknya untuk tatapan rakyat. Dengan kecemerlangan pemerintahan yang bakal diteruskan oleh kerajaan PAS Kelantan selepas PRU ke 12 ini, PAS perlu mencari formula untuk menjadi pilihan rakyat pelbagai kaum, menjadi harapan untuk membawa negara ke pentas dunia degan penuh kemuliaan dan segala penghormatan.

Read Full Post »

Tidak lama dahulu kita sering kedengaran tentang masalah kebocoran yang berlaku kepada bangunan bangunan kerajaan. Ini termasuk bangunan Imigresen di Putra jaya dan kompleks mahkamah kedua terbesar di dunia bernilai 270juta, di Jalan Duta. Manakala Bangunan Parlimen yang menempatkan badan perundangan tertinggi negara iaitu Dewan Negara dan Dewan Rakyat juga berkali kali mengalami kebocoran dengan kos pembaikian menjangkau 100juta.

Yang disalahkan adalah perubahan iklim, sebagaimana yang disebut oleh Datuk Seri S Samy Vellu, “Kebocoran berpunca dari perubahan iklim. Sekarang adalah tidak serupa dengan masa dulu: setiap malam hujan, tidak ada musim. Masa yang lepas, musim hujan adalah dari Oktober hingga Mac. Kini tidak ada lagi. Kita tidak perlu menanya para saintis,”

Mungkin agak mudah untuk memberi jawapan, dan mudah  juga untuk menerima jawapan itu. Namun tidak semudah itu melepaskan kuda kuda tua yang telah kehausan tapak serta tidak lagi se-gah zaman mudanya. Hal ini pasti sedikit memeningkan seseorang yang telah sedia kepeningan. Bukan setakat politik dalam kelambu yang dilihat semakin menjadi jadi, perihal anak dan ibu tiri, bahkan orang orang sekeliling yang menuntut itu dan ini, sebagai tekanan politik akibat kuasa yang semakin surut, akibat minda yang semakin berserabut.

Dengan kerajaan dilihat tidak mampu mengawal harga barangan yang menyebabkan poket rakyat marhain kebocoran, tiada apa janji janji manis yang ditabur setakat ini untuk memujuk rakyat untuk terus khayal di dalam irama yang dimainkan. Rentak muzik dilihat sedikit sumbang bila tiada bonus diberikan pada tahun lepas kepada kakitangan kerajaan. Alasan kenaikan gaji yang dikira munasabah, dijadikan alasan, walaupun cara dan peratus kenaikan gaji yang agak ketara itulah yang menyaksikan majoriti rakyat terhukum dengan kenaikan harga barang.

Namun, yang pasti, tetap akan ada janji janji baru meniti bibir para pimpinan  kerajaan Barisan Nasional dalam waktu terdekat ini melihat kepada suasana yang seakan memanggil manggil untuk Pilihanraya Umum diadakan.

Rakyat perlu menilai pemimpin. Bukan persoalan menghukum mereka, tetapi menolak pemimpin yang yang kebocoran dan tidak bertanggungjawab. Keupayaaan mengawal diri bila berpeluang melakukan rasuah dan mendapat umpanan politik amatlah susah ditolak, tetapi merupakan amalan terpuji. Kebocoran (incontincence) merupakan tanda ketidakupayaan mengawal diri (intemperance) bila berhadapan dengan situasi sebegini.

Sekarang ini, incontinence atau kebocoran merupakan istilah perubatan yang merujuk kepada seseorang yang tidak dapat mengawal kencing dan proses membuang air besar. Namun tidak lama dahulu, perkataan incontinence atau kebocoran ini juga merujuk kepada ketidakupayaan seseorang itu mengawal marah, tabiat buruk, nafsu dan keinginan seksual.

Rentetan kebocoran ini dapat dikawal dengan kita menggunakan kuasa politik yang ada untuk menentukan siapa yang layak mencorakkan masa depan negara. Perangai dan tingkahlaku pemimpin adalah refleksi kepada kedudukan dan martabat rakyat di dalam sesuatu negara. Pastikan kita tidak dihukum atas kecuaian kita.

Read Full Post »

Timbalan Perdana Menteri Malaysia ketika ini, Datuk Seri Najib Tun Razak begitu rancak menjelajah negara khususnya pantai timur dalam apa yang dikatakan persiapan terakhir Barisan Nasional menghadapi pilihanraya umum ke 12. Ucapan ucapannya di Kelantan dan Terengganu membayangkan BN akan menang besar di kedua negeri ini, yang dianggap kubu kuat pembangkang, khususnya PAS.

Beliau akan datang lagi ke Kelantan untuk ke sekian kalinya. Kali ini untuk meletakkan batu asas sebagai penanda kepada permulaan kerja kerja pembinaan Universiti Malaysia Kelantan. Namun benarkah begitu?

Dengan pelbagai isu yang berjaya dibawa oleh pembangkang serta yang tercipta dalam sehari dua ini, BN sebenarnya akan turun ke gelanggang dengan serba kecacatan, seumpama pendekar yang tempang. Dari isu kenaikan harga barang kepada isu yuran sekolah, isu perlantikan hakim kanan kepada isu peribadi yang mengakibatkan seorang Menteri kanan meletakkan jawatan. Serta pelbagai lagi. Ianya bukan jalan mudah untuk BN terjun ke medan tempur. Seakan apa yang dikatakan oleh Najib merupakan satu laporan dan fakta yang langsung tidak disokong oleh suasana setempat dan realiti di bawah.

Maka dikatakan bahawa keputusan  pilihanraya ke 12 nanti bakal mencatat satu kejutan kepada BN. Jauh dari apa yang diungkapkan oleh Najib. Keputusan keseluruhan di seluruh negara menyaksikan penurunan mendadak sokongan  kepada BN. PAS terus berjaya mengekalkan kerajaan di Kelantan, jauh lebih selesa berbanding dengan keputusan PRU ke 11, manakala keputusan di Terengganu pula melihatkan peningkatan undi yang mendadak kepada PAS dengan penambahan kerusi yang banyak. Hampir menawan semula Terengganu. Begitu juga di Pahang, dengan keputusan yang lebih baik kepada Barisan Alternatif, ia merupakan satu tamparan kepada kempen pilihanraya BN.

Yang akan dituding adalah Najib. Seolah olah Najib merupakan faktor kemerosotan sokongan rakyat kepada BN. Najib perlu bertanggungjawab. Najib gagal dalam tugasnya sebagai Timbalan Presiden UMNO dan TPM.

Ia membuka ruang yang cukup besar untuk seorang yang sangat mengidam untuk begitu pantas naik ke atas menyusun langkahnya. Siapa lagi kalau bukan seorang yang begitu berpengaruh di sisi Pak Lah. Setelah akhbar berjaya menggambarkan betapa tiada kredibilitinya Menteri Pelajaran dalam isu yuran sekolah, ketokohan seorang anak muda yang boleh mencabar dan memberukkan sesiapa pun, menyelar sesiapa sahaja termasuk Pengerusi SPR di atas komentarnya  berkenaan tarikh pilihanraya, bakal terserlah. Beliaulah yang betul segalanya. Beliaulah yang paling disegani dan ditakuti.

Maka dengan pelbagai lagi kaedah dan strategi, terpelantinglah Najib dari kerusi TPM samada dengan cara terhormat atau secara terhina. Pilihan ada di tangannya.

Persoalannya siapakah yang mungkin mengisi kerusi peninggalan beliau? Seorang yang mungkin tidak mempunyai ketokohan seperti Pak Lah yang boleh dipercaturkan, yang sekadar menjadikan kerusi TPM sebagai tempat persinggahan. Ataupun satu kejutan yang bakal menggemparkan politik tanahair! Tunggulah lakaran sejarah politik tanahair yang bakal dicoretkan oleh seorang anak muda yang begitu tinggi cita citanya!

Read Full Post »

Adalah menjadi sesuatu seakan dogma bahawa kuasa politik di negara kita hanya boleh dimiliki oleh BN yang diterajui oleh UMNO. Dilihat dan digambarkan sebagai pelopor kepada proses kemerdekaan, BN dibayangkan sebagai kerajaan dulu kini dan selama lamanya. Ditambah dengan cita cita Perdana Menteri Malaysia untuk memastikan BN/UMNO terus relevan untuk seratus tahun lagi, kita dapat membayangkan mood yang dimainkan untuk memastikan sokongan rakyat Malaysia terus kekal bersama mereka.

Kenyataan ini sebenarnya menggambarkan kuasa membeli rakyat masa ada di celah sogokkan umpan politik dan keracunan minda bahana penguasaan media yang melampau. Ia juga membayangkan kerajaan Pak Lah sebenarnya lemah kerana dikuasai oleh pelbagai unsur dalam dan luar. Maka sekaranglah masa terbaik untuk merubah persepsi dan menyahtoksinkan minda rakyat yang teracun.

Selepas umpanan janji  janjinya mengenai pembasmian rasuah hanya menyaksikan ianya menjadi lebih parah dari yang sedia ada, konsp Islam Hadhari ditonjolkan pula untuk meraih undi orang Melayu. Terkini digambarkan pakatan parti pembangkang menuju ke arah gerakan pelampau dengan berjayanya mereka memanipulasikan himpunan aman HINDRAF.

Tenyata semuanya tidak lebih daripada tindakan mencantas usaha memperbetulkan pentadbiran negara secara sihat yang cuba dilakukan oleh pihak pembangkang. Seolah olah pembangkang hanya mempunyai cita cita untuk menguasai politik negara, segalanya dipandang serong oleh pihak kerajaan. Tidak ada ruang untuk pembangkang bersama dalam menunjukkan solidariti sebagai rakyat Malaysia yang bermaruah dan bersatu padu.

Terlalu banyak isu yang memerlukan pihak kerajaan dan pembangkang duduk semeja merangka strategi untuk kepentingan negara, dibiarkan tanpa penyelesaian terbaik. Isu najis dadah, salah laku dan rasuah penjawat jawatan kerajaan dan pelbagai lagi yang memerlukan penilaian yang telus dan adil, diselesaikan secara bersahaja, dengan tujuan menutup isu. Akhirnya negara yang berhadapan dengan segala permasalahan dan rakyatlah juga  yang terbeban.

Menafikan majoriti 2/3 BN di Dewan Rakyat adalah perlu untuk memperbetulkkan semula proses demokrasi dan hak rakyat yang semakin terhakis. Rakyat perlu bersikap berani dan terbuka dalam menilai tahap pentadbiran kerajaan yang ada. Mereka tidak perlu gusar ugutan dan kepercayaan khurafat bahawa ketidakstabilan dan huru hara akan berlaku sekiranya BN tidak berjaya mendapat 2/3 majoriti.

Sekiranya mahkamah rakyat yakni pilihanrya umum tidak berupaya menjadi medan untuk merealisasikan cita cita ini, maka semakin susahlah usaha untuk menilai tahap pencapaian terbaik yang boleh dilalui oleh negara di dalam mengisi program kemajuan dan kemakmuran serantau, sesuai dengan potensi yang ada.

Samada sistem itu yang telah menghukum rakyat ataupun ketidakinginan rakyat untuk berubah yang menyaksikan mereka terhukum, kedua duanya adalah faktor yang rakyat ada kuasa untuk memperbetulkannya.

Read Full Post »

Dunia politik Malaysia digegarkan dengan pengakuan tulus ikhlas Menteri Kesihatan Malaysia, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek bahawa beliaulah lelaki di dalam pita rakaman yang diedarkan di Johor tempohari. Pita rakaman itu mungkin telah beredar ke seluruh dunia pada masa ini.

Ledakkan teknologi maklumat menyaksikan satu lagi peristiwa yang jelas membawa mesej rakyat, tindakan tidak bermoral, apatah lagi di kalangan mereka yang diangkat sebagai pemimpin, tidak dapat diterima walau apa cara dan alasan sekalipun. Kenyataan beliau selepas mengumumkan perletakkan bagi semua jawatan sememangnya wajar dijadikan pengiktibaran. Beliau bukanlah orang yang pertama dan terakhir yang akan melalui sepak terajang politik dn terpelanting keluar. Kerajinan dan komitmennya kepada tugas mencemaskan pesaing politik yang lain. Itulah tanggapannya.

Namun semuanya adalah jelas, komitmen seseorang, walau sebesar mana sekalipun, akan berakhir dengan penghinaan dan kecaman sekiranya permasalahan moral dan perlakuan sumbang mereka menjadi juadah umum. Kerana juadah itu walau sedap dan mengasyikkan untuk dibaca dan dilihat, amatlah menghanyirkan. Ciri ciri pemimpin yang diingini oleh rakyat itu jelas. BERSIH, tidak menyalahi tanggapan umum walau seperibadi mana ia.

Namun sejauh mana rakyat marhain hari ini menilai BERSIHnya seorang pemimpin? Kadang kadang mereka merasakan tiada pilihan yang lebih baik untuk menyandarkan sebuah harapan. Mereka lebih suka mengikut arus. Mengharapkan segalanya kekal baik, walaupun sikap baik dan jahat seseorang itu boleh berubah. Mereka amat yakin kepada orang yang sangat baik akan kekal baik, tetapi rata rata individu yang ada adalah di antara dua ektrim; yang boleh pergi ke kiri dan ke kanan. Begitulah hakikat kehidupan.

Kita secara umumnya menilai seorang penagih sebagai golongan terbuang dan hina, sampah dan perosak masyarakat. Mungkin amat jarang sekali memberi mereka peluang kedua. Namun tidak sedikit pemimpin yang disangsikan keperibadian mereka, terus diberi peluang kedua dan ketiga, atau untuk kesekian kalinya, kerana masyarakat tidak menilai tahap kerosakkan yang dibawa oleh mereka.

Mungkin hanya dengan tangisan mereka, dengan berpakaian mahal dan kemas, dengan secebis janji manis, cairlah hati penilai penilai. Persepsi manusia berubah berdasarkan pengamatan dan pemerhatian mereka.

Datuk Dr Chua Soi Lek menunjukkan contoh yang baik. Beliau bukan berhenti untuk tidak membebankan kerajaan BN yang sudah cukup terbeban. Beliau seorang yang berprinsip. Berani buat berani tanggung. Beliau memohon kemaafan. Beliau bertindak berdasarkan norma dan pandangan masyarakat bila berhadapan dengan salahlaku yang beliau perakukan. Mabuknya sesetengah pemimpin, mereka sanggup melawan arus. Mereka bertindak di luar norma kehidupan kerana mereka yakin mereka berada jauh di atas melebihi segala kuasa di bumi.

Antara mabuk seorang pemimpin dan penagih, bezanya, mabuk seorang pemimpin, mereka dalam syurga dan kenikmatan dunia, dihormati dan disanjungi. Mabuk seorang penagih, kebanyakan mereka di dalam dunia mereka yang penuh duri dan liku, dibenci dan dikeji. Siapakah sebenarnya yang bersalah?

Read Full Post »

Older Posts »