Feeds:
Kiriman
Komen-komen

Archive for 20 Februari 2008

Golongan Muda merupakan aset yang tidak ternilai buat negara. Mereka bakal mewarisi kepimpinan pada masa akan datang. Mencorakkan golongan ini untuk menyaksikan Malaysia terus berjaya mendepani cabaran dan persaingan peringkat global amat penting.

Pilihanraya umum memainkan peranan yang cukup penting bagi mengasah minda dan bakat kepimpinan generasi muda. Dengan kecanggihan teknologi maklumat sekarang ini, golongan muda mendapat kelebihan untuk membuat analisa yang lebih baik di atas sesuatu tindakan, samada mengikut trend semasa mahupun mengumpul keupayaan melawan arus.

Namun menghalang proses ini dari berjalan dengan baik tidak lain adalah faktor faktor seperti kekangan mahasiswa dan pegawai kerajaan untuk berpolitik, kempen yang kurang sihat termasuk mengugut dan akujanji, penguasaan media melampau dan rasuah pilihanraya yang dilakukan secara terang terangan.

Di atas kesedaran itu, golongan  mahasiswa dan profesional perlu mencari formula terbaik untuk menekan pihak kerajaan agar tidak sewenang wenagnya menggunakan kekuatan jentera kerajaan dan segala macam agensi untuk kepentingan parti politik yang memerintah.

Mewujudkan satu jalinan yang kukuh sesama penjawat jawatan kerajaan dan sektor swasta memastikan hak dan kebebasan untuk menyuarakan pandangan dan mengikuti mana mana parti politik dapat diperolehi. Seterusnya memastikan proses kepimpinan dan perkembangan potensi individu dapat dilalui dengan sebaik mungkin.

Pilihanraya ke-12 menjadi ukuran kerana pelbagai isu menarik melibatkan soalan pencabulan hak asasi yang semakin mencengkam, tekanan kuasa eksekutif ke atas perlantikan hakim yang cukup mengejutkan, kejadian jenayah yang begitu serius, penguasaan kroni yang melampau dan kredibiliti Perdana Menteri Malaysia sendiri yang dipertikaikan oleh banyak pihak termasuklah yang menaikkan beliau iaitu Tun Mahatihir.

Mewajibkan golongan muda mengikuti Program Latihan Khidmat Negara (PLKN), membawa mereka ke kutub utara, memaksa pelajar pelajar mengikuti program kepartian, menutup mulut mahasiswa dengan akta akta universiti tidak membawa banyak kebaikan selain daripada menyesakkan nafas dan memandulkan pemikiran mereka.

Generasi perlu dididik untuk menekankan persoalan jati diri, memilik daya saing, kesungguhan dan keinginan untuk membawa perubahan pada diri dan masyarakat. Melalui zaman muda yang penuh cabaran perlu disertakan dengan tunjuk ajar dan panduan kerana zaman yang berlalu tanpa pengertian dan hala tuju, pasti berdepan dengan masalah dan konflik diri yang bakal membawa mudarat pada diri dan sekeliling sekiranya tidak dicegah.

Pembawa penyakit perlu dikuarantin. Sekiranya belum dijangkiti, kita tidak perlu merasainya sebelum membuat keputusan! Pilihan di tangan anda!

Advertisements

Read Full Post »