Feeds:
Kiriman
Komen-komen

Archive for 22 Mac 2009

Perbincangan hangat sehari dua ini tentunya berkisar kerajaan perpaduan. Satu istilah yang dikira agak baru dalam dunia politik tanahair. Baru dalam konteks kerajaan demokrasi berparlimen yang dipandukan oleh penjajah Inggeris pada satu ketika dahulu. Peninggalan ini sudah pasti berbeza dengan kerajaan di Indonesia contohnya yang mengamalkan konsep kerajaan perpaduan ini.

Maka hal sebesar ini perlulah dibincangkan dalam satu persidangan yang besar melibatkan semua pihak dari pelbagai latar belakang, termasuklah ahli akademik. Ia melibatkan satu perubahan besar kepada sistem politik dan sosial negara. Mendapatkan pandangan orang politik semata mata tidak akan membawa kebaikan yang maksimum dan meluas kepada rakyat. Orang politik mempunyai kecenderungan untuk mendapatkan keuntungan politik kepada diri dan parti masing masing. Sedangkan fokus utama kerajaan perpaduan adalah untuk membantu memaksimakan peluang dan pandangan yang berbeza untuk mencari formula terbaik sesuai dengan ramainya pemikir dan bijak pandai yang berjaya dikumpulkan. Pada hari ini, idea yang baik mungkin tidak diketengahkan kerana jurang politik dan sentimen yang begitu menebal khususnya di pihak kerajaan yang memerintah ( bukan mentadbir).

Persoalan samada To Guru Mursyidul Am PAS tidak memahami apa yang cuba diperkenalkan bukanlah persoalan utama. Persoalan utama adalah mengapa sekarang?
Di saat negara begitu gawat dek penangan peniaga mata wang dan pelbagai lagi penyebab pada tahun 1997, tiada pula perhitungan sebegini diambil kira. Sebagai antara orang lama dalam politik yang mengikuti perkembangan semasa ( kerana beliau seorang pembaca yang sentiaa memperkayakan diri dengan ilmu) saya yakin To Guru bukanlah jahil bab kerajaan perpaduan ini. Dan beliau lebih mengerti apa yang ingin dibawa. Bukan sekadar dengan bacaan politik tetapi petunjuk dan panduan dari langit.

Sementara itu, ada yang mengatakan statement mengajak UMNO/BN bersama dalam kerajaan perpaduan sebagai perangkap kepada UMNO khususnya menjelang pemilihan mereka. Benarkah begitu? UMNO khususnya sudah lama terperangkap di dalam kancah politik wang yang mereka sendiri hasilkan. Survival mereka sekarang ini bukan di atas agenda menyelamatkan rakyat dan ekonomi negara, tetapi untuk memperkayakan diri dan kroni dalam menghadapi pertarungan sesama mereka dan berhadapan dengan pilihanraya.

Pastinya ahli PAS mengharapkan perangkap yang cuba mengena UMNO ini tidak makan tuan. Dan tidak ada pula agenda lain di sebalik pelawaan ini. Samada di atas nama strategi, tipu musihat dan perangkap, ianya akan terjawab dalam sedikit masa lagi bila Pak Lah tidak lagi menjadi Perdana Menteri. Ketakutan kepada Najib mencetuskan terlalu banyak persoalan dan kegusaran yang tidak perlu sehinggakan fokus utama sekarang adalah menggagalkan Najib, bukan merebahkan UMNO/BN. Najib sebagai Perdana Menteri tentunya ingin mencari formula menambat semula hati rakyat, bukan semakin dalam mengggali kubur UMNO yang semakin jelas dan nyata. Sekiranya inilah yang menjadi agenda, kita memberi nafas kepada hidupnya UMNO di saat nazaknya. Moga pertimbangan ini menjadi sebahagian dari langkah waspada kita untuk terus menempatkan PAS sebagai peneraju politik tanahair.

Advertisements

Read Full Post »