Feeds:
Kiriman
Komen-komen

Archive for Oktober 2007

Kehidupan secara umumnya ditafsirkan sebagai apa yang dilalui oleh seseorang semasa hidupnya di dunia ini tatkala roh bersama jasad. Sememangnya manusia itu terdiri dari dua unsur ini dalam kehidupan yang banyak dapat ditafsirkan berbanding di alam ruh mahupun alam rahim yang dilalui. Begitu juga alam yang seterusnya yang bakal ditempuhi, seakan ianya masih menjadi tanda tanya.

Terpanggil untuk membawa sedikit kefahaman terutamanya dalam konteks seorang muslim sebagaimana yang difahami khusus dalam membicarakan aspek kemajuan dan pembangunan kerana itulah yang agak hangat diperkatakan dalam sehari dua ini. Maka antara sedikit penafsiran yang dikira masih terbatas, terutamanya dengan keterbatasan minda sebagai makhluk yang dicipta adalah seperti berikut : Membumikan kehidupan dan mengakhiratkan perjalanan hidup

Ungkapan yang dirasakan agak pelik dan sekadar rekaan ini cuba dipandukan oleh ayat Al Quran yang bermaksud : Dan carilah dari kurniaan Allah untuk kebahagiaan Darul Akhirat, dan  janganlah dilupakan akan ketentuan nasib kamu di dunia -Al Qosas 77.

Sebagaimana rakyat Malaysia yang lain khususnya rakyat negeri Kelantan, tentulah perlu disyukuri sebanyaknya apabila kerajaan yang mendapat amanah memerintah berusaha untuk membawa manusia kepada kehidupan yang lebih baik sebagaimana yang difahami semua. Kehidupan yang lebih sempurna digambarkan dengan kemampuan hidup yang mengeluarkan seseorang itu daripada apa yang disebut belenggu kemiskinan. Walhal tidak semua yang miskin itu merasa susah dengan kemiskinan malahan masih mampu berhati mulia bersedekah kepada mereka yang lebih memerlukan.

Manakala tidak semestinya kekayaan itu membawa kesenangan dalam hidup. Ramai yang dikira senang dalam hidup itu tidak dapat memasukkan pati kebahagiaan dalam kehidupan mereka. Barangkali di sana ada hak yang tidak ditunaikan, ada doa orang teriniaya yang meresahkan mereka tatkala semuanya dilihat indah dari neraca kehidupan masyarakat yang menilai mereka. Hak seorang rakyat kepada pemimpin, hak orang miskin kepada si kaya, hak jiran tetangga dan hak ahli keluarga, adakah semuanya sudah tertunai?

Maka cerita pembangunan dan yang sekitar dengannya dengan pelancaran ECER di wilayah timur Semenanjung Malaysia merupakan satu sukatan kepimpinan kerajaan Barisan Nasional dalam memberikan erti  kehidupan kepada rakyat seluruhnya serta menunaikan hak mereka. Satu projek yang menjanjikan segala macam harapan untuk rakyat. Sebelumnya WPI dan NCER mengisi dada dada akhbar dan media tempatan untuk meyakinkan rakyat betapa kemajuan itu sesuatu yang begitu indah dan seakan dekat dengan segenap lapisan masyarakat.

Sedikit peringatan daripada YAB Menteri Besar Kelantan dikira sindiran oleh sesetengah pihak walaupun terlalu banyak kebenarannya. Maka amatlah sesuai peringatan daripada seorang yang dihormati oleh kawan dan lawan itu dijadikan sempadan dan panduan akan landasan yang perlu diikuti oleh perancang, pelaksana dan semua mereka yang terlibat dan dilibatkan dengannya.

Sesungguhnya kehidupan ini walaupun sementara, tetapi menjadi ukuran samada amalan itu dimamah anai anai kejahilan dan kejelekan akal pertimbangan manusia yang tidak dipandu ataupun menjadi saham yang bakal menempatkan mereka seangkatan dengan para nabi dan mereka yang terdahulu daripada kita yang telah menjejaki jalan kebenaran. Hanya dengan pedoman sahajalah manusia akan selamat. Hanya dengan kefahaman manusia membumikan amal kebajikan bukan sekadar untuk dikenang tetapi dengan niat untuk dituai di negeri akhirat kelak.

Al Quran sebagai mukjizat agung yang bukan sekadar membenarkan kerasulan Nabi Muhamad SAW dan nabi nabi terdahulu, malah memperingatkan kita akan alam akhirat yang bakal dilalui oleh manusia, yang semestinya akan dihitung amalan mereka. Seandainya tiada ketidakpastian, pastinya manusia semuanya akan beriman dan mentauhidkan Allah SWT.

Read Full Post »

Salam Aidilfitri kepada semua. 

Keselamatan merupakan satu suasana yang diingini oleh semua makhluk ciptaan Allah. Bukan setakat manusia yang akan bertindak bila merasakan kurang selamat, bahkan pelbagai binatang dan tumbuhan memberikan reaksi yang serupa bila terancam. Mungkin pokok semalu dianggap agak pelik untuk dijadikan sedemikian tetapi tiada apa yang pelik bila manusia dapat merasai keagungan dan kuasa Pencipta mereka.

Proses adaptasi dan respon yang diberikan banyak bergantung kepada sejauh mana seseorang itu dapat menguasai suasana. Manakala ilmu dan persediaan memberikan keupayaan untuk seseorang itu menghadapinya. Namun  dalam banyak perkara manusia terlalu bergantung kepada sistem, terutamanya di zaman yang mana pengkhususan dan perkhidmatan memberikan satu harapan dan suasana berbeza kepada cara manusia berfikir.

Faktor keselamatan dalam sesebuah negara biasanya diserahkan kepada polis. Ini termasuklah keselamatan dari aspek jenayah dan kesalahan yang berkaitan dengan keselamatan awam seperti undang undang jalanraya atau kesalahan lalu lintas. Maka amat besar ertinya dan tanggungjawab ini dalam memastikan keharmonian dan ketenteraman awam, yang dengannya membawa kestabilan bukan setakat untuk kemakmuran ekonomi, bahkan emosi dan rasionalnya pemikiran seseorang. Ini semua menyumbang kepada produktiviti, kreativiti dan daya saing ahli masyarakat.

Namun acapkali kebelakangan ini keselamatan dan kepercayaan kepada pasukan keselamatan khususnya polis menjadi bahan bualan dan kritikan. Terkini kenyataan Peguam Negara sendiri yang mengharapkan penjelasan kepada beberapa insiden yang dikira mencabar integriti polis. Walaupun dijawab oleh Ketua Polis Negara, umumnya kita tetap merasakan ada kerisauan dan kegusaran di sana.

Tidak mustahil bila manusia yang dalam keadaaan sedemikian, dan tercari cari formula yang boleh memberi satu sinar kepada kegelapan hidup itu, akhirnya mengharap kepada suatu ‘kuasa’ yang agak asing kepada mereka. Lalu timbul kembali kesedaran akan perlunya kepada Hukum Allah yang telah dipinggirkan. Hukum Hudud yang seakan hanya kedengaran kepada umum seawal tahun 90an bila Kerajaan PAS berjaya ditubuhkan kembali di Kelantan kembali diperkatakan.

Kita perlulah bertanya adakah undang undang dan polis sahaja yang diharapkan berjaya membawa keselamatan dan keamanan pada sesebuah negara?  Pendidikan moral amnya  dan agama secara khususnya membawa satu keadaan yang cukup kondusif untuk manusia berkelakuan baik dan berasa tidak selamat dan gerun untuk berbuat jahat dan mengambil hak hak manusia lain, lantaran ianya bukan budaya dan tidak diterima sebagai cara hidup masyarakat.

Malah kerisauan dalam menjaga hak manusia dan melunaskan tanggungjawab itu juga menyebabkan pihak yang mengawal keselamatan patut mengekang emosi dan sikap prejudis mereka tatkala mengambil tindakan undang undang kepada sesuatu kesalahan. Seorang hakim juga tidak boleh menjatuhkan hukuman tatkala dikuasai oleh emosi dan prejudisnya pada hal hal tertentu.

Maka sebab itulah semua pihak berhajat kepada agama untuk mendidik masyarakat mematuhi undang undang. Dan biarlah hukuman itu bukan sekadar menginsafkan pesalahnya bahkan diterima oleh Pencipta manusia sebagai hukuman yang dapat membayar kesalahan mereka sekaligus mengelak dari dihukum sekali lagi di Hari Penghakiman mutlak yang tiada kezaliman walau sebesar zarrah pun akan tertimpa kepada sekalian manusia. Semoga kita semua beroleh keselamatan dan berusaha ke arah keamanan yang diimpikan.

Read Full Post »

Tajuk yang diletakkan tidaklah pelik bagi ramai daripada kita terutamanya yang mendalami bidang pengurusan. Namun beberapa faktor yang dirasakan agak berkait dengan keberjayaan mempengaruhi dan mengubah persepsi seseorang adalah berkisar kepada pengetahuan, budaya dan kefahaman kepada agama yang menjadi anutan mereka.

Di dalam bidang perubatan juga tidak lari dari beberapa isu yang dikira kontroversi dan menguji minda dan perasaan ramai dari kalangan pengamal perubatan. Antaranya temasuk kesukaran menyediakan katil kepada pesakit baru di Unit Rawatan Rapi yang menyebabkan doktor kadang kalanya terpaksa mengambil keputusan menghentikan alat pernafasan pesakit lama yang dikira kurang peluangnya untuk mendapat manfaat dari rawatan yang diberi untuk jangka masa panjang.

Di samping itu bagi mangsa yang cedera teruk di kepala dan diistilahkan oleh pakar perubatan sebagai brain dead / otak yang sudah tidak mampu berfungsi melainkan dengan bantuan peralatan luar termasuk mesin pernafasan, satu dilema yang sering dihadapi oleh keluarga mangsa ialah apabila doktor menanyakan sama mereka sangggup mendermakan organ organ mangsa untuk digunakan oleh mereka yang memerlukan.

Rata rata masyarakat Melayu beragama Islam akan menolak saranan itu. Ini kerana mereka merasakan tanggungjawab menyegerakan urusan pengebumian perlu diberi keutamaan. Tidak ramai yang menyakini bahawa menderma organ merupakan satu amalan yang dituntut dan bukan dikira satu perkara yang menginaya mangsa / si mati, apatah lagi melambat lambatkan proses penyempurnaan jenazah.

Dalam sehari dua ini ramai yang berasa kasihan dan terpanggil untuk membantu pesakit berjantung mekanikal seberat 9kg, adik Tee Hui Yee, yang hanya berpeluang untuk hidup selama satu tahun lagi sekiranya tidak berjaya mencari penderma jantung. Antara yang bersimpati dan memahami akan betapa berharganya pendermaan itu adalah keluarga kepada seorang remaja Melayu dari Sitiawan, Perak. Identiti mangsa yang dirahsiakan merupakan seorang pelajar  berumur 15 tahun yang terlibat dalam kemalangan jalan aya  beberapa hari sebelumnya dan disahkan oleh doktor pakar sebagai brain dead.

Mangsa dikatakan seorang hafiz Al Quran yang sedang menduduki peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR). Bapanya yang berjiwa besar sanggup membenarkan proses mengambil organ organ dijalankan dengan tujuan untuk berbakti kepada sesiapa sahaja yang memerlukannya. Nyata niatnya yang murni itu membawa kepada organ organ pelajar tadi didermakan kepada beberapa pihak yang memerlukan termasuklah adik Tee Hui Yee. 

Meskipun awal pagi ini beliau mendapatkan jantung daripada seorang lagi penderma disebabkan oleh komplikasi proses pemindahan /transplant (jantung tidak sesuai), namun niat asal keluarga yang begitu murni tidak dapat dipertikaikan. Tanpa mengenakan sebarang syarat kecuali meminta identiti mangsa dan keluarga dirahsiakan, pendermaan itu melangkau segala macam perbezaan yang ada; tidak mengira bangsa dan warna kulit. Semoga niat murni itu mendapat sebaik baik ganjaran daripada Pencipta organ organ yang telah mengamanahkan kepada setiap kita sebagai satu amanah yang cukup bernilai, bahkan tidak tenilai.

Berbalik kepada sikap yang ditunjukkan tadi, sebenarnya ianya tidak dikongsi oleh ramai dan tidaklah popular. Malahan dikatakan antara sebab keluarga meminta dirahsiakan adalah kerana ingin mengelakkan salah faham masyarakat termasuklah saudara mara yang dikatakan mungkin tidak dapat bersetuju dengan keputusan itu.

Begitulah susahnya membuat satu kebaikan yang begitu tinggi nilainya bukan sahaja di mata para jurubedah yang bertungkus lumus menggunakan segala kemahiran yang ada, dan kadang kalanya merayu kepada pendermaan, bahkan Pencinta makhluk yang semestinya menilai dengan begitu tinggi satu usaha murni yang natijahnya meletakkan masyarakat dalam suasana kerukunan, hormati menghormati kerana mereka saling perlu memerlukan.

Read Full Post »

Berkongsi suka dan duka

(sambungan kepada misi kemanusian ke Padang dan Bengkulu) 

Sesungguhnya orang mukmin itu bersaudara. Begitulah bunyi petikan dari ayat suci al Quran yang mengajak kita kepada pertautan hati sesama mukmin. Hatta kepada orang bukan Islam serta pelbagai hidupan dan ciptaan Allah sekalipun perlu ada rasa kemanusiaan dan belas. Begitulah Islam mendidik. Manusia yang dipandu oleh agama nyata berbeza keperibadiannya dengan mereka yang tidak dipandu. Namun hakikatnya juga ajaran agama kerap kali diselewengkan atas nama agama! Begitulah sifat manusia yang menginginkan keuntungan yang sedikit.

Atas nama kemanusian pun manusia sanggup mencari keuntungan. Tidak pelik juga bilamana bantuan kemanusian yang terkumpul tidak sampai kepada mereka yang sepatutnya. Tetapi bila komitmen  yang ditunjukkan menjadi track record yang baik, dermawan yang berlainan ideologi politik sekalipun sanggup menghulurkan bantuan untuk membantu.

Teringat saya komentar ketua rombongan Yayasan Amal, Haji Husin Ismail atau lebih dikenali dengan nama Cikgu Husin, bagaimana kutipan derma untuk mangsa gempa di sebuah masjid yang berjya mengumpulkan lebih 5000 ringgit sedangkan satu majlis yang dihadiri oleh seorang Timbalan Menteri pun hanya mampu mengumpulkan sekadar 3000 ringgit lebih. Itupun riuh sana sini. Malah ada juga yang masih tergerak hati untuk mempamerkan kebajikan yang dibuat dengan serahan cek besar, tatkala Ramadhan cuba mendidik kita dengan sifat keikhlasan.

Berbalik kepada rombongan, misi 5 hari kami di Padang dan Bengkulu awal awal lagi dihidangkan degan ujian! Disebabkan pertambahan bilangan volunteer/relawan di saat akhir, kami terdampar sekitar 3 jam lebih di airport menunggu kenderaan kedua sampai. Dengan kerjasama saudara saudara seIslam dari Partai Keadilan Sejahtera (PKS) di sana, kami terus menuju destinasi pertama di Ranah Pesisir selepas 4 jam lebih perjalanan.

Sesampainya di sana, terus ‘membuka kedai’ pertama dalam keadaan yang serba kekurangan. Peristiwa diserbu oleh begitu ramai penduduk di sana bermain di tebing kenangan. Paling tidak dapat dilupakan kami berbuka puasa dengan ubat multivitamin untuk meraikan penduduk yang masih sabar menunggu berjumpa Pak Dokter. Tanpa sedikit pun rasa gelisah, kami meneruskan khidmat tatkala senja berlabuh di tempat yang kami tidak pernah terfikir untuk sampai, tapi Allahlah yang merancang segalanya.

Sebelum ini ada juga komentar dari kenalan yang sampai ke Bukit Tinggi, satu destinasi perlancongan di Padang. Namun ‘pakej perlancongan’ kami ini begitu bermakna sekali dirasakan. Betapa keletihan dan kegusaran penduduk yang malamnya berbumbungkan langit mahupun tender/ khemah di sana sedikit terubat dengan sokongan moral umat Islam yang perihatin ke atas ujian yang menimpa mereka. Itulah antara kenangan yang cukup manis 3 orang doktor dan seorang MA yang bertugas. Relawan lain agak sedikit awal meninggalkan kami menuju ke surau tempatan untuk berbuka.

Malamnya kami menginap di rumah Pak Jamal, seorang guru. Perjalanan ke rumah beliau mengambil masa 2 jam lagi. Hampir sepanjang 2 jam itu bunyi deruman enjin kereta dan sesekali bunyi hon dari supir/ pemandu memecah keheningan malam di dalam van yang dinaiki. Hampir semua tertidur kepenatan. Di Lunang Silaut ini kami bermalam selama 3 malam; menjadi destinasi transit kami ke tempat tempat seterusnya yang kami ingin tuju sebagaimana yang diatur oleh rakan rakan PKS.

Esoknya kami mengadakan dua lagi sesi di sebelah pagi dan petang. Anak anak kecil sedari 7 tahun rata ratanya sudah mula puasa penuh. walaupun budaya menutup aurat di kalangan kaum wanitanya sedikit kurang dihayati, namun kecekalan hati dan kefardhuan selainnya majoritnya digalas dengan sebaiknya oleh mereka. Mungkin gempa bumi berskala 7.9 richter itu cuba mengingatkan kembali mereka akan keTuanan alam ini, seterusnya menjadi muslim yang lebih taat.

Seharusnya kita di bumi Malaysia yang dikira masih aman dan tenteram ini perlu lebih mengenal erti bersyukur. Kita ditemukan dengan bulan Ramadhan dengan segala macam kemudahan dan kesenangan. Bulan yang penuh keberkatan. Ditambah pula hadiah malam laylatul qadr yang penuh berkat. Masih adakah lagi yang tidak bersyukur? Tergamakkah?

Berbalik kepada suasana di sana, hari seterusnya kami ke Mukomuko, kawasan di wilayah Bengkulu yang paling teruk dilanda musibah ini. Begitu banyak kemusnahan. Begitu daif sekali kehidupan. Namun dicelah celah kedaifan itu mereka terus bersemangat untuk menempuh hari hari mendatang. Masih mampu mereka mengukirkan sebuah senyuman di dalam kesakitan dan penderitaan. Khidmat kami seakan anugerah yang begitu sekali bermakna.

Walaupun belum menjanjikan satu kesenangan dan hampir pasti tidak dijanjikan bebas dari gempa bumi, mereka terus berkerja untuk satu penghidupan. Mereka yakin dengan janji Allah yang jauh lebih mahal dan tinggi nilainya. Dan Dialah sebaik baik yang mengotakan janji.

Hari terakhir di Lunang, sempat sekali lagi mengadakan  khidmat kesihatan di sana. Setiap malam kami menganjurkan majlis berbuka puasa di masjid kecuali satu malam di perkarangan rumah Pak Jamal. Suasananya cukup meriah. Begitu bersopan dan beradat masyarakat di sana yang majoritinya dari suku kaum Minang.

Dicelah celahnya diselitkan unsur nasihat dan jalinan persaudaraan sebagai tanda kemesraan dan meraikan tetamu.

Begitulah suasana di Padang dan Bengkulu, Sumatera Barat. Walaupun hampir setiap kali bersahur dan berbuka kami dapat merasai keenakan nasi Padang yang agak popular bagi sesetengah kita, namun dirasakan sumbangan kami tidaklah sebesar mana dibandingkan kesusahan dan keperitan hidup yang mereka alami. Semoga ianya menjadi pengiktibaran kepada kita semua.

Semoga tergerak hati kita untuk bertanya khabar dan mengambil langkah langkah yang patut untuk mengurangkan kesengsaraan hidup saudara seIslam kita di serata dunia. Setidaknya doa kita saban hari mengiringi kedukaan mereka untuk lebih cekal, dikeluarkan dari kedukaan itu serta dijauhkan dari ujian yang tidak tertanggung oleh mereka.

Read Full Post »