Feeds:
Kiriman
Komen-komen

Archive for September 2008

 

Asean patut kaji kedudukan Filipina PDF Print E-mail
Thursday, 18 September 2008
KUALA LUMPUR, 17 Sept (Hrkh) –Dewan Pemuda PAS Pusat (DPP Pusat) memandang serius perkembangan politik yang berlaku di Mindanao semenjak kebelakangan ini.Menurut Ketua Pemuda PAS Pusat, Salahuddin Ayub,tekanan politik dan keganasan tentera telah berlaku dengan begitu berleluasa sehingga menyebabkan hampir setengah juta orang awam menjadi pelarian.

“Pendirian terbaru Presiden Arroyo jelas menunjukkan bahawa Filipina tidak lagi berminat untuk menyelesaikan konflik yang berlaku secara rundingan, tetapi lebih cenderung untuk menggunakan pendekatan keganasan.

“Filipina sepatutnya sedar bahawa Mindanao adalah wilayah umat Islam yang tidak pernah dijajah oleh Sepanyol mahupun Amerika Syarikat, tetapi mereka menyerahkannya kepada Manila,”jelasnya dalam satu kenyataan kepada Harakahdaily hari ini.

Tambahnya, rakyat Mindanao tidak mengiktiraf kekuasaan Manila ke atas mereka dan apa yang dituntut ialah kemerdekaan.

“Jika Manila bersedia mengakui hakikat ini, konflik ini akan selesai dengan segera. Sebaliknya, Manila mengambil sikap sebagai penjajah yang tidak menghormati hak asasi manusia.

“Kerana itu tidak hairan jika berlaku rundingan dalam keadaan ‘senjata di kepala’ mereka,”katanya lagi.

Katanya,sebelum ini beberapa usaha telah dibuat oleh Malaysia supaya krisis ini diselesaikan di meja rundingan dan Kuala Lumpur telah bersedia menjadi orang tengah.

“DPP Pusat menyokong langkah Wisma Putra untuk menyelesaikan masalah ini secara keluarga Asean demi mengekalkan kestabilan politik di rantau ini.

“Tetapi Manila yang gagal memenuhi keperluan-keperluan rundingan termasuk enggan menyertai rundingan terakhir di Kuala Lumpur. Alasan Manila berkenaan tiga komander MILF yang menyerang orang Kristian adalah amat terpencil kerana tentera Filipina sendiri bertindak lebih ganas termasuk membakar rumah orang awam,”ulas Salahuddin lagi.

Beliau mendesak supaya kedudukan Filipina dalam Asean dikaji semula seperti mana sikap Wisma Putra terhadap Rangoon sebelum ini.

“Kita bukan bermaksud mencampuri urusan negara jiran, tetapi jika tindakan mereka telah mencabul hak asasi rakyat dan boleh mengundang ketidakstabilan politik rantau ini, maka tindakan tegas harus dikenakan ke atas mereka.

“Filipina patut digantung daripada Asean supaya Manila sedar tentang kesilapan mereka dalam menyelesaikan masalah ini. DPP Pusat juga berharap supaya Wisma Putra dapat memanjangkan masalah ini kepada OIC kerana ia melibatkan kepentingan umat Islam secara khusus terutama dalam bulan Ramadan ini,”tegasnya. – mks.

Read Full Post »

Proaktif Lawan Defensif

Semua mereka yang waras akan berhajat kepada yang baik, lebih baik dan terbaik. Bahkan orang yang kurang waras pun akan mengharapkan yang baik bila mereka sihat dan dapat mengatasi penyakit mereka dengan ubat ubatan serta izinNya. Yang penting ikhtiar. Masalah utama dengan pihak keluarga yang berhadapan dengan pesakit mental adalah cara mereka menangani apa yang boleh dikatakan krisis ini (crisis management)

Negara kita mungkin berhadapan dengan krisis kepimpinan terburuk sekarang ini. Namun antara penyakit krisis kepimpinan dan penyakit penyakit lain yan melanda, tentunya kita akan dihadapkan dengan pelbagai jawapan. Namun sikap manusia yang suka menyalahkan orang lain adalah satu daripada penyakit yang susah untuk dikenalpasti.

Berhadapan dengan masalah negara, Perdana Menteri kita melabel Dato Seri Anwar Ibrahim sebagai ancaman kepada ekonomi dan keselamatan negara. Ini satu pandangan daripada seorang Perdana Menteri yang merasaan kedudukannya dicabar. Kedua dua pihak mempunyai justifikasi sendiri untuk mengekalkan kuasa dan mengambil alih kuasa. Demi kebaikan negara. Untuk kebaikan Islam, sukar untuk kita bezakan yang mana mempunyai keinginan yang lebih besar.

Namun sebagai sebuah parti politik, acuan Islam UMNO sudah terbukti tidak pernah bersungguh untuk memartabatkan Islam. Itu adalah bahan sejarah. PKR membawa agenda keadilan, namun ruang untuk mencorak pentadbiran yang memperlihatkan Islam diberi seluas luas ruang untuk diamalkan masih perlu dibuktikan (yet to be proven)

Parti Islam Semalaysia, PAS sebagai parti yang memperjuangkan hak dan kesyumulan Islam sudah pasti mempunyai pendokong dan pemikir yang sarat dengan segala macam khazanah untuk memposisikan Islam dalam ruang dan peluang yang ada ini. Samada ianya bermula dengan Kelantan contohnya dibenarkan untuk melaksanakan syariat Islam serta pelbagai lagi keutamaan yang boleh memberi kesedaran dan tarikan orang Islam secara khususnya mahupun orang bukan Islam amnya kepada Islam, satu asas baru telah berjaya diperolehi untuk ruang perubahan itu.

Dato Seri Anwar Ibrahim dilihat begitu proaktif dalam usahanya serta juga mengimani pegangannya bahawa UMNO khususnya dan BN amnya sudah tidak lagi berjaya membawa kebaikan dan menjaga kepentingan rakyat Malaysia. Sepatutya ini dikongsi oleh semua ahli dan komponen Pakatan Rakyat. Kita meyakini sikap ini wujud namum ianya perlulah dipertingkatkan lagi.

Bila sikap proaktif berhadapan dengan sikap defensif, sudah pasti kita akan menyaksikan satu perlawanan yang berat sebelah. Yang kita harapkan ialah ianya tidak meleret dan membawa kepada penggunaan senjata yang boleh merosakkan perlawanan itu. Yang akhirnya merosakkan segala yang ada di sekelilingnya. Moga dijauhkan.

Read Full Post »

Siapakah Ejen UMNO Dalam PAS?

Ejen pada bahasa bermaksud wakil, usaha mengumpulkan, mempengaruhi dan penyebab. Manakala menjadi ejen pula bermaksud  melakukan usaha  untuk mempengaruhi sesuatu urusan yang menjadi penyebab kepada sesuatu keputusan itu dibuat. Dan menjadi ejen dalam konteks perniagaan membawa konotasi keuntungan peribadi.

PAS merupakan parti massa. Bukan untuk golongan terpilih dan elit. Mereka yang menyertai PAS datang dari pelbagai latar belakang, samada dari sudut strata masyarakat mahupun sosiopolitik. Bukan semua yang melalui proses pemahaman untuk mendokong aspirasi dan dasar perjuangan PAS. Namun bukanlah menjadi satu syarat untuk pemahaman sebegitu bagi memastikan seseorang itu terus kekal bersama PAS.

Seorang yang berkedudukan setinggi  presiden pun pernah meninggalkan PAS. Manakala seorang petani dan buruh yang sanggup melakukan apa saja demi memperjuangan PAS, menangisi kekalahan serta menempuhi segala suka duka dalam arus perjuangan politik kepartian terus kekal sehingga menemui Tuhannya. Ada yang menemui syahid, menderita di penjara tanpa bicara dan pelbagai lagi. Niat mereka yang suci adalah untuk melihat PAS bangkit dan Islam terus dijulang.

Mungkin ada yang menganggap orang PAS yang bercakap senada dengan UMNO adalah seolah olah ejen UNMO. Bagi saya tidak begitu. Kematangan berpoliitik di kalangan ahli PAS membawa pelbagai pandangan dan suara di atas niat untuk melihat PAS terus maju dan berada di hadapan.

Kemenangan besar kali ini yang menyaksikan majoriti 2/3 BN dikuburkan telah membawa pelbagai reakasi dan mungkin juga ‘uncertainties’ ataupun ketidakpastian. Ketidak pastian ini dikatakan mengundang pelbagai perkara negatif dan ketidakstabilan di dalam negara. Sebenarnya ini hanyalah satu andaian dan ketakutan yang sengaja dicipta.

Mereka yang tidak pernah bersedia untuk mencapai kemenangan dan di pihak yang tidak pernah terfikir untuk mengalami kekalahan pastinya sukar menerima perubahan ini. Apatah lagi setelah 50 tahun lebih ketuanannya tidak pernah tercabar sebegitu rupa. Inilah kegundahan yang menekan jiwa. Namun adakah rakyat juga begitu?

Rakyat sudah lama bersabar dan memberi harapan pada BN. Namun apabila sabarnya sampai ke tahap maksima, harapan pula tinggal janji yang menjadi kenangan hambar, maka rakyat berubah serta menaruh harapan, bila dilihat ada sinar lain yang seakan memancar.

Bila harapan ini diberi pada PAS, maka yang ingin menjadi ahli PAS bukan setakat melayu, bahkan pelbagai kaum. Kelab penyokong mendapat tempat sehingga ke rumah panjang. Saya sendiri pernah menyertai usaha ini. Tiada janggal walau sedikit di pihak yang menerima. Mereka yang berjaya menjadi ahli PAS, datang dengan penuh harapan. Walaupun tidak dinafikan mungkin ada segelintir yang ingin mencari peluang.

Namun sifat kepimpinan kita yang terbuka dan berlapang dada, terutama Al Fadhil Tuan Guru Presiden sendiri tidak pula cuba dicontohi oleh segelintir kepimpinan dan ahli ahli yang lain. Inilah bibit bibit perpecahan yang mulai merosakkan kemurnian perjuangan.

Sudah pasti program tarbiyah yang mantap mampu mengekalkan perpaduan dan mengukuhkan tanzim dan gerakerja parti. Hati yang inginkan kebaikan akan meruntuhkan fahaman jahiliyah dan sikap buruk sangka sekiranya ada. Sekiranya perpaduan ini terjaga, sudah pasti jarum UMNO itu tidak akan tertusuk dalam daging PAS. Namun sekiranya kelonggaran itu terus dibiarkan, ianya membawa segala macam penyakit.

Benarlah, gemuk itu membawa penyakit, namun sekiranya ubatnya adalah kurus, biarlah ianya sekadar untuk membetulkan komposisi, bukannya kurus yang kekurangan zat. Inilah fokus kita untuk ke hadapan. Inilah jalan menuju kemenangan. Selamat maju jaya buat semua pendokong PAS.

Read Full Post »

Banyak persoalan yang dikatakan masih belum selesai bila bercakap tentang kerajaan Pakatan yang sedang menuju Putrajya. Ini ditimbulkan oleh sesetengah pihak yang melihat seolah olah agenda Pakatan Rakyat menuju Putrajaya adalah agenda peribadi Dato Serianwar Ibrahim. Benarkah begitu?

Tentunya mereka yang beranggapan demikian meletakkan  asas hujahnya kepada apa yang berlaku sehingga kini. Di mana seakan perbincangan yang berlaku di peringkat pimpinan Pakatan Rakyat perlu dan telah diketahui kesemuanya oleh semua pemimpin dan ahli keseluruhnnya.

Walaupun begitu perlu juga ditanya, apakah persoalan yang sama juga diajukan dan sejauh mana mereka mengetahui secara mendalam bentuk perbincangan yang pernah dibuat oleh pimpinan yang berbincang dengan UMNO khususnya Pak Lah? Yakinkah mereka semunya telah diceritakan sejelas jelasnya? Bentuk apakah persefahaman yang telah dibina dan apakah yang sebenarnya ditawarkan? Agenda kemenangan Islamkah semua itu?

Mencipta soalan demi soalan bukan sekadar boleh menjelaskan sesuatu tetapi pada masa yang sama menunjukkan sikap dan pendrian kita. Bila kita tidak tahu, tentunya kita tidak akan berpuasa hati sehinggalah jawapannya ditemui. Itu sifat manusia. Bila pertemuan untuk membincangan kerajaan persekutuan pakatan rakyat mula berlangsung beberapa hari lepas, timbul pula cerita seolah ianya tidak mewakili suara PAS. Walhal presiden telah meminta supaya salah seorang naib presiden untuk mewakilinya.

Begitulah sebenarnya gambaran betapa manusia yang telah terpasak mindanya dengan satu pengertian yang telah dibina, sukar untuk menerima perubahan. Sebelum perubahan berlaku lagi telah digambarkan betapa ianya satu kegawatan, satu ‘disaster’ yang bakal berlaku, menganggap ianya kemenangan yang ‘premature’ dan tidak bermoral.

Menganggap penubuhan kerajaan persekutuan Pakatan Rakyat sebagai satu kemenangan adalah tidak tepat, kerana ianya hanyalah titik awal kepada satu kebebasan dan suara rakyat yang akan mewarnai demokrasi negara. Kita dijanjikan begitu. Manakala menganggap kemenangan yang bakal menjelma sebagai tidak bermoral pula adalah tidak tepat juga, kerana kemenangan BN pada PRU umum selama inilah yang tidak bermoral, tidak didasari dengan ketelusan dan kebenaran. Bahkan dipenuhi kebatilan.

Menangnya kerajaan Islam PAS di Kelantan dibaluti segala kebatilan akibat kejahilan dan kebencian pemimpin UMNO pada Islam. Selama 18 tahun ini, adakah kita berbangga yang ianya kerajaan Islam? Saya yakin kiranya Islam telah diberikan ruang seluas luasnya, bukan setakat Malaysia, BAHKAN ASIA MENJADI BENUA ISLAM!

Kerajaan Rakyat bakal ditubuh. Ini lanskap baru politik negara. Biarkan ia berlaku. Negara yang saban hari bertukar kerajaan tetap dengan kemajuan dan terus menjadi negara maju. Sedangkan kita pula telah ‘overdue’ untuk menjadi negara maju angkara kerajaan yang ada sekarang ini. Salahkah usaha mengembalikan kuasa rakyat? Mengapa tiak dapat memberi peluang kepada perubahan berlaku sebelum membuat justifikasi? Adilkah kita? Semoga adilnya kita membawa sejuta makna dan erti pada kedaulatan dan kemakmuran negara.

Read Full Post »

Rasakan!

Tiba tiba perkataan itu tercetus di minda dan saya terjemahkan ia dalam penulisan ini. Pemimpin PAS Kelantan khususnya YAB Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat telah merasakan keperitan bila talihayat Kerajaan PAS Kelantan bergantung kepada satu kerusi majoriti di DUN Kelantan. Peritnya tak terkata. Gedebar perutnya tidak terbayang. Berulang alik seorang To Guru yang telah dimamah usia ke hospital dengan keletihan dan serangan gastrik angkara kerisauan yang menjanakan semangat untuk terus berjuang. Demi perjuangan digagahi juga.

Kali ini pemimpin UMNO merasai keperitan itu. Kuasa mereka berada di hujung tanduk. Mereka umpama cacing kepanasan. Yang dibuat serba tak kena. Umpama orang lemas segalanya cuba dicapai.

Sehingga DYMM Yang Di Pertuan Agong pun dijadikan sandaran! Begitu terdesak sekali. Seorang Perdana Menteri yang suatu ketika dulu yang seakan mengisytiharkan perang dengan Baginda semasa berkeras untuk melantik Idris Jusoh sebagai Menteri Besar akhirnya terpaksa akur dengan kekuatan Baginda.

Terkini mereka membawa seramai 49 ahli Parlimen BN ke Taiwan untuk apa yang dikatakan lawatan sambil belajar! Tiadakah masa lain? Ah, semuanya berlaku secara kebetulan. Tidak dirancang. Yang dirancang adalah untuk menurunkan harga minyak lagi! Itupun bergantung kepada situasi semasa. Cukuplah rakyat digula gulakan!

Keperitan yang dirasai oleh meraka yang dianiyai itu cukuplah! Rasakan! Mungkin keberkatan bulan Ramadhan Al Mubaraq ini berjaya mencungkil keluar bibit bibit keinsafan yang masih ada barangkali pada mereka. Allah itu Maha Pemurah dan Maha Pengampun. Lepaskan tompok kerajaan itu dengan sesempurnanya untuk rakyat merasai satu perbezaan. 

Apa salahnya tunduk sekali ini sahaja pada kehendak rakyat?

Read Full Post »

Mutamar PAS yang baru lepas mempunyai satu keistimewaannya sendiri. Walaupun kelantangan segelintir pembahas dalam beberapa isu dan ditimbulkan apa yang dikatakan permasalahan yang wujud di dalam pentadbiran beberapa kerajaan negeri di bawah  Pakatan Rakyat, kemantangan majoriti pembahas lain berjaya menenggelamkan suara suara yang kurang berpuas hati tadi.

Bahkan, “Standing Ovation’ yang diberikan kepada sahabat saya, saudara Abdullah Karim yang mengusulkan supaya kerjasama antara komponen Pakatan Rakyat dipereratkan serta persetujuan sebulat suara yang diberi oleh seluruh kepimpinan dan perwakilan menjadikan agenda ini sebagai sebagai dasar parti.

Sekurang kurangnya ia perlu diperbahaskan semula di peringkat tertinggi iaitu syura mahupun ada mutamar khas yang membuat satu ketetapan yang lain untuk usul ini disemadikan. Sekiranya tidak berlaku usul ini perlu dilaksanakan dan dihayati di semua peringkat dalam PAS. Inilah konsep syura yang telah diterima pakai  dan menjadi nadi kepada gerakan islam seperti PAS untuk terus mendapat keberkatan dan pertolongan dari langit.

Teringat saya sebagai orang baru di dalam lembaran pergerakan pemuda di Kelantan khususnya Kota Bharu. Budak baru yang dilihat pandai pandai hendak berbahas untuk tidak bersetuju dengan usul daripada PAS kawasan pada mesyuarat agung tahun lepas supaya jawatan Presiden hingga ke Naib Presiden tidak dipertandingkan dan diputuskan oleh Syura ulama PAS.

Antara hujah saya, mutamar PAS itu sendiri merupakan satu syura yang besar untuk membincangkan halatuju dan memberi ruang untuk lebih ramai menyatakan padangan mereka termasuk soal kepimpinan. Namun ianya satu pendapat tidak popular. Pun begitu, bukanlah kerana tawar hati maka saya tidak menghadirkan diri pada mesyuarat agung kawasan tahun ini.

Sebagai EXCO Dewan Pemuda PAS Pusat, sudah tentu saya merasakan sayap kanan PAS ini perlu lebih agresif untuk menterjemahkan setiap ketetapan Mutamar. Pemuda perlu lantang. Pemuda perlu ke hadapan dalam menjana kekuatan yang perlu wujud. Tidak sedikit anak muda yang memberi sokongan kepada Pakatan Rakyat. Mereka muak dengan ketamakan pelik pemimpin UMNO, mereka tersepit dan rimas dengan segala hutang yang dibebankan dan usaha untuk memprogramkan mereka.

Pemuda PAS yang saya kenali cukup bersemangat. Lihat sahaja sahabat sahabat saya yang telah sekian lama bergelumang dengan hanyir dan kotor politik di Kelantan. Mereka menginfakkan diri dan berkampung di Permatang Pauh sedari berakhirnya mutamar PAS Pusat hinggalah Dato Seri Anwar Ibrahim diisytiharkan sebagai wira rakyat. Mereka pantang mendengar perkataan pilihanraya. Bagi mereka UMNO/ BN adalah musuh yang perlu ditentang dengan apa cara sekalipun.

Sebab itu saya tidak pelik selaku orang yang diamanahkan mengepalai kerajaan PAS Kelantan seawal trahun 1990, Tuan Guru Nik Aziz konsisten dengan pendapat dan pegangannya bahawa UMNO / BN perlu dijatuhkan. Malah kenyataan terakhir beliau menyebut UMNO perlu dihantar ke bukit. Terlalu luar biasa untuk dipanggil manusia dan seolah mereka yang memakai baju UMNO ini tidak layak untuk berkawan dengan  manusia.

Namun yang mengecewakan adalah kalangan pimpinan PAS sendiri yang begitu ‘lendik’ dan berhemah dengan pemimpin UMNO. Apa sudah jadi? Sudahkah bisa karat UMNO itu mengalir dalam darah daging mereka? Kalau tidak dipatuk masakan bisa itu boleh masuk ke tubuh mereka.

Peritnya memperjuangkan PAS yang hampir dikuburkan oleh UMNO selepas ditendang keluar suatu masa dahulu tidak dirasai oleh kebanyakan kita. Namun mereka yang menempuhi zaman itu akan terus bingkas bangun bangkit menentang sekiranya ianya cuba dibenarkan berlaku untuk kali kedua.

Kita diajar bukan untuk wala pada individu tetapi pada perjuangan PAS ini, pada Syura yang menjadi rujukan. Mustahil perjuangan ini akan memilih jalan kotor penuh jijik yang dihamprkan oleh UNMO. Karpet Itu terlalu hangit baunya dengan bakaran dan panahan oleh doa mereka yang dizalimi. Terlalu penuuh noda akibat maksiat yang menjadi pakaian dalam mereka.

Sekiranya  ada individu yang masih memilih jalan bersama dengan mereka, walaupun mulutnya berkata dengan kata kata yang sebaliknya, mereka wajarlah berundur dari PAS sebelum mereka dipilih untuk berundur oleh Allah  SWT yang akan menjaga perjuangan ini.

Read Full Post »

Seakan sesuatu yang tidak dapat dielakkan. Begitulah bila kebanyakan orang politik bercakap berkenaan perubahan Kerajaan Persekutuan pada 16 September ini. Dan kegusaran di kalangan pimpinan parti komponen BN terutamanya UMNO begitu terserlah.

Malahan ianya dikuatkan lagi dengan desas desus mengatakan ahli ahli parlimen BN akan dibawa ke luar negara bermula isnin depan sehingga 19 September.

Seolah olah betul apa yang diperkatakan oleh bekas pemimpin nombor wahid UMNO/ BN yang kini tidak berparti, Tun Dr Mahathir, bahawa bidaan tertinggi akan menentukan siapakah yang dapat mempertahankan dan menubuhkan kerajaan. Malangnya ia tidak dinilai sebagai satu proses rasuah oleh pihak BPR. Tun pasti bercakap berdasarkan maklumat.

Di peringkat PAS pula kemenangan Dato Seri Anwar Ibrahim tempohari dan kejayaan yang bakal diperolehi oleh Pakatan Rakyat dalam menguasai Putrajaya disambut dengan pelbagai reaksi di kalangan pimpinan. Seolah ketetapan muktamar bahawa usaha memperkuatkan Pakatan Rakyat dan peranan bukan Islam dalam PAS sekadar melepaskan batuk di tangga.

Umum mengetahu kecenderungan sesetengah pihak di dalam PAS untuk berkerjasama dengan UMNO; bahkan merasakan PAS akan mendapat kedudukan lebih baik bila bekerjasama dengan UMNO berbanding dengan bila Pakatan Rakyat menguasai Putrajaya? Siapa yang dapat menafikan tidak wujud tanggapan sebegini?

Maka wujudnya keinginan untuk meninggalkan Pakatan Rakyat sebelum penubuhan kerajaan lagi mungkin merupakan satu perancangan yang akan cuba direalisasikan. Mungkin dengan sedikit perbezaan pendapat mahupun permintaan yang tidak dapat dipersetujukan, usaha untuk keluar akan digerakkan. Bayangkan apa yang tinggal pada PAS pada masa itu?

Bila PAS bukan parti kedua yang paling banyak ahli parlimennya, dan kerusi Timbalan Perdana Menteri contohnya tidak diberi pada PAS, masihkah PAS ingin bersama Pakatan? DAP contohnya baru melantik seorang melayu sebagai Naib Pegerusinya. Tentunya dalam usaha menarik sokongan melayu, maka peranan yang lebih besar akan diberikan kepada beliau.

Dengan parti komponen Pakatan cuba memperkuatkan kedudukan dan sokongan masing masing, sudah pasti proses perundingan akan dilihat begitu kompleks dan proses tawar menawar itu memerlukan satu kekuatan pada pimpinan setiap parti komponen untuk mempertahankan apa yang dilihat hak masing masing.

Oleh itu satu usaha yang bersepadu dan terperinci perlu dilakukan oleh PAS di dalam mengekalkan sokongan yang diperolehi sebelum ini. Pelbagai pihak yang memberi undi pada PAS tempohari mempunyai alasan masing masing untuk berbuat demikian.

Maka dengan memahamkan mereka akan dasar PAS dan mengapa mereka perlu menyokong PAS, memperjelaskan komitmen PAS kepada Pakatan Rakyat dengan sokongan tidak berbelah bagi daripada seluruh pimpinan dan pendokong PAS, di samping menghormati prinsip perjuangan parti parti komponen (untuk mereka menghormati prinsip perjuangn PA)S , usaha untuk mencapai kesepakatan di dalam Pakatan Rakyat akan dilihat lebih berhasil.

Sekiranya ini tidak dapat dicapai, maka kedudukan Pakatan Rakyat dan parti komponennya yang tidak dapat bertolak ansur mungkin akan goyah. Sikap membuat andaian dan terburu buru dalam mengambil tindakan akan menyaksikan sokongan yang diberi oleh rakyat sebelumnya semakin terhakis. Semoga ianya tidak berlaku pada PAS.

Read Full Post »

Older Posts »