Feeds:
Kiriman
Komen-komen

Archive for Mac 2008

Sekali lagi PRU ke 12 mencatatkan satu sejarah. Hari ini genaplah separuh purnama Terengganu tidak berMenteri Besar. Setelah beberapa senario yang tidak disangka sangka hasil keputusan PRU 12 yang rakyat telah menunjukkan kuasa mereka, silih berganti pula peristiwa peristiwa yang jelas menunjukkan ahli politik lemas dan terkial kial dengan pelbagai usaha demi mendapatkan kuasa. Malah cukup memeningkan bagi sesetengah pihak, sebagaimana yang berlaku di dalam perlantikan Menteri Besar Selangor,Perlis dan Perak.

Di kala ini negeri Terengganu Darul Iman menyaksikan satu usaha untuk mengekalkan kuasa mereka yang sepatutnya sudah lama ditolak oleh rakyat. Bahkan sebenarnya sudah pun ditolak oleh rakyat. PRU 12 merupakan satu proses memilih pemimpin oleh rakyat sebagai pengundi berdaftar dan keluar mengundi. Mood rakyat pula merupakan bentuk ‘undian’ yang dikira menunjukkan apa yang terbuku di hati mereka.

Namun disebabkan ianya merupakan sesuatu yang tidak boleh diukur, maka kertas undilah yang menjadi penentu jatuh bangun sebuah kerajaan. Manakala perlantikan Menteri Besar dan exco exco pula merupakan satu proses untuk  meyakinkan rakyat akan tepatnya pilihan mereka itu. Walaupun secara jujurnya kebanyakan rakyat tidaklah begitu berkira siapa yang akan menjadi Menteri Besar tatkala kertas undi dipangkah oleh mereka.

Namun perkiraan siapakah yang menjawat jawatan Menteri Besar sudah tentunya sesuatu yang agak besar pada pandangan Al Sultan yang merupakan Ketua agama bagi sesebuah negeri. Undang undang yang diterima pakai memberi hak kepada Al Sultan untuk memperkenankan calon Menteri Besar yang dicadangkan oleh sesebuah parti.

Tindakan mempersendakan dan menolak hak al Sultan ini memberi imej dan implikasi yang cukup negatif kepada kedaulatan undang undang dan konsep Raja berperlembagaan yang diterima pakai.

Hari ini sangat jelas siapakah sebenarnya yang menjaga agama dan ketuanan Melayu. Mereka yang tidak gila pangkat dan keracunan kuasa akan berfikir dan tidak akan bertindak secara membuta tuli. Namun mereka yang hilang arah,tamak dan ego akan menunjukkan sikap sebenar mereka. Biarlah rakyat yang membuat perhitungan!

Read Full Post »

Signal PRU ke 12 yang ditunjukkan oleh majoriti rakyat Malaysia adalah menolak kerajaan BN yang dipimpin oleh Pak Lah. Samada atas sebab sebab berbentuk peribadi mahupun penolakan yang menyeluruh, ianya jelas diterjemahkan oleh undi yang diberikan, sebagaimana yang diminta oleh Pak Lah sendiri. Rakyat inginkan perubahan kepimpinan.

Kejutan demi kejutan dicipta sempena PRU kali ini. Bukan setakat rakyat, malahan institusi raja yang diperuntukkan oleh undang undang untuk menjaga agama dan hal ehwal orang melayu, nampaknya ada juga memberi signal yang sama. Dengan perubahan iklim politik yang ada, sudah pasti tanggungjawab untuk mengekalkan keamanan dan keharmonian perlu menjadi pertimbangan semua pihak di dalam melaksanakan perubahan.

Sensitiviti dan hak hak individu dan kaum yang termaktub di dalam perlembagaan perlulah diambil kira. Manakala proses penukaran kerajaan seharusnya mendapat kerjasama dan sokongan daripada semua pihak. Menjamin hasrat rakyat ditunaikan dan tidak dikhianati menjadi intipati kepada semangat berkerja yang bakal ditunjukkan oleh pemimpin yang dipilih oleh rakyat.

BA tidak perlu terburu buru dalam cita citanya melepaskan rakyat daripada cengkaman BN. Peluang membuktikan keikhlasan dan kemampuan untuk menunaikan janji janji yang dibuat terbentang luas dengan adanya 5 negeri yang bakal ditadbir. Keutamaan adalah untuk berkhidmat kepada rakyat yang telah lama diasak dengan janji janji serta pembangunan yang tidak dinikmati secara rata oleh semua pihak akibat pembaziran, rasuah dan kronisme.

Dengan memanfaatkan ruang dan peluang ini sebaiknya, saya yakin BA tidak perlu menunggu lama untuk membuat kejutan seterusnya, yakni memerintah Malaysia. Keberanian rakyat terserlah. Pemimpin pemimpin yang dicucuk hidung mereka bila pula?

Read Full Post »

Malaysia merupakan sebuah negara yang unik baik dari segi dermografi mahupun suasana sosiopolitiknya. Dengan anugerah Tuhan menjadi negara yang kurang bencana alam berbanding dengan negara negara jirannya, serta suasana politiknya yang stabil biarpun komposisi kaumnya yang pelbagai, Malaysia menjadi contoh kepada banyak negara negara membangun.

Selain daripada beberapa faktor lain, percaturan politik menyaksikan beberapa peristiwa yang dilihat cuba dan menjejaskan keamanan negara termasuklah peristiwa 13 Mei 1969. Mutaakhir ini kumpulan HINDRAF pula digambarkan mempunyai agenda menjejaskan perpaduan negara melalui perjuangannya.

Dirasakan amatlah perlu dilihat dengan lebih mendalam lagi kesan politik dan tekanan yang ada kepada perpaduan kaum. Satu faktor yang dikira amat berkaitan adalah proses Pilihanraya umum itu sendiri. Dengan proses persempadanan semula yang mungkin tidak mempunyai formula yang jelas untuk menjustifikasinya, pembahagian kerusi kerusi akibat daripada persempadanan semula ini di peringkat parti komponen BN khususnya menyaksikan kawasan yang majoriti Melayu contohnya diberikan kepada bukan Melayu. Ini menyebabkan sistem politik antara kaum menjadi sedikit bercelaru.

Di Perak contohnya komposisi kaum etnik menunjukkan Melayu adalah majoriti. Namun pembahagiannya jelas tidak mewakili majoriti. Contohnya parlimen Gerik menyaksikan kerusinya diberikan kepada wakil MCA meskipun pengundi Melayunya adalah sebanyak 73.49%. Ini hanyalah contoh kecil.

Mengenai permintaan Lim Kit Siang untuk kerusi MB Perak, ia merupakan satu perkara yang tidak pelik. BN telah lama memberi jalan kepada calon bukan Melayu untuk mewakili Melayu di kawasan majoriti Melayu. Ia membuka ruang untuk desakan dibuat dengan mengambil kira ada peruntukan yang masih boleh membenarkan orang bukan Melayu menjadi MB Perak di atas budi bicara DYMM Al Sultan Perak.

Desakan itu boleh dikira kurang sesuai dan tidak beradab di kala wakil DAP sendiri telah menyatakan persetujuan untuk menerima mana mana nama daripada 3 yang diberi kepada pihak istana. Yang penting sekarang ini, ketiga tiga parti komponen yang ingin menubuhkan kerajaan perlu menyedari bahawa tanpa salah satu, mereka tidak akan berhasil melakukannya.

Sikap saling bertoleransi dan menghomati perlulah dijadikan asas kepada kerajaan ini yang telah mendapat mandat rakyat yang tidak mahukan kerajaan BN. Moga ianya menjadi permulaan kepada hasil yang lebih positif di masa akan datang. Sekali lagi, perwakilan berkadar dilihat mampu membantu membentuk suasana harmoni dan hormat menghormati melalui kaedah politik dan wakil pelbagai kaum.

Read Full Post »

Keputusan PRU ke 12 masih menjadi ingaun ngeri banyak pihak terutamanya yang  kecundang. Dengan undi popupar BN yang kurang daripada 50% di Semenanjung  Malaysia, ianya cukup jelas menggambarkan penolakan rakyat. Di dalam keadaan media yang begitu sekali memanipulasi dan membenam kebaikan parti komponen BA, nyata sekali rakyat kalis dengan serangan sedemikian.

Dengan berbekalkan rasa meluat dan sakit hati akibat maruah diri yang tercabar, kemarahan yang tidak dapat ditahan dijelmakan dalam bentuk undi protes, samada dengan memberi undi kepada BA mahupun tidak keluar mengundi. Itulah kuasa rakyat yang telah dibangkitkan. Tiada yang dapat menafikan hakikat ini. Namun ada jua pihak yang songsang pemikiran mereka. Terus cuba bersilap mata dan mengenepikan fakta.

Lantas rakyat ditakutkan dengan isu perkauman sempit, dengan ugutan dan ketidakstabilan ekonomi. Seolah olah peperangan di dalam PRU dihadapkan pula kepada rakyat. Betapa ianya merupakan tindakan tidak bertanggungjawab dan tidak bermaruah sesetengah pihak. Tanpa dipinta, Ketua Polis Negara menyebut bahawa keamanan negara terkawal.

Kegoyahan Kerajaan BN yang bakal dibentuk begitu terserlah. Dato Seri Shahidan Kasim menawarkan formula merawat BN. Pimpinan BN dikerah menyatakan sokongan padu dan taat setia kepada Pak Lah dan Najib. Presiden MCA menyatakan hasrat untuk menolak jawatan Menteri demi memulihkan partinya yang sudah hilang pengaruh di kalangan masyarakat cina.

Apa jua yang berlaku, kepimpinan BN haruslah menerima kekalahan ini. Di dalam dunia langit terbuka hari ini, tiada yang lebih bernilai di sisi rakyat melainkan hak mereka dikembalikan dan mereka tidak sekali kali sanggup diperbodohkan oleh pihak yang angkuh dan berlagak pandai. Jangan mencabar hak rakyat!

Read Full Post »

Keputusan PRU ke 12 dikatakan mengejutkan ramai pihak. Benarkah ? Sebenarnya tidak. Yang terkejut hanya segelintir pemimpin UNMO/BN peringkat bawahan yang saban hari dikaburi mata, dipekakkan telinga dan dibutakan mata hati mereka oleh pemimpin atasan mereka.

Jentera di bawah tidak terkejut. Rakyat tidak panik, malahan mereka telah bangga membuat satu keputusan yang sungguh wajar. Mereka tidak melayan karenah seorang bekas Menteri yang mengatakan rakyat bakal menyesal dengan apa yang telah mereka lakukan yakni menolak kerajaan BN.

Kejayaan yang dicatat oleh rakyat mengalahkan kecemerlangan seorang angkasawan, seorang perenang melintasi selat Inggeris, mahupun pendaki gunung Everest. Rakyat patut dijulang, diiktiraf pengorbanan dan keberanian mereka. Sudah lama mereka bersabar dan diuji.

Proses memulangkan kuasa rakyat sudah bermula dan ia dipelopori oleh banyak pihak. Biarkan ia terus berlaku. Detik demi detik yang berlalu bakal menyaksikan perubahan yang cukup untuk membawa keadilan pada semua pihak, termasuk mereka yang tidak berlaku adil. Mereka sedang diadili. Mereka mungkin mengharapkan negara berkebajikan yang bakal diwujudkan menzahirkan secebis rasa simpati kepada mereka. Bila semua cuba mengerti, pastinya tidak sukar untuk sama sama membawa perubahan yang besar dalam masa yang terdekat ini. Mencipta sebuah revolusi!

Salam reformasi!

Read Full Post »

Seorang Perdana Menteri yang dilantik menjadi Pengerusi OIC bakal meyerahkan tugasnya tidak lama lagi. Namun di dalam kesibukan PRU ke 12, beliau terlupa langsung akan tanggungjawabnya itu yag bakal dipersoalkan di kemudian hari. Rakyat Palestin berkeseorangan menghadapi pembunuhan demi pembunuhan, penginayaan demi penginayaan, namun seakan Pengerusi OIC tidak menyedarinya. Ataupun tidak dimaklumkan akan kekejaman yang berlaku ke atas rakyat Paletin dalam masa terdekat ini.

Pada masa yang sama, beliau begitu ghairah ingin mengambil Kelantan dari PAS, pimpinan Tuan Guru  Dato’ Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat. Ghairah dan nafsunya itu tidak dapat disembunyikan. Dengan penuh keyakinan beliau menyebut bahawa BN akan menguasai semua negeri negeri di Malaysia. Beliau bertungkus lumus untuk itu. Saban hari datang ke Kelantan, samada diumumkan mahupun datang secara senyap.

Beliau yang bercita cita untuk merampas Kelantan sejak PRU ke 11 tentunya menyusun strategi ke arah itu. Dengan sejengkal demi sejengkal tanahair tergadai, beliau sudah tentu tidak dapat membuat justifikasi yang jelas sebab untuk menawan Kelatan. Yang ada mungkin daripada minat untuk mengaut hasil mahsyul negeri. Samada minat itu datang daripada beliau sendiri mahupun individu yang saban hari kerjanya mengepam duit ke dalam akaun akaun di Singapura dan negara luar yang lain, beliau perlu mengakui bahawa tindakan  beliau itu hanya mendatangkan kerosakan kepada masa depan negara.

Program kebajikan yang dilaksanakan di Kelantan jauh melebihi semangat dan contoh yang sama, yang ada pada Kerajaan Persekutuan. Program kebajikan yang manfaatnya melangkaui batasan politik, kaum dan pelbagai lagi fahaman dan pecahan yang sempit, berjaya meletakkan negeri Kelantan pimpinan To Guru jauh di hadapan walaupun berhadapan dengan pelbagai cabaran dan kekangan.

Bila segala keruntuhan dan kerosakan yang dibawa oleh BN/UMNO ke Kelantan berjaya disekat oleh kepimpianan PAS Kelantan, sangat pelik sekali bila strategi merawat pula yang diambil. Rakyat Kelantan dengan ciri ciri dan sifat yang unik, yang sesetengahnya hanya difahami oleh rakyat Kelantan sendiri, secara tiba tiba ditawarkan untuk dirawat oleh orang luar! Begitu mengharukan!

Haru biru yang ada pada sebuah parti politik yang hanya bercita cita mengaut keuntungan dan membina kekuatan kroni, cuba dijangkitkan kumannya kepada rakyat marhain yang sudah biasa dengan kehidupan sederhana dan keamanan di bawah kepimpinan ulama. Bukan setakat melayu yang merasainya, bahkan penduduk negeri secara keseluruhannya baik melayu atau bangsa lain, baik orang PAS mahupun penganut fahaman politik yang lain.

Maka, untuk apa Pak Lah dengan Islam Hadhari yang baru dicipta itu bercita cita untuk mengurus masyarakat pelbagai kaum. Hanya Islam sebenar yang mampu merealisasinya dan ini dibuktikan oleh keupayaan To Guru memimpin negeri Kelantan untuk 18 tahun yang lepas. Bila Pak Lah yakin untuk menawan semua negeri termasuk Kelantan, persoalan yang paling besar adalah, sejauh mana Pak Lah dan Kerajaan BN bersih dalam tindakannya? Sekiranya Pak Lah sebetul pemimpin Islam beliau tidak akan begitu angkuh dalam kenyataannya. Kita semua pasti, Pak Lah hanya menyuarakan satu kenyataan yang dibuat untuknya, bukan dari pemimpin Islam Hadhari mahupun Pengerusi OIC!

Read Full Post »

Pertembungan strategi dan perang saraf di atara parti parti yang bertanding di dalam PRU ke 12 kelihatan sudah mencapai kemuncaknya di kala ini. Dengan serangan demi serangan yang dilancar dan dihalakan ke Kelantan, negeri yang dilihat kubu terkuat PAS dan BA, dilihat seakan tiada ruang lagi untuk mereka bernafas. Sesak nafas yang diwujudkan dianggap sebagai senjata terakhir sebelum segala macam penipuan bakal digunakan dari bermulanya masa mengundi sehinggalah penjumlahan yang akan diadakan.

Pun begitu, hakikat di Kelantan tidaklah begitu. Rakyat telah mangli dengan janji dan cakap tak serupa bikin pimpinan UMNO /BN. Manakala kedatangan pimpinan UMNO dari Presidennya hinggalah kepada Naib Ketua Pemudanya yang tidak tersohor mana itu seakan tiada kesan dan nilai di sisi rakyat. Bius yang digunakan oleh kepimpinan UMNO /BN tidak ‘berdegih’ lagi untuk melalikan orang Kelantan dengan janji janji manis itu.

Mereka mengetahui betapa mereka hanya dibuai mimpi di malam hari, walhal pada siangnya kehidupan mereka dihimpit  dari segenap penjuru akibat pengurusan negara yang penuh dengan najis rasuah dan ketidakcekapan dan salahguna kuasa yang membawa kesan kenaikan harga barang yang begitu menekan kehidupan.

Majoriti rakyat Kelantan masih mahukan kepimpinan PAS yang penuh sederhana tetapi membawa sejuta kebaikan dan keharmonian kepada rakyat. Segala macam isu yang tidak terjawab samada di peringkat persekutuan dan negeri membawa kesan yang cukup besar kepada mood dan pemikiran rakyat.

Penipuan yang digambarkan berlaku di dalam proses pilihanraya membangkitkan kemarahan mereka. Walaupun parti parti dari BA mungkin berasa tertipu setelah komitemen awal SPR untuk menggunakan kaedah celup jari/ dakwat dikuku,  berakhir dengan keputusan untuk membatalkan penggunaannya, mereka boleh menarik  nafas lega dengan begitu banyak undi dari golongan yang bersimpati di atas penipuan itu.

Dengan hampir semua kaedah penipuan dapat dikesan dan bakal dirobek satu persatu oleh parti Barisan Alternatif, UMNO /BA sekali lagi akan berputih mata untuk menawan Kelantan. Khayalan calon Menteri Besar BN dengan apa yang dikatakan restu dan sokongan daripada arwah ibunya akan tinggal khayalan. Pihak yang berharap untuk menumpang kekuatan menantu Perdana Menteri hanya mampu mengharap. Sebuah harapan yang  begitu mengasyikkan dan mengkhayalkan! 

Read Full Post »

Older Posts »