Feeds:
Kiriman
Komen-komen

Archive for Oktober 2008

Kematian tragis seorang anak muda, Mustakim Minsawi, 17, yang cuba membantu seorang mangsa ragut amat menyayat hati. Hasrat murni untuk membantu akhirnya bertukar menjadi tragedi yang meragut nyawanya. Betapa ianya satu sikap yang sukar untuk diikuti di dalam kesibukan dunia hari ini yang sering kali melupakan kita untuk bertegur sapa, hatta dengan jiran sebelah rumah. Semoga rohnya dicucuri rahmat dan diampuni segala dosanya.

Kenyataan daripada Ketua Polis Negara, Tan Sri Mus Hassan untuk mengkaji penggunaan motosikal di bandar amatlah dialu alukan. Ia bukan sekadar dapat mengurangkan jenayah ragut dan budaya rempit yang menjadi kegilaan sesetengah remaja, bahkan dapat mengawal banyak gejala dan sikap kurang baik yang ada pada penunggang. Bahkan kejadian curi motosikal juga dapat dikurangkan.

Masalah penggunaan motosikal di kalangan remaja bawah umur juga seringkali berlaku. Beberapa kes pernah ditemui semasa berkerja di jabatan neurosurgeri (bedah otak) akibat kelalaian ibu bapa membenarkan anak anak seusia 10 tahun menggunakan motosikal berakhir dengan beberapa tragedi termasuk kematian.

Pengalaman beberapa kali berada  di bandaraya Yangoon, Myanmar yang sunyi daripada motosikal memberikan satu suasana yang berbeza. Dengan penggunaan  teksi menjadi kaedah utama pengangkutan, ia membolehkan penduduk berulang alik tanpa kesulitan.

Sebagai negara yang lebih maju, peningkatan infrastruktur dan prasarana untuk pengangkutan  awam di Malaysia boleh menjadi alternatif kepada penggunaan motosikal. Diharapkan idea daripada Ketua Polis Negara ini akan dapat direalisasikan untuk membantu pengawalan gejala kurang sihat dan masalah yang berkaitan dengannya.

Advertisements

Read Full Post »

Perlukah Berdebat?

Pemilihan Kepimpinan UMNO selalunya lebih rancak dan sensasi berbanding dengan parti parti politik yang lain. Sebagai parti kaum melayu yang begitu dominan pada satu ketika dahulu ( tidak pasti apakah ini masih dikira tepat menggambarkan suasana masa kini), pastinya segala keputusan dan apa jua pergerakan  yang berlaku disambut dengan pelbagai reaksi oleh mereka yang mengikuti perkembangan politik tanahair.

Dengan memfokuskan kepada perkembangan di dalam pemuda, ianya pasti dan semestinya sesuatu yang menarik minat ramai. Apatah lagi pertembungan antara menantu Perdana Menteri dan anak bekas Perana Menteri. Tanpa mengenepikan peluang Dato Seri Khir Toyo yang turut layak bertanding, semua kita merasakan ianya mewakili kumpulan di dalam UMNO yang telah mengakibatkan tersiatnya daging dan perut UMNO sehinggakan segala percakaran dan sikap ingin mendominasi antara satu sama lain itu telah menghasilkan apa yang terhasil hari ini.

Pemimpin UMNO yang kerana kekuatannya bertahan begitu lama, kekal dengan sikap angkuh dan tamakmya walaupun telah kehilangan lima negeri dan ibu kota yang melambangkan komposisi kaum dan strata masyarakat yang pelbagai itu. Hanya tikam menikam sesama sendiri yang mampu mengakibatkan pihak yang tertidur sedar dan mula bangkit ( laksana singa yang baru mengenal taringnya)

Pertembungan secara terbuka di antara dua pihak ini, membawa kepada cadangan untuk mengadakan debat. Ini yang pada asalnya dicadangkan oleh Tun Musa Hitam disambut baik oleh Khairy dan Khir Toyo. Manakala Mukhriz pula menolak sehingga kini dengan alasan ianya oleh membuka kelemahan parti. Walau apa pun alasannya, ianya seakan memberi kelebihan kepada Khairy. Banyak pihak yang menyokong cadangan berdebat ini termasuklah Mursyidul Am PAS Tuan Guru Dato Nik Abdul Aziz .

Perlukah debat ini? Samada secara terbuka atau tertutup, ia merupakan satu pendekatan yang belum berlaku di dalam negara. Proses pemilihan Presiden Amerika Syarikat terutamanya memberikan kita sedikit sebanyak gambaran bagaimana ianya berlaku. Namun pada dasarnya debat, secara terbuka ini bukanlah satu satunya cara untuk menyampaikan pandangan dan untuk semua orang mengetahui hala tuju dan visi/misi yang ada pada seseorang pemimpin.

Di dalam dunia hari ini, terdapat pelbagai media dan ruang yang ada untuk seseorang itu menampilkan diri. Antara contoh yang paling jelas adalah penggunaan blog dan internet itu sendiri sebagai wasilah untuk seseorang itu menyampaikan pandangan. Manakala penglibatan di dalam program dan apa jua aktviti yang dijalani boleh memberi bayangan betapa seseorang pemimpin yang hendak di angkat itu bersungguh sungguh di dalam membawa kebaikan kepada masyarakat, bukannya atas faktor peribadi yang lain.

Persoalan cantas mencantas yang ditimbulkan sebelum ini memberi kita gambaran bahawa proses berkempen itu sendiri tidak sihat. Maka sudah semestinya ruang berdebat yang diwujudkan ini juga mungkin tidak dapat memastikan hasrat debat yang sebenar itu tercapai.

Kenyataan Tun Dr Mahathir bahawa golongan terpelajar mula berminat dan cenderung kepada PAS kerana mereka kurang diterima dan diraikan di cawangan cawangan UMNO bukanlah satu satunya alasan, walaupun ianya memberi gambaran jelas kepada kita betapa pertembungan di dalam merebut jawatan itu tidak meletakkan merit sebagai faktor memilih pemimpin. Faktor lain yang dikira agak relevan juga di sini  walaupun cuba dinafikan adalah suasana dunia hari ini yang membolehkan apa jua berita dan fakta fakta terhidang untuk tatapan tanpa perlu bergantung pada media arus perdana. Budaya celik IT dan maklumat ini menyebabkan golongan terpelajar dapat menilai kebaikan dan keburukan, menapis antara fitnah dan kebenaran.

Oleh itu, debat terbuka bukanlah satu kaedah yang dapat membaik tambah dan mengubah kecenderungan seseorang itu berdasarkan apa jua maklumat yang telah diperolehinya. Ianya telah terbentang untuk dinilai. Cuma yang membezakan undi itu hanyalah pertembungan  maruah dan jati diri dengan peluang dan keuntungan peribadi yang dapat dikaut hasil dari budaya yang   telah sekian lama mendarah daging para perwakilan di dalam UMNO itu; yang mereka telah terjebak di dalamnya. Sama sama kita nantikan hasilnya.

Read Full Post »

Pada 21 oktober lepas genaplah 18 tahun pemerintahan Kerajaan Islam PAS Kelantan di bawah pimpinan YAB Tuan Guru Dato Nik abdul Aziz Nik Mat. Semestinya ia merupakan satu jangka masa yang agak panjang. Ianya sarat dengan pelbagai pengalaman, jatuh bangun dan susah senang untuk kita kongsi.

Segala pahit getir mentadbir sebuah negeri dengan pelbagai kekangan ini tidak pernah mematahkan semangat YAB Tuan Guru dan kepimpinan PAS Kelantan. Bila ADUN Paloh hari ini  di dalam sidang DUN (dengan keadaan sedar dan mungkin sudah pulih sepenuhnya) menganggap ianya percapaian luar biasa, ianya merupakan pengiktirafan kepada satu pencapaian dan pengorbanan.

Betapa pencapaian yang tidak pernah dikecapi oleh mana mana pihak dalam keadaan kerajaan negeri diserang hendap sehinggalah Perdana Menteri dan Timbalannya sendiri berulang alik berkempen semasa PRU 12 yang lepas. Ia adalah bukti betapa rakyat Kelantan terus matang dalam arus kebangkitan yang seharusnya tidak memungkinkan ia berlaku demikian. Sememangnya luar biasa!

Kemenangan pada PRU ke 1990 dan 1995 dikaitkan dengan kerjasama yang menghasilkan Angkatan Perpaduan Ummah, manakala pada tahun 1999 pula dikaitkan dengan reformasi. Kemenangan tipis 2004 dikatakan adalah kekuatan sebenar PAS. Namun 2008 tidak seperti yang dijangka. Ia adalah pelengkap kepada luar biasanya satu pentadbiran yang diasaskan daripada konsep kepimpinan ulama itu sendiri.

Hari ini hasil yang berjaya dituai daripada kegigihan dan pengorbanan ini berjaya meyakinkan ramai pihak termasuklah golongan muda bahawa PAS adalah parti yang boleh diberi kepercayaan di dalam membawa masyarakat kepada kejayaan yang sebenarnya. Kepercayaan ini harus dijaga agar ianya kekal. Sekiranya tidak direbut peluang untuk mendekatkan diri kepada mereka, lambat laun ianya akan merenggangkan hubungan baik ini.

Kepimpinan yang ada sekarang perlulah memikirkan langkah yang terbaik mendekati golongan muda. Ruang yang lebih luas perlulah diberi kepada pimpinan muda di dalam PAS. Sekiranya tidak, ianya juga akan mengidap penyakit tua sebagaimana yang digambarkan oleh Tun Musa Hitam tentang UMNO (di saat penyakit gila jawatan, kuasa dan kekayaan seakan mula menghinggapi kita).

Manakala golongan muda perlulah menggali sebanyak mungkin khazanah serta pengalaman yang terdapat pada golongan veteran di dalam PAS. Seterusnya melengkapkan diri dengan maklumat dan ilmu yang bersifat kontemporari untuk menghadapi dunia politik yang semakin mencabar hari ini.

Read Full Post »

<!–         –>

Kerajaan tangguh beli Eurocopter

Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata, kerajaan telah membuat keputusan untuk menangguhkan pembelian helikopter EC725 keluaran Eurocopter yang keseluruhannya bernilai RM1.67 bilion sebagai langkah berjimat-cermat berikutan krisis kewangan global.

Beliau yang juga Menteri Pertahanan berkata, kerajaan juga membuat keputusan sebarang pembelian baru helikopter bagi menggantikan Nuri akan dilakukan selewat-lewatnya sebelum 2011.

Menurut beliau, perkara itu diputuskan dalam mesyuarat Exco Majlis Ekonomi yang dipengerusikan beliau pada 13 Oktober lalu dan ia tiada kaitan dengan dakwaan beberapa pihak bahawa wujud penyelewengan dalam pengeluaran tender itu.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar di Kementerian Pertahanan, di sini hari ini.

Read Full Post »

Islam adalah agama fitrah. Bila umat Islam menyambut aidulfitri selepas sebulan diprogramkan dalam madrasah Ramadhan, mereka akan terlebih dahulu memulakan sambutannya dengan bertakbir dan menunaikan zakat fitrah. 

Tanpa perlu mengulas panjang, kita melengkapkan satu bentuk perhambaan dan kembali kepada fitrah dengan meyakini bahawa kita semua hidup dalam kawalan Allah yang Maha Besar. Hak Allah mengatasi hak kita. Kita tunduk dalam sedar dan tidak sedar. Itu hakikatnya. Kita menerima hukum dan ketetapan Allah. Namun, di atas faktor kejahilan dan menurut kehendak hawa nafsu, ramai juga yang tidak melaksanakan tuntutan ini.

Tidak pula mereka menyesal di atas dosa dan kelalaian itu. Malah ada yang mempersendakan hukum dan agama. Pelikkah kita semua ? Sudah tentu tidak dan tidak sama sekali! Kerana yang mempersendakan hukum dan agama itu bukan cuma orang awam biasa malahan ahli agama itu sendiri. Mereka melatih diri memahami islam untuk mengikut acuan tertentu.

Mematuhi perintah pemimpin tertentu. Maka mereka mengeluarkan kenyataan dan hukum yang tidak mengambilkira kemaslahatan umum tetapi untuk kepentingan individu dan puak tertentu.

Akhirnya berlakulah apa yang berlaku. Bertelingkah manusia untuk mereka membenarkan puak masing masing. Namun, yang lebih malang lagi, sikap memburukkan sesama sendiri. Memutar belitkan kenyataan dan lain lain. Manusia hilang pertimbangan. Yang betul hanya mereka yang sekepala dan sealiran pemikirannya.

Akhirnya yang rugi adalah perjuangan menegakkan kebenaran itu sendiri. Konflik yang ditimbulkan mewujudkan jurang yang besar antara pihak yang saling bertentangan. Bila soal perjuangan diungkap, maka ia tidak lari daripada budaya dan pendekatan. UMNO sebagai satu parti yang dilihat memperjuangkan melayu dan Islam pastinya mempunyai track recordnya tersendiri. Begitu juga PAS.

Namun yang paling berkembang dan melalui fasa perubahan adalah PAS. Dengan segala liku liku dan tohmahan, akhirnya PAS berjaya dilihat Parti untuk semua kaum dengan slogan PAS UNTUK SEMUA. Padahal bukanlah atas keyakinan mereka dan kefahaman penyokong itu kepada Islam sepenuhnya yang menarik mereka kepada PAS.

Orang bukan Islam ( atau lebih digemari oleh Tuan Guru Nik Abdul Aziz dengan ungkapan belum Islam) menyokong PAS bukan kerana kefahaman, tetapi di atas faktor kebencian kepada golongan tertentu yang menyalah gunakan kuasa yang ada pada mereka serta kepercayaan bahawa orang agama ini lebih jujur dan dipercayai. Memberi undi dan semestinya dilihat sebagai kuasa untuk memerintah kepada PAS adalah satu perbuatan luar jangka!

Apa yang menyebabkan fobia pada Islam itu tiba tiba hilang? Sebagai parti Islam yang dilihat berimej Pak Lebai dan orang kampung pada satu ketika, PAS telah berjaya menukar lanskap politik tanahair dan menyelinap masuk seperti air yang mengalir ke dalam masyarakat majmuk di Malaysia.

Mengapa dilihat seakan orang bukan Islam susah untuk menerima Islam sedangkan sokongan yang diberi menggambarkan sebaliknya? Ianya adalah disebabkan faktor sentimen ras dan bangsa yang dimainkan oleh orang kita sendiri. Manakala label yang telah diberikan kepada parti seperti DAP adalah parti anti Islam! Sedangkan kenyataan individu individu di dalam parti tidak mengambarkan pendirian dan dasar perjuangan parti.

Berdasarkan pengalaman bersekolah di sekolah jenis kebangsaan cina dan berkenalan dengan kaum cina khususnya, saya mendapati faktor asas kepada tanggapan yang negatif kepada orang islam adalah kerana sikap dan budaya orang melayu itu sendiri, bukanlah kerana sikap ignoran orang cina itu. Mereka ‘menghayati Islam’ melalui pengalaman berkawan dan juga  memerhati tingkah laku dan perangai orang melayu.

Sebagai peniaga terutamanya, masyarakat cina rata ratanya meletakkan faktor rezeki dan keuntungan itu sebagai pemberian Tuhan dan beberapa amalan yang dikatakan membawa ‘ong’ atau tuah. Sudah pasti perbualan berkenaan agama merupakan sesuatu yang tidak sukar. Namun bila menganggap memeluk Islam seumpama menjadi melayu, sikap mereka berubah daripada sikap menerima dan bertoleransi kepada menjatuhkan hukum. Menolak sebelum mendengar.

PRU ke 12 membawa makna yang besar kepada perubahan sikap ini. Namun ternyata UMNO khususnya dan beberapa  pihak yang berkepentingan tidak berasa selesa dengan pengiktirafan ini; dengan leburnya tanggapan negatif kepada puak Islam dan melayu ini. Inilah cabaran yang perlu diterjemahkan dalam bentuk mendekati golongan sasar dan penyokong PAS melalui kelab kelab penyokong yang ada. Yang pasti, Muktamar yang lepas meletakkan halatuju yang jelas  untuk ahli dan pimpinan mengatur langkah.

Yang tinggal hanya perlaksanaan dan tuntutan yang perlu dilaksanakan. Pastinya ini menuntut satu perancangan yang rapi dan berimpak untuk menyusun kekuatan yang ada agar menjadi senjata yang  ampuh di dalam menyemarakkan lagi perjuangan. Semarakkan perjuangan itu. Moga ianya saham kita.

Read Full Post »

Mencari Erti Kehidupan

Manusia secara amnya dijadikan berbeza beza dalam banyak segi. Dari warna rambut hinggalah cara mengenal dan menjalani sebuah kehidupan. Menjadikan hidup ini harmoni dan saling melengkapi tidak hanya terdapat dalam ajaran ajaran yang pelbagai malah perlu menjadi satu kemestian terutamanya di dalam masyarakat yang berbilang kaum. Sikap bertoleransi itu akan muncul bukan sekadar dengan didikan bahkan keinginan untuk mengambi tahu adat dan budaya hidup manusia yang pelbagai itu.

Maka sebagai rakyat Malaysia yang menginginkan kesepaduan yang menatijahkan kerukunan, daya saing serta meningkatkan produktiviti, perkara ini perlu dititik beratkan. Usaha menegakkan perpaduan di atas perkauman dan bangsa sudah menemukan kita dengan pelbagai masalah dan tragedi. Malah sentimen keagamaan yang melampau menghasilkan terlalu banyak rasa kurang senang dan salah tanggap kpada sesuatu pegangan itu.

Terdapat beberapa faktor yang menyebabkan jurang itu semakin  melebar. Antaranya termasuklah tiada  sifat keanjalan atau lebih mudah lagi disebut budi bicara. Faktor kedua yang ingin ditekankan di sini adalah eksplotasi

Manusia yang mempunyai kedudukan mahupun  sesiapa sahaja yang seseorang itu berhajat dan berurusan dengannya akan membuat pertimbangan berdasarkan beberapa faktor; seorang peniaga meletakkan asas keuntungan dalam berurus niaga, seorang pegawai dan pentadbir meletakkan prosedur dan peraturan sebagaimana yang disyaratkan manakala seorang pendakwah meletakkan keilmuan sebagai asas dalam menyampaikan dakwahnya, bukan sekadar menekankan soal hukum semata mata.

Sifat keanjalan boleh membawa seribu erti dalam muamalat dan hubungan manusia. Seorang yang kurang upaya perlu dilayan sesuai dengan sifatnya itu. Bila manusia tidak mempunyai sifat keanjalan dan bertolak ansur, ia menimbulkan sikap tidak puas hati, manakala sekiranya sikap itu wujud, ia menimbulkan rasa hormat dan terhutang budi. Ini asas kepada perpaduan dan  keharmonian  hidup.

Namun lazimnya yang kaya dan berkedudukan itu yang dilayan dan diberi pengecualian, manakala yang tempang dan memakai baju bertampal itu di pandang sebelah mata. Menjalarnya sifat ini di dalam pembuluh darah masyarakat, membawa bersamanya racun irihati dan kurang senang antara individu, apatah lagi jika ianya diasaskan oleh kaum dan puak. Hidup akan terencat dalam kepalsuan falsafah yang dibina.

Manakala sikap mengeksploitasi pula menghasilkan budaya perhambaan dan  menghidupkan seseorang itu di atas keperitan hidup manusia yang lain. Malah menukar gaya dan style hidup  berdasarkan kepada apa yang disukai oleh manusia secara umumnya dan bosnya secara khususnya. Antara yang menjadi eksplotasi adalah agama itu sendiri. Samada parti poltik mahupun syarikat perniagaan, terdapat banyak kaedah yang meletakkan agama sebagai kosmetik dan alat dalam mengaut hsil.

Sesetengah  pula meletakkan wanita sebagai bahan eksploitasi. Hasilnya sesetengah perkerjaan itu didominasi oleh wanita. Namun, yang paling menyedihkan adalah faktor menghambakan manusia itu disebabkan hidup mereka yang terdesak. Manusia mengambil peluang di atas manusia lain yang tersepit.

Bilamana manusia merasa diperhambakan dan terjerat dalam kesempitan, perasaan iri hati dan tidak puas hati menjelma. Andai ini semakin menjadi trend dan ikutan, tentunya hubungan yang terbina itu memberi satu kesan yang negatif kepada kehidupan bermasyarakat itu.

Oleh itu, tanggungjawab sebuah kerajaan yang perihatin dan berkesan adalah memastikan unsur unsur begini dapat diminimakan. Itulah beza antara kerajaan rakyat yang ditadbir untuk kepentingan rakyat dan kerajaan yang memerintah dan sekadar mengimplimentasikan sesuatu polisi dengan menjadikan faktor  faktor lain sebagai paksinya.

Read Full Post »

Di dalam penyempurnaan kejadian manusia, terdapat beberapa perkara utama yang membezakan manusia dan haiwan. Antaranya kejadian aqal dan diperelokkan kejadian manusia itu. Dalam kejadian manusia itu dijadikan mereka pelbagai bentuk, rupa dan warna, berbeza dengan haiwan dan kejadian lain yang hampir serupa. Maka dilengkapkan dengan ini faktor citarasa yang berbeza, menandakan kebesaran Pencipta itu sendiri.

Manakala aqal membezakan manusia dengan haiwan dan kejadian yang lain. Manusia boleh memilih untuk melakukan kebaikan ataupun kejahatan. Lalu manusia dipandu oleh ajaran dan didikan dengan hadirnya para rasul. Maka jadilah manusia itu dua golongan; yang menegakkan yang hak mahupun yang mengikut kemahuan nafsu.

Sebagaimana yang pernah disebut oleh pemimpin India, Mahatma Gandhi, dunia ini sebenarnya cukup untuk keperluan setiap manusia, tetapi dunia ini tidak pernah cukup untuk ketamakan seorang manusia. Ini kerana, tamaknya seorang manusia itu akan menfokuskan tindaktanduknya pada keuntungan seorang diri dan manusia tidak pernah merasa cukup dengan apa yang ada.

Mungkin itulah yang dihasilkan oleh sistem hidup manusia yang tidak dipandu oleh agama, sistem menghambakan manusia. Sistem kapitalis yang sedang meniti kehancuran itu sedang mencari formula baru dan nampaknya seakan sistem Islam yang bakal menjadi tunggangan.

Mengambil kebaikan dari satu sistem yang sempurna mungkin boleh juga mengatasi sebahagian masalah yang dicipta untuk satu jangkamasa, namun tidak membayangkan di sana satu suasana yang sebenarnya patut dirasai. Dengan hanya mengambil jasad, sudah tentu rohnya yang ditinggalkan itu tidak memungkinkan jasad itu bermaya.

Maka sebarang kerajaan dan pihak yang mengambil sebahagian daripada Islam sudah pasti tidak mampu mendidik manusia untuk tunduk dan patuh pada hukum dan Pencipta. Hilangnya modal insan di kalangan ahli dan juga pemimpin masyarakat berpunca daripada lupanya manusia pada asal kejadiannya. Barangkali modal insan yang dilaungkan oleh pihak tertentu hanya melihat kepada modal ilmu duniawi, lantas merasakan bilangan ustaz dan ustazah itu perlu dihadkan.

Tidak perlu satu rumah itu seorang ahli agama, tetapi satu rumah satu doktor dan lain lain lagi. Itu yang ditekankan. Bila manusia belajar mengamb il kesempatan, mereka lupa pada tanggungjawab dan amanah. Contohnya, kesilapan menaikkan gaji secara drastik serta kenaikan harga minyak yang begitu tinggi menyebabkan rakyat menanggung beban yang cukup besar. Bila harga minyak diturunkan, tidak pua berlajku pada harga barangan.

Kesilapan pemimpin/ polisi kerajaan dan sikap manusia tadi menjadikan suasana lebih parah. Maka seharusnya kedua duanya perlu dilakukan perubahan. Sekiranya ini dapat diatasi sudah tentu kehidupan rakyat lebih terjamin. Dan saya sangat pasti kerajaan yang ada pada hari ini tidak akan  mampu memberikan kita jaminan ini. Semoga jalan perubahan itu terus diteroka.

Read Full Post »

Older Posts »