Feeds:
Kiriman
Komen-komen

Archive for 10 Februari 2008

Kenyataan Media Lajnah Antarabangsa DPPP

Lajnah Antarabangsa Dewan Pemuda PAS Pusat mengucapkan syabas kepada Kerajaan Turki di atas usahanya mengembalikan semula hak individu dan beragama rakyat Turki dengan berjayanya Parlimen mencapai undian majoriti untuk menarik semula pengharaman pemakaian Tudung di Universiti.

Pindaan perlembagaan itu diluluskan dengan undian 403 berbanding 107 untuk pindaan pertama yang menambah satu perenggan berbunyi ‘setiap orang mempunyai hak untuk mendapat layan sama rata daripada institusi kerajaan’ manakala undian untuk pindaan kali kedua yang menyebut ‘tiada seseorang yang patut dinafikan hak untuk mendapat pendidikan tinggi’ pula menyaksikan jumlah 403 dikekalkan berbanding 108 .

Ucapan Speaker Dewan, Koksal Toptan selepas pindaan perlembangan itu yang menyebut bahawa ianya dilaksanakan  atas semangat toleransi dan perdamaian perlu dilihat dari sudut yang positif oleh semua pihak.

Walaupun bilangan rakyat Turki yang dibelenggu fahaman sekular masih ramai, rata ratanya sudah berubah dengan lebih dua per tiga daripada wanita Turki sekarang ini telah bertudung.

Penafian hak ini  yang bermula selepas ianya diluluskan pada 1997, bukan sahaja menyekat hak asasi dan kebebasan beragama malah menutup ruang untuk wanita mendapat pendidikan di peringkat Universiti sekiranya mereka tidak ingin bertoleransi dengan sekatan itu.

Dewan Pemuda PAS Pusat mengharapkan usaha murni ini dapat menjadi titik tolak untuk Turki lebih maju dengan perkembangan ilmu dan membuka ruang yang lebih besar untuk wanita mendapat pendidikan tertinggi, sekaligus menjawat jawatan penting di dalam sektor awam dan swasta. Pada masa yang sama, ianya boleh menjadi hujah bahawa Islam tidak pernah menindas hak hak asasi manusia termasuk wanita.

Ianya juga diharapkan  menjadi pemangkin kepada usaha membersihkan fahaman sekular yang telah sekian lama mencengkam kehidupan masyarakat Turki.

Dr Rosli Allani Abdul Kadir

Pengerusi Lajnah Antarabangsa DPPP

2 Safar 1429 bersamaan 10 Februari 2008

Advertisements

Read Full Post »