Feeds:
Kiriman
Komen-komen

Archive for Mei 2008

Keputusan berkenaan Pulau Batu Putih disambut dengan reaksi yang pelbagai oleh banyak pihak. Tentunya komentar yang sukar ditafsirkan datang daripada Dato Seri Dr Rais Yatim yang menganggap ianya kemenangan kepad kedua dua belah pihak ( win-win situation). Namun benarkah begitu dan apakah persoalan yang lebih dasar kepada isu ini.

Pulau yang telah lebih 20 tahun menjadi perebutan antara Malaysia dan Singapura menampakkan satu kekalahan kepada negara bila mana keputusan tersebut diumumkan. Walaupun keluasannya hanyalah diukur dengan keluasan pada bola, namun ianya dilihat signifikan kerana kedudukannya. Malahan, kemenangan itu juga membolehkan perairan yang lebih luas dimiliki oleh Singapura. Menteri Perlancongan pastinya tidak senang untuk menjawab pelbagai persoalan yang akan dibangkitkan oleh penduduk khususnya nelayan di kawasannya.

Sebenarnya jika dibandingkan dengan Selatan Johor yang bakal menjadi Wilayah Pembangunan Iskandar apalah sangat yang hendak dibandingkan dengan Pulau Batu Putih tadi. Satu projek mega yang menyaksikan tanahair sendiri bakal diduduki oleh warga asing dengan cara sebegitu rupa, di atas nama pembangunan dan pelaburan, tentunya lebih signifikan kepada kedaulatan negara berbanding pulau Batu Putih tadi.

Dalam banyak hal, negara sudah banyak mengalah dan kalah kepada Singapura sebelum pertarungan bermula lagi. Terdapat kes di mana perbincangan perbincangan yang melibatkan kedua negara dihadiri oleh pegawai yang junior, pertukaran pegawai yang silih berganti berbanding degan pihak Singapura yang jauh bersedia dan pelbagai lagi yang tidak menunjukkan satu kesungguhan di pihak negara.

Maka persoalan yang perlu ditimbulkan adalah sejauh mana kerajaan yang ada hari ini benar benar menjaga kedaulatan negara? Tentunya persoalan ini berbangkit melihatkan komitmen yang ada pada masa ini. Amatlah penting untuk rakyat menilai keseluruhan daripada perkara perkara yang berlaku sekiranya mereka benar benar cintakan tanahair.

Semoga persoalan demi persoalan dapat dibangkitkan untuk memperbetulkan suasana yang ada demi kedaulatan negara tercinta.

 

Advertisements

Read Full Post »

Pertembungan di antara Pak Lah Dan Tun Mahathir nampaknya terus berpanjangan. Serangan demi serangan yang dilancarkan oleh Tun Mahathir menampakkan satu tekanan yang cukup kuat sehingga beliau sanggup untuk melucutkan keahliannya sendiri dari sebuah parti yang diasaskan olehnya selepas parti UMNO yang asal dibatalkan pendaftarannya suatu ketika dahulu.

Walaupun tiada tanda bahawa Pak Lah akan tunduk pada tekanan itu, kita mengharapkan perlawanan yang sedang berlangsung ini tidak meleret leret sehingga merugikan negara. Atas kesedaran itu satu formula perlu dicari untuk menyelesaikan kemelut yang melanda.

Tun mengambil pendekatan melompat keluar daripada parti di kala ramai wakil wakil rakyat BN di Sabah dan Sarawak dikatakan bersedia pada bila bila masa untuk melompat keluar daripada BN. Pendekatannya itu setakat ini tidak dilihat begitu popular di kalangan wakil wakil rakyat serta pemimpin UMNO. Namun angin perubahan terus berlaku walaupun denga tiupan yang dianggap sepoi sepoi bahasa.

Sebenarnya ahli ahli UMNO tidak sepatutnya takut untuk melompat daripada kapal yang hampir karam itu. Nakhoda yang menganggap dirinya nakhoda sepanjang zaman telah melompat keluar ketika arahannya tidak lagi dipakai oleh pegawai dan anak anak kapal yang lain. Saya bersetuju dengan Dato Seri Rafidah Aziz bahawa nakhoda tidak harus disalahkan seratus peratus, tetapi ‘yes man’ dan pengampu yang telah memberikan satu kedudukan yang tinggi kepada nakhoda sehingga tidak lagi mampu ditegur oleh orang sekelilingnyalah yang patut dipersalahkan. Mereka digelarnya hipokrit.

Dan mereka yang hampir karam dengan kapal itu haruslah mula menceritakan kepada dunia, cerita yang sebenar kerana banyak maklumat yang salah serta fakta yang tidak betul diberikan sehingga memutihkan segala yang hitam. Begitulah UMNO dan BN sebenarnya, mereka, dengan penguasaan media dan segala kemudahan yang ada telah memberikan gambaran yang salah bahawa mereka telah melakukan yang terbaik untuk negara sehingga mereka terus diberi pengharapan oleh rakyat. Sehinggalah PRu ke 12 yang telah menghumban kapal mereka sedalam dalamnya ke dalam laut yang tenang.

Berubah ke kapal yang lain tidak semestinya salah. Jika mereka dapat memperbetulkan fakta yang sebenar benarnya, sudah pasti pihak yang telah memberi mereka undi dapat menjustifikasikan kewajaran mereka untuk berpindah kapal. Kapal UMNO sudah tidak relevan dalam membawa suara dan perjuangan rakyat khususnya orang Islam/ Melayu di Malaysia. Sudah lama satu demi satu rakyat Malaysia khususnya orang Melayu dihumbankan ke dalam laut.

Maka, mengapa takut untuk berpindah ke kapal lain yang boleh menyelamatkan keadaan? Lakukanlah ia demi kebaikan negara. Namun, janganlah tersalah memilih kapal, kerana tidak semua kapal yang berlayar untuk menuju ke tempat yang sama. Ketahuilah tujuan anda berlayar dan kenalpasti destinasi anda!

Semoga pelayaran dapat diteruskan dengan penuh keinsafan dan kesedaran, selepas diri hampir karam bersama kapal yang mungkin bakal dikenang sebagai kapal usang yang banyak berjasa, namun banyak juga memberi masalah dan mudarat kepada anak anak kapal dan seluruh makhluk yang berada di lautan. Yang menghiasi kebiruan air yang semakin nampak kehijauan bila mendekati destinasi dan pantai yang dituju.

 

 

Read Full Post »

Cukup Meruncing! Begitulah boleh diibaratkan masalah dan suasana yang ada pada UMNO sekarang ini. Dan Pak Lah selaku Presiden UMNO sekarang ini seakan tiada jalan keluar kecuali satu. Meletakkan jawatan. Namun adakah sekadar terhenti di situ?

Apakah yang terhasil kepada UMNO dengan berhentinya Pak Lah? Dapatkan ianya menghentikan mereka yang sedia untuk melompat bila bila masa? Mampukah ianya memperbetulkan segala kesalahan dan dosa yang dilakukan pada rakyat? Tentunya tidak.

Seorang yang menghasilkan dan mengasaskan sesuatu tentunya mempunyai satu perasaan berbeza atau yang dikatakan sentimental value. Apatah lagi bila di sana banyak pencapaian dan kepentingan yang telah sekian lama menjadi sesuatu yang seakan dirasakan milik peribadi.

Seorang yang mudah berasa tercabar tentunya tidak hanya memikirkan kepentingan sendiri bila berhadapan dengan krisis yang sedang melanda. Apatah lagi selepas beberapa ‘Pet Projects’ ditimbus hidup hidup, duit rakyat dengan sewenang wenangnya dibuang ke Laut China Selatan dan pelbagai lagi yang begitu menekan minda dan perasaan termasuk ahli keluarga yang dipermainkan sebegitu rupa, apa lagi yang tinggal pada kehormatan?

Perlu diingat, apa yang diistilahkan sebagai gangrene dan selayaknya dibuang itu bukanlah sekadar individu dan komponen tertentu, bahkan keracunan akibat gangrene itu telah merosakkan seluruh sistem dan jentera UMNO! Maka hanya satu pilihan yang ada, satu ubat dengan dos industri (industrial dose) yang menghilangkan segala racun itu perlu disuntik secepat mungkin ke dalam tubuh yang boleh dikatakan menunggu masa untuk menjadi jasad terkujur. Yang bukan saja tidak dipandang bahkan dicemuh kerana kebusukan dan kehodohannya.

Kita tidak berhadapan dengan sandiwara sebagaimana pelakonan semula satu kisah mengisi senjata ke dalam trak tentera yang berlaku sedikit masa dahulu. Kita berdepan dengan pertembungan yang bakal mencatat sejarah pahit kepada perjuangan yang tidak diasaskan kepada apa jua melainkan perjuangan merebut kuasa demi kroni dan segala kepentingan di sekelilingnya.

Nantikan PRU seterusnya yang bakal menjelma. Awas! Di sana mungkin menanti kita, segala penipuan dan taktik yang cukup hina dan nista. Bersiap sedialah wahai orang muda dan tua!

Read Full Post »

Dipetik daripada blog penarikbeca.

PAS tiada kuasa di Kelantan?

Sejak 1990, PAS Pusat hampir tidak ada suara di Kelantan. Beberapa tahun lalu, mesyuarat Majlis Syura PAS yang tidak dihadiri oleh Tok Guru Mursyidul Am, walaupun secara berlapik, tidak bersetuju dengan penganjuran konsert Mawi. Kerajaan Kelantan, seolah-olah tidak ada kena-mengena dengan PAS, berdegil dan buat juga konsert itu.

Terbaru, saranan Tok Guru Presiden dibakulsampahkan begitu sahaja di Kelantan. Saya sebut saranan sebab Tok Guru tak rajin nak buat arahan. Akhirnya Tok Guru kata, “biarlah”. Jangankan kuasa, hatta suara pun PAS Pusat tidak ada di Kelantan.

Hari ini, saya terkejut apabila baca berita The Star bertajuk ‘Ahmad is the chosen one to succeed Tok Guru’. Saya terkejut kerana berita itu bersumberkan Speaker Dewan Undangan Negeri Kelantan, Datuk Wan Abdul Rahim Wan Abdullah.

Saya tak ada rasa sakit hati kepada Cik Gu Rahim. Dia orang baik. Saya selalu kalah dengan tutur bicarannya yang sopan dan teratur. Tetapi saya terkejut apabila seorang strategis yang mahir dengan Perlembagaan dan amalan umum dalam parti seperti Cik Gu Rahim membuat kenyataan seperti itu.

Setahu saya, orang yang akan dilantik menjadi Menteri Besar ialah orang yang dilantik sebagai Pesuruhjaya PAS Negeri, melainkan Pesuruhjaya kalah dalam pilihan raya atau tidak bertanding seperti Ustaz Ahmad Awang di Perak.

Pihak yang melantik Pesuruhjaya pula ialah Presiden PAS, di dalam dan dengan persetujuan mesyuarat Jawatankuasa PAS Pusat (Barangkali, hanya itu sahaja kuasa PAS Pusat di Kelantan).

Sebelum ini, perlantikan sesuatu jawatan utama dalam kerajaan diberikan kepada pemimpin paling senior di dalam sesebuah negeri. Ketika PAS mula-mula menang di Kelantan pada pilihan raya 1990, pemimpin paling kanan di Kelantan ialah Tok Guru. Beliau ketika itu ialah Ketua Dewan Ulama yang bertaraf Naib Presiden parti (Mursyidul Am ketika itu ialah Almarhum Ustaz Haji Yusof Rawa). Dengan sendirinya, berdasarkan senioriti, Tok Guru menjadi Menteri Besar.

Ketika PAS menang di Terengganu dalam pilihan raya 1999, pemimpin paling kanan di Terengganu ialah Tok Guru Presiden yang ketika itu menjadi Timbalan Presiden PAS. Dengan sendirinya, berdasarkan senioriti, Tok Guru menjadi Menteri Besar.

Apabila PAS menang kerusi terbanyak di Kedah di kalangan parti-parti dalam Pakatan Rakyat dalam pilihan raya 8 Mac lalu, dengan sendirinya Adun dari PAS menjadi Menteri Besar.

Adun PAS yang paling kanan kedudukannya dalam parti ialah Ustaz Azizan Abdul Razak. Beliau bukan sahaja Pesuruhjaya PAS Kedah dan Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, malah anggota Majlis Syura PAS. Dengan sendirinya, berdasarkan senioriti, Ustaz Azizan menjadi Menteri Besar.

Begitulah prosedur dan konvensyen yang terpakai di dalam PAS, sama ada PAS Pusat mempunyai suara di negeri berkenaan atau tidak. Tidak kira bagaimana baik dan ‘perut betul’ pun seseorang Naib Ketua Kawasan, belum pernah berlaku pemegang jawatan itu memotong pemimpin yang lebih kanan untuk menjadi Menteri Besar.

Melainkan saya tidak mendapat tahu berlakunya perubahan di Kelantan mengenai peraturan dan amalan yang selama ini terpakai di dalam PAS, saya menulis dalam konteks prosedur dan konvensyen yang terpakai di dalam parti itu selama ini. Bukan mengenai siapa yang baik dan siapa yang kurang baik.

Semua nama yang disebut baik-baik belaka, melainkan kita gagau sungguh-sungguh kelemahan mereka.

Read Full Post »

 

‘SELAMAT HARI GURU KHAS UNTUK SEMUA PENDIDIK’

Cabaran guru, ketulenan ibubapa dan pencarian hidup anak kecil
Guru kerjaya mulia
Guru merupakan antara profesyen yang dipandang mulia dalam masyarakat. Diumpamakan guru itu seperti lilin yang membakar dirinya sendiri menerangi kegelapan alam. Sudah semestinya pengiktirafan yang diberikan itu sejajar dengan sumbangan mereka dalam perbentukan masyarakat.

Namun di dalam menyusun kata menghargai pergorbana seorang guru, terdengar kita pelbagai cerita mengenai guru dan kerjayanya yang agak membingungkan, dari pergaduhan di perhimpunan sekolah yang pernah berlaku sebelum ini hinggalah perlakuan yang agak negatif di kalangan mereka termasuk dengan anak muridnya. Terasa tidak masuk akal. Tidak munasabah jiwa dan perwatakan guru yang bersifat mendidik itu dinodai dengan titik-titik kegelapan, walhal mereka harapan ibu bapa.

Mereka pemangkin kepesatan pembangunan diri dan sumber manusia yang mengangkat kedudukan sesebuah negara. Untuk berlaku adil, kita bolehlah mengatakan ianya berlaku kepada segelintir kecil guru. Pun begitu, sebab kepada permaslahan itu perlu dicari.
Di mana silapnya?
Tekanan mendapatkan perkerjaan telah menyebabkan siswasah dilabel tidak berterima kasih kerana tidak membayar balik pinjaman dari tabung pendidikan tinggi negara. Puluhan ribu yang tidak dapat berkerja walaupun telah mempunyai segulung ijazah kebanggaan ibu bapa. Pada masa sama, ia mungkin melahirkan guru guru yang bukanlah begitu berminat dalam bidang pendidikan, tapi kerana tiada pilihan, mereka menjadi guru.

Pendidikan hari ini tentu lebih mencabar dan mahal dibandingkan dengan 20-30 tahun lepas. Guru guru terpaksa mengadakan kelas tambahan dan pelbagai aktiviti lain untuk mendapat pendapatan tambahan. Majoriti pelajar pelajar sekolah hari ini mengikuti kelas tambahan. Masa pembelajaran yang ada di kelas seakan tidak mencukupi untuk digunakan sebaiknya bagi memberi kefahaman kepada pelajar-pelajar.
Adakah disebabkan sukatan pelajaran yang semakin sukar? Ataupun kekurangan masa ibubapa untuk bersama anak-anak dalam meninjau kefahaman dan mengulangkaji pelajaran anak masing-masing? Kelas tambahan yang seakan menjadi satu trend pada ketika ini mengurangkan lagi masa ibu bapa bersama anak-anak mereka.

Zaman keemasan kanak-kanak
Teringat juga laporan berita sebelum ini mengenai ramai murid-murid sekolah yang ponteng kelas akibat kurang merasakan kepentingan dan keseronokan berada dalam kelas. Salah siapa? Anak-anak kecil yang kurang mengerti erti sebuah masa depan mungkin telah disogokkan dengan keseronokan lain atau erti kehidupan yang berbeza. Tidak kurang juga anak kecil yang terpaksa mencari duit tambahan untuk keluarga serta tidak mampu untuk pergi ke sekolah akibat faktor kewangan. Lantas mereka tercicr dari persekolahan. Di negara negara membangun, ibu bapa boleh didakwa dan disumbat ke dalam jel sekiranya membiarkan anak-anak ponteng sekolah. 

Murid murid perlu dibantu untuk  merasai keseronokan dalam mereka meniti zaman kanak-kanak mereka. Pembesaran dan persekitaran yang mewarnai kehidupan kanak-kanak itu amat penting dalam menentukan hubungan dan kasih sayang (bonding) mereka dengan keluarga tersayang.

Guru, ibubapa dan anak-anak
Penglibatan ibu bapa dengan sekolah melalui PIBG dan lain-lain aktiviti sekolah merupakan satu faktor utama dalam pemantauan aktiviti sekolah dan pencapaian anak masing-masing. Ia sangat ditekankan kerana input dari kedua belah pihak boleh memberi kelainan dan rasa tanggungjawab yang lebih dalam usaha memurnikan suasana dan sistem pembelajaran itu sendiri.

Faktor-faktor penting seperti pemakanan anak-anak di sekolah merupakan satu unsur yang perlu dititikberatkan kerana ia membantu penumpuan dalam kelas. Di United Kingdom, tukang masak terkenal seperti Jamie Oliver dibawa ke sekolah-sekolah untuk menggalakan murid-murid mengamalkam pemakanan yang sihat dan seimbang.

Kegiatan ko kurikulum yang lebih menarik dan pelbagai, amat bermanfaat untuk membentuk kemahiran dan membuka minda pelajar-pelajar untuk mendalami bidang yang diminati. Ini mengelakkan masa dibazirkan dengan akitiviti yang kurang bermanfaat seperti rancangan hiburan, permainan elektronik dan pelbagai lagi. Kemahiran pertukangan atau DIY (do it youself) pula bakal membantu kehidupan pada masa-masa akan datang .

Masa untuk bertindak
Sekarang merupakan masa untuk bertindak bagi mencari pengertian sebenar dalam melahirkan masyarakat yang berwibawa, berpendidikan dan bertanggungjawab. Dengan perubahan demi perubahan yang berlaku akibat pertukaran polisi dan pendekatan yang berbeza dari seorang menteri kepada yang lain, guru dan ibu bapalah yang seharusnya memainkan peranan yang lebih proaktif dalam membantu pendidikan anak anak.

Kemelut kehidupan yang menanti anak-anak di masa hadapan, kos yang terbeban kepada ibu bapa sudah cukup untuk menyedarkan kita bahawa anak-anak kita mempunyai risiko yang tinggi untuk ketinggalan dalam arus pendidikan perdana serta dunia pekerjaan yang sudah tentunya lebih kompetitif dan mencabar.

Tanpa jati diri yang kuat, anak-anak yang sejak kelahirannya lagi terasing di tangan orang lain tidak akan mampu menjiwai sebuah perjuangan dan mengungguli sebuah kehidupan. Buat guru dan ibubapa yang dihormati, serikan hidup anak kecil itu dengan ilmu dan sopan santun, dengan agama penyuluh kehidupan. Sekiranya tidak ingin anak murid kencing sambil berlari janganlah kita pula yang kencing berdiri. Kita masih boleh berketawa pada hari ini, tetapi di depan hari, siapa tahu nasib anak anak kita.

 

Read Full Post »

Pencapaian PRU ke 12 merupakan satu kejutan kepada banyak pihak. Bagi parti PAS, ianya sudah pasti boleh dianggap pencapaian terbaik sepanjang penglibatan dalam kerja pilihanraya. Begitu juga dengan DAP yang dikira antara parti yang lebih tua dan berumur di dalam Pakatan Rakyat.

Namun pengalaman yang banyak di pihak parti PAS tidak dapat membaca rentak dan gelodak jiwa rakyat. Dengan hanya mensasarkan beberapa negeri seperti kebiasaannya dan berkubu di Kelantan dengan serangan yang bertubi tubi daripada pihak lawan, mereka tidak pernah menyangka untuk mempunyai tiga Menteri Besar!

Dan dengan target menafikan majoriti dua pertiga kerusi Barisan Nasional mereka tidak pernah terfikir betapa harapan rakyat itu mengatasi kebencian kepada keangkuhan dan permainan politik rakus yang diamalkan oleh kalangan pemimpin parti memerintah itu. Kemenangan di luar jangkaan itu membuat kepimpinan dan ahli ahli kita tergamam untuk seketika. Lantas bersyukur sebanyak banyaknya!

Maka kepimpinan tertinggi termasuk Naib naib Presiden, Dato Husam Musa tidak bertanding kerusi parlimen, manakala Tuan Haji Mohamad Sabu pula bertanding di parlimen Kuala Terengganu yang walaupun cukup berpotensi untuk menang, dikalahkan oleh perancangan baik oleh pihak Barisan Nasional Terengganu.

Dua tokoh yang cukup dikenali di peringkat parlimen ini sangat dihormati dan digeruni oleh kawan dan lawan. Ketiadaan mereka dirasakan di saat parlimen dikatakan bergegar dengan suara suara baru yang cukup bernas dan berfakta dari ahli ahli parlimen Pakatan Rakyat.

Pun begitu dengan sandaran 22 ahli parlimen PAS, strategi dan kekuatan parti tetap menjadi satu aset yang cukup meyakinkan. Menilai prestasi ahli ahli parlimen PAS yang ada sekarang ini (walaupun mungkin dikira terlalu awal) kita dapat memberikan kredit kepada semua daripada mereka. PAS merupakan antara parti yang kesemua ahli parlimennya menghantar soalan ketika parlimen mula bersidang. 

Dengan Presiden PAS sendiri merupakan di antara ahli parlimen yang cukup aktif dalam menyertai perbahasan di samping membawa usul usul yang dilihat cukup relevan oleh pelbagai pihak termasuk NGO NGO, PAS berjaya membuktikan kemampuan mereka menjangkaui politik kepartian yang sengaja dijadikan isu oleh sesetengah pihak. Tentunya dengan dasar dan prinsip perjuangan yang jelas itu, PAS boleh meneroka ruang yang lebih luas untuk membayar balik kepercayaan yang diberi, sekaligus kemampuan untuk mentadbir dengan polisi dan pendekatan yang cukup sesuai dan praktikal.

Walaupun dua tokoh utama PAS itu tidak dapat bersuara di parlimen, kita yakin perjuangan dan idea mereka dapat diteruskan oleh ahli ahli parlimen PAS yang ada sekarang. Dalam apa jua hal, bukanlah tempat yang membezakan ‘validity’ sesuatu pandangan dan ‘credibility’  seseorang itu, malah ianya banyak bergantung kepada ketajaman idea dan relevannya idea itu pada sesuatu masa.

Siapa jua yang merasa terpanggil dan bertanggungjawab untuk membela nasib rakyat yang tertindas dan tidak terbela, tanpa mengira agama, bangsa dan fahaman politik mereka, pasti akan disanjung oleh masayarakat. Teras keadilan dan kesejagatan yang dipegang itu mengungguli segala teori dan praktikal yang disandarkan kepada faktor dan sebab musabbab  semata mata.

Dengan kejujuran yang sejujurnya, pasti nilai dan aset yang menyumbang kepada kekuatan parti tadi diberikan pengiktirafan yang selayaknya demi kelangsungan perjuangan ini. Moga kekuatan yang dijanakan oleh kepimpinan PAS dan ahlinya membawa kesatuan jiwa di kalangan segenap lapisan masyarakat yang mendambakan kedamaian hakiki.

Read Full Post »

Kekuatan ekonomi sesebuah parti politik merupakan satu aset penting dalam meneruskan agenda perjuangan mereka. Sebelum ini, dalam suasana kekangan politik dan ekonomi yang diamalkan oleh Kerajaan Pusat dari Barisan Nasional, sudah pasti kekuatan ekonomi parti pembangkang tidak akan dibiarkan berkembang. Segala tekanan diberikan kepada mereka.

Kelewatan geran perkapita, keistimewaan yang dinikmati oleh wakil wakil rakyat Barisan Nasional tidak lebih hanyalah untuk menyakitkan hati wakil wakil rakyat yang lain termasuklah pihak kerajaan yang telah mendapat mandat rakyat. Ini berlaku kepada Kelantan untuk berbelas tahun sepanjang pemerintahan mereka. Tidak pelik sekiranya YAB Tuan Guru Menteri Besar Kelantan baru baru ini menuntut Kerajaan Pusat membayar pampasan kepada Kelantan.

Namun dengan adanya lima negeri di bawah pentadbiran Pakatan Rakyat dengan negeri Selangor mendahului dari segi kemajuan dan kekayaan berbanding dengan negeri negeri lain, parti komponen perlulah memikirkan langkah langkah terbaik untuk memperkuatkan ekonomi negeri negeri yang ditadbir.

Parti parti yang mendokongi perjuangan yang telah disatukan di bawah payung Pakatan Rakyat tentunya cuba mendekatkan segala jurang yang ada. Usaha ke arah itu seharusnya dibuat sedapat mungkin demi mengekalkan kepercayaan yang telah diberikan oleh rakyat. Walau apa pun yang diperkatakan, Makkal Sakti telah memilih calon selain Barisan Nasional di banyak tempat tanpa mengambilkira individu yang bertanding. Atas alasan apa sekalipun hakikat itu harus diterima.

Maka memperkuatkan imej parti dan pemimpin dari kalangan Pakatan Rakyat amatlah penting. Antaranya memastikan segala janji janji dapat disempurnakan dengan sebaik mungkin. Rakyat ingin melihat pemimpin yang menjadikan kuasa pentadbiran sebagai alat untuk memberi kemajuan dan kesenangan kepada mereka,  bukan kesenangan kepada pemimpin sahaja.

Pemimpin mempunyai banyak  privilege dan kelebihan yang sudah tentunya memudahkan mereka melaksanakan tugas. Namun ianya bukan sesuatu yang harus dibanggakan. Tanpa rakyat yang mengangkat mereka, tiadalah hebatnya seorang pemimpin itu. Pemimpin disanjung atas komitmen dan perjuangan mereka, bukan sekadar penonjolan fizikal yang segak dan kemas.

Dasar setiap parti merupakan satu rujukan yang cukup baik untuk memperbetulkan  kepimpinan yang tersilap langkah. Pemimpin juga adalah manusia. Peluang untuk menegur pemimpin perlu digunakan sebaik mungkin untuk mengingatkan mereka akan prinsip perjuangan. Setiap kesalahan perlu ditegur walaupun siapa jua pelakunya. Manusia itu bersifat pelupa dan mudah dilalaikan dengan urusan yang pelbagai.

Di atas imej yang baik juga Makkal Sakti menaikkan kerajaan Barisan Nasional pimpinan Pak Lah pada PRU 11, 2004. Rakyat telah memberi beliau peluang dan empat tahun yang dilaburkan oleh Pak Lah untuk membalas kepercayaan rakyat itu tidak meninggalkan bekas yang baik untuk mengekalkan harapan dan kepercayaan yang diberi.

Di atas kesedaran ini, pemimpin tertinggi parti parti Pakatan Rakyat perlu menampilkan imej terbaik sesuai dengan semua latar belakang dan pengharapan rakyat demi meneruskan kesinambungan perjuangan yang tentunya diberi sepenuh perhatian oleh mereka. Mereka juga perlu membersihkan imej parti dari kekotoran dan keburukan  yang diakibatkan oleh beberapa individu yang hilang prinsip perjuangan. Janganlah sebab nila setitik rosak susu sebelanga.

Kebenaran yang dicari sudah semestinya menuntut komitmen walaupun hasil itu belum tentu dapat kita lihat. Namun membiarkan penyakit membarah di dalam jasad merupakan satu tindakan kurang bijak yang akhirnya bakal dizahirkan jua dengan kelesuan dan tanda tanda fizikal yang cukup untuk menjauhkan orang sekeliling kita. Amatlah malang sekiranya yang menjauhkan diri itu adalah pengundi yang pernah memberi kepercayaan kepada kita!

Read Full Post »

Older Posts »