Feeds:
Kiriman
Komen-komen

Archive for November 2009

Politik PAS Kelantan 2

Saya menulis dalam suasana yang seharusnya semua cuba dan cuma berdiam, namun ada kewajaran. Saya menulis sebagaimana ramai dari kalangan ahli dan pimpinan berada dalam suasana kebingungan, namun ada pertimbangan. Bukan menulis untuk menyelak kudis, bukan juga untuk mengiayakan mahupun menyalahkan sesiapa, lantaran sebagai insan itu, tetap ada silap, tetap ada khilaf, hingga insan itu berada di bawah dua batu nisan dan ditinggalkan keseorangan.

Bila mengakui kita semua ada kelemahan dan kesilapan, sepatunya sebarang masalah itu adalah kecil dan ada jalan penyelesaian. Yang menjadikan kudis itu membusung, luka itu bertambah parah, adalah sikap diri sendiri yang menyalahkan orang lain. Untuk luka itu sembuh perkara kedua, penyebab luka itulah juga yang diungkit ungkitkannya. Bertempur pastinya mengundang luka. Pasti. Bila berbeza halatuju dan kepentingan, pasti ada pertempuran. Melewati hari hari yang mana peperangan sebenar makin menjadi jadi, khilaf yang kecil akhirnya diperbesarkan. Kesalahan yang selama ini boleh ditutup dibongkarkan seluas maya. Apatah lagi bilamana ada musuh musuh lama datang menghasut dan cuba memperlaga.

Faktor utama yang menjadi faktor kekalutan adalah penguasaan harta dan kedudukan. Isu menamakan MB adalah perkara sampingan bilamana perancangan menguasai harta dan kedudukan semakin kejauhan. Orang yang diamanahkan mencari duit dan aset untuk menambah hasil kerajaan, demi rakyat yang setia mengundi, kasih yang tidak berbelah bagi terutama kepada pemimpin seperti To Guru yang sangat disegani berhadapan dengan mereka yang mencari duit beralasankan untuk parti. Atas nama parti. Namun yang jelas berlaku, apa yang diucapkan tidak melekat di kalbu, hanya menghiasi kertas dan buku serta dibawa angin lalu. Kehidupan mewah semakin menjadi pakaian, kereta besar menjadi mainan, kenalan kenalan dari korporat dan hartawan menjadi kawan sepermainan. Walau berbeza parti, walau berbeza ideologi.

Percaturan melaga lagakan sesama sendiri ini mungkin bukan yang diingini, namun kerana nafsu serakah yang menguasai, segalanya tidak lagi dipeduli. PMBK ialah medan untuk menguji siapa yang lebih dapat menguasai. Di satu pihak yang cuba menjaga nama baik parti di atas nama integriti dan mengurus persepsi, satu pihak lagi pula menggunakan peluang yang ada untuk mencipta nama dan mengubah suasana. Kedua duanya ada hujah dan pendekatan berbeza. Manakan sama natijahnya. Akhirnya perkara peribadi menguasai suasana. Yang binasa bukan seorang dua, malahan satu ikatan dan pengukuhan yang telah terbina. Musuh sebenar bersorak keriaan. Yang membina terduduk keletihan. Letih menghadapi musuh dalaman yang tidak diundang dan tidak pernah diimpikan.

Kelemahan individu itu ada kalanya amatlah mengharukan. Apatah lagi jika buruknya itu menjadi percakapan. Rakyat dan semua orang memandang dan membuat pertimbangan. Menjadi pemimpin yang dihormati, tidak terletak pada ego yang tinggi, walau cerdiknya mengalahkan semua penghuni bumi, namun peribadinya tidak seperti Mahatma Ghandi. Bila mana ditanya Mahatma Ghandi, mengapa menaiki kelas ketiga dalam keretapi, dijawabnya sebab tidak ada kelas ke empat. Kita cerdik tidak semestinya perlu memperbodohkan orang atau menganggap orang lain betul lurus. Orang bodoh boleh juga menjadi pandai jika diberi ruang dan peluang.

Apatah lagi individu itu membenarkan dirinya hanyut dalam bakul fitnah. Membiarkan orang orang kelilingnya membersih dan menimbun sampah untuk nampak rumahnya bersih, namun jirannya pula mengamuk dibiarkan sampah dalam halamannya. Memang rumah dan persekitaran bersih mengundang malaikat, yang kotor pula menjemput syaitan dan maksiat, namun jangan sampai menyakitkan perasaan sahabat. Jangan pula untuk memperbetulkan persepsi tentang diri sendiri, orang yang pernah menabur budi dibiarkan hanyut tak bertepi. Malahan dibiar pula dicaci dan dikeji.

Sememangnya adab hidup berpolitik, menjaga diri sendiri adalah keutamaan. Mengelak dari mencari masalah adalah kemestian. Politik meloloskan diri bila diasak oleh musuh yang cuba menguasai. Hidup penuh lakonan andai bukan untuk menjadi contoh teladan. Memakai pakaian akhlak bila berkehendak, namun memecatnya bila nafsu menguasai benak. Yang tercampak keluar adalah mereka yang jujur pada perjuangan, yang dapat menguasai perlawanan pula mereka yang timbul untuk mencari makan. Untung sabut timbul..

To Guru adalah pemimpin terulung pernah dihadirkan untuk negara kita. To Guru tidak perlu berundur sebagai MB tanpa Putrajaya menjelma di mata. Sedikitpun kita tidak perlu ragu ragu seandainya Malaysia berperdana menterikan To Guru. Hatta Lee Kuan Yew sanggup bertandang mencari titik temu. Pengiktirafan dunia kepada To Guru adalah bukti ketokohan beliau. Walaupun usia senja sudah mula bertamu, ia tidaklah perlu dijadikan alasan. Kerana mutiara yang dikeluarkan dari hasil pemikirannya amat bermakna untuk semua. Teramat amat diperlukan. Terpeliharanya To Guru dari kejahatan manusia kerana dekatnya beliau kepada Tuhannya. Di sini ahli dan kepimpinan PAS hanya mampu bercerita dan berbangga, namun tidak berusaha untuk menghadirkan lebih ramai peribadi seperti To Guru untuk kita hadapi musuh yang sentiasa menguji dan membenci. Di sinilah kepincangan menghasilkan apa yang terhasil hari ini.

Read Full Post »

Politik PAS Kelantan 1

Kemelut Poltik di Kelantan menggegarkan jiwa dan menerobosi minda para pengikut dan pengkaji politik dengan kejutan yang amat. Ada yang meletakkan kegawatan itu pada individu yang tiada penyakit cari penyakit. Ada yamg menuduh ianya agenda UMNO, apatah lagi Royalti yang diberi nyawa Wang Ehsan oleh Najib Tun Razak sudah begitu dekat dalam genggaman.

PAS adalah wadah untuk perjuangan suci warisan para Nabi yang mengunakan pendekatan politik dalam mencapai matlamat membawa rahmat kepada sekalian alam. PAS membuka keanggotaannya pada rakyat Malaysia beragama Islam, Melayu kah, Cina kah, bekas ahli UMNO kah dan siapa jua mereka, asalkan beragama Islam, mereka layak memohon menjadi ahli PAS.

Kesan sokongan padu pada PAS pada PRU 12 yang lepas, kelab penyokong cina, india dan lain lain yang akan dinaiktaraf menjadi dewan. Ini menggusarkan banyak pihak samada dari dalam dan luar PAS. Atas faktor inilah PAS cuba dikucar kacirkan dari segenap penjuru oleh semua pihak yang tidak ingin melihat PAS lebih baik dari apa yang dicapai sekarang. Pimpinan PAS dilaga lagakan. Kerajaan PAS/ Pakatan Rakyat diporak perandakan. Sebenarnya ini seharusnya memberi satu kelebihan kepada PAS agar lebih berhati hati dalam tindak tanduknya. Namun sayangnya tidak. Musuh menduga, PAS tidak bersiap siaga.

Memasuki tahun ke 20 pemerintahan kerajaan PAS di Kelantan, sudah pasti ianya membawa banyak kelebihan dalam memastikan jentera PAS utuh dan kekal dengan tradisi membela rakyatnya, program memasyarakatkan PASnya dan lain lain. Namun secara tidak sedar ia juga mewujudkan pihak yang mengaut keuntungan dari kerajaan PAS. Niat mereka pada awalnya untuk membantu PAS dan pimpinan PAS bertukar menjadi agenda untuk keuntungan peribadi. Mereka semakin leka dengan mencari harta dan menaja pimpinan tertentu untuk membina reputasi.

Akhirnya bila sudah cukup kaya dan tiba masanya, mereka merasakan kemuncak kepada kejayaan mereka adalah dengan berjaya mengangkat pemimpin mereka ke kerusi MB. Inilah yang sedang PAS Kelantan lalui sekarang ini. Fasa mengeluarkan Tuan Guru Nik Abdul Aziz dari kerusinya sebelum lebih banyak kelemahan pentadbiran yang bakal mereka tonjolkan. Siapa sebenarnya di belakang semua ini? Akan saya perhalusi dalam saat saat yang dikira kritikal dan mencemaskan ini.

Read Full Post »

Parti Islam SeMalaysia atau singkatannya PAS telah berusia lebih separuh abad di persada poltik Malaysia. Kemunculannya seawal tahun 1951 memberikan kesan yang cukup besar kepada iklim politik Malaysia. PAS telah melalui beberapa fasa dari peringkat awal sebagai pembangkang hinggalah berjaya menubuhkan kerajaan di beberapa negeri.

Kemuncak kejayaan PAS adalah pada PRU 12 yang lepas dengan menjadi Menteri Besar di 3 negeri iaitu Kelantan, Kedah dan Perak. Persefahaman di bawah satu wadah yang dinamakan Pakatan Rakyat berjaya mengejutkan singa BN yang kekenyangan, hingga dilihat hampir hilang kejantannya. Gelanggang PRU yang dicipta untuk berpihak kepada BN tidak sedikit menggugat kehendak pengundi yang ingin berubah haluan akibat keangkuhan regim BN dan segala amalan rasuah yang bersarang di kalangan mereka.

PAS di atas nama menegakkan keadilan melalui Islam tanpa disangka sangka berjaya diterima oleh masyarakat bukan Islam dengan begitu baik sekali di Semenanjung Malaysia. Kepercayaan yang diberikan pada PAS melebihi yang diberi kepada parti seperti DAP dan PKR oleh masyarakat bukan Islam mencetuskan satu dimensi baru kepada gerakerja dan percaturan PAS. Dalam berhati hati menghadapi fenomena inilah dilihat pemikiran yang konservatif di kalangan sesetengah pimpinan PAS yang seakan berprasangka di atas sokongan tadi lantas merasakan keadilan Islam yang dibawa PAS bukanlah faktor sebenar sokongan yang diberikan kepada PAS. Apatah lagi faktor individu dalam PAS seperti Tuan Guru Mursyidul Am, mahupun fenomena Dato Seri Nizar yang dilihat antara tokoh baru PAS yang egitu berpotensi.

Peluang ini digunakan sebaiknya oleh UMNO untuk memasukkan jarum perpaduan dan mungkin pangkat dan kemewahan untuk menjadi umpan kepada pimpinan PAS yang pada asalnya berhasrat untuk memberi mesej bahawa golden share PAS ini bukanlah sesuatu yang boleh dipandang enteng oleh parti komponen PR yang lain. PAS perlu menjaga Islam dan sebagai parti sebangsa dan seagama, UMNO dilihat masih ingin mempertahankan kesucian Islam. Lalu perbincangan dmi perbincangan dilakukan di zaman Perdana Menteri ke 5, Tun Abdullah Badawi.

Bila Pak Lah turun dari tampuk kuasa,usaha untuk menjejaskan kredibiliti PAS di kalangan masyarakat Islam di atas nama perpaduan melayu dan Islam diteruskan. Perbincangan diteruskan oleh beberapa kepimpinan PAS yang pernah terlibat dengan perbincangan asal. Walaupun dinafikan, ia masih dicurigai oleh ramai dari kalangan pimpinan dan ahli PAS. Kemuncaknya ialah bila Prof Abdul Aziz Bari mengaitkan beberapa kepimpinan PAS yang berkecenderungan untuk berkerjasama dengan UMNO, hinggalah ianya disahut oleh Tuan Guru Mursyidul Am PAS dengan cadangan Mu’tamar Khas. Ianya mengurangkan sedikit ketegangan yang dirasai sebelum itu yang sedikit sebanyak dapat dilihat melalui dua Pilihanraya kecil iaitu di Manek Urai dan Bagan Pinang.

Keputusan PAS Pusat untuk menukar Mu’tamar Khas denga seminar politik disambut dengan pelbagai reaksi oleh kepimpinan dan ahli PAS. Hasil daripada seminar termasuk resolusi yang dicapai masih ditunggukan perlaksanaannya oleh semua. PAS terus menjadi fokus dan perhatian dunia. Pengiktirafan yang diberi kepada Tuan Guru Mursyidul Am PAS bilamana dinobatkan sebagai tokoh ke-42 paling berpengaruh di dunia di kalangan pemimpin dunia Islam memberi gambaran perhatian dunia dan harapan yang begitu tinggi kepada PAS.

Oleh itu persiapan dan persediaan ke arah menjadikan PAS lebih mampu menghadapi persaingan dan kegawatan politik terutamanya di era perang saraf yang kian memuncak ini prlu diberi perhatian oleh kepimpinan PAS. PAS perlu menjadi parti dominan di dalam PR sekiranya cita cita yang dibawa oleh PAS ingin menjadi realiti dan bukan sekadar mimpi. PAS perlu menangani permasalahan yang ditimbulkan untuk melemahkan PAS dari dalam tadi dan meningkatkan kekentalan ahli untuk menghadapi serangan dari luar. Hanya itu caranya sekiranya PAS bejaya dan memimpin.

Read Full Post »

Dunia Politik dan Persepsi

Dunia politik menjanjikan pelbagai natijah yang tidak menentu kepada mereka yang menceburinya. Ianya banyak bergantung kepada ketahanan seseorang pemimpin dalam menghadapi asakan dan tekanan dari pihak yang cuba menjatuhkannya. Selain itu kefahaman politik setempat juga mempunyai peranan selain daripada integriti pemimpin itu sendiri.

Di Jepun, Perdana Menterinya silih berganti. Malah dengan budayanya, ada pemimpin yang sangup membunuh diri bila didapati bersalah dan memalukan diri dan keluarga. Tapi sebaliknya, di tempat lain, ada juga pemimpin yang tidak pernah memikirkan soal integriti dan maruah, soal persepsi dan keinginan masyarakat. Bagi mereka yang penting mereka berada di tampuk kuasa.

Sepak terajang politik tidak mengenal sesiapa. Bila ada pengikut, antara kerja pengikut adalah menaikkan pemimpin mereka dan menjatuhkan lawan mereka. Proses inilah yang banyak merosakkan kerukunan dalam politik. Iaitu membelakangkan prinsip prinsip dan persaingan yang sihat. Mereka mencipta persepsi dan menyebarkan informasi yang tidak benar demi mencapai matlamat. Musuh diciptakan.

Iklim politik yang stabil berkait rapat dengan keyakinan pelabur dan tanggapan umum kepada sesebuah negara. Untuk lebih membawa sumbangan yang lebih bermakna terutamanya kepada mereka yang amat memerlukan pembelaan, kekayaan sesebuah negara perlu dijanakan sebaik mungkin agar rakyat lebih merasa kesannya. Namun adakalanya kemiskinan itu sengaja dikekalkan untuk rakyat tidak menukar haluan dan cara pemikiran mereka. Rakyat dilalikan dengan sumbangan bersifat sementara untuk mengaburi mata mereka.

Menjadi tanggungjawab pemimpin dan rakyat yang perihatin untuk memperbetulkan minda dan persepsi masyarakat agar kesannya dapat dirasai oleh semaksima mungkin mereka yang seharusnya diberikan sewajar perhatian. Politik itu tidak berubah. Yang berubah adalah pengamalnya. Mungkin sampai masa untuk kita berkerja keras memperbetukan kefahaman dan persepsi masyarakat dalam memastikan mereka terbela.

Read Full Post »

Di Persimpangan

Bila manusia dihadapkan dengan pilihan, mereka perlu membuat keputusan yang tepat dan terbaik untuk mempertimbangan pilihan yang ada. Itu kalau mereka ada pilihan.

Tidak sedikit juga orang yang tiada pilihan dalam hidup. Mereka meneruskan kehidupan sekadar apa yang mereka nampak dan sepertimana contoh yang ditunjukkan di sekeliling mereka. Kehidupan bermasyarakat yang di dalamnya terdapat ciri ciri harmoni dan bertimbang rasa pastinya diasaskan di atas keperihatinan dan perasaan ingin membantu.

Namun dalam sesetengah keadaan, khususnya politik, yang difikirkan adalah survival politik seseorang. Maka tidak pelik sekiranya mereka yang mendokong sesuatu cita cita dalam politik akan berhabis habisan memastikan kareer politik mereka selamat; pengikut pengikut juga terkadangnya sanggup melakukan apa saja untuk kemenangan pihak mereka. Prinsip dan nilai tidak ada dalam peradaban politik yang diasaskan oleh keinginan untuk memenangi hati pengikut dan massa semata mata.

Maka, seharusnya daya tahan mereka yang menceburi bidang politik haruslah tinggi dan tahan diuji. Politik mungkin menaikkan martabat seseorang di mata masyarakat walaupun hakikatnya merekalah ahli politik yang terkotor dan terkeji. Namun ia juga boleh merosakkan nama dan reputasi seseorang walau sebenarnya merekalah yang sebenarnya ingin membantu dan membela rakyat.

Bila ini berlaku, mungkin jalan keluar adalah meninggalkan gelanggang politik dengan cara terhormat sebelum lebih banyak lagi kemusnahan dan kerosakan berlaku. Berundur tidak semestinya mengaku kalah. Tapi mencari kekuatan guna untuk memastikan daya ketahanan semakin tinggi dan lebih tahan diuji. Berundur juga adalah satu strategi.

Di persimpangan tadilah petunjuk dan panduan diperlukan agar langkah yang diambil adalah yang terbaik untuk kita berlaku adil pada diri sendiri dan semua. Moga yang terbaik jua bakal menjelma.

Read Full Post »