Feeds:
Kiriman
Komen-komen

Archive for April 2008

Kemerdekaan merupakan anugerah yang tidak terhingga. Beruntung segenap lapisan masyarakat di bumi Malaysia, pelbagai bangsa dan anutan agama, di bandar mahupun di desa, yang miskin ataupun kaya, semuanya merasaikan kebaikan hasil perjuangan penuntut kemerdekaan. Samada mereka disebut sebut di dalam buku teks sejarah sebagai pejuang ataupun apa jua panggilan, sejarah tetap mencatatkan satu proses yang membebaskan rakyat Malaysia dari belenggu penjajah. Sekurang kurangnya secara fizikal.

Pihak yang diangkat oleh penjajah semestinya mengikuti sedikit sebanyak nasihat yang diberi. Namun sejarah juga mencatatkan mereka yang benar benar memikirkan kebaikan rakyat dan negara, bukan sekadar menjadi pak turut. Banyak dasar dasar yang digubal cuba mengimbangi kedudukan sosiopolitik dan ekonomi semua pihak demi menyaksikan kesamarataan di dalam mendapat peluang untuk menjadi warga yang benar benar beruntung ekoran kemerdekaan yang dicapai serta kemajuan yang diperolehi.

Barisan Nasional menjelma menjadi satu entiti kebal yang begitu digeruni oleh kebanyakan parti politik yang selainnya. Menghampiri lima puluh tahun kemerdekaan, mereka hanya berdepan dengan beberapa peristiwa yang dikira sukar untuk menjejaskan kedudukan mereka. Pengekalan kuasa yang begitu lama jarang berlaku kepada negara negara maju. Bahkan satu demi satu negara negara jiran yang membangun menyaksikan proses pertukaran kuasa dan peralihan kepimpinan, hanya mampu diperhatikan oleh pemimpin  pemimpin parti politik lain dan rakyat yang bersama mereka.

Tun Dr Mahathir dilihat sebagai antara pemimpin terulung umat Islam dan negara membangun sehinggalah beliau melepaskan jawatannya. Berada di tampuk pemerintahan negara untuk jangkamasa yang begitu lama telah menukar corak pemikiran rakyat. Namun terlepasnya tali kuasa yang ada menyaksikan rakyat mula berubah arah. Rakyat mencari pemimpin yang baik dan bersih. Keracunan kuasa menyebabkan pemimpin bertelagah sesama sendiri, sasau dan seperti ikan dituba. Ini menakutkan rakyat.

PRU 12 menjadi kemuncak tanda keresahan rakyat kepada corak pentadbiran negara yang cukup lemah dan membimbangkan. Walaupun Pak Lah ingin menjadikan BN dan UMNO untuk terus relaven bagi 100 tahun akan datang, beliau lupa bahawa perjuangan yang sempit itu sudah semakin tidak relevan. Apa asas kepada perjuangan yang dibawa? Keadilan direntap sesuka hati. Kezaliman bermaharajalela seperti Jebat tatkala kehilangan sahabat baiknya.

Yang berpecah bukannya Melayu. Yang retak bukannya perpaduan kaum tetapi ikatan longgar yang tidak bertali antara parti komponen BN serta tahap kesatuan di antara sesama ahlinya. Rakyat bukan menolak perpaduan tetapi menghukum BN di atas kezaliman mereka. Di atas tidak amanah dan angkuhnya mereka. Jauh sekali ingin mencipta ketidakstabilan di dalam negara.

Rakyat bangkit dengan suasana yang cukup meyakinkan untuk menuntut hak mereka. Segalanya seakan serba tidak kena dengan langkah dan persembahan yang disajikan oleh BN. Mereka semakin hilang punca. Di sebelah pihak Pak Lah bertegas dengan keputusannya. Di sebelah lagi Najib berusaha menyusun langkah dengan sedikit maya yang ada. Ku Li mungkin timbul mungkin tidak. Siapa tahu kehebatannya?

Namun yang pasti, mood rakyat di kala ini berpihak kepada Anwar selaku pemimpin yang dianiaya dan terhukum. Itulah pandangan rakyat dan mereka menanti nanti saat dan detik perubahan yang lebih besar berlaku. Rakyat yang berubah selera dan bersimpati pasti akan mengharapkan perubahan demi perubahan.

Tidak mustahil untuk negara menyaksikan lima puluh tahun kedua selepas kemerdekaan bakal dikuasai oleh Pakatan Rakyat sekiranya BN terus dengan sandiwara dan citarasa politiknya yang semakin tidak menaikkan selera untuk dijamah oleh rakyat. BN belum ada formula untuk menjadi pembangkang, apatah lagi pembangkang yang kuat. Fikirkanlah formulanya wahai pemimpin BN sebelum terlambat !

Advertisements

Read Full Post »

 

Berikut merupakan surat Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato Nik Abdul Aziz Nik Mat kepada Presiden PAS, Tuan Guru Dato Seri Abdul Hadi :

YB Tuan Guru Datuk Seri Haji Abdul Hadi Awang

Presiden PASYB Datuk Seri,

Alhamdulillah. Allah SWT. yang memiliki seluruh alam semesta serta sekalian kerajaan langit dan bumi telah memakbulkan doa dan munajat kita.
 

 

Setiap butir air mata umat yang telah gugur selama ini telah semakin terjawab sebahagiannya. Berkat kepimpinan Yang Berhormat Datuk Seri, yakinlah kita bahawa tentu ada sesuatu yang tepat antara apa yang kita ikhtiarkan dan hajati selama ini dengan apa yang tersimpan “di atas sana” buat kita.Bagaikan bersamaannya paksi Ka’abah dan Baitul Makmur, maka bersahut jualah akhirnya persamaan itu dalam pilihan raya pada 8 Mac 2008 lalu.
 

 

Antara hajat di bumi dan takdir di langit yang tersusun rapi dalam satu persetujuan itulah kita kini sedang sama-sama tunduk, menangisi sebuah kesyukuran justeru terlalu khudhu’ menerima ujian kemenangan.Tahniah yang sejujurnya buat Datuk Seri dari saya.

Dalam meneruskan fasa perjuangan berupa pengisian di negeri-negeri 5+1, saya masih terasa akan perlunya kita untuk lebih berhati-hati.   

 

 

Terkini, setelah membaca dan mengikuti rentak respons rakan-rakan pimpinan kita di dalam PAS dan BA pada umumnya, yang mengatur langkah apa yang dinamakan sebagai ‘era pembaharuan 100 hari’, mungkin ada baiknya kita menyegerakan langkah mewujudkan badan penyelaras peringkat pusat.

 

 

Ia wajar berfungsi sebagai badan penentu keutamaan program bertindak mengisi pelaksanaan manifesto “negara berkebajikan” mengikut marhalah di negeri-negeri yang dikuasai pembangkang.Apa yang mustahak diawalkan harus didahulukan dan apa yang mungkin kurang prioriti bolehlah dikemudiankan. Mungkin, jika hikmahnya sesuatu itu tidak disebutkan, maka ia seeloknya didiamkan saja buat sementara waktu.
Dalam keghairahan menerima kemenangan, kita perlu cermat di sini. Sesungguhnya, ini saya kira terlalu penting kerana kehadiran kita terkini cukup diikuti oleh seluruh lapisan rakyat dan seteru kita.
Buat diri saya sendiri, InsyaAllah; saya akan lebih berhati-hati untuk mendokong roh kesedaran ini.
Semoga keadaan kita yang sering saling pesan memesan ini akan sentiasa dipimpin oleh petunjuk dan keredhaan dariNYA jua.

Wallahua’lam.
Nik Abdul Aziz Nak Mat
Mursyidul Am PAS
  

 

 

Surat yang disiarkan dalam akhbar Siasah 30 Mac- 5 April 2008, perlu difahami dengan teliti oleh semua pendokong Parti PAS khususnya di dalam memastikan Pakatan Rakyat yang tertubuh dapat diterima dengan baik oleh semua. Bukan sahaja mereka yang tidak teragak agak memberi undi kepada Pakatan Rakyat tempohari tetapi mereka yang tidak keluar mengundi mahupun telah mengundi Barisan Nasional pada PRU ke 12 yang lepas.

Umum mengetahui pergolakan politik di dalam BN khususnya di dalam UMNO telah didalangi oleh beberapa individu di dalam dan di luar parti yang mengkucar-kacirkan keadaan akibat percaturan politik mereka. Maka persoalan asas yang dibawa adalah kredibiliti dan kepimpinan yang ada pada Presiden mereka. Sekuat mana sesebuah pentadbiran dan organisasi, bila ditadbir oleh seorang yang lemah maka akan tetap menjejaskan keutuhannya. Peluang akan dicari untuk memastikan pemimpin sebegini diturunkan samada desakan daripada dalam mahupun luar. Yang diusahakan adalah mewujudkan konflik. Sehinggakan krisis kepimpinan itu tidak dapat lagi ditampung dengan apa cara sekalipun.

Berundur atau konflik itu berterusan hingga meranapkan seterusnya dicaci dan dinista oleh pengikutnya. Itulah pilihan Pak Lah. UMNO hanyalah sebuah rumah kaca yang tidak kukuh sekarang ini. Bukannya rumah kristal yang dicanai dengan sesempurna mungkin untuk memberikan kekuatan padanya. Kekalutan yang ada tidak memungkinkan mereka melancar serangan balas kepada Pakatan Rakyat walaupun ruang itu ada. Mereka hanya mampu bertahan.

Namun peluang tetap ada untuk mereka mengapi apikan permusuhan di antara komponen Pakatan Rakyat. Maka nasihat daripada Mursyidul Am itu hendaklah diperhatikan sebaik. Setiap parti komponen perlu berhati hati, mengutamakan perpaduan dan persamaan di dalam melaksanakan agenda. Mustahil tiada persefahaman dan ‘common ground’ yang boleh disepakati. Bila semua pihak saling memerlukan, maka perlulah saling menghormati. Yang penting akarnya berfungsi menyerap mineral untuk pohonnya membesar.

Kekuatan yang ada pada Pakatan Rakyat adalah signal sokongan rakyat yang cukup besar kepada mereka. Membandingkan kemenangan Parti Keadilan dan Pembangunan (AKP) di Turki pada Julai 2007, di mana mereka juga sekadar memperolehi hampir 50 peratus undi, namun berjaya memperolehi 341 daripada 550 kerusi parlimen, maka Pakatan Rakyat perlu yakin akan kekuatan mereka.

Dan pendokong mereka khususnya daripada Parti PAS perlu memerhati bagaimana AKP bergerak di dalam sistem politik sekular di negara mereka sebagai sebuah parti yang tidak dilihat ideologikal sebagaimana di tempat lain. Bahkan kemenangannya banyak disokong oleh kejayaannya mentadbir dan menjadi parti tempatan yang melaksanakan tugasnya dengan baik.

Berbeza dengan Turki, parti AKP diserang dari dalam dan luar negara dengan imej Islamis yang cuba dikaitkan dengan mereka, manakala perubahan yang berlaku di negara kita antaranya adalah hasil kebencian rakyat kepada sekatan media dan sikap angkuh sesetengah pihak sehinggakan mengamalkan sikap bermusuh dengan media luar negara.

Haruslah difikirkan pendekatan terbaik untuk memastikan kebangkitan rakyat tadi disalurkan dengan tindakan bijak daripada kepimpinan Pakatan Rakyat bagi memastikan rakyat benar benar pasti dan selesa dengan usaha yang ditunjukkan oleh kerajaan kerajaan lima negeri untuk menjaga hak dan kepentingan mereka, bukan setakat berusaha untuk menaikkan nama dan parti masing masing. Rakyat sedang memerhati.

Read Full Post »

Selepas hampir empat minggu PRU ke 12 berlalu, semakin banyak perkembangan menarik politik tanah air dapat diperhatikan. Ini tidak lain akibat terungkainya satu simpulan yang mencekik sistem demokrasi negara akibat dominasi dan keangkuhan pihak yang telah sekian lama  bertakhta di singgahsana demokrasi negara. Panik, terkejut dan hampir tidak masuk akal mungkin antara perasaan dan tingkah laku pihak yang tidak bersedia dan berupaya menerima hakikat itu. Hakikat bahawa rakyat telah berjaya membuktikan mereka masa lagi berkuasa.

Tanggapan  bahawa Raja raja melayu hanya sekadar meng’endorse’ cadangan dan keputusan kerajaan yang hampir dianggap ‘untouchable’ itu nyata merupakan satu karut marut politik dan silap langkah yang memakan tuan. Tekanan dan kekangan kepada minda dan diri yang telah sekian lama mencari ruang untuk ‘amok’ telah menghasilkan satu demi satu ‘tindakan gila’ di luar kawalan seorang pemimpin dan beberapa penasihatnya.

Meniti hari hari tanpa kelibat First Lady sudah tentu menambah keperitan. Siapa lagi yang tinggal? Iman Ghazali dan As- Shafie sudah terlalu jauh meninggalkan. Yang ada hanyalah mungkin “Kera Jadian”. Yang tinggal cuma tidur yang mengasyikkan. Itu pun semakin hilang nikmatnya. Fikiran mengasak akal yang semakin sempit. Debaran meruntun jiwa yang semakin terhimpit.

Yang pasti dua tokoh utama yang dilahirkan dan membesar di dalam UMNO sedang berkira kira. Sedang merancang dan menyusun langkah. Kepimpinan UMNO sekali lagi berpecah. Tali penyelamatnya bukan mudah dicari. Rakyat dan pengikut tekun memerhati. Bahkan kepimpinan komponen Pakatan Rakyat ada juga yang sekadar mengambil sikap tunggu dan lihat. Mungkin penat PRU ke 12 belum hilang. Mungkin rasa kesyukuran yang ingin dipanjatkan masa belum mencukupi.

Ku Li begitu bersedia kali ini. Anwar pula semakin melihat cahaya selepas kareer politiknya dimalapkan dengan sebegitu rupa oleh bekas Ketuanya. Matanya yang lebam dahulu menjadi saksi keperitan yang telah dilalui. Hanya detik dan hari menentukan pilihanraya kecil yang akan diadakan bakal melonjakkan kembali sokongan dan kehebatannya. Hampir tiada jalan dilihat mampu menyekat kebangkitan itu.

Antara Ku Li dan Anwar, siapa yang cepat? Siapa yang lebih hebat di pandangan rakyat dan yang lebih utama, di kalangan ahli ahli parlimen BN? Mungkin wang dan pangkat yang dirasakan mampu menjadi modal. Tetapi politik tetap politik. Kepimpinan dan kehebatan perundingan menjadi faktor utama satu lagi coretan sejarah yang bakal dilakarkan. Teori RAHMAN mungkin sudah tidak relevan. Teori apa pula bakal membawa sejuta kebaikan kepada rakyat Malaysia? Sama sama kita ikuti.

Read Full Post »