Feeds:
Kiriman
Komen-komen

Archive for the ‘Kelantan’ Category

Royalti: Pendirian tegas Nik Aziz disokong

KOTA BHARU, 25 Jan: Pelbagai pihak di sini mahu kerajaan negeri mempertahankan tuntutan royalti minyak dan bukan wang ihsan seperti dicanang pemimpin Umno.

Malah mereka menganggap ketegasan Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menolak cadangan melantik wakil kerajaan negeri dalam Jawatankuasa Wang Ihsan di bawah Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) sebagai tepat.

Pengerusi bersama Gerakan Bertindak Kembalikan Royalti Rakyat (Gegar), Dr Abdul Halim Yusoff berkata, kerajaan negeri perlu mempertahankan hak ke atas royalti sebagaimana termaktub dalam Akta Petroleum 1974.

Katanya, kerajaan pusat sebenarnya tidak ada hak ke atas royalti tersebut kerana perjanjian dibuat antara kerajaan negeri dengan Petronas dan bukan kerajaan pusat.

“Sekarang kita pun hairan dari mana pula kuasa kerajaan pusat untuk menentukan royalti menjadi wang ihsan.

“Ini langsung telah melanggarkan lunas-lunas federalisme yang dilaungkan kerajaan sejak merdeka,” katanya di sini.

Semalam, Menteri Besar Kelantan menolak pelantikan wakil kerajaan negeri dalam Jawatankuasa Pembangunan Wang Ihsan yang akan diletak di bawah JPP.

Sebelum itu Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Dr Awang Adek Hussin memberitahu kerajaan pusat akan menubuh jawatankuasa terbabit bagi menentukan kaedah penyaluran wang ihsan hasil petroleum yang dicari gali di perairan Kelantan.

Dr Abdul Halim bimbang wang ihsan hanya akan menjadi alat politik kepada pemerintah dan bukan bagi memberi manfaat secara langsung kepada rakyat.

“Tidak mustahil ia akan menjadi alat kepada kempen Umno bagi menghadapi pilihan raya umum akan datang seperti pernah berlaku di Terengganu,” ujarnya.

Oleh itu, beliau menyokong pendirian Menteri Besar menolak menghantar sebarang wakil dalam Jawatankuasa Pembangunan Wang Ihsan.

Dewan Pemuda PAS Kelantan turut menyokong penuh pendirian tegas Tuan Guru Nik Abdul Aziz bagi mempertahankan hak Kelantan ke atas royalti minyak.

Ketuanya, Abdul Latif Abdul Rahman berkata, tidak berbangkit sama sekalik kewujudan Jawatankuasa Pembangunan Wang Ihsan kerana ia bertentangan dengan perjanjian yang ditandatangani berpuluh tahun lalu.

“Sepatutnya kerajaan negeri yang mencadangkan pelantikan wakil kerajaan pusat dalam jawatankuasa royalti minyak kerana ia menjadi hak mutlak kerajaan negeri.

“Dan JPP pula suatu entiti yang tidak sepatutnya wujud kerana jabatan itu hanya ada di negeri-negeri yang BN kalah. Peranan JPP bercanggah dengan konsep federalisme.

“Oleh itu Dewan Pemuda mencadangkan JPP dibubarkan sekiranya benar Perdana Menteri mahu mengamalkan konsep 1Malaysia,” ujarnya.

Read Full Post »

UMNO Kelantan Tidak Ambil Kesempatan Kemelut PAS

BACHOK, 24 Jan (Bernama) — UMNO Kelantan tidak akan mengambil kesempatan terhadap pelbagai kemelut yang sedang dihadapi pentadbiran kerajaan negeri sebaliknya menyerahkan kepada rakyat menilai sendiri kesan buruk baiknya kepada mereka pada masa akan datang.

Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan Datuk Dr Awang Adek Hussin berkata isu pelantikan menantu menteri besar dalam Perbadanan Menteri Besar (PMBK), bazar to guru dan cah keting meletakkan pentadbiran kerajaan negeri semakin bercelaru.

“Kita tidak mahu dituduh yang bukan-bukan malah sekarang ini pun telah ada tomahan kononnya ia berpunca daripada angkara Umno walaupun kita tidak buat apa-apa,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di sini, pada Ahad.

Beliau berkata demikian ketika ditanya kenapa UMNO Kelantan tidak mahu mengambil kesempatan terhadap isu-isu itu yang dianggap oleh sesetengah pihak satu peluang terbaik untuk melemahkan PAS bagi menjamin kemenangan pada pilihan raya umum akan datang.

Malah kata sesetengah pihak UMNO sengaja memberi peluang kepada PAS menyerangnya dengan isu royalti minyak dengan merentang kain pemidang dan majlis ceramah di setiap jajahan di Kelantan.

Awang Adek yang juga Timbalan Menteri Kewangan berkata isu bayaran pampasan sebanyak RM800 juta kepada sebuah syarikat pembalakan seperti mana yang diputuskan mahkamah menyebabkan kedudukan kerajaan negeri semakin tertekan dan kehilangan punca.

Katanya rakyat kini mula mempersoalkan kewibawaan pimpinan PAS yang selama ini mendakwa mereka lebih cekap pentadbir, telus dan tanpa kroni.

“Apa yang dibuat oleh UMNO sekarang dan akan datang akan terus berusaha mengubah keadaan itu agar Kelantan mencapai kemajuan yang seimbang sebagaimana yang dinikmati oleh rakyat negeri lain,” katanya yang juga Ketua UMNO Bahagian Bachok.

Beliau berkata bagi merealisasikan hakikat itu rakyat Kelantan tiada pilihan lain selain memberi peluang kepada kerajaan Barisan Nasional (BN) mentadbir negeri itu.

— BERNAMA

Read Full Post »

Pelajar, warga emas asrama pondok selamat

PASIR MAS: Seramai 55 penghuni asrama Pondok Lubuk Tapah, dekat sini, termasuk warga emas, terselamat dalam kejadian kebakaran yang memusnahkan tiga blok kayu asrama pondok berkenaan, jam 1.30 pagi semalam.

Sebuah rumah banglo dua tingkat berhampiran, turut mengalami kerosakan teruk pada bahagian tingkat atas.

Imam pondok berkenaan, Abdul Rahman Omar, 50, berkata ketika kejadian, semua penghuni termasuk pelajar remaja dan warga emas sedang tidur di asrama terbabit.

Pondok Lubuk Tapah dipercayai pondok agama tertua di negeri ini, diasaskan pada 1931 oleh Abdul Rahman Che Wan dan menerima pelajar bukan saja dari dalam negeri, malah negara jiran.

Seorang pelajar, Aswadi Mohd Nor, 22, berkata beliau terpaksa menendang pintu bilik yang didiami warga emas bagi mengejutkan mereka.

==

Bagi yang ingin memberikan sumbangan, bolehlah menghubungi pejabat pondok berkenaan di talian: 09-7905672 atau Saudara Azlan, 014-5064930

Read Full Post »

Kota Bharu: Budaya masyarakat di negeri ini yang gemar mengambil makanan dan minuman manis menyumbang kepada keperluan gula sehingga 500 metrik tan sehari.

Bagi memenuhi keperluan itu, Kementerian Perdagangan dalam negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Kelantan mengarahkan lapan pemborong gula di negeri itu membekalkan segera komoditi berkenaan.

Ketua Pegawai Penguatkuasa KPDNKK negeri, Rosli Ahmad berkata, lapan pemborong utama gula iaitu empat di Kota Bharu, dua di Tanah Merah, dan masing masing satu di Gua Musang dan Pasir Putih diberi arahan menghantar stok.

Beliau berkata, langkah itu berikutan aduan pengguna yang mendakwa terputus bekalan.

Sumber: Harian Metro 16012010

Read Full Post »

6 Bulan Untuk Nik Sapeia

Nik Sapeia Dijatuhi Hukuman Penjara Enam Bulan Kerana Sembur Bahan Berbahaya

KOTA BAHARU, 14 Jan (Bernama) — Mahkamah Majistret di sini Khamis menjatuhi hukuman penjara enam bulan terhadap ahli perniagaan Datuk Nik Sapeia Nik Yusoff kerana menyebabkan kecederaan dengan menyembur bahan berbahaya terhadap bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad pada 28 Julai 2006.

Majistret Azman Mustapha bagaimanapun membenarkan penangguhan pelaksanaan hukuman sementara menunggu rayuan.

— BERNAMA

Read Full Post »

Pusat tidak mahu layan tuntutan baru Kelantan

KOTA BHARU: Kerajaan Pusat tidak bercadang membuat kajian atau melayan tuntutan baru kerajaan Kelantan untuk menda-

patkan royalti minyak kononnya hasil itu diperoleh dari kawasan sempadan negeri itu dengan Terengganu.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed, berkata tindakan kerajaan negeri mengemukakan tuntutan itu hanya usaha Pas mencipta isu baru bagi mengubah pandangan rakyat setelah gagal dalam tuntutan awalnya.

Katanya, kenyataan Pengerusi Jawatankuasa Perancangan Ekonomi, Kewangan dan Kebajikan Kelantan, Datuk Husam Musa Isnin lalu itu dilakukan tanpa berdasarkan kepada fakta.

“Kenyataan yang hendak dibuat mestilah berdasarkan fakta dan tak boleh ada angan-angan kerana kerajaan adalah telus dan takkan menyembunyikan apa-apa fakta.

“Pada saya, ini (apa yang dikatakan Husam) bukanlah berasaskan fakta,” katanya selepas mengadakan Mesyuarat Badan Perhubungan Umno Negeri Kelantan di sini, malam kelmarin.

Husam dalam kenyataannya pada Isnin lalu berkata, kerajaan Kelantan kemukakan tuntutan royalti minyak yang baru membabitkan kawasan sempadan negeri itu dan Terengganu.

Selain itu, Husam juga dilaporkan sebagai berkata, sebuah pelantar, dikenali pelantar Bintang yang beroperasi sejak 1984, terletak bersempadan antara Kelantan dan Terengganu dan sejak itu, jumlah royalti diperoleh oleh kerajaan Pusat ialah RM9.7 bilion.

Tuntutan itu dilakukan kerajaan negeri berdasarkan kenyataan akhbar bekas Menteri Besar Kelantan, Tan Sri Mohamed Yaakob pada 5 September 1990 bahawa Kelantan sedia berkongsi dengan Terengganu berhubung penemuan sebuah telaga minyak di sempadan kedua-dua negeri.

Read Full Post »

Lebih 240,000 Rakyat Kelantan Yang Layak Belum Mendaftar Sebagai Pemilih

KOTA BAHARU, 7 Jan (Bernama) — Lebih 240,000 rakyat Kelantan yang layak mengundi belum mendaftar sebagai pemilih sekalipun pelbagai langkah telah diambil oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) agar mereka berbuat demikian.

Pengarah SPR Negeri Ab. Rahim Md Salleh berkata jumlah itu adalah sebahagian daripada 1.4 juta penduduk Kelantan yang telah melewati usia 21 tahun dan layak mengundi.

“Jumlah itu boleh dikatakan agak tinggi berbanding negeri-negeri lain. Entah di mana silapnya, pelbagai cara telah dilakukan termasuk melantik agen dari wakil parti politik,” katanya kepada Bernama di sini hari Khamis.

Beliau berkata keadaan itu mungkin berpunca daripada sikap sambil lewa rakyat selain suka mendaftar pada saat-saat akhir ketika pilihan raya semakin dekat.

Bagi menggalakkan golongan itu mendaftar, Ab. Rahim berkata pihaknya kini membuka kaunter bergerak di pasar raya seluruh Kelantan.

“Pembukaan kaunter itu lebih menyenangkan kerana orang ramai tidak lagi perlu pergi ke pejabat pos atau pejabat tanah jajahan semata-mata untuk mendaftar sebaliknya sebelum atau selepas membeli belah, mereka boleh mendaftar di kaunter yang dibuka,” katanya.

— BERNAMA

Read Full Post »

Politik PAS Kelantan 2

Saya menulis dalam suasana yang seharusnya semua cuba dan cuma berdiam, namun ada kewajaran. Saya menulis sebagaimana ramai dari kalangan ahli dan pimpinan berada dalam suasana kebingungan, namun ada pertimbangan. Bukan menulis untuk menyelak kudis, bukan juga untuk mengiayakan mahupun menyalahkan sesiapa, lantaran sebagai insan itu, tetap ada silap, tetap ada khilaf, hingga insan itu berada di bawah dua batu nisan dan ditinggalkan keseorangan.

Bila mengakui kita semua ada kelemahan dan kesilapan, sepatunya sebarang masalah itu adalah kecil dan ada jalan penyelesaian. Yang menjadikan kudis itu membusung, luka itu bertambah parah, adalah sikap diri sendiri yang menyalahkan orang lain. Untuk luka itu sembuh perkara kedua, penyebab luka itulah juga yang diungkit ungkitkannya. Bertempur pastinya mengundang luka. Pasti. Bila berbeza halatuju dan kepentingan, pasti ada pertempuran. Melewati hari hari yang mana peperangan sebenar makin menjadi jadi, khilaf yang kecil akhirnya diperbesarkan. Kesalahan yang selama ini boleh ditutup dibongkarkan seluas maya. Apatah lagi bilamana ada musuh musuh lama datang menghasut dan cuba memperlaga.

Faktor utama yang menjadi faktor kekalutan adalah penguasaan harta dan kedudukan. Isu menamakan MB adalah perkara sampingan bilamana perancangan menguasai harta dan kedudukan semakin kejauhan. Orang yang diamanahkan mencari duit dan aset untuk menambah hasil kerajaan, demi rakyat yang setia mengundi, kasih yang tidak berbelah bagi terutama kepada pemimpin seperti To Guru yang sangat disegani berhadapan dengan mereka yang mencari duit beralasankan untuk parti. Atas nama parti. Namun yang jelas berlaku, apa yang diucapkan tidak melekat di kalbu, hanya menghiasi kertas dan buku serta dibawa angin lalu. Kehidupan mewah semakin menjadi pakaian, kereta besar menjadi mainan, kenalan kenalan dari korporat dan hartawan menjadi kawan sepermainan. Walau berbeza parti, walau berbeza ideologi.

Percaturan melaga lagakan sesama sendiri ini mungkin bukan yang diingini, namun kerana nafsu serakah yang menguasai, segalanya tidak lagi dipeduli. PMBK ialah medan untuk menguji siapa yang lebih dapat menguasai. Di satu pihak yang cuba menjaga nama baik parti di atas nama integriti dan mengurus persepsi, satu pihak lagi pula menggunakan peluang yang ada untuk mencipta nama dan mengubah suasana. Kedua duanya ada hujah dan pendekatan berbeza. Manakan sama natijahnya. Akhirnya perkara peribadi menguasai suasana. Yang binasa bukan seorang dua, malahan satu ikatan dan pengukuhan yang telah terbina. Musuh sebenar bersorak keriaan. Yang membina terduduk keletihan. Letih menghadapi musuh dalaman yang tidak diundang dan tidak pernah diimpikan.

Kelemahan individu itu ada kalanya amatlah mengharukan. Apatah lagi jika buruknya itu menjadi percakapan. Rakyat dan semua orang memandang dan membuat pertimbangan. Menjadi pemimpin yang dihormati, tidak terletak pada ego yang tinggi, walau cerdiknya mengalahkan semua penghuni bumi, namun peribadinya tidak seperti Mahatma Ghandi. Bila mana ditanya Mahatma Ghandi, mengapa menaiki kelas ketiga dalam keretapi, dijawabnya sebab tidak ada kelas ke empat. Kita cerdik tidak semestinya perlu memperbodohkan orang atau menganggap orang lain betul lurus. Orang bodoh boleh juga menjadi pandai jika diberi ruang dan peluang.

Apatah lagi individu itu membenarkan dirinya hanyut dalam bakul fitnah. Membiarkan orang orang kelilingnya membersih dan menimbun sampah untuk nampak rumahnya bersih, namun jirannya pula mengamuk dibiarkan sampah dalam halamannya. Memang rumah dan persekitaran bersih mengundang malaikat, yang kotor pula menjemput syaitan dan maksiat, namun jangan sampai menyakitkan perasaan sahabat. Jangan pula untuk memperbetulkan persepsi tentang diri sendiri, orang yang pernah menabur budi dibiarkan hanyut tak bertepi. Malahan dibiar pula dicaci dan dikeji.

Sememangnya adab hidup berpolitik, menjaga diri sendiri adalah keutamaan. Mengelak dari mencari masalah adalah kemestian. Politik meloloskan diri bila diasak oleh musuh yang cuba menguasai. Hidup penuh lakonan andai bukan untuk menjadi contoh teladan. Memakai pakaian akhlak bila berkehendak, namun memecatnya bila nafsu menguasai benak. Yang tercampak keluar adalah mereka yang jujur pada perjuangan, yang dapat menguasai perlawanan pula mereka yang timbul untuk mencari makan. Untung sabut timbul..

To Guru adalah pemimpin terulung pernah dihadirkan untuk negara kita. To Guru tidak perlu berundur sebagai MB tanpa Putrajaya menjelma di mata. Sedikitpun kita tidak perlu ragu ragu seandainya Malaysia berperdana menterikan To Guru. Hatta Lee Kuan Yew sanggup bertandang mencari titik temu. Pengiktirafan dunia kepada To Guru adalah bukti ketokohan beliau. Walaupun usia senja sudah mula bertamu, ia tidaklah perlu dijadikan alasan. Kerana mutiara yang dikeluarkan dari hasil pemikirannya amat bermakna untuk semua. Teramat amat diperlukan. Terpeliharanya To Guru dari kejahatan manusia kerana dekatnya beliau kepada Tuhannya. Di sini ahli dan kepimpinan PAS hanya mampu bercerita dan berbangga, namun tidak berusaha untuk menghadirkan lebih ramai peribadi seperti To Guru untuk kita hadapi musuh yang sentiasa menguji dan membenci. Di sinilah kepincangan menghasilkan apa yang terhasil hari ini.

Read Full Post »

Politik PAS Kelantan 1

Kemelut Poltik di Kelantan menggegarkan jiwa dan menerobosi minda para pengikut dan pengkaji politik dengan kejutan yang amat. Ada yang meletakkan kegawatan itu pada individu yang tiada penyakit cari penyakit. Ada yamg menuduh ianya agenda UMNO, apatah lagi Royalti yang diberi nyawa Wang Ehsan oleh Najib Tun Razak sudah begitu dekat dalam genggaman.

PAS adalah wadah untuk perjuangan suci warisan para Nabi yang mengunakan pendekatan politik dalam mencapai matlamat membawa rahmat kepada sekalian alam. PAS membuka keanggotaannya pada rakyat Malaysia beragama Islam, Melayu kah, Cina kah, bekas ahli UMNO kah dan siapa jua mereka, asalkan beragama Islam, mereka layak memohon menjadi ahli PAS.

Kesan sokongan padu pada PAS pada PRU 12 yang lepas, kelab penyokong cina, india dan lain lain yang akan dinaiktaraf menjadi dewan. Ini menggusarkan banyak pihak samada dari dalam dan luar PAS. Atas faktor inilah PAS cuba dikucar kacirkan dari segenap penjuru oleh semua pihak yang tidak ingin melihat PAS lebih baik dari apa yang dicapai sekarang. Pimpinan PAS dilaga lagakan. Kerajaan PAS/ Pakatan Rakyat diporak perandakan. Sebenarnya ini seharusnya memberi satu kelebihan kepada PAS agar lebih berhati hati dalam tindak tanduknya. Namun sayangnya tidak. Musuh menduga, PAS tidak bersiap siaga.

Memasuki tahun ke 20 pemerintahan kerajaan PAS di Kelantan, sudah pasti ianya membawa banyak kelebihan dalam memastikan jentera PAS utuh dan kekal dengan tradisi membela rakyatnya, program memasyarakatkan PASnya dan lain lain. Namun secara tidak sedar ia juga mewujudkan pihak yang mengaut keuntungan dari kerajaan PAS. Niat mereka pada awalnya untuk membantu PAS dan pimpinan PAS bertukar menjadi agenda untuk keuntungan peribadi. Mereka semakin leka dengan mencari harta dan menaja pimpinan tertentu untuk membina reputasi.

Akhirnya bila sudah cukup kaya dan tiba masanya, mereka merasakan kemuncak kepada kejayaan mereka adalah dengan berjaya mengangkat pemimpin mereka ke kerusi MB. Inilah yang sedang PAS Kelantan lalui sekarang ini. Fasa mengeluarkan Tuan Guru Nik Abdul Aziz dari kerusinya sebelum lebih banyak kelemahan pentadbiran yang bakal mereka tonjolkan. Siapa sebenarnya di belakang semua ini? Akan saya perhalusi dalam saat saat yang dikira kritikal dan mencemaskan ini.

Read Full Post »

Musim Tengkujuh Kembali!

Musim Tengkujuh berkunjung lagi ke pantai timur. Hujan lebat untuk beberapa hari yang kadang kalanya tiada petunjuk untuk berhenti disambut dengan pelbagai reaksi. Ada yang kehilangan punca rezeki, ada juga yang kesusahan, manakala sesetengah pula bersuka tawa sambil menanti banjir/bah.

Ini satu fenomena berbeza yang tidak dialami di tempat lain. Banjir kilat, umpamanya, akan membawa pelbagai kesusahan dan kerosakan kepada harta benda. Namun banjir/bah di pantai timur kelihatan satu pesta untuk diraikan. Walhal ada yang menganggap banjir itu sebagi musibah. Nada memerli kedengaran. Kelantan juga banyak maksiat. Banjir datang sebagai peringatan.

Biarlah apa jua yang dikata. Yang perlu disedari, kejadian alam ini ada petandanya. Di antara kemarau dan banjir, fenomena alam ini mewujudkan satu penyesuaian dan persediaan. Di atas kebijaksanaan manusia dan izinNya, dapat kita mengatasinya. Peristiwa yang dirakamkan di dalam Al Quran berkenaan kebolehan Nabi Yusuf menta’bir mimpi dan persediaan yang telah  diambil  sepatutnya menjadi satu panduan buat mereka yang ingin mengambil peringatan.

Jadikanlah kebijaksanaan kita sebagai alat mendapatkan redhaNya, bukan menambahkan lagi kemurkaan. Musibah itu bukan pilihan kita, namun seandainya ia menimpa, redhalah akannya. Moga redha itu membawa keampunan dan rahmat dariNya.

Hujan lebat di Pantai Timur hingga Sabtu, kawasan rendah dan tebing sungai mungkin dinaiki air

20/11/2008 10:38am

 

KUALA LUMPUR 20 Nov. — Hujan sederhana dan kadangkala lebat dijangka berlaku di Kelantan, Terengganu dan Pahang sehingga petang Sabtu dan ini boleh menyebabkan banjir di kawasan rendah dan tebing sungai.

Jabatan Meteorologi telah menaik taraf amaran hujan lebat daripada peringkat kuning kepada jingga bagi ketiga-tiga negeri itu.

Dalam satu kenyataan hari ini, jabatan itu berkata kawasan yang terlibat di Kelantan termasuk daerah Kota Baharu, Tumpat, Bachok, Pasir Puteh, Pasir Mas, Tanah Merah, Machang, Jeli dan Kuala Krai.

Di Terengganu, kawasan terlibat termasuk daerah Kuala Terengganu, Besut, Setiu, Dungun, Kemaman, Marang dan Hulu Terengganu dan di Pahang, ia meliputi daerah Jerantut, Kuantan, Pekan, Rompin, Maran, Bera dan Temerloh.

Dalam satu kenyataan lain, jabatan itu melaporkan satu gempa bumi berukuran sederhana berlaku di Kepulauan Nicobar, 689 km ke barat daya Langkawi pada 1.14 pagi tadi.

Read Full Post »

Older Posts »