Minyak atau dikenali juga sebagai emas hitam merupakan satu kurniaan yang cukup bermanfaat untuk manusia. Ianya mengambil masa beribu tahun untuk terhasil. Memikirkan tentang kejadiannya sudah cukup untuk membuktikan alam ini ada Tuannya.
Yang lebih menarik lagi, sejumlah besar daripada minyak yang ditemui dan dicarigali hari ini menjadi milik negara negara Islam dan umat Islam. Namun memikirkan kesusahan dan segala ujia yang menimpa ramai daripada mereka, seakan kurniaan yang cukup bernilai ini hanya menjadi milik segelintir golongan tertentu. Bahkan lebih malang lagi, harga minyak di pasaran yang melambung tinggi hari ini tidak membawa banyak manfaat kepada mereka melainkan keperitan.
Kenaikan harga minyak dan penyusutan nilai dollar amerika boleh diibaratkan seperti jongkang jongket walaupun spekulasi keterlaluan di pasaran juga dikatakan penyebab kenaikan harga minyak. Walaupun dikhuatiri penggunaan bahan bakar akan menjadikan minyak dan segala hasilnya pupus suatu hari nanti, kita yakin dengan kepesatan teknologi dan selagimana ketaatan manusia itu menjadi modal untuk amalan dunia ini menjadi bahan dagangan yang bernilai disisiNya, selagi itulah kurniaan Allah itu terbentang luas menjadi milik manusia.
Negeri Kelantan menyertai beberapa negeri seperti Terengganu dan Sabah sebagai bumi Malaysia yang memiliki sumber ini. Dengan anggaran simpanan gas menjangkau 13 trillion kaki persegi di tujuh buat telaga, sudah pasti ianya merupakan aset yang cukup bernilai buat negara kita, khususnya rakyat Kelantan.
Di kala kenaikan mendadak harga runcit petrol semakin dirasai oleh kebanyakan kita, maka gas sebagai bahan bakar yang kurang kesan pencemarannya, sepatutnya menjadi bahan alternatif yang boleh dipopularkan di negara ini sepertimana di Itali, China dan negara jiran, Singapura.
Sudah pasti sekiranya sumber ini dapat diusahakan dan polisi serta pendekatan yang lebih telus dan jujur diambil oleh pihak kerajaan persekutuan, hambatan hidup yang mengejar rakyat Malaysia akan dapat dikurangan. Mungkin kerana hasil yang bakal menanti rakyat Kelantan cukup besar, maka usaha ini telah dilambatkan.
Penjelasan yang dibuat oleh pihak kerajaan dan juga Petronas tidak menampakkan tanda tanda untuk berkompromi dengan harga minyak yang telah dinaikkan. Tiadakah ruang untuk rakyat merayu dan ruang untuk suara mereka didengar? Adakah pintu rundingan telah ditutup? Andai bahan bakar itu boleh berkata kata, nescaya mereka juga ikut bersimpati dengan nasib rakyat yang tersepit akibat kenaikan tadi.
Tinggalkan Jawapan