Feeds:
Kiriman
Komen-komen

Archive for 15 Mac 2009

Tentunya lontaran idea yang paling hebat bulan ini adalah tentang mewujudkan kerajaan campuran, yang sekaligus bakal meniadakan istilah pembangkang yang sekian lama disandang oleh pihak yang selain BN. Apakah sebenarnya yang ingin dicapai daripada kerajaan ini? Adakah sekadar alasan ekonomi yang ingin diselamatkan? Atau lebih daripada itu?

Sebenarnya sejarah telah cukup banyak mengajar kita perihal politik UMNO/BN. Bila tersepit dan ditolak, mereka mencari kawan dan dahan untuk berpaut. Bila berkuasa merekalah yang paling hampir dengan iblis yang begitu angkuh. Maka, yang ditawarkan itu tidak lain dan tidak bukan adalah satu perangkap dan umpan. namun pada masa yang sama, ia juga boleh ditafsirkan sebagai satu krisis kepercayaan pimpinan UMNO kepada Najib Tun Razak yang dikatakan menghitung hari untuk bergelar Perdana Menteri Mlaysia ke enam; melengkapkan teori RAHMAN.

Tetapi untuk seorang yang bernama Najib Tun Razak melengkapi teori RAHMAN itu terlalu nampak cacat dan janggalnya. masakan tidak, terlalu banyak yang diperkatakan tentang beliau. Bila seorang Naib Presiden melihat keperluan kerajaan campuran, maka tiada makna sebenarnya pada pakej ransangan yang ditawarkan oleh Najib selaku Menteri Kewangan.

Tun Dr Mahathir sendiri begitu lantang mengingatkan Najib agar tidak memilih Perasuah di kalangan pimpinan UMNO. Bermakna ahli ahli majlis tertinggi UMNO itu tidak banyak yang boleh dipilih oleh Najib. Mungkin perlu menggunakan kuota Senator dengan semaksima mungkin dalam mencari mereka yang benar benar layak.

Namun yang dibangkitkan oleh Tun juga adalah, adakah Najib akan menjadi Perdana Menteri? Seakan ada tanda tanda dan simptom yang Najib mungkin kempunan untuk menjawat jawatan itu. Pertemuan yang dikatakan tidak diatur antara Pak Lah dan Anwar Ibrahim menambahkan lagi kebarangkalian itu. Mungkin kesukaran untuk berfikir waras itu juga menyebabkan beberapa orang yang dikatakan kem Pak Lah secara tiba tiba dikaitkan dengan kes rasuah.

UMNO sedang meniti hari hari gelapnya. Inilah hakikat bila kegilaan pada jawatan dan keangkuhan menjadi pakaian pemimpin UMNO. Bila semua cara digunakan untuk menyekat kemaraan rakyat, termasuk melalui agensi kerajaan dan pihak berwajib, melalui kuasa Speaker dan Hakim, maka tugas menyempurnakan kemarahan rakyat ini akan menjelma menjadi kebencian dan penolakan sekaligus melengkapkan pusara UMNO yang bukan sekadar bakal untuk tidak disinggahi oleh pelawat dengan tangisan, malahan hanya rintihan dan cemuhan yang bakal menanti. Hanya menanti satu demi satu salah laku untuk didedahkan.

Sambutan berkenaan kerajaan campuran oleh beberapa orang pimpinan PAS termasuk sahabat saya,Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat adalah bersyarat. Beliau sebenarnya mengulangi apa yang disebut oleh Tuan Guru Mursyidul Am bahawa Najib perlu menyelesaikan dahulu masalah yang telah ditimbulkan di Perak. Namun yang diambil oleh media putar belit dan kaki pelaga adalah separuh. Ini sengaja dibuat untuk mengeruhkan suasana jernih dalam Pakatan.

Perpaduan di dalam Pakatan Rakyat adalah kehendak rakyat. rakyat yang memilih untuk mengembalikan kuasa mereka yang telah dirampas, selepas kuasa raja raja melayu juga dirampas oleh kerajaan BN/ UMNO. Pastinya kerajaan campuran yang diidamkan oleh pimpinan UMNO, samada untuk survuval diri mahupun UMNO itu sendiri adalah omongan semata. Kerajaan campuran hanya layak menjadi bahan sejarah yang akan dimuatkan dalam wikipedia tanpa perlu ditambah tambah lagi.

Advertisements

Read Full Post »