Selamat menyambut bulan Ramadhan Al Mubaraq! Atau Selamat berpuasa! Begitulah selalunya ucapan yang didengari kita sebelum kedatangan Ramadhan yang mulia.. Selalunya sehari sebelum kedatangannya. Dibandingkan dengan persediaan menyambut Hari Raya, kemeriahan menyambut Ramadhan boleh dikatakan lebih “diversify’ atau pelbagai suasananya di kalangan umat Islam di mana mana saja.
Kedatangan Ramadhan adalah anugerah yang tidak terhingga kepada umat. Puasa dan segala aktiviti yang disarankan adalah sebagai perencah untuk mendekatkan manusia kepada al Quran yang sepatutnya menjadi panduan hidup manusia. Namun ianya kadang kadang lebih popular di cermin kereta, di dinding dinding dan bungkusan yang menjadi pendinding kepada gangguan makhluk halus dibandingkan berada di dada manusia. Di atas kejahilan umat yang amat inilah serta ketidakcaknaan kepada al Quran yang kadang kalanya membawa kepada keangkuhan sesetengah pihak menolak al Quran.
Jika orang Islam sendiri menolak al Quran, tidak pelik jika golongan bukan Islam lebih lebih lagi menolaknya. Pada bulan lepas seorang ahli parlimen Denmark dari parti Kebebasan / Freedom Party, Geert Wilders menyarankan supaya al Quran diharamkan di Denmark dengan melabelkannya sebagai teks ‘fascist’ yang menggalakan penumpahan darah dan sebagainya. Beliau membandingkan Al Quran dengan penulisan Adolf Hitler, Mein Kampf dan mengatakan ianya tiada tempat di dalam perlembagaan Denmark. Beliau menolak wujudnya umat Islam yang moderat/ pertengahan, serta membayangkan seolah kesemua orang Islam adalah penjenayah dan wujudnya negara Islam adalah dengan cara paksaan. Beliau meminta supaya tiada lagi penghijrahan orang Islam dibenarkan ke Denmark.
Malangnya penyataan beliau sebegini tidak mendapat tentangan yang hebat daripada umat Islam sebagaimana tentangan kepada karikatur yang menghina Nabi Muhammad SAW tidak lama dahulu. Di bulan yang umat Islam dianugerahkan al Quran sebagai panduan dan mukjizat teragung yang diturunkan oleh ALLAH SWT, perlulah kita semua lebih membuka mata dan pemikiran kita untuk menentang sebarang penolakan dan penghinaan kepada sistem hidup yang begitu indah sepertimana yang ditunjukkan oleh Nabi Muhammad SAW melalui panduan al Quran.
Semoga ALLAH SWT menambah kefahaman dan kecintaan kita kepada al Quran dan keilmuannya.
Tinggalkan komen