Feeds:
Kiriman
Komen-komen

Archive for Februari 2008

Pemuda UMNO/Barisan Nasional menggunakan pelbagai pendekatan dan strategi untuk menarik minat golongan muda mudi. Dalam kekalutan mereka mencipta idea dan cogankata, sekali lagi mereka hanya mampu menyaksikan senjata makan tuan.

Sedikit saraf telah dimainkan untuk memberi gambaran bahawa golongan muda inginkan perubahan. Cukup sudah mereka tertindas dan tersiksa dengan pemerintahan yang menyekat dan mengongkong kehendak diri mereka. Hiburan disekat. Namun, bila ada sepanduk berbunyi ‘Pade Doh 18 tahun! Kawe Nok Judi, Mabuk, Menari Ada Semula’, secepat kilat ianya dicabut oleh pihak UMNO.

Ini membuktikan perubahan yang mereka ingin bahawakan, tidak dapat tidak terpaksa bersalutkan sedikit mesej keIslaman juga demi meraih sokongan majoriti masyarakat, manakala agenda hiburan untuk menarik minat muda mudi hanyalah umpan yang tidak boleh disebut secara terbuka.

Selama 18 tahun To Guru Nik Abdul Aziz  Nik Mat menerajui kerajaan Kelantan, pelbagai idea dan perlaksanaan yang menguntungkan rakyat dilaksanakan. Samada secara terus daripada Kerajaan Negeri, mahupun secara tekanan yang ‘memaksa’ kerajaan pusat melakukan perubahan dan menerimapakai sebahagian daripada perubahan yang dibawa.

Untuk itu, padan dah 18tahun yang diberi! ( Pade Doh 18 tahun! It is justified).  Padan dan berpadanan! Kerana Kerajaan PAS berkhidmat untuk rakyat, demi keberkatan hidup mereka. Bukan setakat 18 tahun lagi akan diberi oleh rakyat Kelantan, selamanya pun akan mereka berikan! Tiada sebab untuk mereka menukar kerajaan!

Bukan persoalan siapa selepas To Guru Nik Aziz, kerana bakal penggantinya pun akan mengambil pendekatan yang sama. Perubahan akan terus dirancang dan dilaksanakan demi kebajikan rakyat.

Rakyat dapat menilai siapa yang benar benar ingin merubah nasib mereka, masa depan mereka. Bukan sekadar untuk mereka, tetapi untuk masyarakat Malaysia secara seluruhnya. Kebajikan tidak dinilai di atas warna kulit, agama dan fahaman politik, ia dinilai atas kesusahan, tanggungan dan bebanan seseorang. Undilah Barisan Alternatif.  MEREKA INGIN MERUBAH HIDUP ANDA! DAN ANDA MAMPU MENGUBAHNYA!

Read Full Post »

Pengumuman senarai calon Barisan Nasional yang dibuat oleh Pengerusi Perhubungan UMNO Kelantan semalam tidaklah mengejutkan. Selain kenyataan bahawa 70% muka baru akan dijadikan pertaruhan untuk merampas Kelantan hanya dilihat gimik politik (kenyataannya kurang dari 50% ), golongan berpengajian agama yang dipergunakan untuk memperdaya dan mengelirukan rakyat Kelantan kali ini tidaklah bebisa mana. Malahan, sistem dan budaya yang diterima pakai di dalam UMNO tidak memungkinkan golongan ini dapat menjadi mereka yang benar benar jujur dengan ilmu mereka.

Respon daripada penyokong bawahan UMNO sendiri dilihat tidak menunjukkan keselesaan mereka dengan percaturan politik yang dilakukan oleh  Dato Seri Annuar Musa. Dengan Parlimen Kota Bharu sendiri menyaksikan pengingkiran Dato Zaid Ibrahim, manakala Parlimen Ketereh pula dirampas oleh Pengerusi Perhubungan UMNO Kelantan itu sendiri, ia jelas menggambarkan sikap oportunistik dan berebut kuasa yang dimiliki oleh pencaturnya.

Sebagai seorang yang bercita cita menjadi Menteri Besar Kelantan, pemergian Dato Seri Annuar Musa mungkin dilihat sebagai satu pengorbanan, selepas beliau sendiri dilihat menjadi liabiliti kepada UMNO Kelantan. Di mana kekuatan beliau sekiranya bangunan UMNO Kelantan di Jalan Sultanah Zainab sendiri tidak dapat dikuasainya? Beliau terpaksa membuat pengumuman di kediamannya, Seri Puri, Bukit Marak. Itulah saja kubunya.

Senario yang ada hanya boleh ditafsirkan dengan kenyataan berikut: Hanya Pengerusi UMNO Kelantan yang akan berubah selepas PRU ke 12 nanti! Perginya Annuar Musa menginggalkan DUN Kelantan mungkin begitu dirasai, terutamanya di kalangan barisan ADUN UMNO/ Barisan Nasional, namun, yakinlah dengan tenaga baru dan lama yang bakal menjadi kekuatan kerajaan Kelantan PAS selepas ini (khabarnya akan diumumkan hari ini), UMNO / Barisan Nasional hanya sekadar boleh bercita cita! Sekali lagi mereka akan kempunan!

Read Full Post »

Golongan Muda merupakan aset yang tidak ternilai buat negara. Mereka bakal mewarisi kepimpinan pada masa akan datang. Mencorakkan golongan ini untuk menyaksikan Malaysia terus berjaya mendepani cabaran dan persaingan peringkat global amat penting.

Pilihanraya umum memainkan peranan yang cukup penting bagi mengasah minda dan bakat kepimpinan generasi muda. Dengan kecanggihan teknologi maklumat sekarang ini, golongan muda mendapat kelebihan untuk membuat analisa yang lebih baik di atas sesuatu tindakan, samada mengikut trend semasa mahupun mengumpul keupayaan melawan arus.

Namun menghalang proses ini dari berjalan dengan baik tidak lain adalah faktor faktor seperti kekangan mahasiswa dan pegawai kerajaan untuk berpolitik, kempen yang kurang sihat termasuk mengugut dan akujanji, penguasaan media melampau dan rasuah pilihanraya yang dilakukan secara terang terangan.

Di atas kesedaran itu, golongan  mahasiswa dan profesional perlu mencari formula terbaik untuk menekan pihak kerajaan agar tidak sewenang wenagnya menggunakan kekuatan jentera kerajaan dan segala macam agensi untuk kepentingan parti politik yang memerintah.

Mewujudkan satu jalinan yang kukuh sesama penjawat jawatan kerajaan dan sektor swasta memastikan hak dan kebebasan untuk menyuarakan pandangan dan mengikuti mana mana parti politik dapat diperolehi. Seterusnya memastikan proses kepimpinan dan perkembangan potensi individu dapat dilalui dengan sebaik mungkin.

Pilihanraya ke-12 menjadi ukuran kerana pelbagai isu menarik melibatkan soalan pencabulan hak asasi yang semakin mencengkam, tekanan kuasa eksekutif ke atas perlantikan hakim yang cukup mengejutkan, kejadian jenayah yang begitu serius, penguasaan kroni yang melampau dan kredibiliti Perdana Menteri Malaysia sendiri yang dipertikaikan oleh banyak pihak termasuklah yang menaikkan beliau iaitu Tun Mahatihir.

Mewajibkan golongan muda mengikuti Program Latihan Khidmat Negara (PLKN), membawa mereka ke kutub utara, memaksa pelajar pelajar mengikuti program kepartian, menutup mulut mahasiswa dengan akta akta universiti tidak membawa banyak kebaikan selain daripada menyesakkan nafas dan memandulkan pemikiran mereka.

Generasi perlu dididik untuk menekankan persoalan jati diri, memilik daya saing, kesungguhan dan keinginan untuk membawa perubahan pada diri dan masyarakat. Melalui zaman muda yang penuh cabaran perlu disertakan dengan tunjuk ajar dan panduan kerana zaman yang berlalu tanpa pengertian dan hala tuju, pasti berdepan dengan masalah dan konflik diri yang bakal membawa mudarat pada diri dan sekeliling sekiranya tidak dicegah.

Pembawa penyakit perlu dikuarantin. Sekiranya belum dijangkiti, kita tidak perlu merasainya sebelum membuat keputusan! Pilihan di tangan anda!

Read Full Post »

Tulisan ini diulang siar untuk mengingatkan kita akan peri pentingnya tanggungjawab ini. Siri kedua akan menyusul dalam masa terdekat.

-ADMIN-

Tanggungjawab Menafikan Majoriti 2/3 BN

Adalah menjadi sesuatu seakan dogma bahawa kuasa politik di negara kita hanya boleh dimiliki oleh BN yang diterajui oleh UMNO. Dilihat dan digambarkan sebagai pelopor kepada proses kemerdekaan, BN dibayangkan sebagai kerajaan dulu kini dan selama lamanya. Ditambah dengan cita cita Perdana Menteri Malaysia untuk memastikan BN/UMNO terus relevan untuk seratus tahun lagi, kita dapat membayangkan mood yang dimainkan untuk memastikan sokongan rakyat Malaysia terus kekal bersama mereka.Kenyataan ini sebenarnya menggambarkan kuasa membeli rakyat masa ada di celah sogokkan umpan politik dan keracunan minda bahana penguasaan media yang melampau. Ia juga membayangkan kerajaan Pak Lah sebenarnya lemah kerana dikuasai oleh pelbagai unsur dalam dan luar. Maka sekaranglah masa terbaik untuk merubah persepsi dan menyahtoksinkan minda rakyat yang teracun.

Selepas umpanan janji  janjinya di dalam PRU-11 termasuklah pembasmian rasuah, hanya menyaksikan ianya menjadi lebih parah dari yang sedia ada, konsep Islam Hadhari ditonjolkan pula untuk meraih undi orang Melayu. Terkini digambarkan pakatan parti pembangkang menuju ke arah gerakan pelampau dengan berjayanya mereka memanipulasikan himpunan aman HINDRAF.

Tenyata semuanya tidak lebih daripada tindakan mencantas usaha memperbetulkan pentadbiran negara secara sihat yang cuba dilakukan oleh pihak pembangkang. Seolah olah pembangkang hanya mempunyai cita cita untuk menguasai politik negara, segalanya dipandang serong oleh pihak kerajaan. Tidak ada ruang untuk pembangkang bersama dalam menunjukkan solidariti sebagai rakyat Malaysia yang bermaruah dan bersatu padu.

Terlalu banyak isu yang memerlukan pihak kerajaan dan pembangkang duduk semeja merangka strategi untuk kepentingan negara, dibiarkan tanpa penyelesaian terbaik. Isu najis dadah, salah laku dan rasuah penjawat jawatan kerajaan dan pelbagai lagi yang memerlukan penilaian yang telus dan adil, diselesaikan secara bersahaja, dengan tujuan menutup isu. Akhirnya negara yang berhadapan dengan segala permasalahan dan rakyatlah juga  yang terbeban.

Menafikan majoriti 2/3 BN di Dewan Rakyat adalah perlu untuk memperbetulkan semula proses demokrasi dan hak rakyat yang semakin terhakis. Rakyat perlu bersikap berani dan terbuka dalam menilai tahap pentadbiran kerajaan yang ada. Mereka tidak perlu gusar ugutan dan kepercayaan khurafat bahawa ketidakstabilan dan huru hara akan berlaku sekiranya BN tidak berjaya mendapat 2/3 majoriti.

Sekiranya mahkamah rakyat yakni pilihanraya umum yang bakal datang tidak berupaya menjadi medan untuk merealisasikan cita cita ini, maka semakin susahlah usaha untuk menilai tahap pencapaian terbaik yang boleh dilalui oleh negara di dalam mengisi program kemajuan dan kemakmuran serantau, sesuai dengan potensi yang ada.

Samada sistem itu yang telah menghukum rakyat ataupun ketidakinginan rakyat untuk berubah yang menyaksikan mereka terhukum, kedua duanya adalah faktor yang rakyat ada kuasa untuk memperbetulkannya.

Read Full Post »

Khairy Oh Khairy

PRU umum kali ini dirasakan begitu berbeza dari  beberapa yang lepas. Pelbagai isu nasional mengisi ruang  media yang dilihat menampakan kepada umum akan kekalutan Barisan Nasional di dalam menanganinya. Terdapat juga isu isu yang berbentuk keagamaan dan perkauman yang cuba dihidupkan untuk memberi sedikit suasana ketegangan kepada masyarakat. Selain cuba memastikan kerajaan yang sedia idea mendapat mileage daripada faktor kestabilan yang diwar warkan hanya dapat dicapai dengan pembentukan kerajaan Barisan Nasional, ia juga adalah hasil kenyataan dan reaksi sesetengah pihak yang ingin mendapat mileage politik individu.

Antara pihak yang banyak dilihat membuat percaturan dan kenyataan yang keras dan pedas, namun akhirnya memakan tuan tidak lain adalah menantu Perdana Menteri, Khairy Jamaludin. Sebagai orang baru dalam politik UMNO yang menumpang tuah menjadi menantu Perdana Menteri untuk melompat ke atas, Khairy dilihat begitu beriya iya dalam memastikan strateginya mengena.

Namun, kerakusan itu nyata tidak disenangi oleh banyak pihak dan banyak merosakkan imej UMNO /Barisan Nasional sendiri. Kenyataan seperti menyelar peserta demonstrasi sebagai beruk jalanan, bloggers sebagai monyet serta beberapa kenyataan lain tentunya menyerlahkan imej dan tahap keperibadian sebenar beliau. Walaupun lulusan Universiti Oxford, beliau mungkin setaraf mentalitinya dengan Ketua Penerangan UMNO, Muhammad Mohd Taib yang menggelar bloggers pondan. Malah mungkin lebih teruk lagi.

Membandingkan pakatan parti parti Barisan Alternatif  dengan proses kahwin cerai, perkahwinan Mutaah, kahwin sehari dan kahwin cerai bermusim menyerlahkan kedangkalan ilmu agama beliau. Manakala kenyataan bahawa hasrat   Barisan Alternatif  untuk membuat kejutan dalam PRU ke 12 ini  sebagai mimpi di siang hari membuktikan betapa angkuhnya anak muda ini.

Bagi menunjukkan kekuasaannya melebih Ketuanya, Hishamudin, beliau pula yang membuat kenyataan bagi pihak Majlis Tertinggi UMNO, mengumumkan Hishamudin sebagai penyelaras jentera UMNO untuk Permatang Pauh. Masuk akalkah semua ini?

Selain itu beliau hanya melihat parti politik lain dari aspek yang cukup negatif, sekadar pandai mengkritik, berjanji kosong dan tidak pernah cuba membantu menyelesaikan masalah rakyat seperti isu kenaikan minyak, kenaikan harga barang dan kos pendidikan. Walhal bila diajak berbincang antara pimpinan Pemuda Altenatif dan UMNO untuk kepentingan rakyat khususnya muda mudi, mereka hanya reti menolak.

Samada beliau buta tuli atau terlepas pandang bahawa ramai dari kalangan pendokong parti parti Alternatif yang berdemonstrasi untuk menurunkan harga minyak dan pelbagai lagi, beliau tetap mempunyai saham di atas penginayaan kepada peserta demonstrasi kerana beliau sendiri pernah dalam ucapannya menjadi seakan ‘Ketua Polis Negara’ mengarahkan tangkapan dibuat ke atas mereka.

Terakhir, dalam impiannya menawan Kelantan, beliau menyebut bahawa sepanjang 18 tahun memerintah, kerajaan PAS Kelantan tidak membawa apa apa perubahan, sekadar menabur janji kosong, melakukan rasuah dan mencuri balak.

Tidak cukupkah semua itu untuk kita semua mengadilinya? Tiadakah mahkamah rakyat yang adil lagi saksama untuk membuat penghakiman ke atas beliau? Sekiranya tiada, jadikan PRU ke 12 ini medannya!

Read Full Post »

Banyak pihak melihat semakin jatuhnya kredibiliti Pak Lah bila beliau yang pada asalnya bertegas menafikan bahawa Parlimen tidak akan dibubarkan pada 13 Februari, akhirnya membuat kenyataan pada tarikh itu yang parlimen  dibubarkan.

Sungguh menakjubkan! Dua kenyataan berbeza dalam masa 24 jam yang begitu sekali besar kesannya kepada wibawa seorang  Perdana Menteri, hanya cuba ditutupi dengan satu alasan yang cukup tidak meyakinkan. Kenyataan bahawa keberangkatan Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di Pertuan Agong ke luar negeri menjadi faktor kepada ralat yang berlaku, amat sukar diterima.

Masakan begitu parah sekali komunikasi antara pihak Istana Negara dan Pejabat Perdana Menteri sehinggakan keberangkatan itu tidak diketahui lebih awal. Tentu ada maklumat yang tidak sampai, atau nasihat yang tersilap diberikan?

Mengambilkira proses pilihanraya umum itu menelan belanja yang cukup besar ( sehingga 200juta), tenaga yang begitu ramai, tidak sepatutnya begitu sekali kesilapan yang berlaku. Seolah olah tiada perancangan rapi untuk mengendalikan satu proses yang begitu besar kesannya pada negara. Di pandangan masyarakat dunia, kenyataan sebegini tentu menjejaskan keyakinan mereka kepada keupayaan pentadbiran negara.

Mungkinkah ralat itu disengajakan? Penasihat yang mungkin sekadar ingin melihat kemenangan, tetapi tidak begitu mengambil kisah soal kredibiliti kerana beliau sendiri mempunyai agenda. Beliau yang bercita cita tinggi sudah pasti tidak memperdulikan soal sebegini, soal kekeluargaan, asalkan apa yang diinginkan dapat dicapai.

Apa pun, Pak Lah tidak perlu memikirkan untuk duduk lebih dari 2 penggal di kerusinya sekarang sekiranya BN sekali lagi diberi mandat dalam PRU 12 ini, kerana penggal ke 2 sekalipun sudah merupakan bonus! Syabas rakyat Malaysia! 

Read Full Post »

KUALA LUMPUR 12 Feb. – Sembilan orang lagi maut pada hari ke-12 Ops Sikap Ke-16 semalam, menjadikan jumlah kematian akibat nahas jalan raya sepanjang operasi itu ialah 152 orang.

Sepanjang tempoh 24 jam semalam, sebanyak lapan kemalangan maut berlaku manakala jumlah nahas keseluruhan yang dicatatkan ialah 982 kes.

Bagaimanapun, angka kematian semalam antara yang terendah sejak operasi itu dilancarkan pada 31 Januari lalu.

Ini termasuk seorang anggota polis bersama tiga anggota keluarganya maut apabila kereta yang mereka naiki terbabit dalam kemalangan dengan sebuah treler di Kilometer 29.5 Jalan Kuala Lumpur-Ipoh dekat Kampar semalam.

Ketua Polis Daerah Kampar, Supritendan Nordin Nayan berkata, mereka yang terbunuh dalam kejadian pada pukul 8.20 malam itu ialah pemandu kereta Sulaiman Hassan, 52, isterinya Zaleha Mohd. Piah, 47, serta dua anak perempuan mereka Siti Norhaliza, 22, dan Suriati 18.

“Kesemua mangsa meninggal dunia di tempat kejadian dan mayat mereka dihantar ke Hospital Kampar untuk bedah siasat,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata, Sulaiman yang merupakan Konstabel Tambahan bertugas sebagai pemandu di cawangan Trafik Ipoh.- (Sumber Utusan Malaysia dan Bernama)

@@@

Kedua Berita di atas menghiasi berita nasional di dalam akhbar negara kita. Sepanjang dilancarkan Ops sikap sentiasa digambarkan berjaya mengurangkan jumlah kematian pengguna jalanraya dari satu operasi ke satu operasi yang lain. Namun, melihat kepada angka kematian, ia bukanlah sesuatu yang kecil. Dan tidak ramai yang berasa gelisah dengan angka itu kecuali beberapa golongan sahaja. Penunggang motosikal yang rata ratanya menduduki ranking teratas seakan mereka yang begitu murah nyawanya. Seolah olah tiada apa yang berlaku. Perasaan sedih hanya dikongsi oleh keluarga terdekat dan sahabat handai mangsa.

Berbeza dengan kematian seorang yang begitu popular, selain berita kematian, komentar komentar dari peminat dan pengkagum, sahabat handai serta sanak saudara begitu menarik perhatian pihak media. Jarang sekali kematian seseorang itu disusuli dengan nasihat dan pesanan daripada pihak keluarga yang berhadapan dengan suasana kematian itu.

Siapakah yang mencorakkan pemikiran dan sekaligus sikap positif yang perlu wujud di dalam masyarakat kita? Tentulah sebagai ahli masyarakat yang bertanggungjawab, semua merasakan terpanggil untuk memastikan sikap saling menghormati dan bersopan santun menjadi sebahagian dari budaya yang disemai dan wujud.

Tiada pihak yang patut ditudingkan jari sekiranya semua kita tidak bersikap mementingkan diri dan menggunakan peluang yang ada di depan kita untuk menjadi contoh teladan yang baik kepada semua. Seorang pengamall media contohnya mempunyai peluang yang begitu baik untuk menyampaikan mesej yang menyentuh hati pembacanya.

Walaupun kita bukannya jenis mencipta peluang untuk berbuat kebaikan sebagaimana ramai ahli politik mencari cari ruang untuk melunaskan tanggungjawab yang diberikan kepada mereka, peluang untuk berbuat baik pasti datang di depan kita.

Rebutlah peluang melakukan kebajikan kerana setiap perkara yang dicatat sebagai amalan kebajikan itu bukan setakat untuk  membawa mesej persaudaraan, bukan juga sekadar untuk membawa populariti, malah membawa bersamanya kekuatan sebuah masyarakat  yang tidak meletakkan sebarang justifikasi dan kayu ukur di dalam memberi pertolongan, kerana mereka yakin setiap amalan itu sendiri diukur dengan kayu ukur yang pelbagai oleh Pencipta mereka, walau apa anutan pun mereka.

Read Full Post »

Kenyataan Media Lajnah Antarabangsa DPPP

Lajnah Antarabangsa Dewan Pemuda PAS Pusat mengucapkan syabas kepada Kerajaan Turki di atas usahanya mengembalikan semula hak individu dan beragama rakyat Turki dengan berjayanya Parlimen mencapai undian majoriti untuk menarik semula pengharaman pemakaian Tudung di Universiti.

Pindaan perlembagaan itu diluluskan dengan undian 403 berbanding 107 untuk pindaan pertama yang menambah satu perenggan berbunyi ‘setiap orang mempunyai hak untuk mendapat layan sama rata daripada institusi kerajaan’ manakala undian untuk pindaan kali kedua yang menyebut ‘tiada seseorang yang patut dinafikan hak untuk mendapat pendidikan tinggi’ pula menyaksikan jumlah 403 dikekalkan berbanding 108 .

Ucapan Speaker Dewan, Koksal Toptan selepas pindaan perlembangan itu yang menyebut bahawa ianya dilaksanakan  atas semangat toleransi dan perdamaian perlu dilihat dari sudut yang positif oleh semua pihak.

Walaupun bilangan rakyat Turki yang dibelenggu fahaman sekular masih ramai, rata ratanya sudah berubah dengan lebih dua per tiga daripada wanita Turki sekarang ini telah bertudung.

Penafian hak ini  yang bermula selepas ianya diluluskan pada 1997, bukan sahaja menyekat hak asasi dan kebebasan beragama malah menutup ruang untuk wanita mendapat pendidikan di peringkat Universiti sekiranya mereka tidak ingin bertoleransi dengan sekatan itu.

Dewan Pemuda PAS Pusat mengharapkan usaha murni ini dapat menjadi titik tolak untuk Turki lebih maju dengan perkembangan ilmu dan membuka ruang yang lebih besar untuk wanita mendapat pendidikan tertinggi, sekaligus menjawat jawatan penting di dalam sektor awam dan swasta. Pada masa yang sama, ianya boleh menjadi hujah bahawa Islam tidak pernah menindas hak hak asasi manusia termasuk wanita.

Ianya juga diharapkan  menjadi pemangkin kepada usaha membersihkan fahaman sekular yang telah sekian lama mencengkam kehidupan masyarakat Turki.

Dr Rosli Allani Abdul Kadir

Pengerusi Lajnah Antarabangsa DPPP

2 Safar 1429 bersamaan 10 Februari 2008

Read Full Post »

Kerajaan Islam Kelantan di bawah pimpinan Tuan Guru Dato Nik Abdul Aziz Nik Mat memasuki tahun ke 18 pemerintahan dengan penuh cabaran. Pelbagai pihak meramalkan PRU ke 12 bakal berlangsung pada awal bulan Mac ini. Maka segala persediaan dan kelengkapan perang telah disediakan. Hanya menanti isyarat perang.

Dengan kancah peperangan yang telah diatur sebegitu rupa, pihak pembangkang melangkah ke medan demi prinsip prinsip perjuangan yang ingin ditegakkan. Keadilan, kesejahteraan rakyat, kerajaan bersih dan beramanah dijadikan sandaran.

Kelantan, kubu kuat pembangkang yang telah menerokai dan mengungguli pelbagai perubahan yang menguntungkan rakyat diserang habis habisan. Kelantan menjadi rujukan model sebuah kerajaan yang tidak dipimpin oleh kerajaan campuran seperti Barisan Nasional, namun berjaya mengekalkan kemakmuran dan keamanan. Ini diakui sendiri oleh masyarkat cina, india dan siam yang mendapat layanan yang adil dan saksama di bawah kepimpinan Tuan Guru Menteri Besar Kelantan sekarang. Dan yang penting juga, kerajaan negeri Kelantan tidak jatuh bankrap sebagaimana diharapkan oleh pemimpin UMNO Kelantan. Malah berupaya membayar hutang yang ditinggalkan mengikut jadualnya.

Semua pihak juga perlu mengakui, tanpa tekanan dari pihak pembangkang terutama dalam bentuk kerajaan ini, banyak lagi bebanan yang terpaksa ditanggung oleh rakyat. Rakyat Terengganu mungkin tidak dilimpahkan dengan pelbagai projek dan kemudahan sekiranya kerajaan tidak bertukar tukar. Sedangkan pemerintahan BN sebelum ini hanya menumpukan pembangunan di kawasan tertentu sahaja. Dan dengan hasil minyak yang sebegitu rupa, rakyat terus dibelenggu kemiskinan.

Kerja pembangkang adalah memperbetulkan perjalanan dan pentadbiran kerajaan, di saat  pihak penyokong kerajaan hanya menjadi pengampu dan pak turut, tidak menjadi pemantau atau menjalankan tugas ‘check and balance’ demi mendapatkan hasil yang terbaik untuk kebaikan dan kebajikan rakyat. Inilah asas kepada kerajaan berparlimen yang menjadi anutan politik kita dan kelihatan cuba dilaksanakan oleh pihak pembangkang. Bukan sekadar untuk meraih undi, tetapi atas dasar tanggungjawab yang dipikul.

 Mengapa Kelantan menjadi sasaran? Jawapannya cukup mudah! Kerana Pak Lah tiada kekuatan yang boleh dibanggakan! Sekiranya beliau mampu merampas Kelantan dari Tuan Guru Menteri Besar Kelantan, yang Tun Mahathir pun tidak mampu melakukannya, maka beliau ada sesuatu yang boleh dibanggakan kepada UMNO. Beliau tidak rela menjadi bahan cemuhan dan perbandingan bila diletakkan sebaris dengan 4 Perdana Menteri sebelumnya.

Percatuan utamanya tidak lain menantu kesayangan, Khairy Jamaludin yang dipertangungjawabkan mengepalai dan memantau jentera pemuda Umno Kelantan. Rekod Khairy tidaklah sehebat mana. Maka beliau diminta membuktikan kekuasaannya sebelum melangkah lebih jauh. Beliau hanya hebat sekarang kerana menjadi menantu kepada seorang Perdana Menteri. Seorang Perdana Menteri yang tidak memiliki wawasan dan halatuju yang jelas berbanding yang digantinya.

Dengan menggunapakai formula Terengganu yakni membawa muka muka sehingga 70% serta kesanggupan Pengerusi Perhubungan UMNO Kelantan untuk dikorbankan, segalanya seakan berpihak kepada mereka. Segala salahlaku pemimpin Barisan Nasional seakan hama yang terlalu kecil dan begitu mudah untuk dilupakan oleh rakyat marhain. Dengan pelbagai janji dan harapan, kelebihan media dan manipulasi, mungkin kelihatan tiada yang mampu menyekat mereka. Untuk memajukan Kelantan. Menzahirkan Kelantan Baru.

Namun Pak Lah dan Barisan Nasional perlu sedar. Bukan sekadar kudrat dan doa ahli, kepimpinan PAS, guru guru pondok serta sokongan pelbagai pihak yang mengiringi PAS memasuki gelanggang kali ini. Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir sendiri merestui untuk Kerajaan PAS terus kekal di Kelantan.

Pertarungan ini pasti sengit. Barisan Nasional sudah biasa kalah di Kelantan. PAS juga pernah kalah. Antara kekalahan Barisan Nasional dan PAS, hanya rakyat yang boleh menilai sejauh mana kesan kekalahan itu membawa kebaikan kepada mereka. Saya begitu pasti, undi protes bakal menentukan siapakah yang menjawat jawatan Menteri Besar Kelantan selepas PRU 12!

Read Full Post »

Dengan PRU ke 12 dilihat terlalu hampir, ramai yang mula berkerja keras untuk memposisikan diri, selain berusaha memastikan kemenangan parti masing masing. Bersama dengan jentera yang bergerak, individu yang merasakan layak untuk menjadi calon, bergerak memastikan mereka dikenali sekurang kurangnya di kawasan yang dihajati, manakala yang lebih berstrategi pula mengekori pimpinan parti atau orang berpengaruh di sekeliling mereka.

Segala keringat dan wang dicurahkan. Segala harta yang boleh digadai menjadi seumpama bahan simpanan di bank. Agensi yang berurusan untuk membantu, termasuklah ceti dan along tiba tiba menjadi tumpuan. Pihak media pula, selain memburu, turut menjadi buruan.

PAS adalah milik semua. PAS adalah antara parti utama yang hadir di celah celah liku hidup masyarakat yang mengharapkan suara mereka dapat didengari. PAS bukan sekadar bergerak dengan mendasari konsep kebajikan, tetapi di atas kesedaran bahawa proses demokrasi yang diterimapakai dalam konteks memperjuangkan prinsip dan mesej yang dibawa oleh PAS  sekarang ini adalah  tidak lain untuk mewakili suara rakyat. Untuk berbakti kepada rakyat. Kerana demokrasi itu sendiri bermaksud dari rakyat untuk rakyat.

Namun bila politik yang menjadi matlamat dan bukan lagi proses memimpin dan membawa rakyat ke jalan kebenaran, maka kekuatan mesej menjadi lemah, ketajaman hujah menjadi tumpul dan prinsip yang dijunjung semakin tergadai. Bila manusia berhajat kepada pangkat dan nama, merasakan diri paling layak, mereka lupa pada satu hakikat. Bahawa mesej itu bukan hanya sesuatu yang fizikal, yang zahir semata. Mesej juga ada unsur spiritual. Maka memperbetulkan persepsi dan matlamat perjuangan menjadi benteng dan asas untuk mencapai kemakmuran dan keadilan sejagat.

Jangan biarkan PAS menjadi milik individu, kawasan atau segelintir puak. PAS berdiri di atas proses tajdid dan kebenaran, bukan kekuatan individu dan organisasi semata mata. PAS adalah alat untuk merealisasikan perubahan yang dituntut oleh rakyat, bukan sekadar tuntuan beberapa individu. Semoga kepimpinan PAS yang ada menjadikan PAS untuk semua.

Read Full Post »