Feeds:
Kiriman
Komen-komen

Sembilan Inisiatif Utama Untuk Banteras Rasuah

KUALA LUMPUR, 28 Jan (Bernama) — Barikut adalah intipati Pelan Hala Tuju Program Transformasi Kerajaan (GTP) untuk membanteras rasuah:

*Meningkatkan Skor Indeks Persepsi Rasuah Transparency International (TI) dari 4.5 kepada 4.9 tahun ini

*Meningkatkan peratusan yang menjawab “berkesan” dalam Kajian Global Corruption Barometer TI terhadap tindakan kerajaan dalam membanteras rasuah dari 28 peratus sekarang kepada 37 peratus tahun ini.

*Meningkatkan jumlah kes didakwa berbanding jumlah tangkapan pengedaran dan pemilikan dadah di bawah Akta Dadah Berbahaya dari 75 peratus ke 80 peratus tahun ini

*Meningkaktan jumlah saman yang diselesaikan berbanding dengan saman yang dikeluarkan polis dari 50 peratus kepada 61 peratus dan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan dari 60 peratus kepada 78 peratus

*Meningkatkan jumlah kes didakwa berbanding jumlah tangkapan dan tahanan di bawah Undang-undang Imigresen dari 53 peratus ke 60 peratus tahun ini

*Meningkatkan cukai yang diperoleh semula daripada barangan yang diisytihar di bawah harga sebenar daripada RM9 juta kepada RM21 juta tahun ini

*Jumlah penemuan audit terhadap salah urus perolehan setiap kementerian daripada 11.2 kepada 10.6 tahun ini.

*Meningkatkan peratusan perbicaraan diselesaikan dalam setahun daripada 8.5 peratus kepada 30 peratus

*Mesasarkan sebanyak 80 jumlah individu dalam pangkalan data pesalah daripada sifar pada tahun ini.

Kerajaan akan memantap dan memperkukuhkan unit-unit pematuhan dengan sasaran meraih semula keyakinan terhadap agensi pengawalseliaan dan penguatkuasaan — Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Imigresen dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Untuk itu, kerajaan antara lain akan melantik kakitangan unit pematuhan dengan sewajarnya, memberikan kuasa kepada unit untuk bertindak di bawah pengawasan langsung ketua agensi dan sebuah Suruhanjaya Bebas selain mewujudkan sebuah rangka kerja penyokong.

Bagi mengurangkan peluang berlakunya amalan rasuah, turut dilaksanakan ialah penggiliran kerja untuk menghalang pegawai penguatkuasa daripada membentuk hubungan kerjasama dengan organisasi jenayah dan mewujudkan carta liga prestasi bagi semua pihak berkuasa tempatan.

Parameter surat sokongan, yang kerap diguna untuk mempengaruhi kakitangan kerajaan bagi memintasi dasar dan tatacara standard kerajaan dalam mendapatkan kontrak, akan diperjelaskan amalannya dan akan dikurangkan secara berperingkat.

Butiran kontrak perolehan kerajaan akan didedahkan di mana kementerian perlu menerbitkan maklumat secara berpusat di portal e-kerajaan ringkasan projek-projek di mana perolehan dirancang dan dianugerah oleh kementerian berkenaan.

Orang ramai akan dihubungkan dengan laman web kementerian berkenaan untuk mendapatkan butiran selanjutnya mengenai projek atau perolehan itu.

Untuk meningkatkan ketelusan pembiayaan politik, undang-undang sedia ada akan dikuatkuasakan dan kajian untuk mengubahsuai pembiayaan politik akan dilaksanakan.

Kerajaan juga mencadangkan supaya ahli politik dan parti politik disyaratkan mendedahkan sumber pembiayaan dan perbelanjaan mereka kepada agensi yang bersesuaian.

Dasar toleransi sifar terhadap rasuah akan disokong dengan perlindungan pemberi maklumat dengan penggubalan Undang-udang Perlindungan Pemberi Maklumat.

Semua kes rasuah yang dilapor akan disiasat sepenuhnya tanpa mengira kedudukan dan butiran mengenai pesalah yang disabitkan kesalahan akan didedah kepada orang ramai sebagai tindakan pencegahan dan hukuman yang cepat dan keras terhadap mereka yang didapati bersalah kerana rasuah.

Kebebasan institusi utama akan diperkukuhkan dan ini antara lain melibatkan kajian terhadap Akta Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC) untuk mencari jalan memperkukuh peranannya dalam mencadangkan pelantikan kehakiman.

Akta untuk mendakwa kes rasuah dalam setahun juga digubal terutama yang membabitkan kepentingan awam dan dalam hal ini untuk memastikan pendakwaan yang segera dan cekap, tatacara bagi rakaman kenyataan saksi dan penyampaian sepina akan diperkukuh.

Selain itu jadual pelaksanaan ketat akan dikuatkuasa terhadap semua proses dan tatacara pendakwaan dan keupayaan pengendalian kes mahkamah akan ditingkat menerusi pelantikan Timbalan Pendakwa Raya tambahan dan penubuhan mahkamah rasuah khas.

Akta SPRM akan dipinda untuk mengenakan hukuman yang lebih keras berdasarkan keseriusan kesalahan memandangkan pada masa sekarang tidak ada hukuman minimum ditetapkan.

Di samping itu, struktur hukuman lebih keras juga akan dilaksana terhadap pegawai awam yang disabitkan kesalahan (kakitangan awam dan ahli pentadbiran, perundangan dan kehakiman).

Pangkalan data pesalah ‘namakan dan malukan’, pendekatan dalam bentuk pangkalan data awam yang menyenaraikan pesalah rasuah akan dilaksanakan dan pangkalan data ini juga akan berfungsi mempermudah keputusan pengambilan kerja, terutama bagi jawatan sensitif yang melibatkan kuasa dan amanah.

— BERNAMA

Advertisements

Menteri Mesti Pamerkan Prestasi Yang Baik

KUALA LUMPUR, 28 Jan (Bernama) — Pelan Hala Tuju Program Transformasi Kerajaan (GTP) menetapkan kepada para menteri supaya mempamerkan prestasi yang baik mengikut dan akan bertanggungjawab jika mereka tidak memenuhi Petunjuk Prestasi Utama (KPI) kementerian masing-masing.

Mengikut pelan itu yang dilancarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, beliau (Najib) telah menjalankan sesi penilaian prestasi secara individu dengan semua menteri beliau.

Dalam sesi penilaian tersebut, Perdana Menteri mempertanggungjawab menteri-menteri terhadap prestasi mereka dalam petunjuk awalan prestasi utama menteri (MKPI).

Beliau juga memberi sokongan kepada menteri untuk membantu mereka memperbaiki prestasi serta mencabar sasaran dan rancangan penyampaian yang sedang mereka rangka untuk tahun 2010.

Hasil daripada sesi penilaian PM-menteri, MKPI untuk 2010 telah dipersetujui. Prestasi berdasarkan sasaran ini akan dinilai pada bulan Mei/Jun dan November/Disember ini.

Pada tahun 2010, MKPI dijangka disebarkan ke seluruh perkhidmatan awam.

Seperti bidang keberhasilan utama negara (NKRA), bidang keberhasilan menteri (MKRA) dan MKPI ini hanyalah permulaan dan akan diperhalusi dan diperbaiki selanjutnaya mengikut peredaran masa.

Inisiatif serta tindakan yang menyokong pelaksanaan ke arah mencapai sasaran ini juga merupakan penetapan awal, yang akan dimansuh, diganti atau dipertingkat jika sasaran tidak tercapai.

“Yang penting hanya penyampaian hasil sebenar dan nyata yang dapat dilihat oleh rakyat,” mengikut GTP.

MKRA dan MKPI haruslah konsistan dengan keutamaan negara, iaitu NKRA dan dengan peredaran masa, ia akan disebarkan ke seluruh perkhidmatan awam untuk memastikan penyampaian hasil.

Pada April 2009, menerusi pelantikan kabinet baharu, Perdana Menteri telah mengumumkan pendekatan baharu ke arah kerajaan yang lebih telus dan bertanggung jawab yang memberi tumpuan terhadap penyampaian untuk rakyat.

Untuk itu Najib memperkenal paradigma baharu untuk meningkatkan prestasi dan menyampaikan hasil dengan menggunakan bidang keberhasilan utama dan petunjuk prestasi utama.

Selaras dengan amalan Najib yang mengutamakan pencapaian transformasi melalui kepimpinan yang berasaskan prestasi, menteri dan kakitangan awam kanan dipertanggungjawabkan untuk menambah baik MKRA mereka, serta pelaksanaan KPI menteri dalam bidang-bidang tersebut.

Tiga bidang tumpuan untuk menteri dan kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air ialah meningkatkan pengendalian bekalan elektrik dengan mengurangkan tempoh gangguan bekalan, meningkatkan pengunaan tenaga boleh diperbaharui menggunakan aplikasi teknologi hijau serta meningkatakan bekalan air terawat dan meluaskan perkhidmatan pembetungan di kawasan bandar.

Mengikut GTP, Nilai Indeks Purata Tempoh Gangguan sistem (SAIDI) untuk Sabah ialah 1,947 minit berbanding 78 di Semenanjung Malaysia, dan 273 untuk Sarawak pada tahun 2008.

“Sasaran kami ialah mengurangkan nilai SAIDI bagi Sabah kepada 700 minit dan Semenanjung Malaysia kepada 60 minit menjelang akhir 2010,” menurut GTP.

Bagi meningkatkan penggunaan tenaga boleh diperbaharui berdasarkan aplikasi teknologi hijau, kementerian telah mula meningkatkan penjanaan elektrik daripada sumber tenaga boleh diperbaharui melalui teknologi hidro mini dan sumber, biojisim, biogas dan sumber solar.

“Sasaran kami, pada tahun 2010, 65 MW elektrik akan dijana daripada sumber boleh diperbaharui dan 2013 KW daripada sumber solar,” mengikut GTP.

Mengikut pelan itu, 96.5 peratus daripada kawasan bandar mempunyai akses kepada air terawat dan permatuhan 95 peratus kepada piawaian air yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan, satu nilai yang ingin dikekalkan.

MKRA dan MKPI untuk Kementerian Perumahan dan kerjaan tempatan adalah meningkatkan bilangan kediaman untuk isi rumah berpendapatan rendah di kawasan bandar, menyokong penyambungan semula projek kediaman swasta sedia ada yang berlesen tetapi terbengkalai dan meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan bagi pihak berkuasa tempatan.

Pada tahun 2010, kementerian itu merancang menyediakan tambahan 3,056 unit untuk disewa menerusi program Perumahan Rakyat.

Kementerian juga mahu menyokong penyambungan semula projek kediaman swasta sedia ada yang berlesen tetapi terbengkalai.

“Kami prihatin akan kesukaran yang dihadapi oleh para pembeli yang terlibat dengan projek perumahan terbengkalai,” kata GTP.

“Oleh itu, kami akan menggunakan khidmat pemaju sedia ada untuk membantu mereka mengatasi masaalah yang mungkin dihadapi, atau melantik pemaju baharu., untuk memastikan 35 projek disambung semula pada tahun 2010,” kata pelan itu.

Kementerian juga mahu meningkatkan khidmat pelanggan dan kemudahan apabila berinteraksi dengan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

Ini akan direalisasikan dengan mempunyai lebih banyak PBT(tambahan 11 PBT pada tahun 2010) yang mempunyai ePBT dalam talian, bagi membolehkan rakyat membuat bayaran cukai taksiran PBT, cukai tanah serta membuat aduan atau memberi maklum balas secara elektronik.

— BERNAMA

Menteri Oh Menteri (1)

Polis Tidak Perlukan Keterangan Azmin – Hishammuddin

KUALA LUMPUR, 28 Jan (Bernama) — Polis tidak akan mengambil keterangan daripada Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Azmin Ali berhubung kenyataannya yang mendakwa beliau mempunyai maklumat tentang penglibatan ahli pergerakan Pemuda Umno dalam kes serangan gereja di Desa Melawati awal bulan ini.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata polis tidak perlu mendapatkan keterangan Azmin kerana beliau bercakap atas kepentingan politik semata-mata.

“Azmin hanya orang politik yang boleh membuat andaian dan tuduhan yang bermacam-macam,” katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran Pelan Hala Tuju Program Transformasi Kerajaan (GTP) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur di sini Khamis.

Beliau diminta mengulas mengenai kenyataan Azmin semalam yang mendakwa beliau mempunyai maklumat tentang penglibatan Pemuda Umno Bahagian Gombak dan Ampang dalam kes membakar Gereja Metro Tabernacle di Desa Melawati, Kuala Lumpur, pada 8 Jan lepas.

Azmin yang juga Ahli Parlimen Gombak berkata beliau sedang berusaha mendapatkan nombor kad pengenalan dan nombor keahlian anggota Umno yang didakwa terbabit.

Hishammuddin yang juga Naib Presiden Umno berkata, Umno juga boleh membuat tuduhan kepada PKR sekiranya mahu, namun kerajaan mahu menumpukan untuk mengumpul bukti dan fakta terlebih dahulu dan tidak sekali-kali membuat tuduhan sembarangan.

Beliau berkata polis tidak akan pilih kasih dalam sebarang tindakannya setelah bukti yang diperolehi mencukupi tidak kira ia melibatkan orang Umno atau sesiapa sahaja yang didapati terlibat.

“Sekarang polis sudah bertindak termasuk menahan seorang anak pegawai polis. Ini menunjukkan pihak berkuasa tidak pilih kasih dalam tindakan yang penting setelah kita mempunyai bukti untuk dibawa ke muka pengadilan,” katanya.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Ahmad Maslan pula berkata dakwaan tentang penglibatan Pemuda Umno dalam insiden itu hanyalah satu strategi baru pembangkang yang kini mensabitkan semua kejadian buruk kononnya datang dari Umno.

Ahmad yang juga Ketua Penerangan Umno berkata, Umno juga boleh menuduh PKR atau pembangkang melakukan perbuatan tersebut, tetapi Umno tidaklah sejahil itu untuk membuat tuduhan tanpa sebarang bukti.

“Saya nak ingatkan pembangkang jangan buat tuduhan melulu. Jika ada bukti sila dedahkan. Yang penting Umno tak suruh. Jika misalnya ada ahli Umno yang terlibat mencuri, itu bukan Umno yang suruh. Itu yang penting,” katanya.

— BERNAMA

FOMCA Minta Kerajaan Tangani Segera Keadaan Ekonomi

PETALING JAYA, 28 Jan (Bernama) — Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) meminta kerajaan supaya meningkatkan usaha untuk memulih keadaan ekonomi berikutan ramai rakyat yang kini merasai kesan kenaikan kos sara hidup di samping bimbang hilang pekerjaan.

Presidennya Datuk N.Marimuthu berkata survei yang dilakukan oleh badan pemikir Think Tank Merdeka Centre menunjukkan 43 peratus rakyat begitu prihatin tentang keadaan ekonomi semasa sementara satu lagi survei oleh syarikat kad kredit VISA International mendapati majoriti rakyat Malaysia bimbang hilang pekerjaan, simpanan dan juga inflasi.

Beliau berkata perhatian kini seolah-olah lebih tertumpu kepada soal hubungan kaum, rasuah dan politik dan sedikit sangat dilakukan kepada ekonomi.

“Sementara kita menganggap penting usaha menangani hubungan kaum, rasuah dan politik, ia tidak boleh semata-mata menjadi perhatian para pemimpin kita.

“Usaha serius perlu dilakukan untuk menjana ekonomi bagi mendapat keyakinan rakyat,” katanya.

— BERNAMA

GTP Cabaran Besar Buat Penjawat Awam – KSN

KUALA LUMPUR, 28 Jan (Bernama) — Cabaran besar menanti 1.2 juta penjawat awam di negara ini bagi memastikan pelaksanaan Program Transformasi Kerajaan (GTP) dilaksanakan dengan cepat dan berkesan, kata Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Sidek Hassan.

Beliau berkata ini bagi memastikan dasar-dasar yang digariskan untuk dilaksanakan kerajaan tidak terjejas hanya kerana sistem penyampaian yang kurang berkesan.

“Di masa-masa lepas masalah kita ialah kita membuat keputusan yang baik, dasar yang baik tetapi kurang sebagaimana yang Perdana Menteri sebutkan, iaitu kurang dalam pelaksanaan…jadi bila dah ada sasaran yang macam ini cabaran kita pada tahun ini dan masa-masa akan datang ialah memastikan bahawa dasar-dasar dan GTP yang dirancang ini dilaksanakan dengan cepat.

“Benda tu dah ada perancangan, dah ada dokumen jadi tanggungjawab kita sebagai penjawat awam adalah untuk memastikan bahawa perancangan yang dibuat dilaksanakan,” katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran Pelan Hala Tuju GTP oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur di sini, Khamis.

GTP yang diperkenalkan Najib pada April tahun lepas bertujuan mentranformasikan kerajaan bagi menambah baik sistem penyampaian perkhidmatan kepada rakyat serta memacu Malaysia ke arah mencapai aspirasi Wawasan 2020.

Mohd Sidek berkata sekiranya semua penjawat awam melaksanakan pelan tersebut dengan tekun, ikhlas dan penuh dedikasi, beliau yakin matlamat yang telah digariskan kerajaan akan dapat dicapai sepenuhnya.

Bagaimanapun, beliau berkata GTP tidak akan menjadi beban kepada penjawat awam kerana sebagai rakyat biasa, penjawat awam juga mahu menikmati hidup yang lebih baik.

“GTP tidak akan jadi tekanan sebab penjawat awam pun rakyat juga, apa salahnya, umpamanya untuk kita cuba mengurangkan jenayah jalanan…sebagai penjawat awam yang merupakan rakyat negara ini, kita mahu juga keadaan yang selamat, tidak ada jenayah, tidak ada kemiskinan dan rakyat dapat menikmati hidup yang baik.

“Sebagai rakyat biasa, sebagai penjawat awam yang merupakan rakyat negara ini, kita mahukan negara kita menjadi sebuah negara yang maju,”katanya.

Tegasnya kerajaan juga telah memberikan banyak kemudahan kepada penjawat awam dan adalah menjadi tugas mereka untuk memastikan matlamat kerajaan dan aspirasi rakyat dapat dilaksanakan dengan sebaik-baiknya.

Beliau turut menggesa orang ramai untuk bersama-sama mendokong hasrat mentransformasikan negara tanpa bergantung kepada penjawat awam semata-mata.

— BERNAMA

KL Bakal Dilengkapi Laluan Pejalan Kaki Bertutup

Oleh Jumiati Rosli

PUTRAJAYA, 28 Jan (Bernama) — Kuala Lumpur akan menyediakan rangkaian laluan pejalan kaki bertutup yang bakal memperindah landskap bandar raya, bermula dengan laluan dari Kuala Lumpur City Centre (KLCC) dan kawasan komersil berhampiran seperti Bukit Bintang.

Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar diberi tanggungjawab untuk memainkan peranan bukan hanya membina laluan pejalan kaki di tempat-tempat tertentu tetapi juga mengawasi pembinaan di pihak swasta supaya suatu hari nanti, semua bangunan di tengah-tengah bandar ada rangkaian bersama.

Menteri berkenaan Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin berkata Dewan Bandaraya Kuala Lumpur sedang membuat perancangan terperinci bagi pembangunan laluan itu dan sebagai permulaan, Petronas akan memperuntuk kira-kira RM100 juta untuk pembinaan laluan di sekitar KLCC.

Sambil mengakui Kuala Lumpur kini tidak mesra pejalan kaki berbanding bandar besar lain, beliau berharap laluan pejalan kaki ini juga dapat menjadi alternatif kepada warga kota mengurangkan penggunaan kenderaan di jalan raya dan dapat mengurangkan kesesakan.

Beliau berkata kemudahan laluan pejalan kaki bertutup seperti ini sudah dilaksanakan di negara seperti Hong Kong dan sudah terbukti keberkesanannya.

“Penduduk di bandar besar lain lebih banyak berjalan. Di tempat kita ini lain sedikit, sebabnya dengan cuaca hujan dan panas tetapi semuanya diharap berubah dengan adanya laluan pejalan kaki yang selesa dan mempunyai kipas misalnya,” katanya dalam temubual eksklusif dengan Bernama.

Pada masa akan datang, kementerian ini juga akan mensyaratkan supaya laluan pejalan kaki ini dibina di kawasan atau bangunan yang baru hendak dibangunkan.

Di Putrajaya pula, usaha sedang dilakukan untuk mengatasi masalah tempat letak kereta yang terhad.

Satu kempen menggalakkan penggunaan bas akan dilaksanakan selepas Perbadanan Putrajaya menambah lebih kurang 70 bas tambahan secara berperingkat.

Raja Nong Chik menjelaskan bahawa mengikut perancangan awal di Putrajaya, beliau dimaklumkan bahawa 70 peratus penduduk di sini sepatutnya menggunakan pengangkutan awam dan selebihnya menggunakan kenderaan sendiri.

“Saya diberitahu sebelum ini tempat letak kereta hanya untuk pelawat. Oleh kerana petugas juga menggunakan kenderaan sendiri, maka timbul masalah tempat letak kereta dan juga mengakibatkan kesesakan lalu lintas,” katanya.

Beliau berkata buat masa ini, ada ketikanya bas sedia ada kosong dengan tidak ada penumpang dan kebanyakan pengguna yang mengguna pakai bas di Putrajaya ialah warga asing.

“Tidak banyak yang pakai kecuali warga asing dan ini bermakna kerajaan cuba memberi kemudahan ini tetapi banyak yang tidak suka menggunakannya,” katanya.

Beliau berkata satu daripada punca mengapa penduduk di Putrajaya memilih menggunakan kenderaan sendiri ialah kerana tidak ada bas sekolah di sekitar Putrajaya.

Katanya bagi mengatasi masalah itu, Perbadanan Putrajaya akan mengkaji supaya beberapa bas yang ada nanti digunakan sebagai bas sekolah.

Satu lagi kemudahan yang beliau perhatikan tidak diguna sepenuhnya di Putrajaya ialah “Park and Ride”. Hanya segelintir yang menggunakannya terutama mereka yang bekerja di Putrajaya tetapi tidak tinggal di sini.

Konsep “Park & Ride” – letak kereta dan naik bas – untuk ke pejabat-pejabat kerajaan diperkenal di Putrajaya sejak 2007 bagi mengurangkan kesesakan lalu lintas dan mengatasi masalah kekurangan tempat letak kenderaan di situ.

— BERNAMA

Royalti: Pendirian tegas Nik Aziz disokong

KOTA BHARU, 25 Jan: Pelbagai pihak di sini mahu kerajaan negeri mempertahankan tuntutan royalti minyak dan bukan wang ihsan seperti dicanang pemimpin Umno.

Malah mereka menganggap ketegasan Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menolak cadangan melantik wakil kerajaan negeri dalam Jawatankuasa Wang Ihsan di bawah Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) sebagai tepat.

Pengerusi bersama Gerakan Bertindak Kembalikan Royalti Rakyat (Gegar), Dr Abdul Halim Yusoff berkata, kerajaan negeri perlu mempertahankan hak ke atas royalti sebagaimana termaktub dalam Akta Petroleum 1974.

Katanya, kerajaan pusat sebenarnya tidak ada hak ke atas royalti tersebut kerana perjanjian dibuat antara kerajaan negeri dengan Petronas dan bukan kerajaan pusat.

“Sekarang kita pun hairan dari mana pula kuasa kerajaan pusat untuk menentukan royalti menjadi wang ihsan.

“Ini langsung telah melanggarkan lunas-lunas federalisme yang dilaungkan kerajaan sejak merdeka,” katanya di sini.

Semalam, Menteri Besar Kelantan menolak pelantikan wakil kerajaan negeri dalam Jawatankuasa Pembangunan Wang Ihsan yang akan diletak di bawah JPP.

Sebelum itu Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Dr Awang Adek Hussin memberitahu kerajaan pusat akan menubuh jawatankuasa terbabit bagi menentukan kaedah penyaluran wang ihsan hasil petroleum yang dicari gali di perairan Kelantan.

Dr Abdul Halim bimbang wang ihsan hanya akan menjadi alat politik kepada pemerintah dan bukan bagi memberi manfaat secara langsung kepada rakyat.

“Tidak mustahil ia akan menjadi alat kepada kempen Umno bagi menghadapi pilihan raya umum akan datang seperti pernah berlaku di Terengganu,” ujarnya.

Oleh itu, beliau menyokong pendirian Menteri Besar menolak menghantar sebarang wakil dalam Jawatankuasa Pembangunan Wang Ihsan.

Dewan Pemuda PAS Kelantan turut menyokong penuh pendirian tegas Tuan Guru Nik Abdul Aziz bagi mempertahankan hak Kelantan ke atas royalti minyak.

Ketuanya, Abdul Latif Abdul Rahman berkata, tidak berbangkit sama sekalik kewujudan Jawatankuasa Pembangunan Wang Ihsan kerana ia bertentangan dengan perjanjian yang ditandatangani berpuluh tahun lalu.

“Sepatutnya kerajaan negeri yang mencadangkan pelantikan wakil kerajaan pusat dalam jawatankuasa royalti minyak kerana ia menjadi hak mutlak kerajaan negeri.

“Dan JPP pula suatu entiti yang tidak sepatutnya wujud kerana jabatan itu hanya ada di negeri-negeri yang BN kalah. Peranan JPP bercanggah dengan konsep federalisme.

“Oleh itu Dewan Pemuda mencadangkan JPP dibubarkan sekiranya benar Perdana Menteri mahu mengamalkan konsep 1Malaysia,” ujarnya.