Feeds:
Kiriman
Komen-komen

Archive for Mac 2009

Fokus 3 Pilihanraya kecil yang bakal berlangsung pastinya lebih banyak tertumpu kepada Parlimen Bukit Gantang. Ini kerana ianya dianggap referendum rakyat selepas permintaan untuk membubarkan DUN Perak ditolak oleh Al Sultan Perak.

Pastinya suara rakyat di Bukit Gantang dianggap sebagai satu signal dan respon rakyat kepada krisis yang berlaku di Perak. Walaupun masih terlalu awal untuk menentukan kemenangan, namun kelebihan sudah pastinya berpihak kepada Nizar. Dengan kelebihan kerusi yang disandang oleh PAS sebelum ini serta simpati rakyat kepada Nizar khususnya, dijangkakan majoriti yang bakal diperolehi oleh PAS akan bertambah. Melihat kepada kehadiran semasa hari penamaan calon sahaja sudah cukup untuk memberikan gambaran mood rakyat pada hari ini.

Kepetahan Nizar dan kepimpinannya sudah dibuktikan. Rakyat Perak tentunya berbangga untuk mempunyai Menteri Besar seperti beliau. walaupun banyak tohmahan yang dilemparkan dari dalam dan luar, namun ianya adalah sebahagian daripada asam garam politik. Nizar dikira agak baru di dalam politik, khususnya PAS, berbanding dengan ramai lagi tokoh tokoh PAS. Tiada siapa menyangka beliau akan menjadi Menteri Besar. Dengan cabaran sebesar itu, sudah pasti akan ada kesilapan dan tidak puas hati sesetengah pihak. Namun kecekalan dan kesungguhannya memberi banyak kesan positif bukan setakat kepada beliau, malahan PAS sendiri.

Kemenangan yang bakal terhasil pastinya membuka satu lagi lembaran baru buat Nizar khususnya dan negara amnya. Pastinya ia akan menjadi aset kepada PAS dan Pakatan Rakyat. Dan semestinya aset kepada rakyat dan negara. Diharapkan pengundi Bukit Gantang akan dapat memilih calon yang benar benar ingin berkhidmat untuk mereka. jangan terkeliru dan terpengaruh dengan janji manis dan fitnah yang melata. Kuasa rakyat adalah memperbetulkan dan menolak pemimpin yang rasuah dan khianat, maka rakyat perlulah menggunakan kuasa ini untuk kebaikan mereka.

Advertisements

Read Full Post »

Kemenangan Khairy Jamaludin sebagai Ketua Pergerakan Pemuda UMNO mungkin mengejutkan sesetengah pihak. Namun kesalahan beliau yang terlibat dengan politik wang dan hanya diberi amaran sedikit mengejutkan. Tapi sebenarnya disabitkan dengan kesalahan itulah yang lebih mengejutkan.

Sebagai menantu yang dikatakan paling mempengaruhi Perdana Menteri, tentunya untuk beliau disabitkan dengan kesalahan itu adalah sesuatu di luar jangkaan. Tapi mungkin kerana Perdana Menteri bakal berundur, ianya dlihat perkara biasa. Ataupun mungkin sebenarnya KJ tidaklah berpengaruh mana. Dan kemungkinan bahawa Lembaga Disiplin UMNO ingin menunjukkan ketelusannya juga adalah antara sebab sebab lain.

Pun begitu sebagai seorang individu, KJ sememangnya mempunyai kekuatan dan karismanya tersendiri. Beliau dilihat seorang penghujah dan orator yang jauh lebih baik daripada 2 calon Ketua Pemuda yang kecundang itu. Ini semestinya aset kepada UMNO walaupun KJ juga ada membawa ‘baggage’ atau bebanan yang lahir daripada sifat anak muda dan kedudukan menantu Perdana Menteri yang dimilikinya. Kebolehan KJ untuk menyatukan kumpulan pemuda tentunya sesuatu yang ingin diperhatikan. Bukan setakat oleh pemuda UMNO bahkan pemuda dari parti parti politik yang lain.

Bagi Pemuda PAS, ini tentunya sesuatu yang mencabar. Kepimpinan pemuda PAS perlu melihat dari sudut yang positif. Kekuatan KJ berbanding 2 calon yang lain jika dilihat dari sudut persaingan, akan ‘memaksa’ pemuda PAS untuk sekurang kurangnya setanding jika tidak lebih baik daripada kewibawaan Pemuda UMNO.

Serangan peribadi tidak akan membawa banyak keuntungan jika persiapan rapi dan program program berterusan untuk menarik golongan muda tidak digandakan. Akademi Kepimpinan Muda menggalas tanggungjawab besar untuk memastikan kepimpinan pemuda terus relevan dalam memimipin generasi muda untuk menjadi aset negara serta menjadi pelapis untuk kepimpinan PAS akan datang. Semoga Mutamar Pemuda PAS nanti akan mampu mencorakkan hala tuju dan daya saing yang melayakkan PAS untuk berada pada kedudukan yang lebih baik daripada masa ini.

Read Full Post »

Teka teki samada Pak Lah akan melepaskan jawatan Perdana Menteri Malaysia masih menjadi tanda tanya. Walaupun dikatakan Pak Lah akan mengadap Yang Dipertuan Agong pada 2 April, segalanya masih belum pasti. Dan meneliti cara Pak Lah berucap dan memberi pandangan, segala macam kemungkinan boleh berlaku.

Kehadiran Tun Dr Mahathir, waluapun bukanlah ahli UMNO pada masa ini, dan layanan yang diberikan kepada beliau tentunya amat tidak disenangi Pak Lah. Apatah lagi serangan terus menerus kepada menantunya KJ yang baru ditabalkan sebagai Ketua Pemuda. Ini sudah pasti mencabar Pak Lah. Walaupun beliau secara sinis menyebut ‘siapa tak kenal Dr Mahathir’ bila diajukan oleh wartawan tentang kenyataan negatif Tun kepada beliau.

Pak Lah memberi nasihat dan gambaran yang jelas tentang perlunya ahli UMNO berpegang kepada agama untuk mendapat semula tempat di hati rakyat. Nasihat dan tunjuk ajar sebegini mungkin tidak begitu kedengaran dari mulut Tun. Pak Lah dilihat lebih Islamik berbanding dengan Tun, walaupun dari segi idea dan kepimpinan, Tun jauh di hadapn.

Najib begitu bersemangat dalam memperbetulkan UMNO yang sarat dengan masalah rasuah. Untuk mendapatkan kembali keyakinan ahli dan khususnya rakyat beliau menjanjikan banyak perubahan. Semoga ianya dilaksanakan demi kebaikan negara. Namun, sebagaimana Tun yang menganggap Najib sebagai calon Perdana Menteri yang dilitupi masalah yang pelbagai, begitulah juga tanggapan rakyat dan sebahagian pemimpin parti parti politi bila di timbulkan isu tentang wibawa Najib. Pak LAh dengan jelas meminta ahli UMNO dan rakyat memilih pemimpin yang bersih dan tidak bermasalah. Tentunya ini peluang yang baik kepada mereka yang tidak ingin berketuakan Najib dalam mencari kelebihan politik.

Dan diharapkan apa jua yang berlaku dapat memberikan kebaikan kepada negara kita khususnya. UMNO akan mampu bangkit sekiranya ahli dan rakyat terus berjaya diyakinkan dengan daayah dan propaganda melalui media dan perancangan yang semestinya ingin mengekalkan pemerintahan UMNO/ BN di Malaysia. Semoga ini tidak menjadi satu halangan untuk Pakatan Rakyat terus mendapat sokongan padu rakyat pelbagai kaum.

Read Full Post »

Persaingn sengit untuk jawatan Ketua Pemuda UMNO nampaknya memihak kepada Khairy Jamaludin. Tuah ayam nampak di kaki, tuah Khairy mungkin lebih daripada menjadi menantu Perdana Menteri. Pun begitu, Khairy, yang merupakan calon terjunior dan termuda antara ketiganya merupakan Naib Ketua Pemuda sebelum ini.

Secara turutannya beliaulah yang dikira akan mengggantikan, Datuk Seri Hishamuddin yang telah agak lama memimpin Pergerakan Pemuda. Keupayaan Khairy adalah jelas walaupun ada yang menganggap beliau menumpang tuah menjadi menantu Perdana Menteri. Sebagai individu Khairy bolehlah dianggap hebat dan berupaya menyaingi rakan rakan dalam pemuda UMNO yang lebih senior dan berumur. Namun dengan kedudukan, pendedahan beliau dan faktor umur yang dikira agak muda itu, Khairy juga dilihat mempunyai beberapa tindakan yang dilihat agak bongkak dan kurang disenangi oleh lawan dan kawan.

Kemenangan yang dicapai ini pastinya merupakan cabaran yang agak besar kepada Pemuda Pakatan Rakyat. Oleh itu persiapan yang terperinci dan kemas perlu diatur di dalam memastikan keupayaan yang ada dapat digembleng untu berhadapan dengan sesiapa sahaja dan apa jua keadaan.

Lantaran itu, persefahaman dan komitmen yang perlu diberikan oleh Pemuda Pakatan Rakyat perlulah lebih erat dan meluas. Program program bersama perlu dianjur. Mengkaji budaya dan cara berkerja bangsa lain mampu membantu mendekatkan antara satu sama lain. Sekiranya cara pemikiran yang di bawa oleh Khairy lebih terbuka dan receptif, maka usaha untuk menjalinkan perpaduan di antara semua parti juga dapat dilaksanakan. Ini cabaran kepada semua yang perlu diterjemahkan dengan sebaik baik hasil.

Apa pun tahniah kepada saudara Khairy dan semua yang menjawat jawatan dalam pemilihan UMNO kali ini.

Salam perjuagan

Read Full Post »

“Saya memang tidak boleh terima seorang Menteri Besar ambil tugas Ahli Parlimen juga kecuali dia bukan Menteri Besar, baru boleh ambil dua-dua.

“Kita tengok contoh Datuk Asri Muda seorang yang pintar dan gagah dalam politik tapi pengaruh dia semakin merosot di Kelantan sebab tidak mampu melaksanakan dua tugas serentak,”

Di atas adalah kenyataan YAB Menteri Besar Kelantan yang disebut kepada wartawan pada 10 Februari yang lepas. Beliau tidak menolak Dato Seri Nizar di atas kapasitinya sebagai individu tetapi atas dasar tanggungjawab dan amanah yang bakal terbeban kepadanya selaku Menteri Besar rakyat yang betul betul dilihat menjalankan tugasnya.

Pengishtiharan bahawa Nizar menjadi calon PAS untuk PRK bagi Parlimen Bukit Gantang oleh Presiden PAS semalam merupakan sesuatu yang tidak mengejutkan. Sememangnya Nizar adalah calon terbaik PAS Perak untuk menang di sana. Pengiktirafan kepada sumbangan beliau semasa menjadi MB, diadun dengan simpati rakyat kepada kelakuan begitu tidak beradab menjatuhkan beliau bakal menyaksikan PAS/Pakatan Rakyat menang dengan cemerlang di sana.

Namun di celah kesibukan menghadapi PRK ini, secara tidak semena menanya isu pandangan To Guru ditolak cuba diperbesarkan oleh seorang penulis/ blogger dengan cara penuh selamba tetapi kurang beradab dan sarat dengan muslihat. Pandangan To Guru berkenaan isu calon khususnya Nizar adalah jelas. Beliau memberikan pandangan dengan penuh cermat dan berhati hati sesuai dengan fungsinya sebagai Mursyidul Am.

Pihak yang mempertikaikan dan menimbulkan isu pandangan To Guru ditolak ini sebenarnya mempunyai agenda tersembunyi. Mungkin bukan sekadar pelaris surat khabar yang beliau kendalikan, mahupun sekadar menghitung berapa hit yang telah beliau dapat.. Beliau seakan cuba merendahkan kedudukan To Guru yang beliau kata beliau begitu hormati. Ini bukanlah kali pertama beliau berkelakuan sebegitu.

Sebagai penulis yang agak lama dan cenderung kepada PAS, sepatutnya isu sebegini tidak ditimbulkan. Ianya tidak membawa apa apa kebaikan. Malah boleh dikatakan ‘makan tuan’. Sesekali dilihat isu seminggu dua ini seakan menampakkan kejelasan akan mesej yang ingin dibawanya.

Fokus utama kepada isu pencalonan sebenarnya adalah proses pemilihan itu dan kelayakan calon. Memberi pandangan, samada sebagai ahli, pemimpin mahupun siapa sahaja adalah perkara biasa. Tidak timbul isu pandangan ditolak sekiranya kita menghormati keputusan mesyuarat. Di dalam Islam, khususnya dalam bermusyawarah kita dianjurkan beristighfar bila cadangan kita diterima. Kerana mungkin ada cadangan lain yang lebih baik tetapi telah ditolak.

Tawadhuknya pemimpin dapat dilihat pada cara mereka menyampaikan pandangan dan berhujah. Adab adab dan disiplin berjamaah dijaga. Namun sekiranya peranan orang media untuk cuba merosakkan, maka perlulah dipastikan golongan ini ditolak ke tepi. Memberi ruang untuk mereka merosakkan keutuhan perpaduan akan menyebabkan pelbagai masalah timbul.
Inilah yang perlu dijaga di saat PAS berhadapan dengan pemilihan pada tahun ini. Semoga ahli ahli PAS terus matan dalam penilaian mereka.

Read Full Post »

Perbincangan hangat sehari dua ini tentunya berkisar kerajaan perpaduan. Satu istilah yang dikira agak baru dalam dunia politik tanahair. Baru dalam konteks kerajaan demokrasi berparlimen yang dipandukan oleh penjajah Inggeris pada satu ketika dahulu. Peninggalan ini sudah pasti berbeza dengan kerajaan di Indonesia contohnya yang mengamalkan konsep kerajaan perpaduan ini.

Maka hal sebesar ini perlulah dibincangkan dalam satu persidangan yang besar melibatkan semua pihak dari pelbagai latar belakang, termasuklah ahli akademik. Ia melibatkan satu perubahan besar kepada sistem politik dan sosial negara. Mendapatkan pandangan orang politik semata mata tidak akan membawa kebaikan yang maksimum dan meluas kepada rakyat. Orang politik mempunyai kecenderungan untuk mendapatkan keuntungan politik kepada diri dan parti masing masing. Sedangkan fokus utama kerajaan perpaduan adalah untuk membantu memaksimakan peluang dan pandangan yang berbeza untuk mencari formula terbaik sesuai dengan ramainya pemikir dan bijak pandai yang berjaya dikumpulkan. Pada hari ini, idea yang baik mungkin tidak diketengahkan kerana jurang politik dan sentimen yang begitu menebal khususnya di pihak kerajaan yang memerintah ( bukan mentadbir).

Persoalan samada To Guru Mursyidul Am PAS tidak memahami apa yang cuba diperkenalkan bukanlah persoalan utama. Persoalan utama adalah mengapa sekarang?
Di saat negara begitu gawat dek penangan peniaga mata wang dan pelbagai lagi penyebab pada tahun 1997, tiada pula perhitungan sebegini diambil kira. Sebagai antara orang lama dalam politik yang mengikuti perkembangan semasa ( kerana beliau seorang pembaca yang sentiaa memperkayakan diri dengan ilmu) saya yakin To Guru bukanlah jahil bab kerajaan perpaduan ini. Dan beliau lebih mengerti apa yang ingin dibawa. Bukan sekadar dengan bacaan politik tetapi petunjuk dan panduan dari langit.

Sementara itu, ada yang mengatakan statement mengajak UMNO/BN bersama dalam kerajaan perpaduan sebagai perangkap kepada UMNO khususnya menjelang pemilihan mereka. Benarkah begitu? UMNO khususnya sudah lama terperangkap di dalam kancah politik wang yang mereka sendiri hasilkan. Survival mereka sekarang ini bukan di atas agenda menyelamatkan rakyat dan ekonomi negara, tetapi untuk memperkayakan diri dan kroni dalam menghadapi pertarungan sesama mereka dan berhadapan dengan pilihanraya.

Pastinya ahli PAS mengharapkan perangkap yang cuba mengena UMNO ini tidak makan tuan. Dan tidak ada pula agenda lain di sebalik pelawaan ini. Samada di atas nama strategi, tipu musihat dan perangkap, ianya akan terjawab dalam sedikit masa lagi bila Pak Lah tidak lagi menjadi Perdana Menteri. Ketakutan kepada Najib mencetuskan terlalu banyak persoalan dan kegusaran yang tidak perlu sehinggakan fokus utama sekarang adalah menggagalkan Najib, bukan merebahkan UMNO/BN. Najib sebagai Perdana Menteri tentunya ingin mencari formula menambat semula hati rakyat, bukan semakin dalam mengggali kubur UMNO yang semakin jelas dan nyata. Sekiranya inilah yang menjadi agenda, kita memberi nafas kepada hidupnya UMNO di saat nazaknya. Moga pertimbangan ini menjadi sebahagian dari langkah waspada kita untuk terus menempatkan PAS sebagai peneraju politik tanahair.

Read Full Post »

Sepanjang penglibatan dalam Parti Islam SeMalaysia(PAS), sudah banyak perkara dan peristiwa yang berlaku. Namun perbahasan berkenaan kerjasama dengan UMNO ternyata menimbulkan banyak perkara baru, kejutan dan nada perselisihan di kalangan pimpinan dan pendokong PAS. Ini satu fakta yang tidak dapat dinafikan.

Dari sini timbul label melabel, tuduh menuduh dan pelbagai fitnah yang cuba memporak perandakan PAS. Dengan sedikit perbezaan pendapat tadi, ia menjadi satu gempa bumi yang menggoncangkan PAS. Namun gegaran itu tidaklah membawa kemusnahan besar.Tapi kesannya tetap ada. Dan muktamar yang berlangsung pada tahun lepas menunjukkan PAS yang sebenar. Sesuai dengan umurnya, PAS dilihat matang dan tidak mudah terpengaruh dengan anasir yang cuba merosakkan.

Usul memperkukuhkan Pakatan Rakyat diterima sebulat suara. Begitu juga usul memperkasakan kelab penyokong. Ianya menjadi panduan dan agenda utama parti untuk maju ke hadapan. Namun beberapa perkara yang dilihat membawa suasana kurang senang di kalangan pimpinan dan ahli PAS adalah usaha untuk membentuk kerajaan persekutuan yang dikemudi oleh saudara Anwar Ibrahim. Bertitik tolak dari sinilah perbezaan pendapat mula ketara. Bila pihak yang tidak dilibatkan atau tidak menjadi pengemudi merasakan mereka seakan tidak bernilai dan disisihkan, mereka mula membuat andaian dan penafsiran yang pelbagai.

Hari ini sekali lagi isu yang hampir sama muncul. Dan media tertunggu tunggu untuk mensensasikannya. Kenyataan Presiden PAS ditafsirkan pelbagai oleh banyak pihak tanpa beliau berpeluang menjelaskannya. Sokongan dan kritikan juga pelbagai. Ini satu budaya yang tidak sepatutnya diamalkan. Kerakusan untuk bersuara atau mungkin secara tidak sedar bila diberi umpan oleh media, menyebabkan suasana kurang seronok timbul dalam kemanisan hidup berjamaah yang sama sama dirasai.

Walaupun nada itu dikatakan sama antara Mukabalah dan Kerajaan Perpaduan, namun masanya nyata berbeza. Di saat ini kita berhadapan dengan PRK dan keperitan sebuah kerajaan rakyat yang dirampas dengan cara yang tidak beradab oleh BN. Ini ternyatta lebih sukar lagi untuk diterima oleh rakyat dan ramai penyokong PAS/ Pakatan Rakyat. Yang pasti kerjasama yang ingin dijalinkan dilihat bukan setakat untuk membantu masalah kegawatan ekonomi semata mata, malahan ia dianggap membantu menstabilkan UMNO khususnya yang begitu sekali terjejas dengan perpecahan dalaman mereka khususnya di kala peralihan kuasa berlaku dan suasana pemilihan yang ada.

Usaha untuk mempereratkan perpaduan ini perlulah dibuktikan dengan suasana penuh keikhlasan dan tidak semestinya melalui kerajaan perpaduan. Banyak perkara yang Kerajaan dan pembangkang boleh duduk sekali berbincang, samada melalui forum forum dan persidangan persidangan yang diatur. Yang penting, kesungguhan untuk menambahbaik rakyat dan negara. Inilah terlebih dahulu yang perlu ditunjukkan. Moga mesej ini dapat sampai kepada rakyat untuk memurnikan suasana yang gelisah bilamana ianya menjadi sebutan ramai.

Read Full Post »

Older Posts »