Feeds:
Kiriman
Komen-komen

Archive for November 2007

Memacu Kebangkitan Rakyat

Nampaknya negara kita melalui satu lagi fasa yang bakal merubah suasana dan senario politik tanahair. Tidak banyak peristiwa besar sejak kemerdekaan 50 tahun lalu yang boleh menggoncang dan menggangu gugat kedudukan parti yang memerintah. Maka beradalah mereka di singgahsana politik untuk sekian lamanya. Merubah kedudukan ini beerti berhadapan dengan satu situasi baru yang dikatakan penuh ketidakstabilan, malah tidak mampu untuk setanding, apatah lagi membawa altenatif yang lebih baik. Apakah ini benar?

Hakikatnya kerajaan Barisan Nasional yang dikira antara yang paling lemah sekarang ini berhadapan dengan pelbagai isu dan malapetaka akibat kerakusan pangkat dan harta pemimpin di kalangan mereka. Dengan kesombongan dan keangkuhan, mereka melawan arus kebangkitan rakyat yang bukan sekadar menginginkan penjelasan, malah menuntut perubahan. Maka negara kita bolehlah dikatakan sedang melalui fasa peralihan kuasa daripada pihak yang memegang kuasa eksekutif dengan cara gelojoh dan diktator kepada kuasa rakyat yang menuntut hak mereka.

Bukan sekadar hak untuk bersuara dan memprotes kenaikan harga barang yang rakyat dihadapkan dengan pihak polis dan segala macam senjata termasuk cubaan menguasai minda melalui saluran media, malahan proses yang mana rakyat menuntut hak untuk membersihkan perjalanan pilihanraya juga berhadapan dengan segala tentangan. Apa lagi yang tinggal pada mereka?

Siapa lagi yang sanggup membetulkan salahguna kuasa di pihak parti memerintah sekiranya bukan di kalangan orang politik. Mereka yang berkesedaran tidak tergamak untuk mendiamkan diri bila satu demi satu persoalan tidak terjawab dan bila kesedaran dan kesungguhan mereka dianggap agenda politik murahan. Bila Dewan Rakyat tidak lagi menjadi tempat untuk membawa suara rakyat, maka bersenanghati lah mereka di pihak kerajaan dengan sikap acuh tak acuh mereka. Teguran daripada pihak penyokong kerajaan sendiri tidak berbekas mana. Terkini, sekali lagi Pengerusinya menegur kegagalan wakil kerajaan untuk hadir menjawab isu yang dibangkitkan. Seakan teguran tiada erti.

Rakyat boleh menghitung berapa kali Perdana Menteri Malaysia menghadiri sidang Parlimen berbanding dengan lawatan ke luar negara. Bandinglah dengan negara negara membangun seperti United Kingdom yang begitu bersungguh dan membina perbincangan dan lontaran lontaran idea mereka. Bila suasana Dewan tidak berisi dan dihormati, maka terjadilah apa yang tidak sepatutnya terjadi.

Bila pihak yang belum memerintah pun disogokkan dengan rasa sudah hampir pasti untuk mereka megambil alih pemerintahan seperti yang berlaku di Kelantan dalam waktu terdekat ini, maka lihatlah natijahnya. Itu belum lagi berada dalam suasana memerintah, mungkin lebih parah lagi jadinya. Mungkin lebih daripada kaki dan penumbuk yang menjadi modal.

Hakikatnya negara kita yang sedang mengalami proses memandulkan hak dan minda rakyat oleh pihak kerajaan Barisan Nasional, tetapi yang dituduh adalah Dewan Bahasa dan Pustaka. Menyekat hak rakyat dengan ugutan dan undang undang merupakan satu tindakan terdesak. Moga rakyat terus menerus menjejaki hak mereka walaupun terpaksa melalui jalan jalan yang sengaja ditimbus.

Harapkan pagar, pagar makan padi

Harapkan demokrasi segar, segar sebelum bersemadi 

Read Full Post »

Adalah sesuatu yang agak pelik bertanyakan seorang dewasa di kalangan rakyat Malaysia bilangan dan intipati Rukun Negara. Sesuatu perkara yang sinonim dengan zaman kanak kanak, serasanya lebih sesuai ditanyakan pada golongan ini. Namun kehidupan yang kita alami mengajar kita bahawa semuanya boleh berlaku. Melayu mudah lupa. Soalan untuk peperiksaan PTK untuk kenaikan pangkat penjawat jawatan kerajaan contohnya, boleh meliputi spektrum soalan yang teramat luas. Maka demi kenaikan pangkat, seorang doktor umpamanya terpaksa belajar kembali teknik menghafal pelbagai nama dan peristiwa di celah celah kesibukan hidup mereka.

Pun begitu, mereka yang menjawat jawatan tertinggi dalam kerajaan kadang kalanya tidaklah setinggi mana tahap pemikiran mereka dan kelihatan lebih bersifat keanakan dalam approach mereka kepada sesuatu perkara. Umpama kanak kanak yang mengenal sesuatu yang baru, keseronokan lebih menjadi keutamaan berbanding faktor keselamatan. Seakan begitulah juga sikap trial and error atau mencuba oleh sesetengah pihak yang menduduki tampok pentadbiran kerajaan Malaysia. Padahal kosnya terlalu tinggi untuk ditanggung oleh rakyat.

Bahasa Inggeris meniti hari hari terakhirnya dalam penjajahan sains dan matematik yang diajar di semua jenis sekolah. Tanpa desakan dan tekanan dari banyak pihak tentunya anak anak kecil masih tenggelam timbul mencari formula terbaik untuk belajar. Keputusan UPSR terkini masih membuktikan betapa jauhnya tahap kelulusan dan kecemerlangan  yang dicapai berbanding subjek subjek subjek lain.

Mungkin ada yang terlepas pandang bahawa Raja raja Melayu juga amat perihatin dengan persoalan bahasa ini. Umpamanya Ke Bawah Duli YangMaha Mulia Al Sultan Kelantan pernah menyuarakan pandangan supaya prosiding di mahkamah menggunapakai bahasa Melayu dengan sepenuhnya. Titah al Sultan Kelantan ini dapat didengar sendiri oleh Ketua Hakim Negar pada masa itu, Tun Fairuz semasa Baginda merasmikan bangunan baru mahkamah di Jeli, Kelantan tidak lama dahulu.

Begitulah perihatinnya golongan istana dengan kedaulatan bahasa ibunda dan kesungguhan untuk memartabatkan bangsa. Bangsa Melayu amat sinonim dengan Islam di Malaysia, seolah olah Melayu itu Islam dan Islam itu Melayu. Maka memartabatkan bangsa tidak lain dan tidak bukan seakan memartabatkan Islam. Dan Al Sultan Kelantan pula adalah Sultan yang memerintah negeri yang mendapat jolokan serambi Mekah, maka lebih lebih lagilah relevannya ucapan Baginda itu.

Di dalam Rukun Negara, Kesetiaan kepada Raja dan Negara datang sebelum Keluhuran perlembangaan dan Kedaulatan undang undang. Maka dengan sendirinya menghormati institusi raja merupakan satu keutamaan kerana Raja adalah simbol perpaduan. Menolak saranan dan titah diraja seumpama cubaan meruntuhkan perpaduan.  Menabalkan seorang raja lain yang pernah dibuat di Kelantan tidak lama dahulu juga cubaan merosakkan perpaduan. Malahan ianya sendiri diakui oleh seorang Menteri dari Kelantan, Datuk Mustapha Muhammad dalam sidang Dewan Undangan Negeri Kelantan pada hari ini 20/11/2007,  sebagai tindakan yang salah dan tidak menghormati undang undang.

Merujuk kepada himpunan pada 10 November 2007, bila pihak penganjur himpunan 100k, yakni BERSIH yang turut dianggotai oleh parti parti politik yang merasakan mereka didiskriminasikan dan disisihkan hak mereka dari keadilan prinsip demokrasi, maka mereka merujuk kepada Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong yang mempunyai kuasa sebagaimana diperuntukkan oleh undang undang. Itulah yang sebaiknya bila Keluhuran perlembangan dan Kedaultan undang undang diselaputi seribu pertikaian dan karenah, sejuta dosa dan noda. Maka mengapa timbul mengheret Raja raja ke kancah politik?

Kiranya Rukun Negara dihayati maka tidak timbul persoalan ini. Dan pihak yang menghantar memorandum yakin bahawa Raja raja melayu yang perihatin dengan nasib bangsa mereka akan melakukan sesuatu untuk merubah keadaan dan senario politik tanahair yang semakin membarah. Tidaklah mereka perlu pergi setakuk lagi untuk mengguna formula seterusnya sesuai degan prinsip pertama Rukun Negara yakni Kepercayaan Kepada Tuhan, kerana semua anutan agama yang bersandarkan kepada prinsip dan moral kehidupan tidak membenarkan kezaliman bermaharajalela.

Hanya mereka yang menolak agama yang menzalimi sesama manusia. Lantas, marilah bersama memperbetulkan pihak ini. Marilah bersama berusaha mengangkasakan roh roh mereka agar diterima langit bila jasad mereka bersemadi.

Read Full Post »

Seakan Kerajaan Barisan Nasional terutamanya UMNO semakin meleset akan segalanya. Setelah melesetnya ekonomi pada hujung tahun 90an, serta semakin meleset pula akhlak di kalangan pemimpin mereka dengan pelbagai tuduhan dan kesalahan yang sukar sekali diadili, segalanya kelihatan tidak berpihak kepada mereka.

Dari kecelaruan polisi yang menyaksikan anak anak kecil termengah mengah berbahasa Inggeris untuk mengikuti pengajian sains dan matermatik, hinggalah kepada kecetekan idea seorang Menteri Besar di dalam menangani permasalahan ketidakcekapan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dengan hadiah sebatang penyapu, ianya lebih dari cukup! Cukup untuk rakyat menilai kebebalan yang ditunjukkan. Cukuplah ianya membebani rakyat. Keperihatinan kepada rakyat menduduki tempat ketiga dan keempat selepas kepentingan meneruskan agenda dan survival politik melalui pengautan hasil mahsyul negara.

Pendidikan merupakan aspek terpenting di dalam kemajuan masyarakat. Ianya berkait dengan penghormatan daripada masyarakat dunia dan pengiktirafan ke atas universiti tempatan serta kejayaan pelajar pelajar kita di luar negara menjadi sebahagian dari ukuran mereka. Sekali lagi universiti universiti tempatan dimalukan dengan jatuhnya kedudukan dalam ranking univerisiti universiti sedunia. Sedikit komentar dari seorang pensyarah Universiti Brunnel England dijadikan modal untuk menjawabnya. Adakah silap pensyarah pensyarah kita atau pengendalian oleh Menterinya?

Sebenarnya kerajaan Barisan Nasional tidak perihatin mana untuk memajukan modal insan seperti mana yang dilaungkan. Wilayah wilayah pembangunan yang ‘dihadiahkan’ kepada rakyat disambut dengan pelbagai kesusahan  yang tiada penghujungnya. Walaupun pembungkusnya cantik, isinya belum pasti siapa pemiliknya. Itupun kalau ada isi. Pun begitu kesusahan rakyat datang bertimpa timpa. Kenaikan harga barangan, kesukaran mendapatkan biasiswa mahupun pinjaman untuk pengajian dan pelbagai lagi kebejatan sosial yang menakutkan merupakan satu sindrom seakan ‘AIDS’ yang sukar dicari ubatnya oleh Kerajaan.

Adakah Kerajaan Barisan Nasional sengaja membiarkan rakyat mengidap ‘AIDS’ ini  atau pencandu subsidi demi penerusan agenda mereka? Wahai pemimpin Kerajaan Barisn Nasional, rakyat tidak berkehendakkan subsidi kamu! Tetapi rakyat inginkan Kerajaan yang diBERSIHkan dari najis rasuah, nepotisma dan kronisma! Yang boleh membimbing mereka untuk keselamatan dan kemakmuran. Mereka lebih selesa untuk membiarkan anak anak mereka berjalan di jalanraya tatkala berlangsung sebuah perhimpunan aman daripada berjalan seorang diri hatta di tepi rumah mereka!

Bila semakin banyak pihak berani menyatakan suara hati, bila seorang imam berani menyaman Setiausaha Umno dan bila ada saluran yang boleh membangkitan kuasa yang ditenggelamkan, maka segala bala tentera digunakan, segala syafaat dicari untuk mengumpan rakyat demi menghalang kebangkitan kuasa termasuklah kuasa rakyat yang bakal digunakan di dalam pilihanraya umum tidak lama lagi.

Marilah berusaha untuk terus membangkitkan kuasa rakyat dan mereka yang diberikan hak dan kuasa untuk menggunakan sepenuhnya kekuasaan mereka demi agama dan negara.

Katakan tidak kepada  Barisan Nasional! Awas! Setiap undi membawa padah! Jauhilah UMNO dan sekutunya. Kegagalan anda membawa seribu penyesalan!

Read Full Post »

Sudah menjadi semacam kudis yang membusung penyakit berat sebelah yang dihidapi oleh media perdana bila membuat liputan peristiwa yang tidak memihak kepada UMNO dan kerajaan Barisan Nasional. Menyalahkan pihak wartawan dan media semata, yang terpaksa berbohong bila kaki dan tangan mereka diikat juga sesuatu yang tidak adil. Tangan tangan yang jahat menggantikan tangan mereka serta perbuatan yang menyebabkan mereka seperti dipasung amatlah tidak wajar serta mengharukan. Demi meneruskan pencarian rezeki dan mengharapkan bonus bonus yang terpaksa ditagih setelah perut mereka terikat dengan naiknya harga barangan keperluan harian, mereka meneruskan agenda pihak yang bukan setakat menguasai muka hadapan, bahkan muka belakang akhbar!

Dari Perhimpunan Agung UMNO ( PAU) yang seolah olah menjadi pentas menonjolkan kejaguhan perwakilan dengan skrip yang seakan semuanya telah bersusun dan tersusun, rakyat dihidangkan dengan liputan besar besaran yang tidak dinikmati oleh parti parti lain. Adilkah? Manakala pelengkapnya adalah ucapan yang dikatakan berapi api dan terbaik dari seorang Presiden, yang pada hakikatnya dikenali cukup lemah dan lesu dalam menjalankan tugasnya. Namun cubaan menutup kelemahan dengan ucapan “saya pantang dicabar’ nampaknya hanya memakan tuan. Sekali lagi beliau dimalukan dengan berjayanya penganjur perhimpunan BERSIH meneruskan program dengn aman. SYABAS!

Sebuah perhimpunan menuntut pilihanraya bersih hanya dinilai dengan ‘surface value’ oleh beliau atas nasihat nasihat orang sekelilingnya. Islam dengan cermat sekali mengajar umatnya agar jangan melihat orang yang membawa tapi lihatlah apa yang dibawa. Pepatah inggeris, ‘dont judge the book by its cover’ juga tidak menjadi panduan beliau. Perdana Menteri yang bertanggungjawab ke atas semua rakyat lupa bahawa tuntutan BERSIH adalah supaya kita semua melalui sebuah pilihanraya yang adil. Pihak yang menganjurkan himpunan BERSIH sedikitpun tidak menolak pilihanraya. Penolakan mesej perhimpunan dengan beralasan sedemikian hanya menyerlahkan lagi tahap dan mentaliti Pak Turut yang  ada pada seorang Perdana Menteri.

Tidakkah rakyat Malaysia berasa malu mempunyai seorang Perdana Menteri sebegini? Masihkah ada harapan untuk negara maju dan membina peradaban yang boleh dibanggakan? Sanggahan seorang  Menteri Penerangan yang berotakkan fahaman demokrasi sempit serta tidak memahami persoalan yang diajukan memburukkan lagi rupa kudis yang semakin bernanah. Siapa yang patut gelakkan siapa? Ingatlah wahai Menteri Penerangan, kudis yang membusung akan pecah pada suatu hari nanti, kemualannya lebih dirasai kiranya semakin banyak ‘volume’ yang keluar, yang bercampur dengan darah busuk dari hasil yang kotor dan tidak suci.

 Apa apa pun sekalung tahniah kepada semua yang menganjur dan menyertai himpunan 100 ribu rakyat menuntut hak mereka dan hak semua lapisan masyarakat. Ini termasuklah pihak yang diberi tanggungjawab menjaga keamanan serta pihak yang hanya melaporkan apa yang diarahkan mereka untuk melaporkan. Tahniah pada semua. Dengan sekatan, dengan laporan yang tidak ada adil sekalipun, bisa yang terasa oleh pihak yang membusungkan kudis itu turut dirasai oleh mereka sendiri.

Read Full Post »

Kenyataan angkuh Naib Ketua Pemuda UMNO yang juga menantu Pak Lah bahawa mereka yang bakal mengikuti himpunan aman anjuran BERSIH pada sabtu ini umpama beruk beruk jalanraya tidak ubah seperti mengata dulang paku serpih. Umum dapat melihat gelagat beliau semasa Pilhanraya kecil Ijok yang lepas yang nyata tidak banyak beza dari apa yang disebutkan. Ternyata satu hakikat yang beliau lupa bahawa golongan tertentu tidak akan mengatakan sesuatu melainkan apa yang dekat dengan mereka, atau apa yang serupa dengan mereka. Dan ternyata juga beliau begitu berminat sekali menggunakan perkataan beruk ini.

Sebagai seorang yang berkelulusan Universiti Oxford, amat malang jika beliau hanya seolah olah hanya pandai bercakap tentang beruk. Mungkin beliau rajin membaca al Quran yang menempelak sesetengah golongan bani Israel, jadilah kamu seperti beruk. Barangkali agak sedikit terungkai persoalan minat menyamakan dengan beruk bila dikaitkan dengan kaum Yahudi ini. Mengambil peringatan tersebut seharusnya Khairy tidak condong untuk berkenalan dengan Yahudi Zionis yang terkenal dengan kejahatan dan kezaliman mereka, apatah lagi menyebut nyebut tentang beruk yang sedikit sinonim dengan mereka.

Andai kata jalan itu juga dipilih, maka lebih layaklah digelar beruk beruk pilhanraya, yang sudah semestinya bukan tandingan parti parti politik lain kerana bahasa politik beruk beruk ini tidak serasi dengan bahasa demokrasi berpalimen yang diamalkan di Malaysia. Beruk beruk sebegini merosakkan demokrasi seperti beruk yang mendapat bunga. Mereka tidak reti menilai harga kemerdekaan dan hak demokrasi apatah lagi hak asasi manusia.  Persoalan berkaitan amanah dan dosa pahala jauh sekali.

Jauhlah lagi negara menuju kemajuan dengan kefahaman sebegini. Semoga rakyat dapat menilai antara sandiwara dan kenyataan, antara berpolitik nasional yang sempit dan amanah kepimpinan yang ingin melihat semua manusia dan makhluk Allah mencapai kesenangan dan kebahagiaan hidup di dunia hingga ke akhirat

Read Full Post »

Belum pun seminggu pelancaran ECER, UMNO Kelantan terutama Pengerusi Perhubungannya, Dato Seri Annuar Musa sudah seakan orang mabuk bercinta, mengimpikan Puteri jelita yang tinggi pekerti dan penuh sopan tingkah lakunya.

Terbaru, beliau yang sejak dari dahulu mensasarkan kemenangan lebih dua pertiga daripada kerusi DUN Kelantan, sekali lagi membuat kenyataan yang sedikit pun tidak disokong dengan fakta. Walhal beliau sendiri mengakui bahawa rakyat Kelantan sangat tinggi daya intelektualnya. Tentu terdapat sedikit percanggahan sekiranya diperincikan kenyataan tersebut.

Selain mewar warkan untuk membawa majoriti muka muka baru dari kalangan profesional sebagai calon BN, beliau ternyata terlalu kagum dengan kebolehannya membawa Pak Lah ke Kelantan dengan bilangan yang dikira amat tinggi dalam jangkamasa yang singkat. Seolah tiada kekuatan sendiri yang dapat dibanggakannya. Umum dapat menelah bahawa kesanggupan Pak Lah datang ke Kelantan banyak bersandar kepada strategi Kerajaan Barisan Nasional yang pada kali ini melimpahkan segala macam projek dan program dalam usaha menawan Kelantan. Berbanding dengan RMK9, hampir semua Rancangan Lima tahun Malaysia yang lepas ternyata mengambil sikap menghukum rakyat Kelantan kerana memberi undi kepada parti selain daripada Barisan Nasional.

Seumpama orang yang mabuk cinta dan gila talak, pelbagai janji dan barangan yang diberi untuk menambat hati empunya diri. Kerapnya Pak Lah datang sebagaimana seorang suami yang bercita cita untuk melebihkan isteri muda, walaupun belum lagi memilikinya. Atau mungkin juga udara nyaman di Kelantan lebih selesa dihirup oleh Pak Lah dan isteri barunya berbanding dengan kerencaman hidup di ibukota serta hiruk pikuk konsert dan muzik yang telah dua kali berjaya dianjurkan di kediaman rasminya. Entah penangan siapa yang membawa budaya sedemikian yang bukan saja tidak pernah dibuat oleh semua Perdana Menteri Malaysia sebelum beliau, malahan sedikit pun tidak masuk akal dengan imej Ketua Kerajaan Islam Hadhari yang dibawanya.

Pun begitu belum tentu komitmen yang ditunjukkannya sekarang mampu dipertahankan andainya si dia sudah dalam genggaman. Itu lumrah. Janji yang ditabur semasa bercinta belum pasti lagi ditunaikan. Seharusnya penilaian yang lebih meluas diambil daripada menelan bulat bulat sebuah perkhabaran yang seakan mimpi yang serba indah.

Kenyataan beliau semasa pelancaran ECER di Batu Burok Terengganu bahawa 6 billion akan diluluskan dalam kadar yang segera untuk membuktikan komitemen Kerajaan Barisan Nasional harus dipandang serius oleh semua pihak kerana ianya mungkin merupakan peruntukan khas untuk mengadakan pilihanraya umum dalam masa terdekat ini. Semoga semua pihak dapat berkerja untuk memastikan rakyat benar benar faham dan jelas dengan komitmen yang dijanjikan.

Read Full Post »